Jumaat, 7 Januari 2011

Masalah Geran Tanah Diselesaikan


Berjaya menyelesaikan masalah geran tanah untuk seorang pemilik tanah tapak rumah di Kampung Baru Bali, Tronoh. Permohonan tanah dibuat pada tahun 1976. Permohonan telah diluluskan pada tahun 1998 oleh Pejabat Daerah dan Tanah Kinta. Premium telah dibayar oleh pemohon. Tetapi, beliau tidak menerima geran tapak rumah sehingga bulan November 2010. Atas kesilapan teknikal, geran tidak dikeluarkan oleh Pejabat Daerah dan Tanah Kinta. Beliau telah berusaha untuk mendapatkan geran tanah melalui pihak MCA tetapi gagal. Akhirnya beliau dan isteri datang ke pejabat saya pada bulan November 2010. Mereka telah menceritakan masalah yang mereka hadapi,


Saya telah membawa mereka ke Pejabat Daerah dan Tanah Kinta, Batu Gajah. Fail dapat dikesan dan telah diproses. Kesilapan teknikal telah dibetulkan. Minggu lalu beliau telah menerima surat daripada Pejabat Daerah dan Tanah Kinta untuk membayar cukai tanah. Pada 6 Januari 2011 saya telah berjaya mendapatkan geran tanah untuk beliau.


Menurutnya, ini merupakan hadiah tahun baru yang paling istimewa bagi keluarganya selepas menunggu selama 30 tahun

Khamis, 6 Januari 2011

Kekuatan Pakatan Rakyat Yang Muhibah


Kenyataan Media YB V.Sivakumar ADUN Tronoh pada 5 Januari 2011

Kekuatan Pakatan Rakyat Yang Muhibah


Pakatan Rakyat terbentuk pada tahun 2008 selepas pilihanraya umum ke 12. Ia merupakan satu pakatan yang kuat diantara DAP, PAS dan PKR untuk menentang Barisan Nasional. Dalam sejarah Malaysia tidak pernah ada satu pakatan yang sebegitu kuat menentang Barisan Nasional. Selama lebih 50 tahun Barisan Nasional berjaya memerintah negara ini dengan kaedah ‘pecah dan perintah’ yang mudarat. Barisan Nasional tidak pernah mewujdkan perpaduan kaum yang sebenar di negara ini.


Barisan Nasional juga dianggotai oleh parti-parti yang kebanyakannya mewakili sesuatu kaum. Ini membuktikan Barisan Nasional tidak mempunyai hasrat untuk menyatupadukan kaum. Lebih-lebih lagi perasaan perkauman semakin menebal dikalangan pemimpin-pemimpin Barisan Nasional terutamanya UMNO. Sokongan rakyat mula gentas terhadap Barisan Nasional kerana permainan politik kotor dengan membakar api perkauman.


Lebih 50 tahun rakyat Malaysia dikongkong dengan ideologi perkauman. Baru-baru ini banyak isu-isu berbau perkauman sengaja diungkitkan oleh Barisan Nasional untuk memecah belah rakyat Malaysia. Idea 1Malaysia tidak akan kekal lama kerana tujuannya bukanlah murni dan ikhlas. Sandiwara 1Malaysia diwujudkan semata-mata untuk memenagi hati rakyat sebelum menghadapi pilihanraya umum ke 13.Ia juga akan luput seperti Bersih Cekap dan Amanah yang diutarakan oleh Tun Dr Mahathir dan Islam Hadari yang diwar-warkan oleh Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi.


Dalam masa yang sama, hubungan perkauman di kalangan komponen Pakatan Rakyat menjadi semakin erat. Mungkin juga tidak pernah dalam sejarah Malaysia hubungan perkauman yang begitu lazat dan erat. Pakatan Rakyat telah berjaya melintas halangan pertama dan halangan yang paling sukar iaitu masalah perkauman. Apabila hubungan antara kaum semakin pulih dan bertambah baik di negeri-negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat, maka ini menimbulkan rasa takut dan bimbang kepada Barisan Nasional. Mereka telah mengetahui bahawa Pakatan Rakyat berjaya menyatu padukan rakyat. Semangat anak Malaysia yang sebenar didokong penuh oleh Pakatan Rakyat. Itulah sebabnya konsep muhibah‘Ketuanan Rakyat’ diterima oleh semua lapisan masyarakat di negara ini.

Rabu, 5 Januari 2011

Apakah Jaminan Untuk Masyarakat India di bawah RMK-10


Kenyataan Media YB V.Sivakumar pada 4 Januari 2011


Apakah Jaminan Untuk Masyarakat India dibawah Rancangan Malaysia ke 10?


Masyarakat India di negara ini masih ketinggalan dalam pelbagai aspek pembangunan. Ini menyebabkan taraf hidup masyarakat India jauh ketinggalan. Pada asasnya masyarakat India adalah golongan yang setia kepada kerajaan. Tetapi, mereka ditindas oleh kerajaan Barisan Nasional sejak kemerdekaan. Ramai diantara mereka hidup dalam keadaan sengsara di bawah garis kemiskinan. Tidak ada satu program atau rancangan khas dibentuk untuk membantu golongan ini. Kerajaan Barisan Nasional telah membiarkan masyarakat India menderita sepanjang zaman.


Program-program pembangunan ekonomi masyarakat India juga hanya menguntungkan pemimpin-pemimpin MIC. Pelaburan yang dibuat dalam Maika Holdings merupakan satu contoh bagaimana wang masyarakat India dibolot oleh pemimpin-pemimpin MIC. Apabila isu ini dibangkitkan, mereka sengaja memekap dan tidak ada penjelasan yang munasabah. Jika sejumlah wang itu dilaburkan dalam amanah-amanah saham yang lain sudah tentu masyarakat India telah memperolehi keuntungan yang besar dalam tempoh jangka panjang. Kerajaan Barisan Nasional menindas masyarakat India manakala pemimpin-pemimpin MIC pula mengambil kesempatan untuk membolot keuntungan daripada warga miskin ini dengan menabur kata-kata manis. Masyarakat India telah disesah dari semua sudut oleh golongan bangsawan dan pemimpin-pemimpin politik Barisan Nasional. Akhirnya masyarakat India tertipu dan nasibnya tidak terbela sehingga kini.


Sekali lagi pihak MIC telah memulakan strategi tipu muslihat untuk memperbodohkan masyarakat India. Baru-baru ini Timbalan Menteri Dalam Jabatan Perdana Menteri Datuk SK Devamany dalam ucapan tahun baru memberi janji manis bahawa nasib kaum India akan terbela dalam Rancangan Malaysia ke Sepuluh. Adakah ini bermaksud bahawa beliau mengaku nasib masyarakat India tidak terbela di bawah Kerajaan Barisan Nasional dalam semua Rancangan-rancangan Malaysia sebelum ini? Dalam kata lain, Rancangan Malaysia Pertama hingga Rancangan Malaysia Kesembilan gagal member i perhatian terhadap masyarakat India di negara ini. Baru sekarang, beliau menaruh harapan bahawa kerajaan Barisan Nasional akan membantu masyarakat India dalam Rancangan Malaysia ke Sepuluh yang bermula pada tahun ini. Masyarakat India tidak akan tertipu lagi dengan gerlipan dusta pemimpin-pemimpin MIC seperti ini.


Adakah benar Rancangan Malaysia Ke Sepuluh akan membawa kemajuan sosio-ekonomi kepada masyarakat India di negara ini? Datuk SK Devamany harus membuktikan bagaimana kerajaan Barisan Nasional akan melaksanakan program-program pembangunan sosio-ekonomi masyarakat India. Senaraikan semua bantuan yang disediakan oleh kerajaan , jumlah wang yang telah diperuntukkan dan tempoh perlaksanaan projek-projek yang telah digariskan. Jangan cuba memperdayakan dan mengkaburi mata masyarakat India sekali lagi dengan konsep 1Malaysia.

Isnin, 3 Januari 2011

Program Mesra Rakyat Di Kampung Baru Chenderong


Kenyataan Media YB V.Sivakumar pada 3 Januari 2011


Program Mesra Rakyat Di Kampung Baru Chenderong


DAP DUN Tronoh dan DAP DUN Menglembu telah menganjurkan satu program mesra rakyat pada 2 Januari 2011. Program ini bermula pada jam 8.30 pagi di Kampung Baru Chenderong di DUN Tualang Sekah. YB V.Sivakumar dan YB Lim Pek Har telah berjumpa dengan penduduk kampung baru di Pasar Awam Chenderong dan di kedai-kedai yang berhampiran. Program ini diadakan untuk membolehkan pemimpin-pemimpin DAP menjalin hubungan rapat dengan masyarakat tempatan. Program ini juga membolehkan wakil rakyat mengetahui masalah yang dihadapi oleh penduduk kampung baru. Risalah-risalah juga telah diedarkan supaya orang ramai mendapat maklumat lengkap dan pandangan alternatif.


Selain daripada itu, saudara Tan Boon Ping, Pengerusi Biro Pendaftaran Pemilih DAP Negeri Perak juga telah mengatur pendaftaran pengundi baru di Kampung Baru Chenderong. Program berlanjut sehingga jam 10 pagi. Selepas itu, rombongan ini telah menuju ke pasar pagi Tanjung Tualang di DUN Malim Nawar. Di situ, kedua-dua wakil rakyat bersama beberapa orang pengerusi cawangan DAP dan bekas Ahli-ahli Majlis Daerah Batu Gajah telah berjumpa dengan orang ramai termasuk penjaja-penjaja pasar pagi. Program mesra rakyat di kedua-dua DUN ini mendapat sokongan dan sambutan hangat dari kalangan semua lapisan masyarakat. Program tamat jam 12 tengahari di Medan Selera Tanjung Tualang.

Taman Tien Shien Banjir Lagi


Kenyataan Media YB V.Sivakumar , ADUN Tronoh pada 2 Jan 2011


Taman Tien Shien Banjir Lagi


Masalah banjir di Taman Tien Shien masih tidak dapat diselesaikan oleh kerajaan Negeri Perak. Walaupun perkara ini telah dibangkitkan banyak kali, tetapi tidak ada satu penyelesaian untuk masalah ini. Setiap kali hujan lebat akan mengakibatkan banjir di kawasan ini. Penduduk Taman Tien Shien, Batu Gajah sungguh kecewa kerana mereka terpaksa menderita apabila rumah-rumah mereka dibanjiri air. Mereka telah mengadu hal ini kepada pelbagai pihak tetapi perkara ini masih berterusan lagi.


Saya telah melaporkan masalah banjir ini beberapa kali sejak tahun 2008. Walau bagaimanapun, masalah ini wujud lama sebelum itu. Setelah desakan diberi berulang kali untuk mengambil tindakan, maka pihak Jabatan Pengairan dan Saliran( JPS ) telah membuat keputusan untuk membina benteng bata di Sungai Resam untuk menghalang air bah memasuki kawasan perumahan. Projek ini telah selesai dibina beberapa bulan yang lalu. Tetapi, masalah banjir ini tidak dapat diselesaikan sepenuhnya. Hujan lebat yang turun pada hari ini telah mengakibatkan banjir berlaku sekali lagi di Taman Tien Shien. Malah, paras air naik kali ini adalah yang paling teruk jika dibandingkan dengan banjir sebelum ini.


Pihak JPS seharusnya membuat satu kajian semula bagaimana mengatasi masalah ini. Didapati kuantiti air yang mengalir di sungai resam adalah terlalu besar kerana banyak anak sungai dan longkang di taman-taman perumahan berhampiran disalurkan ke dalam sungai ini. Tambahan pula banyak projek-projek pembangunan dan penebangan pokok di sekitar kawasan ini juga merupakan punca kepada masalah ini.


Pihak Majlis Daerah Batu Gajah (MDBG) bersama-sama dengan pihak Perancangan Bandar harus meneliti sistem longkang di Taman Tien Shien ini. Apabila kederasan dan kuantiti air Sungai Resam meningkat, air ditendang keluar melalui longkang-longkang di kawasan perumahan ini. Tambahan pula, paras longkang-longkang itu adalah lebih rendah daripada paras air Sungai Resam apabila kuantiti air meningkat ketika hujan lebat.


Pihak Majlis Daerah Batu Gajah harus mengambil inisiatif untuk membaik pulih sistem longkang di Taman Tien Shien. Jika tidak, masalah ini tidak boleh diselesaikan dan penduduk kawasan ini akan sengsara setiap kali banjir berlaku.


Satu perjumpaan atau mesyuarat harus diatur dengan segera diantara MDBG, JPS, ADUN dan penduduk Taman Tien Shien yang terlibat untuk membincang , mendapat maklum balas dan peneranagan yang sewajarnya daripada pakar teknikal bagi mengatasi masalah ini.

Ahad, 2 Januari 2011

Kempen Derma Darah DAP DUN Tronoh


Kenyataan Akhbar YB V.Sivakumar, ADUN Tronoh pada 1 Jan 2011


Kempen Derma Darah DAP DUN Tronoh


Pusat Khidmat DUN Tronoh telah menganjurkan Kempen Derma Darah pada 1 Jan 2011. Kempen ini telah diadakan di Pusat Khidmat DUN Tronoh, Taman Saujana, Batu Gajah. Program ini bermula pada jam 9am dan tamat pada jam 1.30pm.


Program kempen derma darah ini dianjurkan pada tiap-tiap 1hb Januari. Ini merupakan program tahun keempat yang telah dianjurkan sejak tahun 2008. Program ini bertujuan memberi peluang kepada penderma untuk memulakan tahun baru dengan satu perbuatan mulia. Pada Pada tahun 2010, Pusat Khidmat DUN Tronoh telah menganjurkan 2 program derma darah iaitu pada 1 Jan 2010 di Premis Pusat Khidmat DUN Tronoh dan satu lagi pada bulan Ogos di Pekan Tronoh.


Pusat Khidmat DUN Tronoh juga merancang untuk mengadakan program yang sama pada bulan Jun tahun ini di kawasan DUN Tronoh yang lain.


Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua penderma-penderma yang datang memberi sokongan dan menjayakan program ini. Jasa baik dan kerjasama kakitangan Tabung Darah Hospital Tuanku Bainun Ipoh juga tidak dilupai. Mereka rela datang berkhidmat untuk masyarakat walaupun pada hari cuti umum. Terima kasih diucapakan kepada semua kakitangan tabung darah Hospital Tuanku Bainun Ipoh.


Turut hadir bersama ialah Ketua Bahagian DAP Batu Gajah Sdr Chan Chin Fah , Pengerusi cawangan-cawangan DAP di kawasan DUN Tronoh dan Ahli-ahli Majlis Pakatan Rakyat Daerah Batu Gajah.