Selasa, 9 November 2010

JKR Lebarkan Jalan Bota, Tronoh


Kenyataan Media YB V.Sivakumar di Tronoh, 9 November 2010

JKR Melebarkan Jalan Bota


Jalan Bota merupakan jalan lama yang menghubungkan pekan Tronoh dengan Jalan Besar Ipoh-Lumut. Jalan ini agak sempit dan membawa banyak kesulitan kepada pengguna jalanraya. Tambahan pula terdapat 3 buah sekolah iaitu SK Tronoh, SJK(T) Tronoh dan SJK(C ) Chung San di sepanjang jalan itu. Keadaan jalan menjadi sesak sebelum dan selepas waktu sekolah.


Selain daripada itu, penduduk Tronoh Mines dan sekitarnya juga menggunakan jalan ini untuk keluar masuk Pekan Tronoh dan Pasar Awam tronoh. Terlalu banyak kenderaan dalam jalan yang sempit mengancam keselamatan pengguna jalan terutamanya murid-murid sekolah yang berjalan kaki dan berbasikal. Saya telah menerima banyak aduan daripada penduduk tempatan dan ibu bapa kerana sering kali berlaku kemalangan jalanraya di tempat itu.


Saya telah memohon kepada pihak JKR Perak untuk mengambil langkah melebarkan Jalan Bota ini. Saya juga pernah berunding dengan pegawai-pegawai JKR berhubung dengan isu ini. Selain daripada itu, saya juga pernah membawa pegawai-pegawai JKR ke tempat itu untuk membuktikan keperluan melebarkan jalan tersebut.


Selain daripada itu, saya juga telah mengemukan satu soalan bertulis dalam Persidangan Dewan Negeri Perak pada 3 Ogos 2010 yang menanyakan samada JKR Perak mempunyai niat untuk melebarkan Jalan Bota untuk kepentingan umum. Dewan Negeri telah menjawab soalan saya secara bertulis bahawa JKR mempunyai cadangan untuk melebarkan jalan itu dan dijangka akan dimulakan pada bulan September 2010.


Walau bagaimanapun, JKR telah memulakan kerja-kerja melebarkan Jalan Bota pada hujung Oktober 2010. Projek ini akan mengurangkan sedikit sebanyak masalah kemalangan jalanraya di kawasan itu. Penduduk Tronoh mengucapkan terima kasih kepada pihak JKR kerana prihatin menyelesaikan masalah yang tidak terselesai untuk sekian lama.