Selasa, 23 Mac 2010

Masalah Setinggan Tronoh Mines


Kenyataan Media Yb V.Sivakumar pada 19/03/2010


Masalah setinggan Tronoh Mines Jalan Bota telah ujud lebih 80 tahun sejak zaman perlombongan oleh Tronoh Mines Limited,Tronoh. Kebanyakkan daripada penduduk kawasan ini asalnya pekerja-pekerja lombong timah dan kawasan perlombongan timah ini adalah antara yang terkemuka di Negeri Perak. Wlaupun operasi perlombongan timah telah dihentikan dalam tahun 60-an tetapi penduduk-penduduk di kawasan itu juga kekal sebagai penghuni setinggan di situ. Ramai juga telah berpindah ke tempat lain mengikut peredaran masa.

Walaubagaimanapun ada juga beberapa orang penduduk yang masih menetap di kawasan Tronoh Mines ini dengan harapan kerajaan akan memberi sebidang tanah agar mereka dapat terus mendiami kawasan tersebut. Pihak pentadbir tanah telah meninjau kawasan ini beberapa kali yang mana telah menambahkan harapan bahawa mereka akan memperolehi tanah tersebut dalam masa terdekat tetapi harapan mereka masih tidak terkabul sehingga ke hari ini.

ADUN Tronoh Yb V.Sivakumar telah mengunjungi tempat ini dan bermesyuarat dengan para penduduk kawasan ini. YB V.Sivakumar juga pernah membawa wakil penduduk ke pejabat Tanah dan Daerah Batu Gajah untuk mengetahui status dan perkembangan terkini mengenai isu setinggan Tronoh Mines. Hasil daripada perbincangan dengan pentadbir tanah, adalah difahamkan bahawa tapak setinggan Tronoh Mines ini telah mendapat kelulusan daripada Majlis Mesyuarat Kerajaan bil: 1534 bertarikh 28hb November 2008. Sehubungan dengan itu Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Pemaju bilangan 6(3/08) bertarikh 25hb Ogos 2008 telah meluluskan Syarikat Bumimaya Sdn Bhd bagi memajukan kawasan kediaman setinggan Tronoh Mines tersebut seluas 17.95 ekar. Selepas itu tidak apa-apa perkembangan terbaru dalam usaha menyelesaikan masalah ini.

Yb V.Sivakumar juga telah berjumpa dengan pihak Syarikat Bumimaya Sdn Bhd untuk mendapatkan maklumat-maklumat mengenai kelambatan projek tersebut. Untuk menyelesaikan masalah ini adalah wajar pihak pemaju mengadakan sesi dialog dengan para penduduk setinggan Tronoh Mines dengan kadar segera. Jika tidak ada inisiatif untuk berdialog maka masalah ini tidak akan terselesai dan dimakan zaman.

Oleh itu Yb V.Sivakumar mengharapkan supaya pihak pentadbir tanah bersama-sama dengan pemaju menyelesaikan masalah secara prihatin. Beliau juga sanggup membantu ketiga-tiga pihak tersebut dalam mendapatkan persefahaman supaya penduduk-penduduk setinggan ini mencapai harapan mereka.

Antara penduduk yang ditemui Encik Low Yong Fong(64 tahun) telah tinggal disini sejak dilahirkan pada tahun 1946.Beliau sangat khuatir kerana tidak dapat membaiki rumahnya kerana tidak mempunyai geran rumah. Encik Low yang tinggal disini bersama isteri dan cucunya sangat mengharapkan pihak berkenaan mempercepatkan proses agar beliau boleh mendapatkan geran rumah.

Puan Kasiamah(73 tahun) telah menetap disini selama 55 tahun tetapi rumah yang didiaminya telah berusia lebih daripada 90 tahun.Beliau sangat mengharapkan geran untuk rumahnya.Beliau juga meminta pihak berkuasa dapt mempercepatkan proses ini kawasan ini tidak ada kemudahan asas seperti lampu jalan serta jalan bertar. Tambah beliau lagi kawasan ini juga tidak mendapat semburan ubat nyamuk oleh Kementerian Kesihatan untuk sekian lama.

Encik Chong Koi Ngau(61 tahun) telah menetap di sini sejak dilahirkan pada tahun 1949. Rumahnya pula telah berada di kawasan itu lebih kurang 100 tahun. Sangat berharap untuk mendapatkan geran dan pihak berkuasa mengambil tindakan.

Encik Chong Ah Nyie(59 tahun) telah menetap disini sejak dilahirkan pada tahun 1951.juga mengharapkan pihak berkuasa memberikan geran untuk rumahnya.

Isnin, 22 Mac 2010

Speaker Perak vs SPR

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah menetapkan tarikh sebutan kes Speaker Perak V.Sivakumar vs Suruhanjaya Pilihanraya pada 31 Mac 2010. (sehari selepas Persidangan DUN Perak bermula)!!

Jumaat, 19 Mac 2010

Membenarkan Orang Awam & Media Sebagai Pemerhati Dewan


Kenyataan Media YB V.Sivakumar pada 19 Sept 2010 di Ibu Pejabat PKR Ipoh.

Membenarkan Orang Awam & Media Sebagai Pemerhati Dewan

Dewan Negeri adalah forum rakyat. Rakyat telah memilih wakil-wakil mereka melalui pilihanraya. Oleh itu, rakyat berhak untuk melihat tingkah-laku ataupun gelagat wakil-wakil mereka di dalam Dewan Negeri. Rakyat tidak boleh dihalang oleh mana-mana pihak untuk memasuki Dewan Negeri sebagai pemerhati. Jika ada pihak yang cuba menghalang kemasukan orang awam ke dalam Dewan Negeri, maka itu merupakan satu lagi pencabulan amalan demokrasi. Kerajaan Persekutuan mahu ‘rakyat diutamakan’ oleh itu orang awam seharusnya diberi peluang untuk memasuki Dewan Negeri untuk memastikan wakil-wakil mereka menjalankan kewajiban mereka atau pun tidak. Apa salahnya jika orang awam dibenarkan masuk melihat persidang Dewan Negeri?

Pada tahun lalu, kedua-dua persidangan yang dibuat di dalam Dewan Negeri dikendalikan secara tertutup. Orang awam tidak dibenarkan masuk. Malah, polis telah mendapatkan perintah mahkamah untuk menghalang orang ramai berada di perkarangan bangunan Perak Darul Ridzuan. Perkara seperti ini tidak seharusnya berlaku pada tahun ini. Tindakan pihak polis dan mahkamah itu adalah amat memalukan. Oleh yang demikian, pihak pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri harus mengambil semua langkah-langkah untuk membenarkan orang ramai menghadiri persidangan Dewan Negeri pada 30 Mac 2010 nanti.

Tambahan pula, untuk menjamin kebebasan akhbar, pihak pentadbiran Setiuasaha Kerajaan Negeri tidak boleh menghalang mana-mana wartawan menghadiri sidang Dewan. Para wartawan dari semua lapisan termasuk media elektrnik dan media antarabangsa juga harus dibenarkan membuat liputan persidangan Dewan Negeri. Pihak kerajaan tidak harus membuat persidangan secara sembunyi ataupun rahsia. Pihak media harus diberi kebebasan sepenuhnya membuat segala liputan berkenaan dengan perjalanan persidangan Dewan Negeri pada 30 Mac 2010. Pihak kerajaan juga tidak melakukan tipu muslihat untuk hanya membenarkan media pro Barisan Nasional membuat liputan persidangan dewan. Media neutral dan media pembangkang seperti Harakah, Rocket, Suara Keadilan , Era Pakatan juga seharusnya diberi jaminan untuk menghadiri persidangan dewan tersebut. Jika media-media ini tidak dibenakan membuat liputan persidangan, maka ini bermaksud pihak kerajaan bertindak secara berat sebelah ataupun ‘double standard’ dalam melaporkan keadaan sebenar yang berlaku dalam dewan. Pihak kerajaan tidak boleh mengkaburi rakyat dengan berita-berita satu pihak. Dalam pada itu, pihak kerajaan juga seharusnya berani menghadapi kenyataan ataupun realiti dan tidak pula takut kepada bayang-bayang sendiri.

Saya selaku Speaker yang sah untuk Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan mengarahkan pihak pentadbiran Pejabat Setiusaha Kerajaan Negeri supaya tidak menghalang pemerhati awam dan semua pihak media menghadiri persidangan dewan. Pihak pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri seharusnya mengumumkan supaya permohonan kebenaran boleh dibuat dengan serta merta oleh media-media yang ingin membuat liputan pada hari persidangan. Segala usaha untuk menghalang orang ramai dan pihak media menghadiri persidangan 30 Mac 2010 adalah dianggap sebagai kegagalan kerajaan BN dalam menghidupkan kembali demokrasi di Perak. Oleh yang demikian, sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab kepada rakyat harus menghormati undang-undang dan tidak megulangi tabiat buruk seperti pada tahun yang lepas. Undang-undang adalah pengukuh masyarakat, maka ia tidak boleh disalah gunakan untuk mencapai matlamat politik dalam kerakusan mengejar kuasa.


V.Sivakumar
19 Mac 2010

Siapa Menyamar? Siapa Perompak?


Speaker buat laporan polis dakwa Adun Tronoh menyamar speaker


IPOH 19 Mac. — Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak Datuk R.

Ganesan hari ini membuat laporan polis meminta siasatan dijalankan terhadap Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Tronoh V. Sivakumar kerana menyamar sebagai Speaker.

Ganesan berkata tindakan Sivakumar menggunakan kepala surat rasmi Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Perak bagi menghantar notis persidangan DUN pada 30 Mac ini adalah satu bentuk jenayah penyamaran.

Bercakap kepada pemberita selepas membuat laporan di Ibupejabat Polis Daerah Ipoh tengah hari ini, beliau berkata Sivakumar telah dilucutkan jawatan sebagai Speaker pada 7 Mei 2009 melalui ketetapan DUN dan keputusan itu juga telah disahkan oleh Mahkamah Tinggi Ipoh sebagai satu prosiding Dewan.

"Mahkamah Tinggi Ipoh pada 8 September 2009 kemudiannya memutuskan bahawa pelucutan jawatan Sivakumar sebagai Yang DiPertua Dewan Negeri adalah sah dan mengesahkan pelantikan saya sebagai Tuan Yang DiPertua Dewan Negeri Perak baru,” katanya.

Beliau berkata tindakan Sivakumar menyamar sebagai Speakar itu juga berupa satu tindakan menghina mahkamah.

"Saya membuat laporan ini demi menjaga integriti Dewan Undangan Negeri yang mulia di mana satu tindakan perlu diambil terhadap Ahli Yang Berhormat yang telah bertindak di luar batasan undang-undang negara dengan bertindak sesuka hati menyamar sebagai Tuan Yang DiPertua dan menghina keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh,” katanya. — Bernama

Khamis, 18 Mac 2010

Pengantungan Zambry Kekal


IPOH,(BERNAMA), 18 Mac — Bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V Sivakumar hari ini berkata Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir tidak boleh menghadiri sidang DUN pada 30 Mac ini kerana tempoh penggantungannya daripada menghadiri mesyuarat masih belum berakhir.

“Dr Zambry telah digantung selama 18 bulan manakala enam anggota exco selama 12 bulan...tempoh penggantungan enam anggota exco telah berakhir bulan ini,” katanya pada sidang akhbar di pejabat DAP Perak di sini.

Sivakumar yang juga Adun Tronoh berkata penggantungan Dr Zambry yang berkuatkuasa sejak 3 Mac 2009 masih berjalan tetapi enam lagi exco yang digantung selama 12 bulan itu sudah tamat tempoh penggantungan dan akan dibenarkan hadir.

Sivakumar mendakwa beliau masih Speaker yang sah dan telah menghantar notis menghadiri Sidang DUN pada 30 Mac ini kepada semua Adun Barisan Nasional (BN) dan pakatan pembangkang kecuali Dr Zambry dan tiga Adun Bebas.

“Tiga katak (Adun Bebas) tidak dipanggil menghadiri Sidang DUN kali ini kerana saya sudah menerima surat peletakan jawatan mereka pada Februari 2009...mahkamah masih belum memutuskan sama ada mereka masih wakil rakyat yang sah kerana semakan kehakiman yang difailkan oleh saya terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya masih belum dibicara,” katanya.

Beliau berkata penggantungan Dr Zambry dan enam anggota exco oleh Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN telah disahkan pada 3 Mac oleh Sidang DUN yang diadakan di bawah pokok berhampiran Bangunan Perak Darul Ridzuan.

Mengenai kedudukan Speaker Datuk R.Ganesan, Sivakumar mengulangi bahawa pelantikan Ganesan adalah tidak sah kerana tidak dibuat mengikut peraturan.
Katanya, usul pelucutan Speaker dan usul pelantikan Speaker baru telah beliau tolak iaitu sehari sebelum Sidang DUN 7 Mei 2009, jadi mengikut peraturan sidang, usul berkenaan tidak berbangkit.

Katanya, pelantikan Ganesan juga dibuat sebelum titah perasmian oleh Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah dan itu bermakna peraturan mesyuarat telah dilanggar kerana perkara pertama dalam sidang perasmian ialah titah perasmian dan agenda lain adalah selepasnya.

Sivakumar berkata beliau menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan pada 9 Februari lalu yang mengatakan Dr Zambry sebagai Menteri Besar yang sah atau ketua eksekutif tetapi jawatan beliau sebagai Ketua Legislatif tidak berubah dan oleh itu akan terus menjalankan tugas sebagai Speaker.

BN mempunyai 28 Adun serta tiga Adun bebas yang menyokongnya manakala PR mempunyai 28 Adun dalam DUN Perak.