Selasa, 23 Februari 2010

Mahkamah Persekutuan Menjolok Sarang Tebuan



Keputusan Mahkamah Persekutuan pada 9 Februari 2010 telah mengubah haluan dan corak pemerintahan negara. Perlembagaan dan undang-undang negara semakin hari semakin pudar. Rakyat Malaysia telah dirimas dan berada dalam keadaan dilema. Undang-undang negara sudah tidak mengikut tetapan-tetapan duluan yang menjadi asas dalam sistem perundangan ‘comman law’.

Mahkamah mula meringkuk dan menzahirkan undang-undang baru mengikut citarasa pihak eksekutif. Martabat institusi kehakiman negara terkikis dan menghampakan. Ini merupakan satu perkembangan yang memalukan negara di arena antarabangsa. Tercalar arang di atas muka pihak-pihak yang memperalatkan sistem pengadilan di Malaysia untuk tujuan politik. Kini negara kita menjadi bahan ketawa dikalangan pengamal undang-undang di merata dunia. Pemikir-pemikir politik dan undang-undang tempatan juga mengkritik keputusan itu sebagai sesuatu yang mustahil dipraktikkan dalam konteks negara demokrasi Raja Berperlembagaan. Negara-negara dunia ketiga pun mungkin mempunyai sistem keadilan yang lebih kacak lagi.

Keputusan Mahkamah Persekutuan mengenai isu siapakah Menteri Besar Perak yang sah telah meletakkan pelbagai pihak dalam kedudukan yang merungsingkan. Sudah tentu seorang pensyarah undang-undang tidak boleh menjawab soalan yang dibangkitkan oleh pelajar tahun pertama mengenai doktrin pengasingan kuasa dan kedudukan seorang Menteri Besar berdasarkan perlembagaan. Keputusan Mahkamah Persekutuan telah mengubah status atau kedudukan kerajaan dalam sistem demokrasi dari sisi perundangan. Keputusan tersebut adalah amat ganjil dan mengelirukan. Kelukaan pada undang-undang ini akan menjadi kudis dan bernanah tidak lama lagi.

Perkara ini tidak boleh dipandang remeh. Keputusan Mahkamah tersebut akan memberi kesan yang negatif pada masa akan datang. Adalah tidak logik dan tidak berasas jika seseorang Menteri Besar boleh disingkirkan di luar tanpa undi tidak percaya di Dewan Undangan Negeri. Bolehkah seorang pengerusi persatuan atau pengarah badan korporat disingkirkan daripada jawatannya di luar mesyuarat agung atau mesyuarat tergempar? Sudah semestinya undang-undang tidak mengizinkan perlucutan jawatan tersebut di forum lain kecuali dalam mesyuarat rasmi yang telah diatur dan diberi notis kepada semua ahli. Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa jawatan Menteri Besar boleh dilucutkan di mana-mana sahaja tanpa undi tidak percaya terhadapnya. Adakah ini bermakna jawatan Menteri Besar itu lebih rendah tarafnya daripada pengerusi persatuan atau pengarah badan korporat?

Amalan baru yang diiktiraf oleh Mahkamah Persekutuan adalah sesuatu yang tidak masuk akal. Keputusan gedempong ini telah membuat satu ‘duluan’ yang tidak sihat. Ini juga bermakna di peringkat pusat seseorang Perdana Menteri boleh dipecat daripada jawatannya tanpa melalui undi tidak percaya. Perkara ini bukan sahaja akan mencemarkan demokrasi malah mengugat kestabilan negara.

Seseorang Perdana Menteri atau Menteri Besar terpaksa berada dalam keadaan ketakutan kerana jawatannya akan dirampas oleh orang lain bila-bila masa. Undang-undang ini juga akan memberi ruang yang cukup besar untuk permainan politik kotor dan amalan rasuah yang berleluasa. Ahli-ahli Dewan Negeri dan Ahli-ahli Parlimen akan mencari pengaruh majoriti di luar Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri. Ini boleh mengakibatkan sesebuah kerajaan itu tumbang dalam sekelip mata. Dalam kesibukan Perdana Menteri atau Menteri Besar menguruskan pentadbiran, pihak lain pula boleh mengambil kesempatan untuk mengatur langkah secara licik bagi menjatuhkannya. Keputusan Mahkamah Persekutuan ini merupakan mukadimah kearah politik rakus kuasa yang semakin menjunam. Mahkamah akan dianggap sebagai biang keladi oleh generasi akan datang kerana membuat keputusan yang tidak berlandaskan prinsip-prinsip demokrasi yang tulen.

Prinsip demokrasi perlu dipatuhi dan ditegakkan pada setiap masa. Persoalannya, kenapa Mahkamah perlu membuat satu keputusan yang janggal seperti ini? Setiap rakyat Malaysia yakin kepada amalan yang dipraktik selama ini iaitu melalui undi secara formal di Dewan Undangan Negeri bagi menentukan siapakah Menteri Besar yang mengetuai sesebuah kerajaan. Kenapakah amalan ini perlu diubah oleh Mahkamah? Adakan cara atau kaedah undi yang dibuat di Dewan Negeri mempunyai apa-apa kelemahan atau tidak munasabah? Amalan ini tidak perlu diubah sewenang-wenangnya. Malah, amalan undi di Dewan Undangan Negeri ini seharusnya dijadikan sebagai kata pemutus yang muktamad.

Mahkamah telah telanjur dan melemahkan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri. Mahkamah membenarkan kiraan undi majoriti di luar badan legislatif. Ini adalah proses yang tidak telus dan boleh menimbulkan waham dan pelbagai persoalan yang kontroversi.Perilaku mahkamah ini boleh disifatkan sebagai anak badak dihambat-hambat. Pengundian yang dibuat oleh wakil-wakil rakyat di Parlimen atau Dewan Undangan Negeri di hadapan Speaker mungkin berlainan dengan keputusan yang diperolehi di luar Dewan. Pelbagai faktor dan pengaruh yang tidak berpatutan di luar Dewan boleh mengakibatkan keputusan yang berbeza. Pihak mahkamah telah gagal melihat unsur paksaan, ugutan, tekanan, rasuah dan ketelusan apabila membuat keputusan di luar Dewan. Bagaimanakah mahkamah akan menjamin rakyat bahawa keputusan itu adalah keputusan wakil-wakil rakyat tanpa membuktikannya di Dewan Negeri? Semua persoalan-persoalan yang ditimbulkan ini membuktikan bahawa Mahkamah Persekutuan gagal mengkopek secara halus undang-undang tertinggi negara untuk kesejahteraan rakyat sejagat.

Perlu diingatkan bahawa lidah seorang hakim berada di antara dua bara api sehingga dia menuju ke syurga atau neraka.Dalam surat yang dikirim oleh Saidina Ali r.a. kepada Gabenor Mesir, Malik al-Ashtar, beliau mencoret pesanan penting:
Pastikan kamu berlaku adil kepada Allah, berlaku adil kepada manusia…jika kamu tidak melakukannya kamu telah melakukan kesalahan dan barang siapa yang menzalimi hamba Allah, dia bukan sahaja bermusuhan dengan manusia, bahkan bermusuhan dengan Allah…Sebaik-baik usaha sewaktu manjalankan urusan kamu ialah mengikut jalan pertengahan dalam kebenaran, paling sempurna dalam keadilan dan paling menyeluruh dalam mencapai kesejahteraan rakyat.

Keadilan merupakan salah satu perkara pokok yang didokong oleh semua agama di dunia. Keadilan bukan sahaja perlu dibuat, malah perlu nampak dibuat.