Khamis, 29 Oktober 2009

'Bajet Cocacola' BN Perak




Dalam sejarah negeri Perak tidak pernah belanjawan diluluskan dalam masa 20 minit. Pada 28/10/2009 BN telah berjaya mencipta satu lagi lembaran sejarah dengan meluluskan ‘Bajet Cocacola’ dalam masa 20 minit. Pakatan Rakyat tidak mengiktiraf belanjawan yang dibentangkan oleh kerajaan BN yang tidah tidak sah di negeri Perak. Satu daripada sebabnya ialah ia dibentangkan dihadapan seorang Speaker yang tidak halal. Tambahan pula, Dato Seri Zambry dan barisan EXCOnya juga tidak patut berada dalam dewan kerana mereka telah digantung daripada menghadiri persidangan oleh Jawatankuasa Hak & Kebebasan. Begitu juga, 3 orang bekas Ahli-ahli Dewan yang telah meletak jawatan juga berada dalam dewan ketika bajet dibentangkan.

Walaupun kami tidak mengiktiraf bajet BN, apakah yang menghalang BN daripada membuat persidangan bajet itu mengikut prosedur yang betul? Mereka meluluskan bajet dengan tergopoh-gapah. Ia diluluskan dalam masa 20 minit sahaja, itulah sebabnya ia boleh digelar sebagai bajet Cocacola. Kami tidak menghalang mereka daripada membentangkan bajet. Lagi pun, beratus-ratus polis berada di dalam dan di luar untuk memberi perlindungan kepada BN untuk membentangkan bajet tersebut. Tambahan pula, 22 orang ‘bodyguard’baru yang digelar ‘bentara sementara’ dilantik untuk memberi perlindungan kepada Dato R.Ganesan. Dalam situasi yang cukup terkawal, kenapa BN gagal membuat bajet yang sempurna?

Pada hemat saya, ada 2 sebab kenapa BN terpaksa meluluskan ‘Bajet Cocacola’.

1) Mereka sendiri mula yakin bahawa kerajaan mereka adalah tidak sah. Satu kerajaan yang sah tidak akan membentangkan bajet segera dalam keadaan terdesak. Pada tahun 2008, saya mengendalikan bajet selama 4 hari. Ini adalah kerana Kerajaan Pakatan Rakyat adalah kerajaan yang sah di Negeri Perak. Bayangkan bajet Najib diluluskan dalam 20 minit di Parlimen. Bolehkah kita terima bajet seperti itu? Jika tidak, bagaimana kita boleh terima bajet 20 minit yang diluluskan oleh BN Perak? Ini adalah satu bentuk penyelewengan wang rakyat. Ia tidak diluluskan dengan cara atau prosedur yang betul. Ahli-ahli Dewan Negeri Pakatan Rakyat tidak memgambil bahagian dalam pembentangan bajet tersebut. Persoalannya berapa orangkah Ahli-ahli Dewan Negeri BN yang mengambil bahagian dalam perbahasan bajet itu? Kenapa mereka tidak mengambil bahagian dalam perbahasan? Adakah Ahli-ahli Dewan Negeri BN yang secara fizikalnya berada di situ juga tidak mengiktiraf atau boikot bajet yang dibentangkan oleh Dato Seri Zambry Abdul Kadir? Pada tahun yang lepas saya memberi peluang sekurang-kurangnya 20 minit untuk setiap ahli-ahli Dewan Negeri untuk membahaskan bajet. Dato Seri Tajol Rosli, mantan Menteri Besar Perak dibenarkan untuk membahas bajet yang dibentangkan oleh Dato Seri Nizar selama hampir 2 jam. Tetapi, pada tahun ini BN telah meluluskan bajet keseluruhannya dalam tempoh 20 minit. Adakah Dato Seri Zambry Abdul Kadir membuat pengulungan perbahasan bajet? Jika tidak, bagaimana kita boleh mengiktiraf Bajet 2010 yang diluluskan oleh BN dalam Dewan Negeri Perak. Nampaknya BN hanya mengkaburi mata rakyat dengan membuat satu bajet dengan cara yang tidak betul. Bagi mereka, proses, prosedur dan undang-undang adalah tidak penting. Mereka mahu kekal berkuasa secara haram walupun ia tidak menepati undang-undang.


2) Satu lagi sebab kenapa Bajet Cocacola diluluskan ialah Dato R.Ganesan yang memduduki kerusi Speaker secara haram tidak tahu untuk mengendalikan satu persidangan bajet yang sebenar. Jika dia fasih dalam undang-undang dan perintah-perintah tetap, sudah tentu dia tidak akan mencemar persidangan tersebut. Beliau telah mencemari dewan pada persidangan 7 Mei dengan memanggil polis masuk ke dalam dewan dan mengheret keluar Speaker yang sah. Kali ini beliau mencemari dewan sekali lagi dengan membenarkan bajet diluluskan dalam masa 20 minit. Jika beliau adalah Speaker yang sah dan menghormati undang-undang, sudah tentu beliau tidak akan tunduk kepada arahan eksekutif untuk bertindak di luar batasan kuasanya. Walau bagaimanapun, beliau boleh memohon kepada ‘Malaysia Book of Record’ kerana pencapaiannya mengendalikan persidangan Bajet yang paling pantas di Malaysia.

Kerajaan BN terpaksa meluluskan bajet 20 minit dengan kawalan polis dan bentara-bentara baru kerana mereka takut kepada bayang-bayang sendiri. Satu kerajaan yang sah dan diterima oleh rakyat tidak perlu takut seperti ini. Sampai bila BN akan bertahan dengan suasana ketakutan? Bubarkan DUN perak dan adakan pilihanraya kecil supaya rakyat boleh menentukan kerajaan yang sah dan menamatkan kemelut politik yang berpanjangan ini.

-----------------------------------
Anda dijemput untuk menjadi rakan facebook saya. Sivakumar Varatharaju

Rabu, 21 Oktober 2009

Aduan Penduduk Gunung Hijau


Kenyataan Media YB V.Sivakumar, ADUN Tronoh pada 20 Oktober 2009

Lampu Jalan Tidak Berfungsi Di Gunung Hijau, Pusing.

Sejak bulan Februari tahun ini lampu jalan di estet Gunung Hijau, Pusing tidak berfungsi. Kawasan ini adalah agak gelap pada waktu malam. Ia boleh mengancam keselamatan penduduk-penduduk estet Gunung Hijau. Penduduk risau mengenai jenayah ragut atau kecurian akan berleluasa di kawasan ini jika tindakan tidak diambil dengan segera. Tambahan pula, ia juga boleh mengakibatkan kemalangan dan membahayakan keselamatan pengguna jalan tersebut.

Estet Gunung Hijau berada dibawah seliaan Majlis Daerah Batu Gajah sejak bulan Ogos 2009. Oleh yang demikian, penduduk kawasan itu telah membuat aduan kepada Majlis Daerah Batu Gajah mengenai masalah tersebut. Tetapi, sehingga hari ini tidak ada sebarang tindakan diambil.

Menurut seorang pengadu yang bernama Puan Liew Ah Tai (63), semua penduduk estet Gunung Hijau telah membayar cukai taksiran pada bulan Ogos yang lalu. Oleh yang demikian, tidak ada sebab untuk Majlis Daerah Batu Gajah mengabaikan tanggungjawab untuk menyediakan kemudahan asas terutamanya lampu jalan kepada penduduk-pemduduk kawasan ini. Cukai taksiran untuk setiap rumah adalah diantara RM80 hingga RM100 setahun.

Saya juga telah mengadu masalah ini kepada Majlis Daerah Batu Gajah. Pihak Majlis memberi alasan yang tidak munasabah iaitu semua lampu-lampu yang sedia ada perlu dibuka dan lampu-lampu baru akan dipasang semula. Ianya akan mengambil masa yang agak lama. Ini dikatakan sebagai prosedur yang diamalkan. Lampu-lampu jalan yang sedia ada masih berada dalam keadaan baik dan boleh berfungsi. Ia tidak perlu digantikan. Tindakan seperti ini merugikan wang Majlis Daerah semata-mata.

Pihak Majlis perlu menguruskan hal ini dengan Tenaga Nasional Berhad dengan serta merta. Terdapat lebih kurang 60 buah rumah terlibat dengan masalah yang dibangkitkan.


Disediakan oleh


V.Sivakumar
ADUN Tronoh

Selasa, 20 Oktober 2009

Halal vs Haram



Motto 1 Malaysia yang dicanangkan oleh Najib nampaknya tidak berlaku di Perak. Di Perak rakyat disajikan dengan dua Menteri Besar iaitu MB halal ( Nizar ) dan MB haram ( siapa lagi kalau bukan Zambry ) Seterusnya Speaker halal ( V.Sivakumar ) dan Speaker haram ( R. Ganesan ).

Kewujudan dua MB dan dua Speaker di Perak adalah hasil kraftangan Najib sendiri. Beliaulah yang tanpa segan silu merompak Kerajaan sah Perak yang diterajui oleh Pakatan Rakyat ( PR ) .

Dari segi undang-undang dan Perlembagaan, Najib dan Umno sedar bahawa mereka tidak mampu berhujah untuk melawan V. Sivakumar. Kuasa Sivakumar sebagai speaker DUN Perak yang sah adalah terlalu jelas dan luas. Tetapi memandangkan Najib dan Umno bukanlah spesis yang ada maruah dan harga diri mereka menggunakan ( baca salah guna ) apa sahaja kuasa yang ada untuk menjatuhkan Sivakumar

Apa yang Najib dan Umno tidak lakukan untuk menjatuhkan Sivakumar.

Mula-mula Umno guna SPR untuk mengenepikan keputusan Sivakumar yang memutuskan kerusi tiga “katak” telah kosong. Apabila Sivakumar menggantung Zambry dan enam exconya yang haram Umno guna pula polis untuk soal siasat Sivakumar. Tidak cukup polis , Umno guna pula SPRM untuk soal siasat Sivakumar. Apabila polis dan SPRM tak jalan, Umno guna pula Mahkamah . Kita tentu tidak lupa usaha Umno yang menghalang Sivakumar untuk guna khidmat peguamnya sendiri bagi mewakili beliau. Malahan apabila Sivakumar mahu mewakili diri sendiri peguam Umno juga membantah.

Tidak cukup guna SPR, Polis , SPRM dan Mahkamah untuk mengenepikan Sivakumar sebagai speaker yang sah dan halal , Umno tanpa rasa malu dan bermaruah tergamak menggunakan cara yang paling kurang ajar dan paling tidak bertamadun melucutkan kuasa Sivakumar sebagai speaker DUN Perak yang sah pada 7 Mei 2009 yang lalu.

Demi kuasa Umno tergamak salahguna polis untuk mengangkat Sivakumar ( dengan kerusinya sekali ) dan mengurung beliau dalam stor. Kerana kuasa Umno lupa bahawa jika sekalipun mereka ingin melucutkan kuasa Sivakumar sebagai speaker , Umno tidak boleh sama sekali megusir Sivakumar dari dewan persidangan DUN Perak . Sivakumar adalah wakil rakyat atau ADUN yang sah , justeru itu beliau layak berada di dalam dewan persidangan.

Tanpa segan silu Umno tergamak langgar Perlembagaan dan amalan Perlembagaan ( constitutional convention ) apabila melantik V. Ganesan sebagai speaker yang haram pada 7 hb Mei 2009 yang lalu.

Dari sudut undang-undang dan amalan Perlembagaan segala urusan rasmi sidang DUN Perak ( order of business ) hanya boleh dibuat setelah persidangan DUN Perak dengan secara sah membuka urusan rasmi tersebut ( had lawfully opened for business ).

Jika dilihat kepada Standing Orders bagi DUN Perak tiada peruntukkan secara jelas berkaitan dengan persidangan DUN Perak pada 7 Mei tersebut. Oleh itu berdasarkan Standing Order No 90 amalan-amalan di Parlimen di Negara-Negara Komenwealth boleh digunapakai sekiranya Standing Orders tidak mempunyai peruntukkan yang jelas .

Buku Erskine May’s Treatise on the Law, Privileges, Proceedings and Usage of Parliament adalah satu buku yang selalu dirujuk dalam isu-isu yang berkaitan dengan prosedur Parlimen di negara-negara Komenwealth. Di dalam buku tersebut pengarang telah menyatakan

“ Dalam mana sessi Parlimen kecuali sessi Pertama ( Pembukaan ) Parlimen , sessi dikira bermula dengan ucapan Raja England ( Queen ) . Sehingga sidang diisytiharkan mula oleh Raja kedua-dua Dewan tidak boleh mulakan sebarang urusan awam yang rasmi. Amalan ini diikuti kerana tiada mana-mana urusan di Parlimen boleh dijalankan sehingga Parlimen itu sendiri dibuka secara rasmi oleh Raja ( no business can be transacted until Parliament has been opened by the Crown)"

Selanjutnya di dalam buku Halsbury’s Laws of England di bawah tajuk (v) Proceedings at the Opening of Parliament ... 713 The Queen’speech dinyatakan seperti berikut

“ Tiada mana-mana Dewan boleh meneruskan apa-apa urusan awam sehinggalah sesuatu sessi itu telah dibuka oleh Raja secara sendiri atau melalui Pesuruhjaya Lord yang bertindak bagi pihak Raja ( Queen ).”


Di dalam buku Griffith and Ryle on Parliament : Functions, Practice & Procedures.” (2nd Ed. 2003) pengarang tersebut juga menyatakan perkara yang sama

Di England, apabila Raja telah mula membuka sessi Parlimen ( di sebelah pagi ) maka urusan awam dan rasmi Dewan Rakyat ( House of Commons ) akan hanya dimulakan jam 2.30 petang.

Dalam konteks kes Perak pula adalah jelas pada 7 hb Mei 2009 ucapan Sultan Perak hanya dibuat pada jam 3.16 petang sehingga jam 3.47 petang. Maka dari segi undang-undang apa sahaja urusan rasmi DUN Perak ( termasuk usul untuk memecat Sivakumar dan melantik Ganesan ) hanya boleh dibuat selepas jam 3.47 petang.

Namun Umno dengan kesombongan dan kebodohan mereka telah mengangkat dan mengusir Sivakumar dan seterusnya melantik Ganesan sebagai speaker haram sebelum sessi DUN Perak bermula iaitu sebelum ucapan Raja Perak dimulakan pada jam 3.16 petang

Oleh itu sebarang resolusi atau usul yang diluluskan oleh Umno pada sidang DUN Perak pada 7 Mei 2009 termasuklah usul memecat speaker yang sah dan halal dan melantik speaker yang haram adalah tidak sah.

Tidak cukup Ganesan telah dilantik secara tidak sah, Umno sekali lagi melakukan kesilapan bodoh apabila gagal memastikan Ganesan meletakkan jawatan sebagai peguambela dan peguamcara dalam masa 3 bulan daripada tarikh beliau dilantik sebagai speaker yang haram iaitu pada 7 Mei 2009.

Ganesan hanya memfailkan Notis Pemberhentian sebagai peguam dan menghantar Surat Akuan Sumpah pada Majlis Peguam pada 17 Ogos 2009 sedangkan di dalam Perlembagaan Perak beliau sepatutnya berhenti menjadi peguam sebelum 7 hb Ogos 2009.

Memandangkan Ganesan adalah speaker yang haram maka tindakan beliau memanggil sidang DUN Perak pada 28 Oktober 2009 ini adalah satu tindakan yang tidak sah dan tiada sebarang nilai di sisi undang-undang. Tapi jenis spesis Umno ni dia orang kisah ke pada benda-benda haram !!!

OLEH : MOHAMED HANIPA MAIDIN

Khamis, 1 Oktober 2009

Rayuan Nizar Pada 5 November


Mahkamah Persekutuan akan mendengar rayuan Dato Seri Ir Haji Mohamad Nizar Jamaluddin berhubung pertikaian kesahihan Menteri Besar Perak pada 5 Nov depan.

Peguambela Nizar, Leong Cheok Keng berkata, Nizar membuat rayuan berhubung keputusan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Pada 9 Julai, Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan Nizar untuk rayuan selepas responden, Zambry melalui peguam belanya Datuk Cecil Abraham dan pencelah, kerajaan Malaysia yang diwakili oleh Peguam Negara Tan Sri Abdul Ghani Patail tidak membantah berhubung permohonan itu.

Pada 11 Mei, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengisytiharkan Nizar sebagai Menteri Besar Perak yang sah tetapi keputusan itu diubah oleh Mahkamah Rayuan.

Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa Sultan Perak Sultan Azlan Shah tidak boleh memecat Nizar atas alasan beliau tidak boleh memegang jawatan itu tanpa perkenan Sultan, dan sebaik seorang menteri besar dilantik, beliau dan Ahli Majlis Mesyuaratnya hanya bertanggungjawab kepada Dewan Undangan Negeri dan tidak kepada mana-mana pihak yang lain.

Mahkamah Rayuan pula memutuskan bahawa Sultan Azlan Shah, adalah betul dalam melantik Zambry sebagai Menteri Besar yang baru mengikut Artikel 16(2) Undang-undang Tubuh Negeri Perak, selepas berpuas hati Zambry mendapat sokongan majoriti daripada Dewan Undangan Negeri Perak.