Khamis, 16 Ogos 2012

Yang Tertinggal & Yang Terpinggir Masih Ramai Di Perak


Kenyataan Media 
YB V.Sivakumar, 
Timbalan Pengerusi DAP Perak, 
ADUN Kawasan Tronoh 
pada 14/8/2012 
di MTD, Batu Gajah.


Yang Tertinggal & Yang Terpinggir Masih Ramai Di Perak





Seorang warga emas yang bernama Mok Tai Soo (72) merupakan antara orang-orang yang ‘Tertinggal & Terpinggir’ di Negeri Perak. Beliau pernah memohon bantuan kebajikan 4 tahun yang lalu. Tetapi, tidak mendapat apa-apa bantuan daripada kerajaan negeri mahupun kerajaan persekutuan. Beliau tinggal di sebuah rumah  di MTD Batu Gajah.  Beliau tidak pernah berkahwin dan hidup sebatang kara. Beliau sudah lama tidak bekerja dan tidak mempunyai apa-apa sumber pendapatan. Abangnya yang juga tidak bekerja memberi bantuan makanan kepada beliau. Selain daripada itu beliau tidak mendapat apa-apa pertolongan daripada mana-mana pihak.

Beliau juga menghadapi masalah penglihatan. Salah satu daripada matanya buta menyebabkan beliau tidak boleh keluar untuk mencari apa-apa pendapatan untuk dirinya. Tambahan bula beliau juga menghadapi masalah sakit jantung.

Bukankah kriteria ini cukup untuk Pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk meluluskan bantuan kewangan kepada beliau? Kalau orang seperti ini tidak dibantu oleh kerajaan, siapakah lagi yang lebih layak? Saya tidak faham peranan Jabatan Kebajikan Masyarakat yang sebenar. Pegawai-pegawai daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat pernah melawat beliau di rumahnya pada bulan Februari 2009. Mereka telah mengambil gambar depan, belakang dan sekeliling rumahnya. Tetapi, selepas itu tidak ada apa-apa maklum balas. Jabatan Kebajikan Masyarakat Batu Gajah  langsung tidak prihatin dalam kes ini.

Saya juga tidak faham kenapa Jabatan Kebajikan Masyarakat Batu Gajah tidak mahu menjawab surat-surat dan memberi sebarang maklum balas kepada kes-kes yang disiasat. Jika, permohonan tidak berjaya, perlu dimaklumkan kepada pemohon mengapakah permohonannya ditolak. Saya sungguh berharap bahawa pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat Batu Gajah akan memainkan peranannya dengan lebih efektif lagi. Saya juga dapat merasakan adanya bau-bau politik dalam kes-kes yang diluluskan dan yang ditolak oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat Batu Gajah. Saya akan mendedahkan beberapa kes seperti yang dimaklumkan tidak lama lagi.


Rabu, 15 Ogos 2012

Akhbar-akhbar Tamil Harus Abaikan Parti PPP Serta Pengerusinya


Bolehkah Kerajaan Negeri Luluskan Tanah Untuk Kuil Mariamman Ladang Nalla Sebelum PRU-13?


Kenyataan Media 
YB V.Sivakumar, 
Timbalan Pengerusi DAP Perak, ADUN Kawasan Tronoh  
pada 12/8/2012 di Tronoh


Bolehkah Kerajaan Negeri Luluskan Tanah Untuk 
Kuil Mariamman Ladang Nalla Sebelum PRU13?





Kuil Sri Muthu Mariamman, Ladang Nalla Tronoh telah menyambut perayaan tahunan pada 12/8/2012. Perayaan ini disambut dengan meriah dengan upacara berjalan di atas bara api. Kuil ini adalah sebuah kuil yang lama. Dalam majlis keramaian itu, turut hadir ialah YB V.Sivakumar, Timbalan Pengerusi DAP Perak, ADUN Kawasan Tronoh.

Dulu Ladang Nalla diduduki oleh ramai orang-orang India yang bekerja di ladang tersebut. Sekarang kebanyakan orang India telah berpindah keluar daripada ladang ini ke tempat-tempat lain. Walaupun ladang ini masih beroperasi tetapi pekerja-pekerjanya adalah dari kalangan orang asing.

Walau bagaimanapun, penduduk yang pernah menetap di Ladang Nalla dan penduduk dari Tronoh akan tetap hadir untuk memeriahkan lagi perayaan tahunan tersebut. Pihak jawatankuasa kuil telah memohon sebidang tanah di tapak yang berhampiran dengan  gerbang masuk Kampung Baru Nalla. Permohonan itu masih belum mendapat apa-apa maklum balas daripada pihak kerajaan negeri.

Saya cabar kepada pihak MIC dan MCA Batu Gajah untuk mendapatkan tanah yang dipohon oleh pihak kuil tersebut. Jangan memberi janji kosong setiap kali dan akhirnya tidak ditepati. Jika Barisan Nasional benar-benar jujur dalam hal ini, maka tanah untuk kuil tersebut harus diluluskan sebelum PRU13.
  

Penduduk Taman Medan Pusing Risau Banjir Kerana Longkang Tidak Dibersihkan


Kenyataan Media 
YB V.Sivakumar, 
ADUN Kawasan Tronoh 
pada 12/8/2012 di Pusing, 
Batu Gajah.


Penduduk Taman Medan Pusing Risau Banjir Kerana Longkang Tidak Dibersihkan






Penduduk Taman Medan Pusing membuat aduan bahawa longkang di kawasan kolam tadahan air berhampiran dengan padang tidak dibersihkan oleh pihak Majlis Daerah Batu Gajah.  Mereka risau bahawa banjir akan berlaku di kawasan ini jika rumput-rumput di longkang itu tidak dibersihkan. Mereka berasa kecewa kerana mereka membayar cukai pintu tetapi tidak mendapat perkhidmatan yang memuaskan daripada pihak berkuasa tempatan. Sering kali berlaku banjir kilat di Taman Medan Pusing  jika berlaku hujan lebat di kawasan ini.

Saya bersama Pengerusi DAP Pusing Sdr Chan Chin Fah, Pengerusi DAP Bemban Sdr Lim Yoke See dan AJK Negeri DAP Perak Sdr Paul Yong telah membuat lawatan tapak dan berbincang dengan penduduk tempatan mengenai masalah yang dibangkitkan. Saya juga telah menghantar surat kepada pihak Majlis Daerah Batu Gajah untuk membersihkan longkang-longkang ini dengan segera. 


Perayaan Tahunan Kuil Mariamman Ladang Kota Bahru



Kenyataan Media 
YB V.Sivakumar, 
Timbalan Pengerusi DAP Perak, ADUN Kawasan Tronoh pada 12/8/2012 di Gopeng

Perayaan Tahunan
 Kuil Mariamman
 Ladang Kota Bahru

Kuil Arulmigu Maha Mariamman Ladang Kota Bahru, Gopeng telah menyambut perayaan tahunan pada 12 Ogos 2012. 

Sambutan yang meriah ini dihadiri oleh beberapa ribu orang tempatan dan dari kawasan-kawasan di sekitarnya.

Setiap tahun perayaan ini disambut dengan meriah dengan upacara berjalan di atas bara api oleh penganut-penganutnya. Pihak kuil juga menyediakan makan percuma untuk semua orang yang datang ke kuil itu pada hari perayaan. YB V.Sivakumar ADUN Tronoh, juga merupakan Timbalan Pengerusi DAP Perak menghadiri upacara agama itu bersama-sama dengan Sdr Tinagaran Arumugam (Ketua Cabang PKR Ipoh Barat & Naib Ketua AMK Perak), Baldip Singh (Naib Pengerusi PKR Perak & Timbalan Ketua Cabang PKR Kampar) dan Sdr Vijakumar (Pengerusi DAP Batu Gajah Utara). Mereka diberi penghormatan oleh pihak jawatankuasa kuil tersebut. 

Jumaat, 3 Ogos 2012

Masyarakat India Mundur Kerana MIC

Kenyataan Media YB V.Sivakumar, Timbalan Pengerusi DAP Perak, ADUN Kawasan DUN Tronoh pada 3 Ogos 2012 di Ipoh


Masyarakat India Mundur Kerana MIC

Masyarakat India merupakan antara kaum yang paling tertindas di negara kita. Walau pun negara kita telah merdeka 54 tahun tetapi status sosio-ekonomi kaum India masih jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan kaum-kaum yang lain. Sebahagian besar daripada kaum India hidup dalam keadaan serba kekurangan. Mereka tidak dapat menaiki tangga kejayaan kerana tidak ada hala tuju yang konkrit dibentuk oleh pemimpin-pemimpin MIC iaitu parti yang mewakili kaum di dalam komponen kerajaan Barisan Nasional. MIC telah gagal menghulurkan tangan kepada kaum India yang amat memerlukan bantuan kerajaan dari dahulu lagi. Tambahan pula, Kerajaan Barisan Nasional dengan bantuan MIC telah menindas kaum India di negara kita selama ini.

Kini, keadaan telah menjadi genting dan orang-orang India dianggap faktor penentu  kemenangan banyak di antara kerusi DUN dan Parlimen. Ini telah menjadi rangsangan kepada MIC dan Barisan Nasional untuk  membantu kaum India  dengan pelbagai cara. Tetapi, nasi sudah menjadi bubur. Segala salah laku,  pengabaian  dan penindasan terhadap kaum India tidak boleh diperbaiki lagi oleh MIC lagi. Sudah sampai masa untuk MIC dan Barisan Nasional mengundur diri dan memberi ruang kepada Pakatan Rakyat untuk mencorakkan semula masa hadapan kaum India di negara ini.

Masyarakat India harus sedar bahawa peluang telah diberikan kepada MIC selama 54 tahun untuk meningkatkan tahap sosio-ekonomi mereka. MIC bukan sahaja gagal berbuat demikian malah telah menipu masyarakat India dalam beberapa skandal kewanagan yang melibatkan berjuta-juta ringgit. MIC hanya membantu kaum kerabat dan kroni-kroninya untuk menikmati kekayaan negara. Kesejahteraan rakyat biasa tidak dipedulikan langsung. MIC telah memperdayakan kaum India dengan idea-idea kolot supaya menyokong Barisan Nasional dalam setiap pilihanraya. Pemimpin-pemimpin MIC juga sentiasa menakutkan kaum India dengan propaganda politik yang tidak munasabah. Kaum India telah dipermainkan oleh MIC untuk kepentingan politik Barisan Nasional secara keseluruhannya.

Jika MIC satu parti yang benar-benar telah memperjuangkan hak orang-orang India, kenapakah sebahagian besar daripada kalangan mereka itu hidup dengan penuh penderitaan? Jika MIC masih mahu dipandang relevan, perlu mendedahkan atau membuktikan semua usaha-usaha yang diambil olehnya untuk memajukan kaum India dari segi sosio-ekonomi selama ini.

Ini tidak bermaksud MIC tidak berbuat apa-apa kebaikan kepada kaum India. Baru-baru ini MIC memberi RM20 kepada pengundi-pengundi India untuk mendapatkan sokongan mereka. Ini merupakan satu pencapaian  yang perlu dibanggakan oleh pemimpin-pemimpin MIC yang memperjuangkan hak bangsa India. RM20 akan mengubah status sosio-ekonomi kaum India untuk 3 generasi akan datang?

Secara kesimpulan, MIC harus mengaku kelemahan mereka dan turun daripada pentas politik yang telah memundurkan kaum India selama ini. Mereka tidak sepatutnya tamak dan gila kuasa sehingga nasib kaum India digadai untuk selama-lamanya.

Program Syarahan Agama Pada 04 Ogos 2012 - Tronoh


Skandal Bola Keranjang Pusing



Kenyataan Media YB V.Sivakumar, Timbalan Pengerusi DAP Perak, ADUN Kawasan Tronoh pada 3/8/2012 di Pusing, Batu Gajah.

Skandal Bola Keranjang Pusing

Barisan Nasional cuba menipu rakyat dengan menutup skandal gelanggang bola keranjang di Pusing.  Hari ini Barisan Nasional mahu membina gelanggang bola keranjang di tapak lama. Saya yakin penduduk Pusing tidak lupa bagaimana Barisan Nasional telah menipu rakyat beberapa tahun yang lalu. Tapak gelanggang bola keranjang telah diambil secara paksa  untuk membuat projek membina kedai walaupun bantahan kuat daripada penduduk tempatan.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Tronoh Datuk Lee Kon Yin merupakan pengarah di dalam Syarikat Panglima Bangsa Sdn Bhd (tarikh penubuhan 17 Mac 1998). Syarikat itu telah memperoleh tanah kerajaan seluas 2.32 ekar di Pusing. Syarikat itu memperolehi tanah tersebut setelah memberi cadangan untuk memajukan tanah itu pada tahun 2001.

Syarikat Panglima Bangsa Sdn Bhd terdiri daripada 2 orang pengarah. Salah seorang daripadanya ialah Datuk Lee Kon Yin, bekas ADUN kawasan Tronoh. Datuk Lee Kon Yin telah menjadi Pengarah Syarikat Panglima Bangsa Sdn Bhd pada bulan Disember 2001. Kenapakah tiba-tiba beliau menjadi Pengarah di syarikat itu apabila cadangan dibuat untuk memajukan tanah tersebut pada tahun 2001? Semuanya telah dirancang dengan teliti untuk mendapatkan tanah kerajaan dengan menggunakan pengaruh politik. Pusing merupakan daerah mengundi yang terletak di kawasan DUN Tronoh.

Syarikat kepunyaan seorang ADUN diberi tanah seluas 2.3 ekar oleh kerajaan untuk mebuat projek membina 29 lot kedai. Bukankah ini satu bentuk salahguna kuasa oleh YAB Menteri Besar ketika itu dan kerajaan negeri? Tambahan pula, dalam kes ini ada konflik kepentingan  (confict of interest) yang amat jelas sekali. Seorang wakil rakyat tidak sepatutnya memohon tanah kerajaan untuk kepentingan peribadi atau syarikatnya, tambahan pula jika ia merugikan rakyat yang mengundinya.

Tanah kerajaan seluas 2.32 ekar yang diluluskan itu sebenarnya terdiri daripada 2 keping tanah iaitu: 

1)      Bekas kuarters JKR  (projek mendirikan 16 bangunan kedai yang dimajukan oleh Keris Properties)
2)      Gelanggang Bola Keranjang di sebelah pasar awam Pusing (projek mendirikan 13 unit bangunan kedai)

Kenapakah Kerajaan Negeri memilih Syarikat Panglima Bangsa Sdn Bhd untuk memajukan 2 keping tanah seluas 2.32 ekar, sedangkan syarikat ini hanya memperolehi keuntungan  selepas cukai sebanyak RM6252 pada tahun 2003?

Mengikut rekod Pejabat Tanah & Daerah Kinta, suratan hakmilik tanah telah dikeluarkan dan didaftarkan di atas nama Syarikat Panglima Bangsa Sdn Bhd pada bulan Ogos 2004. Selepas 2 bulan iaitu pada Oktober 2004 tanah tersebut telah dipindah milik kepada sebuah syarikat pemaju yang lain iaitu Tujoh Jaya Sdn Bhd.

Melalui pindah milik ini dipercayai Syarikat Panglima Bangsa  Sdn Bhd telah mendapat keuntungan lebih kurang RM416,000 setelah menolak semua pembayaran. Bolehkah Datuk Lee Kon Yin menafikan tentang  kesahihan  maklumat ini?

Kenapakah pula tanah itu  kemudiannya dimajukan oleh Keris Properties? 

Apakah sebab tanah itu bertukar tangan 3 kali?

Ini membuktikan Syarikat Panglima Bangsa Sdn Bhd tidak berniat untuk memajukan tanah tersebut apabila membuat permohonan tanah daripada kerajaan negeri. Syarikat ini hanya berniat untuk menggunakan Pengarahnya yang juga merupakan seorang ADUN untuk memperolehi tanah daripada kerajaan negeri dan kemudian menjual semula kepada pemaju yang lain untuk membuat keuntungan yang lumayan.

Kerajaan  Negeri tidak mengambil apa-apa tindakan terhadap Syarikat Panglima Bangsa Sdn Bhd yang memperolehi tanah kerajaan secara tipu muslihat. Tanah diluluskan kepada syarikat itu untuk memajukannya dan bukan untuk dijual kepada pemaju yang lain.

Syarikat Panglima Bangsa Sdn Bhd telah memperolehi 2.32 ekar tanah komersial dengan bayaran yang terlalu rendah. Syarikat itu hanya membayar premium lebih kurang RM226,000 sahaja.  Jumlah ini adalah terlalu rendah dari segi harga pasaran untuk 29 lot tanah komersial itu. Dalam kata lain, tanah komersial telah dianugerahkan kepada Syarikat Panglima Bangsa pada harga RM2.26 sekaki persegi sahaja.

Datuk Lee Kon Yin pernah membuat laporan kenyataan bahawa tanah ini adalah tanah milik syarikat swasta dan beliau  sendiri telah mendapatkan tanah lapang untuk rekreasi di Taman Ria, Pekan Baru Pusing dan Taman Pelangi dan 3 gelanggang bola keranjang di Pusing. Oleh itu penduduk pusing tidak perlu risau mereka tidak mempunyai tempat untuk rekreasi.  (Beliau telah menutup identiti beliau sebagai salah seorang pengarah dalam Syarikat Panglima Bangsa Sdn Bhd apabila membuat kenyataan itu).

Beliau begitu ghairah untuk membina lot kedai di tapak gelanggan bola keranjang di Pusing.  Sekarang tiba-tiba menjadi ‘budak baik’ mahu bina semula gelanggang bola keranjang di tapak yang sama. Apa niatnya? Persoalannya ialah bagaimanakah tanah milik syarikat swasta itu menjadi milik kerajaan sekali lagi?

1)      Adakah kerajaan telah membeli semula tanah itu daripada syarikat swasta untuk membina gelanggang bola keranjang?

2)      Jika ya, berapakah jumlah wang yang telah dibayar oleh kerajaan untuk membeli semula tanah tersebut?

3)      Jika tidak, apakah bentuk pampasan yang diberikan oleh kerajaan kepada syarikat swasta yang membeli tanah itu daripada Syarikat Panglima Bangsa Sdn Bhd?





Warga Emas Di Bemban Perlu Bantuan Kebajikan


Kenyataan Media YB V.Sivakumar, Timbalan Pengerusi DAP Perak, ADUN Kawasan Tronoh pada 2 Ogos 2012 di Kampung Baru Bemban, Batu Gajah. 


Warga Emas  Di Bemban Perlu Bantuan Kebajikan

Seorang warga emas yang bernama See Ah Ngoo (63) amat memerlukan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat. Suami beliau telah meninggal dunia 4 tahun yang lalu. Beliau tidak mendapat bantuan daripada anak-anaknya yang telah mendirikan rumahtangga dan berada jauh. Wanita ini tinggal di sebuah rumah papan di Kampung Baru Bemban, Batu Gajah.

Rumahnya berada dalam keadaan usang dan tidak mempunyai perkakas yang lengkap untuk menyara hidup. Beliau juga tidak mempunyai sebarang sumber pendapatan. Bantuan daripada jiran-jiran dan pihak-pihak tertentu sangat diharapkan oleh warga emas ini untuk kehidupan sehariannya.  Adakalanya beliau terpaksa kelaparan jika makanan dirumahnya habis . 

Tambahan pula, kakinya telah bengkok lebih kurang 10 tahun yang lalu. Beliau telah mendapatkan pelbagai rawatan tetapi tidak ada apa-apa hasil untuk mengubatinya. Beliau tidak boleh berdiri lama, oleh yang demikian beliau tidak sanggup  bekerja untuk menampung hidupnya.

Warga emas ini sungguh berharap untuk mendapatkan bantuan daripada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat. Pihak Jabatan harus memandang serius tentang kes ini dan bertindak segera untuk menyelesaikan keperitan hidup wanita tersebut. 

Saya telah membuat lawatan ke rumah beliau bersama-sama dengan Pengerusi DAP Cawangan Bemban, Sdr Lim Yoke See, Pengerusi DAP Pusing Sdr Chan Chin Fah dan ahli-ahli DAP yang lain.

Khamis, 2 Ogos 2012

Adakah 60% kaum India menyokong BN?


Rumah Hilang Di Kg Meru Tin


62 buah rumah hilang di Kg. Meru Tin
40 buah rumah tidak diterima oleh penduduk India



Penternak Ikan Kampung Bali Tertipu

Kenyataan Media YB V.Sivakumar, Timbalan Pengerusi DAP Perak, ADUN Kawasan Tronoh 
pada 1 Ogos 2012 di Kampung Bali, Tronoh.

Penternak Ikan Kampung Bali Tertipu

Penternak-penternak ikan kui di Kampung Bali, Tronoh berasa kecewa dan tertipu dengan kerajaan Negeri Perak. Mereka telah dijanjikan tanah tetapi akhirnya hasrat mereka dihampakan oleh Barisan Nasional. Pada tahun 2007, mantan Menteri Besar Perak  Dato' Seri Diraja Tajol Rosli telah menjanjikan 2 ekar tanah untuk setiap pengusaha ikan kui di Kampung Bali. Janji itu tidak dikotakan oleh Barisan Nasional. Apabila Pakatan Rakyat mengambil alih kerajaan pada tahun 2008, segala usaha telah diambil untuk memberi geran tanah kepada penternak-penternak ini secara insitu dan mengikut keluasan yang diusahakan oleh penternak masing-masing. Kesemua 39 orang penternak telah bersetuju dengan cadangan kerajaan Pakatan Rakyat itu. Tetapi, sebelum Pakatan Rakyat melaksanakan pemberian geran kepada penternak-penternak ikan ini, Barisan Nasional telah merampas kuasa di Perak. 

Kejatuhan Pakatan Rakyat di Perak merupakan satu malapetaka kepada penternak-penternak ikan kui ini.  Jika kerajaan Pakatan Rakyat terus memerintah negeri Perak sudah tentu penternak-penternak ini memiliki gerak tanah yang mereka usahakan. Nasib mereka tidak baik kerana rejim Barisan Nasional yang merampas kuasa kerajaan tidak prihatin terhadap kebajikan mereka. Mereka tidak diberi geran sehingga hari ini walaupun janji telah dibuat oleh Barisan Nasional sebelum PRU12. Ini merupakan satu lagi janji pilihanraya  Barisan Nasional yang tidak ditepati. 

Pemberian geran tanah kepada penternak-penternak ini adalah penting kerana mereka akan menggiatkan lagi usaha mereka. Mereka akan melabur lagi dan membawa teknologi baru untuk meningkatkan hasil usaha mereka. Segala usaha mereka terbantut kerana tanah kolam-kolam itu bukan milik mereka. Jika kerajaan memberikan geran tanah itu kepada pengusaha-pegusaha ini, produktiviti  dari segi kualiti dan kuantiti ikan kui yang dihasilkan akan bertambah. Tetapi, kerajaan Barisan Nasional langsung tidak mempedulikan penternak-penternak ikan ini. Segala usaha mereka disia-siakan oleh kerajaan sehingga hari ini.

Ikan kui yang dihasilkan dari Kampung Bali adalah berkualiti tinggi. Kebanyakan daripada hasilnya diekspot ke negara lain terutamanya Singapura. Jika kerajaan memberi geran tanah  kepada pengusaha-pengusaha ini serta menghalalkan aktiviti penternakan tersebut, maka  kedua-dua pihak akan menikmati keuntungan daripada pertumbuhan  sektor ekonomi ini. Malangnya kerajaan Barisan Nasional kurang arif dalam menangani masalah yang dibangkitkan. Apa guna ada pakar-pakar ekonomi dalam Barisan Nasional jika masalah kecil seperti ini pun tidak dapat diselesaikan dengan bijaksana oleh mereka.

MCA yang kononnya membela masyarakat Cina juga tidak berani membuka mulut dan menuntut keadilan daripada kerajaan Barisan Nasional Perak. MCA berdiam diri sehingga hari ini kerana meraka tidak berani memperjuangkan hak penternak-penternak ini. Terbukti MCA menjadi boneka UMNO dan sanggup menggadai hak penternak-penternak ikan ini  semata-mata untuk menjaga kepentingan politik mereka.

Baru-baru ini ada pihak luar yang mengeluarkan notis guaman kepada beberapa orang penternak tempatan menuntut  mereka keluar daripada tanah yang mereka usahakan. Pihak ketiga ini mendakwa bahawa mereka telah membeli tanah tersebut daripada orang lain. Ini adalah tidak adil kerana penternak-penternak yang mengusahakan tanah itu tidak diberi geran tetapi pihak ketiga dari luar pula berani menuntut tanah tersebut. Siapakah pihak ketiga ini kalau bukan orang-orang kaya dan mempunyai hubungan erat dengan Barisan Nasional? Penternak-penternak ikan kui sangat kecewa dengan kerajaan Barisan Nasional yang telah mempermainkan mereka selama ini.

Saya telah membawa penternak-penternak ikan itu ke Pejabat Tanah dan Daerah Kinta untuk mendapatkan maklumat terkini tentang status tanah kolam mereka. Mengikut Penolong Pegawai Daerah  Kinta, Batu Gajah, Puan Nordina, kerajaan negeri Perak telah meluluskan keseluruhan tanah yang mereka usahakan itu kepada Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Perak (SADC) pada tahun 2011. Ini adalah satu penganiyayaan  kepada penternak-penternak ini. Sekarang, pemilik sah untuk tanah kolam ini ialah SADC dan bukannya pengusaha-pengusaha ikan kui. SADC akan menentukan nasib penternak-penternak ini pada masa hadapan. 

Inilah perbezaan yang paling nyata antara Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional. Pakatan Rakyat mahu merakyatkan ekonomi negeri dengan memberikan geran tanah kepada penterternak-penternak. Manakala, Barisan Nasional pula memberikan tanah itu kepada SADC untuk makan keringat penternak-penternak itu. Barisan Nasional mahu rakyat menjadi hamba kepada mereka untuk selama-lamanya.

Rabu, 1 Ogos 2012

'Janji Dimungkiri - 39 Penternak Ikan Kecewa'


Kenyataan Media YB V.Sivakumar,
Timbalan Pengerusi DAP Perak, ADUN Kawasan Tronoh pada 28/7/2012 di Kampung Baru Bali, Tronoh.


Janji Dimungkiri – 
39 Penternak Ikan Kecewa








Penternak-pentenak ikan kui di Kampung Bali, Tronoh sangat kecewa dengan kerajaan Negeri Perak yang tidak prihatin terhadap mereka. Seramai 39 orang pengusaha ikan kui rasa tertipu dengan janji kosong yang diberikan oleh Barisan Nasional selama ini. Datuk Seri Diraja Tajol Rosli, mantan Menteri Besar Perak pernah melawat tapak  pernternakan ikan kui  yang diusahakan secara giat di Kampung Bali, Tronoh. Beliau telah membuat lawatan itu pada tahun 2007 iaitu setahun sebelum PRU12. Beliau telah menjanjikan pemberian tapak tanah seluas 2 ekar  kepada setiap pengusaha. Kerajaan Barisan Nasional tidak menunaikan janji yang diberikan oleh Menteri Besar ketika itu.

Selepas Pakatan Rakyat mengambil alih tapuk pemerintahan Negeri Perak , Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri bercadang untuk memberikan tapak tanah secara insitu mengikut keluasan yang diusahakan olen penternak-penternak itu. Perbincangan telah diadakan beberapa kali diantara penternak-penternak ikan dan pihak pentadbir tanah untuk menyelesaikan hal ini. Kata sepakat telah dicapai untuk pemberian tanah secara insitu dan mengikut keluasan yang diusahakan.

Walau bagaimanapun, sebelum kerajaan Pakatan Rakyat meluluskan pemberian tanah itu di Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Barisan Nasional telah merampas kuasa pemerintahan di Perak pada tahun 2009. Tindakan rampasan kuasa itu merugikan penternak-penternak ikan kui di kampung Bali, Tronoh. Mereka tidak diberi geran sehingga hari ini. Penternak-penternak ikan kui terpaksa mengusahakan tanah itu secara haram kerana Barisan Nasional gagal menyelesaikan masalah mereka. Nasib mereka juga tidak dibela oleh MCA yang terus membisu mengenai isu tanah ini.

Baru-baru ini terdapat anasir-anasir luar yang cuba mengganggu kerja-kerja mereka. Pihak ketiga ini mendakwa mereka adalah pemilik tanah yang sah. Bagaimana perkara ini boleh berlaku? Penternak-penternak tempatan tidak diberi tanah tetapi diberikan kepada orang-orang lain dari luar yang langsung tidak mempunyai kepentingan di atas tanah ini. Ini adalah satu lagi bukti bagaimana pihak-pihak tertentu menyalahgunakan kuasa mereka untuk membolot kekayaan negeri tanpa belas kasihan kepada pengusaha-pengusaha asal. Tindakan kerajaan memberi tanah kepada pihak ketiga ini adalah satu bentuk penganiyayaan terhadap penternak-penternak yang mengusahakan tanah ini selama 3 generasi.

Barisan Nasional telah menipu penternak-penternak ini.  Harapkan pagar, pagar makan padi. Pemimpin-pemimpin Barisan Nasional harus berasa malu dengan slogan hari kemerdekaan  ‘Janji Ditepati’.  Janji yang diberikan oleh kerajaan Barisan Nasional Perak kepada penternak-penternak ikan kui ini adalah  seperti janji  ‘di atas angin’.

Pakatan Rakyat menjanjikan pemberian tapak tanah  kepada 39 orang penternak ikan kui ini seperti yang dicadangkan pada tahun 2008 apabila berkuasa semula di Negeri Perak selepas PRU13.

'Ceramah Perdana Tamil di Batu Gajah'


'Penternak Ikan di Kg Bali kecewa dengan BN'