Jumaat, 24 April 2009

Nizar Bantah Kes Dirujuk Ke Mahkamah Persekutuan


Siapakah Menteri Besar Perak yang sah? Inilah pertikaian di Mahkamah sekarang. Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah membenarkan Peguam Negara menjadi 'pencelah' dalam kes ini. Menurut Hakim Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim, adalah wajar untuk membenarkan Tan Sri Abdul Gani Patail untuk mencelah dan membantu mahkamah menyelesaikan pertikaian ini.

Menurut Gani, beliau berhak mencelah dalam kes ini kerana ia melibatkan kepentingan awam dan pentafsiran Perlembagaan Perak serta Perlembagaan Persekutuan.

Peguam Dato seri Nizar, Sulaiman Abdullah membantah pencelahan Peguam Negara dalam kes ini. Menurutnya, apa jua keputusan mahkamah kelak, tidak akan memberi apa-apa kesan kepada Peguam Negara. Oleh itu, beliau tidak ada hak untuk mencelah dalam kes ini. Isu yang dipertikaikan ialah 'Siapakah Menteri Besar Perak yang sah?". Apa kena-mengena kes ini dengan Peguam Negara? Adakah hak atau liabiliti Peguam Negara akan terjejas apabila mahkamah membuat apa-apa keputusan? Tetapi, mahkamah telah mengenepikan hujah beliau dan membenarkan Peguam Negara mencelah dalam kes ini.

Menurut Sulaiman lagi, Zambry memang sudah diwakili oleh peguam-peguamnya sendiri. Oleh yang demikian, tidak perlu untuk Peguam Negara untuk mencelah. Sulaiman juga mebalas hujah Peguam Negara yang mengatakan bahawa ini merupakan kes kepentingan rakyat, oleh itu beliau berhak mencelah. "Nampaknya Peguam Negara bukan menjaga kepentingan rakyat, tetapi menjaga kepentingan Barisan Nasional" bidas Sulaiman.

Dalam masa yang sama, Dato Seri Zambry mencari jalan pintas untuk memohon supaya kes ini dirujuk kepada Mahkamah Persekutuan. Dato Seri Nizar membantah permohonan tersebut.Menurutnya, Mahkamah Persekutuan tidak boleh menjawab apa-apa persoalan perundangan berdasarkan andaian. Semua fakta-fakta material perlu dibangkitkan dan dipertimbangan dalam mahkamah tinggi terlebih dahulu.

Dato Seri Nizar telah menfailkan afidavitnya untuk membantah permohonan Dato Seri Zambry. Perkara ini akan didengar oleh Mahkamah Persekutuan pada 28 April 2009.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan