Ahad, 26 April 2009

Bahas Dr Jayakumar Dalam Parlimen - 24/2/2009


Dr. M. Jeyakumar Devaraj [Sungai Siput]: Terima kasih. Tuan Yang di-Pertua, kegawatan ekonomi di Amerika Syarikat dan Eropah dicetuskan apabila berpuluh-puluh ribu peminjam daripada lapisan berpendapatan rendah tidak dapat bayar balik pinjaman mereka. Masalah pokoknya ialah pinjaman yang toksik dan ketiadaan kredit dalam sistem perbankan di Amerika Syarikat dan Eropah. Di Malaysia, situasi kita berbeza.

Sistem perbankan kita tidak bermasalah. Masalah yang kita hadapi ialah pasaran untuk produk yang kita keluarkan telah susut dengan teruk. Sektor elektronik ialah sektor industri yang terbesar Malaysia. Sektor ini mengalami satu pasaran yang begitu lembap kerana sektor elektronik di Amerika dan Eropah susut. Oleh itu pekerja kita di kilang elektronik tidak dapat overtime, dan ada pekerja elektronik yang dihentikan kerja

Sama juga sektor automobil. Pengeluaran kereta di Amerika dan negara lain telah susut sebanyak 30% dalam enam bulan yang lalu. Oleh itu permintaan untuk getah untuk membuat tayar juga telah susut. Harga getah pun telah kurang dan pekebun kita menghadapi harga getah yang turun.

Ini semua bawa masalah kepada peniaga kecil. Di negara kita ini Tuan Yang di-Pertua, kita ada lebih kurang dua juta peniaga kecil dan mereka ini jual pekerja kepada pekerja kita, pekebun kita. Mereka tidak jual kepada negara asing, not for the foreign market. Peniaga kecil Malaysia bergantung pada pasaran dalaman ataupun the domestic market. Masalah pokok di Malaysia ialah pemasaran, permintaan yang kecil dan ini membawa kesan pada para pekerja kilang, pekebun dan juga peniaga kecil.

Rancangan kerajaan untuk menjana pasaran dalaman dengan menyuntik peruntukan sebanyak RM7 bilion adalah satu pendekatan yang berpatutan. It’s the right approach. Akan tetapi apa yang penting ialah kita mesti memantau tiga perkara. Dalam perlaksanaan skim ini, untuk suntikan dana, untuk merangsang ekonomi:
(i) kita mesti memastikan bahawa projek infrastruktur yang dibuat itu adalah
perlu. Ia bukan satu white elephant ataupun gajah putih yang hanya dilalukan untuk beri business kepada syarikat-syarikat tetentu;
(ii) projek-projek infra yang dibuat mesti beri hasil yang bermutu tinggi, yang
berkualiti, yang boleh dipakai dan bukan yang setengah masak;
(iii) projek-projek ini mesti menjana peluang kerja untuk rakyat tempatan. Di
dalam pasaran buruh di Malaysia, pekerja asing tanpa permit adalah pekerja dengan gaji yang terendah sekali. Ada kemungkinan syarikat-syarikat swasta yang diberi projek-projek infra akan ambil pekerja asing tanpa permit kerana mereka boleh dapat untung yang tertinggi daripada itu. Akan tetapi kita mesti ada syarat-syarat untuk memastikan pekerja kita yang hilang kerja, yang memerlukan kerja diberi kerja dengan gaji yang berpatutan.
Ketiga-tiga perkara ini adalah amat penting.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan