Isnin, 27 Februari 2017

Ahli Majlis Tidur, Wakil Rakyat Baiki Jalan.

Kenyataan Media YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah pada 24 Feb 2017 di Kpg Baru Bemban,Batu Gajah.

Wakil Rakyat DAP YB V.Sivakumar & YB Paul Yong
DAP Team Tronoh terpaksa membaiki jalan berlubang dan rosak di jalan masuk utama ke Kampung Baru Bemban. Wakil Rakyat DAP YB V.Sivakumar & YB Paul Yong terpaksa turun padang melihat masalah jalan berlubang setelah menerima aduan orang ramai.
Ini adalah kerja Majlis Daerah Batu Gajah dan bukannya masalah yang perlu diselesaikan oleh ADUN atau Ahli Parlimen. Tetapi, oleh kerana Ahli-ahli Majlis Daerah Batu Gajah tidur nyenak, maka wakil rakyat terpaksa memperbaiki keadaan jalan untuk kepentingan dan keselamatan orang ramai.
Adalah tidak wajar untuk membiarkan orang ramai menghadapi kesulitan setelah rakyat dikenakan pelbagai cukai. Menyelenggara jalan merupakan salah satu tanggungjawab utama pihak kerajaan tempatan. Ahli-ahli Majlis Daerah Batu Gajah alpa dengan kewajiban dan tanggungjawab yang diberikan kepada mereka.
Keadaan jalan rosak seperti ini bukan sahaja terdapat di Kampung Baru Bemban, malah di merata tempat di bawah penyeliaan Majlis Daerah Batu Gajah. Saya menyarankan supaya Yang Dipertua Majlis  Daerah Batu Gajah turun padang dan lihat sendiri keadaan jalan di keseluruhan kawasan di bawah penyeliaan Majlis Daerah Batu Gajah.

Selasa, 21 Februari 2017

Apakah Nasib 41 Ribu Pekerja Kontrak Dalam Perkhidmatan Awam

Kenyataan Media YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah & Timbalan Pengerusi DAP Perak pada 20 Februari 2017 di Ipoh.




Kerajaan seharusnya lebih prihatin terhadap anggota perkhidmatan awam yang dilantik secara kontrak. Ada diantara mereka yang dilantik itu telah berkhidmat lebih daripada 10 tahun sebagai pekerja kontrak.
Adakah ini adil? Masa hadapan pekerja-pekerja ini adalah tidak menentu. Mereka boleh hilang pekerjaan bila-bila masa sahaja jika khidmat mereka tidak diperlukan lagi. Tetapi, pekerja-pekerja kontrak ini telah menghabiskan tempoh yang begitu lama bekerja dengan kerajaan. Kerajaan harus memberi perhatian yang serius berhubung dengan hal ini.

Pada 21 November 2016, saya telah menanyakan soalan lisan mengenai pekerja-pekerja kontrak dari kalangan anggota perkhidmatan awam. Saya meminta Perdana Menteri menyatakan jumlah pegawai lantikan secara kontrak dalam perkhidmatan awam yang telah dilantik secara tetap pada tahun 2016 seperti yang dijanjikan oleh kerajaan. Saya juga menanyakan jumlah penjawat awam yang masih berkhidmat sebagai pekerja kontrak sehingga kini.

Yang Berhormat Dato Sri Azalina Binti Othman Said, Menteri di Jabatan Perdana Menteri memberi jawapan bahawa bilangan pegawai kontrak dalam perkhidmatan awam adalah seramai 41,900 orang. Pada 23 Oktober 2015, Perdana Menteri telah membentangkan Bajet 2016 di Parlimen. Dalam bajet itu, kerajaan memutuskan bahawa pegawai lantikan secara kontrak yang telah berkhidmat 15 tahun atau lebih dan memenuhi syarat yang ditetapkan akan dilantik tetap.

Selaras dengan itu, kerajaan telah mengenal pasti seramai 11,359 pegawai perkhidmatan awam bekerja secara kontrak telah memenuhi syarat tempoh 15 tahun. Daripada jumlah itu, hanya 173 orang pegawai perkhidmatan awam persekutuan telah pun selesai urusan perlantikan tetap sehingga 21 November 2016. Manakala, bakinya 11,186 orang lagi masih dalam proses tapisan oleh Pihak Berkuasa Melantik.

Saya berpendapat kerajaan sengaja melengah-lengahkan proses perlantikan ini. Kerajaan tidak menunjukkan komitmen dalam membantu golongan tersebut. Kerajaan harus menepati janji dalam Bajet 2016 itu. Semua anggota perkhidmatan awam kontrak yang layak harus diserap dijadikan pekerja tetap kerajaan secepat  yang mungkin.

Jumaat, 3 Februari 2017

Jemput Zambry Turun Parlimen Batu Gajah Tangani Isu Kebersihan Secara Bersama

Kenyataan Media YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah & Timbalan Pengerusi DAP Perak pada 2 Februari 2017 di Ipoh.




Menteri Besar Perak Dato Seri Zambry Abdul Kadir telah turun membersihkan beberapa kawasan di Ipoh bersama Datuk Bandar Ipoh. Adakah ini bermakna Bandaraya Ipoh terlalu kotor sehingga Menteri Besar dan Datuk Bandar Ipoh sendiri terpaksa turun padang bersama-sama dengan pekerja-pekerja lain.

Beliau dilihat berada di Pasar Buntong, Little India dan Pasar Besar Ipoh. Adakah wabak denggi yang semakin ketara menarik beliau dan Datuk Bandar turun padang hari ini?
Walaupun tindakan beliau perlu dipuji tetapi beliau harus mengakui bahawa Bandaraya Ipoh amat kotor. Ini bermakna MBI telah gagal melaksanakan tanggungjawab asas membersihkan Bandaraya Permai ini. Walaupun cukai pintu dinaikkan begitu mendadak tetapi MBI tidak berfungsi dengan sebetulnya.

Gimik turun padang sehari oleh Menteri Besar Perak tidak akan menyelesaikan masalah ini. Masalah kebersihan dari segi pungutan sampah, longkang tersumbat dan rumput panjang menjadi semak merupakan masalah berlarutan sejak bertahun-tahun.

Masalah ini perlu dikaji dengan teliti supaya dapat diselesaikan dengan berkesan. Turun padang sehari sahaja tidak bermakna jika tiada penyelesaian sepenuhnya. Kerajaan Negeri harus membuat 'survey' atau kajiselidik dengan penduduk mengenai masalah yang mereka hadapi dengan kerajaan tempatan.

Selain  itu, saya juga ingin tahu apakah sudah jadi dengan 24 Ahli Majlis yang dilantik oleh MBI. Semuanya tidur? Inilah keadaannya di setiap Majlis Daerah.

Adakah Menteri Besar Perak dan Datuk Bandar Ipoh sudi turun padang bersama-sama dengan wakil rakyat pembangkang? Kami lebih tahu masalah tempatan. Kami terima pelbagai aduan daripada rakyat mengenai kesihatan dan kesejahteraan kawasan kediaman mereka.

Adalah wajar untuk Menteri Besar dan Datuk Bandar mengetahui keadaan yang sebenar di luar. Saya sanggup membawa Menteri Besar Perak untuk menunjukkan kawasan-kawasan yang perlu dibesihkan di seluruh Kawasan Parlimen Batu Gajah.

Saya tidak mengeluarkan kenyataan ini untuk mencabar kredibiliti beliau. Malah, saya menyeru supaya beliau melihat sendiri dan bertindak demi kesejahteraan rakyat Perak. Kita boleh bekerjasama dalam hal ini jika Kerajaan Negeri benar-benar serius dalam menangani isu kebersihan .

Masalah kebersihan bukanlah masalah di kawasan Ipoh sahaja. Ini merupakan masalah yang dihadapi oleh penduduk di setiap kawasan Majlis Daerah. Satu daripada puncanya ialah kebanyakkan kontraktor-kontraktor yang dilantik oleh pihak kerajaan tempatan sentiasa mencuri tulang.  Mereka dibayar tanpa dipantau oleh kerajaan. Akhirnya wang cukai yang dikutip daripada rakyat dibazirkan  begitu sahaja.

Saya yakin masalah-masalah ini boleh diselesaikan jika semua pihak benar-benar jujur dalam tindakan masing-masing. Saya percaya elemen-elemen rasuah juga menjadi satu lagi kekangan yang dihadapi dalam menangani  masalah ini. Kerajaan Negeri juga perlu  memantau secara teliti proses pengeluaran tender dan pemberian kontrak oleh pihak kerajaan tempatan.