Jumaat, 16 Mac 2012

Jalan Lahat Tutup Satu Tahun, Jambatan Terbengkalai Lima Bulan


Kenyataan Media YB V.Sivakumar, Timbalan Pengerusi DAP Perak, ADUN Kawasan Tronoh pada 16/3/2012 di Jalan Lahad Ipoh.

Jalan Lahat Tutup Satu Tahun,  Jambatan Terbengkalai Lima Bulan

Jambatan Sungai Guntong di Jalan Lahat telah ditutup untuk kerja-kerja naik taraf pada bulan Jun 2011. Kerja-kerja naik taraf jambatan ini perlu kerana kawasan ini sentiasa menghadapi masalah banjir kilat apabila berlaku hujan lebat. Penduduk kawasan ini termasuk pengilang-pengilang sentiasa terdedah kepada bahaya banjir. Banyak kerugian yang dialami oleh penduduk kawasan ini akibat banjir yang sering dialami. Oleh itu, selepas perkara ini dibangkitkan beberapa kali akhirnya kerajaan telah bersetuju untuk memperbesarkan sungai dan menaik taraf jambatan di situ.

Walaupun projek naik taraf jambatan itu telah dimulakan pada bulan Jun 2011, tetapi banyak lagi kerja belum diselesaikan. Papan tanda menunjukkan bahawa projek ini akan diselesaikan pada bulan Jun 2012. Tambahan pula projek ini terbengkalai selama 5 bulan. Tidak ada apa-apa kerja yang sedang dijalankan oleh pihak kontraktor di jambatan ini. Jika projek telah dihentikan separuh jalan maka ini akan menimbulkan pelbagai masalah kepada penduduk kawasan ini.

Penutupan Jalan Lahat yang menuju ke Mengelembu ini memyebabkan gangguan lalulintas kepada semua orang yang menggunakan jalan tersebut. Penduduk-penduduk yang mahu pergi ke Pekan Menglembu, Pasar Borong, Lahat, Bukit Merah dan Batu Gajah terpaksa mengambil satu pusingan yang besar. Ini amat menyulitkan, memakan masa dan kos petrol meningkat kepada penduduk dan pengguna jalan ini. 

Kerajaan membiarkan projek ini terbengkalai selama lebih 5 bulan tanpa memberi sebarang alasan kepada orang ramai. Kesulitan yang dihadapi oleh rakyat tidak dipedulikan. Apabila perkara ini ditanyakan kepada Datuk Bandar Ipoh, beliau memberitahu bahawa terdapat banyak kabel-kabel  TNB dan Telekom di bawah tanah yang perlu diselenggarakan dahulu. Kenapa perkara ini tidak diselidik dan dikaji sebelum projek dimulakan? Kenapa selepas mengorek jambatan baru mengetahui ada terdapat banyak kabel di situ? Alasan ini adalah sangat kebudak-budakan dan membuktikan ketidak cekapan pihak kerajaan menguruskan perkara-perkara teknikal seperti ini. Kenapa nasihat daripada Jurutera Daerah tidak diperolehi sebelum memulakan kerja-kerja naik taraf? Apabila tersangkut, projek dibiarkan tergendala begitu sahaja untuk sekian lama. Pihak yang menjadi mangsa ialah penduduk, peniaga dan pengilang di kawasan ini.

Jika  projek ini dimulakan sekarang pun mungkin akan mengambil masa sehingga hujung tahun untuk menyiapkan kerja-kerja naik taraf itu. Tetapi, setakat ini tidak nampak apa-apa usaha daripada pihak kerajaan mahupun kontraktor untuk memulakan kerja dalam tempoh terdekat. Oleh yang demikian, orang ramai di kawasan itu telah  mengambil keputusan untuk membantah kelewatan pembinaan jambatan itu. Mereka mendesak supaya Datuk Bandar Ipoh memberi penjelasan kenapa projek ini berhenti dan tidak dimulakan dengan segera.Bersama-sama penduduk kawasan yang membantah ialah V.Sivakumar (ADUN Tronoh), Lim Pek Har (ADUN Menglembu),  Yee Sue Kai (ADUN Pokok Assam) dan The Hock Ke (Setiausaha Organisasi DAP Perak).

Soalan-soalan Dewan Negeri Perak


Soalan-soalan Dewan Negeri Perak
Disediakan oleh YB V. Sivakumar, ADUN kawasan Tronoh.
Persidangan Dewan Negeri : 3 April 2012.
Soalan-soalan lesan:-
1)   Berapakah jumlah tanah pertanian yang diluluskan oleh kerajaan di DUN Tronoh sepanjang tahun 2009, 2010 dan 2011. Nyatakan jumlah luas ikut kawasan yang diluluskan itu.

2)   Projek Batu Gajah Sentral yang sedang dalam pembinaan membawa banyak masalah kepada penduduk kawasan ini. Jalan Pusing, Batu Gajah selalu berlumpur pada hari hujan dan berdebu pada waktu panas. Air Sungai Resam juga keruh dan berlumpur terutamanya selepas  hujan. Banjir juga kerap berlaku di kawasan ini baru-baru ini. Apakah langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan untuk mengatasi masalah yang dihadapi penduduk Batu Gajah akibat projek ini?

3)   Penduduk kampung Baru Bemban menghadapi banyak masalah penyelenggraan di kampung tersebut. Rumput tidak dipotong mengikut masa. Longkang-longkang terlalu kotor dan tidak dibersihkan. Semua ini menimbulkan masalah kesihatan di kawasan ini. Baru-baru ini terdapat beberapa kes denggi dilaporkan di kampung Baru Bemban. Apakah langkah-langkah yang akan diambil oleh pihak kerajaan untuk mengatasi masalah yang dihadapi oleh penduduk kampung Baru Bemban, Batu Gajah?


Soalan-soalan bertulis :-
4)   Senaraikan kawasan-kawasan setinggan di DUN Tronoh, DUN Meglembu dan DUN Jelapang. Bilakah dijangka masalah  setinggan kawasan-kawasan ini akan diselesaikan oleh kerajaan.

5)   Masalah Tanah SJKT Gunung Rapat :-
a)      Adakah Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak telah meluluskan tapak tanah baru untuk sekolah tersebut?
b)      Dimanakah tapak tanah yang dicadangkan / diluluskan untuk membina sekolah itu?
c)       Berapakah keluasan tanah yang dicadangkan / diluluskan untuk membina sekolah itu?
6)   Majlis Daerah, Batu Gajah telah memulakan kerja-kerja untuk menyiapkan padang bola di tanah rezab, Desa  Changkat Batu Gajah. Tetapi, kerja-kerja telah dihentikan selepas beberapa hari :-
i)        Kenapakah  Majlis Daerah Batu Gajah tidak meneruskan projek ini?
ii)       Bilakah padang bola ini dijanka akan siap?

7)   Pejabat Tanah & Daerah Kinta telah memberi permit keluar pasir di Jalan Bota Tronoh, ( belakang Universiti Teknologi Petronas ) di zon industri.
i)        Apakah syarat-syarat yang dikenakan kepada pengusaha yang mengeluarkan pasir di kawasan itu?
ii)       Ke manakah pasir yang dikeluarkan di Tronoh itu telah dibawa?
iii)     Adakah jumlah pasir yang dikeluarkan di Tronoh itu sama dengan jumlah pasir yang sampai ke kawasan yang diluluskan untuk satu projek perumahan kerajaan?

8)   Projek Pembinaan Logi Pembuangan Sisa Pepejal di Papan.
I)        Adakah peternak-peternak dan petani-petani di kawasan ini akan diberi pampasan wang untuk mereka menghentikan aktiviti pertanian mereka?
II)      Dimanakah tapak baru yang dicadangkan oleh kerajaan sebagai tapak ganti untuk petani-petani dan peternak-peternak itu?
III)    Nyatakan secara terperinci bagaimana cadagan projek pembinaan logi pembuangan sisa pepejal itu tidak akan menimbulkan masalah bau dan kesihatan kepada penduduk-penduduk sekitar.

Khamis, 15 Mac 2012

Kes Ragut Rantai Di Taman Saujana, Batu Gajah


Kenyataan Media YB V.Sivakumar, Timbalan Pengerusi DAP Perak, ADUN kawasan Tronoh pada 25/3/2012 di Taman Saujana, Batu Gajah.

Kes Ragut Rantai Di Taman Saujana

Lebih kurang jam 3.40pm pada 15/3/2012, satu kes ragut rantai telah berlaku di Taman Saujana, Batu Gajah.  Mangsa,  Janaki a/p Kannan Nair merupakan seorang  warga emas yang berumur 60 tahun. Suaminya yang uzur berada di Ipoh Specialist Hospital selama 7 hari yang lepas. Puan Janaki telah pergi ke hospital untuk melawat suaminya dengan menaiki bas di Batu Gajah.  Apabila kembali dari hospital, sewaktu memasuki ke dalam rumahnya di Taman Saujana, ada seorang lelaki berbangsa India yang tidak dikenali olehnya  bertanya “adakah ini rumah Muthu, dia ada telefon saya tadi”. Puan Janaki menjawab “tidak ini bukan rumah Muthu” dan dengan serta-merta mahu menutup pintu masuk (gate). Tetapi, sebelum beliau berbuat demikian lelaki itu mengeluarkan sebilah pisau  dan mengugut menikamnya dan meragut rantai yang dipakainya. 

Setelah meragut rantai ‘American Gold’ yang bernilai RM630, lelaki itu melarikan diri dengan kawannya yang menunggu dengan sebuah  motosikal.  Apabila Puan Janaki menjerit meminta tolong, seorang  jiran wanita  yang berada  berhampiran telah mengejar motosikal itu. Tetapi, kedua-dua lelaki itu telah bejaya melarikan diri. 


Saya telah melawat keluarga itu dengan serta merta. Kami juga telah menghubungi pihak polis berhubung dengan kes ragut ini. Polis Batu Gajah telah datang melihat keadaan ketika itu. Walaupun tidak ada sebarang kecederaan atau luka akibat ragut ini, tetapi  Puan Janaki berada dalam keadaan terkejut dan  ketakutan.
Kes-kes jenayah seperti ini menjadi semakin berleluasa di kawasan Batu Gajah. Saya ingin mengadakan satu perjumpaan dengan OCPD Batu Gajah untuk berbincang mengenai perkara ini secepat yang mungkin. Tindakan segera perlu diambil oleh pihak polis untuk mebendung kes-kes jenayah yang semakin meningkat di kawasan ini. Keselamatan orang ramai terancam kerana  anasir-anasir luar yang semakin berpengaruh di kawasan Batu Gajah.

Selasa, 13 Mac 2012

Bangunan Baru SJKT Kota Bahru, Gopeng : Satu Lagi Janji Kosong Barisan Nasional


Kenyataan Media YB V.Sivakumar , Timbalan Pengerusi DAP Perak, ADUN Kawasan Tronoh pada 13/3/2012 di Ipoh


SJKT Kota Bahru di  Gopeng masih tidak mendapat bangunan baru setelah menungggu lebih kurang 5 tahun untuk mendapatkan peruntukan daripada kerajaan Persekutuan. Sekolah ini beusia lebih kurang 70 tahun. Terdapat 36 orang murid dan 6 orang guru termasuk seorang guru besar yang berkhidmat di sekolah ini.  Jumlah murid semakin berkurangan kerana penduduk-penduduk di Ladang Kota Bahru sudah berpindah keluar ke tempat-tempat yang lain.  Oleh kerana sekolah ini terletak di dalam kawasan ladang yang agak jauh dari pekan, maka ini menjadi satu faktor untuk kekurangan dalam jumlah kemasukan murid-murid baru tahun demi tahun.

Seorang dermawan telah memberikan 2 ekar tanah kepada sekolah ini lebih kurang 5 tahun yang lalu untuk membina bangunan baru  bagi SJKT Kota Bahru. Tanah yang diberikan oleh beliau adalah stategik dan lebih sesuai untuk penduduk Gopeng dan sekitarnya. Jika satu bangunan baru sekolah dibina di tapak itu, maka peluang untuk meningkatkan pendaftaran murid-murid baru akan bertambah cerah. 

Setakat ini, bangunan baru untuk sekolah  SJKT Kota Bahru masih belum naik di tapak baru diberikan. Datuk Seri S.Samy Velu telah membuat upacara pecah tanah lebih kurang 4 tahun yang lalu. Kerajaan juga pernah menjanjikan memberi  wang peruntukan untuk membina bangunan baru bagi sekolah itu. Dimanakah wang peruntukan yang dijanjikan itu?

Saya tidak tahu kena perkara ini dilambat-lambatkan. Kerajaan harus menunaikan janji secepat yang mungkin. Bangunan baru untuk SJKT Kota Bahru harus dibina tanpa melengah-lengahkan masa lagi. Saya telah menulis surat kepada Menteri Pelajaran Malaysia meminta beliau untuk  memberikan penjelasan kenapa pembinaan sekolah ini diabaikan setelah janji dibuat sebelum ini.

Sabtu, 10 Mac 2012

Yang Kaya Semakin Kaya, Yang Miskin Semakin Miskin

Kenyataan Media YB V.Sivakumar, Timbalan Pengerusi DAP Perak, ADUN Kawasan Tronoh pada 10/3/2012 di Ipoh
Yang Kaya Semakin Kaya, Yang Miskin Semakin Miskin



Kekayaan negara kita dibolot oleh golongan kaya. Manakala golongan miskin pula semakin hari semakin miskin. Jurang pendapatan diantara dua golongan ini menjadi semakin luas. Ini adalah kerana polisi-polisi kerajaan Barisan Nasional yang terlalu memihak kepada golongan bangsawan yang merupakan kroni-kroni mereka. Golongan miskin pula ditindas dan dikerah untuk pembangunan negara.  Ini juga dibuat untuk membantu golangan kaya raya yang menjadi usahawan-usahawan yang memberi pekerjaan kepada golongan miskin ini. Dasar diskriminasi adalah jelas  kerana kerajaan tidak sanggup melaksanakan  gaji minima RM1100 sebulan.  Jika dasar ini dilaksanakan golongan pekerja akan menikmati sedikit sebanyak manfaat dan meringankan beban hidup mereka. Dalam keadaan tekanan inflasi, gaji minima RM1100 dapat membantu golongan miskin ini. Tetapi, kerajaan tidak mempunyai hasrat untuk membantu golongan miskin ini semata-mata untuk membantu golongan bangsawan yang mempunyai pengaruh yang besar dalam ekonomi negara ini. 

Golongan terkaya di negara ini mengawal sebahagian besar ekonomi negara. Data menunjukkan bahawa 38.4% pendapatan ekonomi negara dikuasai oleh 10% golongan terkaya di negara ini. Manakala 10% golongan termiskin pula hanya menguasai 1.7% pendapatan ekonomi di negara kita. Oleh yang demikian, tidaklah menjadi salah kalau dikatakan dasar kerajaan Barisan Nasional adalah terlalu memihak kepada golongan bangsawan dan mengabaikan golongan miskin. Adakah pemberian RM500 kepada golongan miskin dan sederhana akan mengubah kedudukan statistik ini? Pemberian Bantuan Rakyat Satu Malaysia ini adalah semata-mata untuk mengkaburkan mata rakyat daripada melihat statistik kedudukan ekonomi rakyat yang sebenar. Barisan Nasional cuba meberi ‘ketulan-ketulan tulang’ kepada golongan miskin. Manakala golongan kaya pula  membolot ‘daging-daging yang berisi.’ Ini dibuktikan dengan data 38.4% pendapatan ekonomi yang dikongsi bersama  oleh 10% golongan paling kaya di negara ini. 

Barisan Nasional tidak berminat untuk mengagihkan kekayaan negara. Tun Mahathir berkata jika kerajaan melaksanakan dasar gaji minima RM1100, negara kita akan menjadi bankrap. Tetapi, beliau tidak nampak anak-anaknya yang mendapat projek berjuta-juta ringgit. Negara tidak menjadi bankrap apabila kekayaan  negara dibolot  oleh anak-anak Tun Mahathir, pemimpin-pemimpin Barisan Nasional dan kroni-kroninya. Negara tidak menjadi bankrap apabila Rosmah membeli cincin berjumlah RM24 juta. Negara tidak menjadi bankrap apabila keluarga Sharizat gasak RM250 juta di bawah projek lembunya. Negara tidak menjadi bankrap apabila Najib dan menteri-menteri Kabinet boros membelanjakan berjuta-juta ringgit melalui program-program tidak berfaedah untuk mempromosikan diri mereka. Negara juga tidak menjadi bankrap walaupun RM1027 billion wang rakyat berada di luar negara sebagai wang panas. Negara tidak menjadi bankrap apabila pemimpin-pemimpin Barisan Nasional seperi Khir Toyo terlibat dalam skandal rasuah berjuta-juta ringgit. Pendirian Tun Mahathir jelas membuktikan bahawa kerajaan Barisan Nasional sanggup melakukan apa sahaja untuk golongan bangsawan yang kaya raya tetapi tidak berniat  membantu golongan miskin yang amat memerlukan. 

Pakatan Rakyat berjanji  untuk mengurangan jurang pendapatan diantara golongan miskin dan golongan kaya. Satu daripada polisi yang akan dilaksanakan di bawah program ini ialah gaji minima RM1100. Gaji minima ini adalah penting untuk meningkatkan taraf sosio-ekonomi golongan miskin terutamanya dalam keadaan ekonomi negara dilanda inflasi.