Rabu, 28 Oktober 2015

POCA Menjadi Zalim Apabila Dilaksanakan Tanpa Pengawasan KDN

Kenyataan Media YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah pada 27 Oktober 2015 di Dewan Rakyat

Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) adalah undang-undang zalim. Kerajaan harus meminda semula undang-undang ini supaya kes-kes yang disiasat di bawah Akta ini diberi peluang pembelaan kepada orang kena tangkap. Apa guna kita ada kanun Keseksaan dan undang-undang lain jika pihak polis menggunakan jalan pintas untuk menangkap seseorang di bawah POCA.  

Seseorang yang ditahan di bawah POCA tidak akan didakwa di Mahkamah. Orang yang kena tangkap boleh direman sehingga 60 hari. Penyiasatan akan dibuat oleh pegawai penyiasat dalam tempoh tahanan itu. Satu laporan disediakan oleh pegawai penyiasatan.  Pendakwa raya akan mengadakan temu bual dengan orang kena tangkap berdasarkan laporan yang disediakan oleh pegawai penyiasat.  Orang kena tangkap tidak boleh diwakili oleh peguam untuk pembelaan. Ini adalah tidak adil kerana nasib orang kena tangkap itu terletak di tangan pegawai penyiasat.

Saya cukup bimbang kerana pihak polis boleh menyalahgunakan kuasa apabila menangkap seseorang di bawah undang-undang yang zalim ini. Saya juga risau pegawai-pegawai polis akan didorong oleh undang-undang ini untuk terlibat dengan gejala rasuah.

Saya telah bertanya soalan lisan kepada Menteri Dalam Negeri berhubung dengan perkara ini. Soalan saya adalah berbunyi seperti berikut:

“…menyatakan jumlah kes yang ditangkap dan disiasat di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) sejak undang-undang itu dipinda pada tahun 2013. Nyatakan juga jenis-jenis jenayah berat yang telah disiasat di bawah akta ini dan tindakan-tindakan yang telah diambil. “

Jawapan Kementerian Dalam Negeri (27 Oktober 2015)

Berdasarkan rekod Polis Diraja Malaysia (PDRM), semenjak pindaan Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) dikuatkuasakan mulai 2 April 2014  hingga 1   Oktober 2015, seramai 975 orang telah ditangkap dan disiasat di bawah POCA.

Di antara jenayah berat yang telah disiasat di bawah Akta ini adalah jenayah kongsi gelap, jenayah kekerasan, jenayah harta benda, dadah, pelacuran, perjudian dan penyeludupan migran.

Seterusnya, tindakan-tindakan yang telah diambil terhadap mereka yang telah ditangkap adalah seramai 143 orang telah dikenakan Perintah Tahanan, 480 orang dikenakan Perintah Pengawasan Polis dengan 68 orang daripadanya dikenakan syarat pemakaian Peranti Pengawasan Elektronik (EMD) yang mula digunapakai mulai 3 Ogos 2015, 28 orang telah dituduh di Mahkamah, 131 orang telah dibebaskan selepas siasatan dijalankan manakala baki seramai 193 orang masih lagi ditahan untuk siasatan lanjut.

Daripada jawapan yang diberikan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri didapati seramai 975 orang telah ditangkap dan disiasat di bawah POCA. Kerajaan telah menjanjikan bahawa hanya kes-kes yang berat sahaja akan disiasat di bawah POCA. Tetapi, saya ada bukti bahawa kes-kes  kecurian yang kecil juga ditangkap, disiasat dan diambil tindakan oleh pihak polis.

Sebagai contoh, pada 2 Ogos 2015, seramai 8 orang ditangkap kerana terlibat dalam kes curi ikan dari kolam. Sama ada mereka benar-benar terlibat dalam kes ini tidak ada kepastian. 6 orang ditangkap kerana mencuri ikan dari kolam milik orang lain.  2 orang lagi ditangkap kerana membeli ikan untuk dijual di pasar. Saya difahamkan tidak ada apa-apa laporan polis dibuat oleh mana-mana pihak berhubung dengan kes ini.  Walau bagaimanapun, 8 orang itu ditahan reman untuk 21 hari dan kemudiannya ditambah lagi 38 hari. Selepas penyiasatan dan temubual dengan pendakwaraya tanpa diberi ruangan untuk membela diri, 7 orang kena tangkap itu dibuang daerah dan seorang dibuang negeri.

Kononnya, tindakan diambil berdasarkan risikan polis. Saya juga tidak faham kenapa pihak polis begitu bersemangat untuk menyiasat kes curi ikan yang tidak ada sebarang laporan polis. Sedangkan, terdapat banyak  aduan dan laporan polis yang tidak diambil  apa-apa tindakan. Kenapa kes curi ikan ini tidak disiasat di bawah Kanun Keseksaan? Bukankah Kanun Keseksaan lebih relevan dan patut digunapakai bagi kes-kes seperti ini?  

Saya berasa kesian dan bersimpati terhadap keluarga orang-orang yang telah dihukum di bawah POCA  tanpa diberi peluang untuk membela diri. Saya telah memohon jasa baik Menteri Dalam Negeri untuk menyiasat kes yang saya bangkitkan secara teliti supaya orang yang tidak bersalah dihukum sewenang-wenangnya. Jika bersalah pun, biarlah mahkamah mendengar kes tersebut dan menjatuhkan hukuman. Ini adalah penting untuk menjamin hak asasi dan berkeperimanusiaan.


Isnin, 26 Oktober 2015

Pengantungan Sdr Kit Siang Akan Membuka Lembaran Baru Dalam Dinamika Politik Tanahair

Kenyataan Media YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah pada 22 Oktober 2015 di Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia


Apa yang berlaku di Dewan Rakyat hari ini adalah merupakan satu lagi peristiwa titik hitam dalam sejarah Malaysia. Seluruh dunia sedang memerhatikan gelagat negara kita. Negara kita sudah menjadi bahan ketawa negara-negara luar. Ini adalah kerana negara kita seolah ditadbir oleh sekumpulan bandut. Kita rasa malu apabila nama negara kita terpapar di media antarabangsa untuk perkara-perkara yang salah dan menjatuhkan imej Malaysia.

Seluruh jentera kerajaan memberi perlindungan kepada seorang Perdana Menteri yang tidak berani membela dirinya sendiri. Isu 1MDB telah menjadi buah bulut seluruh rakyat Malaysia. Negara-negara lain juga telah turut memberi komen yang negatif berhubung dengan perkara ini. Majlis Raja-raja Melayu juga telah membuat teguran. Tetapi kerajaan Barisan Nasional dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak mempedulikan apa-apa dan terus memerintah negara ini tanpa segan silu.

Pada hemat saya, pemimpin-pemimpin Barisan Nasional memang berkulit tebal kerana tidak dapat merasakan kehangatan isu 1MDB ini. Walaupun perkara ini menjadi tajuk perbualan di semua warung-warung atau kedai-kedai kopi, tetapi wakil-wakil rakyat Barisan Nasional berpura-pura pekak dan tidak berani membela nasib rakyat dan negara.


Apa yang lebih menyedihkan ialah melihat institusi-institusi berdaulat seperti Parlimen juga turut dicemari kerana membela orang-orang yang terlibat dalam  skandal 1MDB. Rakyat dapat melihat dengan jelas bagaimana Jawatankuasa PAC dihalang daripada menjalankan penyiasatannya.  Pengerusi PAC dan 4 orang ahlinya dilantik sebagai Menteri dan Timbalan Menteri.  Bukankah ini dilakukan dengan niat jahat untuk  memberhentikan atau melambatkan penyiasatan terhadap 1MDB?

Hari ini,  seorang lagi pemimpin veteran DAP Sdr Lim Kit Siang telah digantung selama 6 bulan daripada menghadiri sidang parlimen. Walaupun pihak pembangkang tidak bersetuju dengan prosedur yang digunakan untuk menbentangkan usul menteri, Speaker tetap dengan pendirianya untuk menghukum Ahli Parlimen Gelang Patah itu. Walaupun pelbagai hujahan bernas telah dibuat oleh Ahli-ahli Parlimen pembangkang, tetapi semuanya menjadi sia-sia kerana keputusan telahpun dibuat oleh kerajaan untuk mengantung Ahli Parlimen yang veteran itu. Ini tidak adil. Beliau sepatutnya dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen. Beliau harus diberi peluang dan masa yang secukupnya untuk membela diri.


Ahli Parlimen Gelang Patah merupakan mangsa terbaru 1MBD. Saya percaya tindakan ini adalah untuk menakutkan Ahli-ahli Parlimen yang lain supaya tidak membangkitkan atau berkeras dalam isu skandal 1MDB. Tetapi, saya cukup yakin, tindakan-tindakan zalim seperti ini akan menguatkan lagi semangat Ahli-ahli Parlimen pembangkang supaya melawan skandal 1MDB secara habis-habisan. Pengantungan Sdr Lim Kit Siang juga akan membuka lembaran baru dalam dinamika politik negara kita. 

Jumaat, 23 Oktober 2015

Perbahasan YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah dalam Meminda Akta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja 1991 pada 21 Oktober 2015

Terima Kasih saya ucapkan kepada Tuan Yang Dipertua kerana memberi ruangan kepada saya untuk turut membahaskan pindaan kepada Akta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja 1991


Pertama sekali saya ingin menyentuh pindaan kepada Seksyen 51A di mana selepas ini Lembaga boleh memindahkan kepada Pendaftar Wang Tidak Dituntut kesemua wang yang ada pada kredit seseorang ahli kumpulan wang tidak dituntut apabila ahli itu telah mencapai umur 100 tahun atau apa-apa  had umur sebagaimana yang ditetapkan oleh Lembaga.


Persoalannya, kenapa wujud keadaan di mana Ahli atau penama tidak membuat tuntutan wang daripada KWSP apabila tempoh matang atau selepas kematian ahli. Selepas bertahun-tahun mencarumkan wang dalam KWSP, akhirnya wang itu tidak dituntut oleh mana-mana pihak. Mesti ada sebab-sebab tertentu yang menyebabkan keadaan yang sedemikian. Adakah pihak KWSP pernah membuat apa-apa kajian untuk menentukan faktor –faktor  yang menjadi punca wang tidak dituntut daripada KWSP.


Saya mohon Menteri Kewangan mencerahkan Dewan yang mulia ini dengan statistik mengenai faktor-faktor yang menyebabkan wang tidak dituntut daripada KWSP. Selain daripada itu, saya juga ingin mengetahui  berapakah jumlah wang yang tidak dituntut dan masih berada ditangan KWSP. Juga, jumlah wang yang telahpun dipindahkan kepada Pendaftar Wang Tidak Dituntut  sehingga kini.


Perkara kedua yang hendak saya membawa kepada perhatian Tuan Yang Dipertua ialah mengenai isu penama KWSP untuk orang-orang bukan Islam. Bagi orang Islam ada cara pembahagian harta pusaka berdasarkan Hukum Faraid. Ini menjamin wang KWSP sampai kepada orang-orang yang layak iaitu anggota keluarga.  Perkara ini dimantapkan lagi dengan adanya  seksyen-seksyen baru iaitu Seksyen 23A, 23B, 23C dan 23D.


Tetapi, bagi orang-orang bukan Islam seseorang penama adalah merupakan penerima mutlak (beneficiary) kepada simpanan ahli yang meninggal dunia. Ini merupakan satu aturan yang amat longgar dan memberi peluang kepada seseorang ahli untuk menamakan sesiapa sahaja untuk menjadi benifisiari. Sebagai contoh, pihak ketiga seperti jiran, sahabat-sahabat atau sesiapa sahaja.


Dalam satu kes, seorang wanita telah datang ke pejabat saya mengadu bahawa beliau tidak dapat memperolehiwang simpanan KWSP suaminya yang telah meninggal dunia. Apabila beliau pergi ke Pejabat KWSP, beliau difahamkan suaminya telah menamakan orang lain sebagai benefisiari. Apabila disiasat didapati penama itu adalah jirannya. Apakah niat suami menamakan jiran sebagai penama adalah tidak diketahui. Tetapi, pada hakikatnya jiran itulah akan menjadi benefisiari mutlak untuk wang simpanan KWSP suaminya. Apa yang lebih menyukarkan ialah jirannya juga tidak menetap di rumahnya lagi dan tidak boleh dikesan. Saya juga percaya, jirannya juga tidak mengetahui namanya dimasukkan sebagai penama.


Pendekatan yang sedia ada ini, boleh juga mewujudkan peluang untuk berlakunya unsur-unsur penipuan ataupun ugutan dalam membuat penamaan. Bagaimana jika seorang ‘Ah Long’ memaksa seorang ahli yang meminjam wang daripadanya untuk menamakan dirinya  sebagai benefisiari.  Ini adalah satu keadaan yang cukup bahaya dan tidak berlaku adil kepada ahli dan keluarganya. Pastinya, kita harus mengaku bahawa terdapat kelompangan dalam soal penamaan bagi orang-orang bukan Islam.


Pada pandangan saya, kerajaan harus  merumuskan satu mekanisme yang lebih baik supaya wang simpanan ahli itu akhirnya dinikmati oleh anggota keluarga dan bukan oleh mana-mana pihak ketiga.


Untuk makluman Dewan Yang Mulia ini, kita boleh merujuk kepada kaedah-kaedah yang diguna pakai dalam Akta Insurans 1996 untuk membayar wang tuntutan polisi insurans nyawa apabila seseorang itu meninggal dunia. Hanya suami atau isteri, anak-anak atau ibubapa  yang layak untuk menerima faedah polisi secara benefisiari dan bukan sebagai wasi.


Selain daripada keluarga terdekat, penama yang lain hanya boleh menjadi wasi, kecuali faedah polisi itu diserahhakkan (absolute assignment) kepada penama jika niatnya adalah sedemikian. Rujukan boleh dibuat kepada Seksyen 163 hingga 169 Akta Insurans .

Saya yakin kaedah ini adalah lebih selamat, adil dan konsisten dalam amalan pentadbiran harta seseorang yang telah meninggal dunia. Oleh kerana KWSP juga merupakan satu instrumen kewangan untuk kebajikan ahli dan keluarganya, maka kaedah-kaedah yang digunakan untuk tujuan yang sama dalam produk insurans nyawa juga boleh diterima pakai dan diselaraskan.

Akhir sekali, saya juga ingin mengetahui samada niat kerajaan untuk meminda seksyen 51A dan  seksyen 55B adalah nntuk membolehkan pihak KWSP menguruskan dana ahli untuk tempoh yang lebih lama.  Ini adalah kerana kedua-dua pindaan ini akan membolehkan dana yang dipegang oleh KWSP tidak mengalir keluar kepada ahli ataupun pendaftar wang tidak dituntut dalam tempoh terdekat.


Adakah pindaan-pindaan ini bertujuan untuk menyelesaikan kekangan kewangan KWSP dalam tempoh jangka masa pendek?

Bidang Fisioterapi, Gelap Masa Hadapan Anak-anak Yang Menganggur Kerana Terpedaya Dengan Kata-Kata Manis Kolej Tertentu

Kenyataan Media YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah pada 20 Oktober 2015 di Dewan Rakyat.


Sewaktu membahaskan Rang Undang-undang Profesion Kesihatan Bersekutu 2015 saya telah membangkitkan isu mengenai salah satu bidang kesihatan yang disenaraikan iaitu Ahli Fisioterapi. Saya agak keliru dengan definisi Ahli Fisioterapi yang dimaksudkan dalam rang undang-undang ini. Saya mahu pengertian yang jelas daripada Menteri Kesihatan mengenai pentakrifan Ahli Fisiologi. Saya tidak tahu apakah syarat-syarat kelayakan untuk mengiktiraf seseorang itu sebagai Ahli Fisioterapi seperti mana yang dimaksudkan dalam rang undang-undang ini.

Adakah Ahli Fisioterapi ini memiliki sesuatu kelayakan ikthisas tertentu ataupun cukup sekadar memiliki sijil atau diploma daripada mana-mana kolej swasta di negara kita. Pada masa ini terdapat beberapa kolej swasta yang menawarkan kursus ini secara giat. Kursus ini juga telah berjaya menarik minat pelajar-pelajar lepasan SPM yang tidak berjaya memasuki kolej-kolej tajaan kerajaan ataupun tidak berminat melanjutkan pelajaran ke peringkat STPM. Ramai diantara pelajar-pelajar ini memilih jalan pintas untuk membuat program-program tertentu di kolej-kolej swasta. Salah satu daripada kursus yang menjadi pilihan kegemaran pelajar-pelajar ialah bidang Fisioterapi.
Minat pelajar-pelajar dan ibubapa mereka bertambah apabila pihak PTPTN juga menawarkan pinjaman pelajaran untuk mengikuti kursus ini yang dikendalikan oleh kolej-kolej swasta. Dengan adanya kemudahan pinjaman ini, maka ramai pelajar diseluruh negara telah mendaftar dan mengikuti pengajian fisioterapi ini. Pinjaman pelajaran yang diperolehi oleh pelajar-pelajar ini adalah lebih kurang RM60,000. Pada pandangan saya yuran kursus dan perbelanjaan lain untuk mengikuti program ini adalah sangat tinggi. Saya tidak nampak rasional untuk memilih kursus ini dengan kos pembelajaran yang begitu tinggi. Kursus ini membolehkan kolej-kolej swasta mengaut keuntungan besar tetapi merugikan pelajar-pelajar itu sendiri.

Ramai diantara pelajar-pelajar Fisioterapi yang telah menamatkan kursus terpaksa menganggur untuk sekian lama. Ramai juga yang telah memilih kerjaya lain meninggalkan bidang yang mereka telah mengaji. Dalam apa jua keadaan sekali pun, hutang itu tetap hutang. Mereka terpaksa membayar balik pinjaman PTPTN yang mereka perolehi untuk mengikuti kursus fisioterapi. Akhirnya pelajar-pelajar ini terpaksa menanggung beban hidup kerana membuat pilihan kursus  yang  tidak jitu. Saya menyalahkan pihak PTPTN kerana memberi pinjaman secara sewenang-wenangnya tanpa membuat kaji selidik yang mendalam tentang kursus-kursus yang ditawarkan oleh mana-mana pihak terutamanya kolej-kolej swasta. Ini adalah penting kerana kita tidak boleh mempertaruhkan masa hadapan anak-anak kita yang mungkin tertipu dengan kata-kata manis atau janji-janji yang diberikan sewaktu pemasaran program-program ini oleh kolej-kolej swasta.

Selain  itu, pihak PTPTN juga menghadapi masalah untuk mengutip balik bayaran pinjaman kerana kebanyakkan pelajar-pelajar itu masih menganggur. Hospital-hospital kerajaan mahupun swasta tidak berminat untuk mengambil mereka bekerja sebagai Ahli Fisioterapi kerana kelayakan mereka itu tidak diiktiraf.

Oleh yang demikian, saya mencadangkan supaya pihak kerajaan lebih berhati-hati ketika memberi lesen kepada mana-mana kolej swasta yang ingin menawarkan kursus-kursus tertentu yang tidak ada nilai dalam pasaran pekerjaan. Selain  itu, pihak PTPTN juga harus berhenti memberikan pinjaman pelajaran untuk kursus-kursus tertentu yang boleh menggugat masa hadapan pelajar-pelajar.  Ini boleh mengurangkan minat pelajar-pelajar terhadap kursus-kursus tersebut. Selain daripada itu, Pelajar-pelajar dan ibubapa juga harus lebih berhati-hati dan membuat pilihan yang tepat apabila membuat keputusan mengenai bidang yang akan diceburi. Jika tidak, mungkin akan mengalami kerugian besar.


Cadangan Supaya Pengamal Perubatan Tradisional Diserap Ke Dalam Ruang Lingkup Profesion Kesihatan Bersekutu

Kenyataan Media YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah pada 19 Oktober 2015 di Dewan Rakyat.



Dewan Rakyat telah membentangkan Rang Undang-undang Profesion Kesihatan Bersekutu. Rang Undang-undang ini adalah penting untuk menambah baik perkhidmatan kesihatan di negara kita. Memang tidak dapat dinafikan bahawa terdapat banyak bidang perubatan yang tidak dikawal selia di negara kita sehingga hari ini. Oleh demikian, sudah tiba masa untuk memastikan cabang-cabang perubatan ini diuruskan melalui satu badan atau majlis ikthisas untuk kebaikan rakyat jelata.

Profesion dalam  kesihatan bersekutu  ialah apa-apa profesion yang mempunyai kesan langsung atau tidak langsung kepada penjagaan pesakit atau kepada kesihatan individu. Bidang-bidang perubatan ini membantu dalam semua aspek pembangunan dan kemajuan perubatan di negara kita. Sumbangan bidang-bidang ini adalah amat besar dan tidak boleh dipertikaikan.

Dalam Rang Undang-undang yang dibentangkan itu , 23 profesion telah disenaraikan sebagai Profesion Kesihatan Bersekutu iaitu Ahli Audiologi, Ahli Dietetik, Ahli Entomologi, Ahli Fisioterapi, Ahli Fizik Perubatan, Ahli Pemakanan, Ahli Psikologi Klinikal, Ahli Sains Klinikal Biokimia, Ahli Sains Klinikal Bioperubatan, Ahli Sains Klinikal Embriologi, Ahli Sains Klinikal Genetik Perubatan, Ahli Sains klinikal Mikrobiologi, Ahli Terapi Cara Kerja, Ahli Terapi Pertuturan Bahasa, Ahli Terapi Radiasi, Jururadiografi Diagnostik, Juruteknologi Makmal Perubatan, Juruteknologi Pergigian, Pegawai Kesihatan Persekitaran, Pegawai Pendidikan Kesihatan, Pegawai Penyediaan Makanan, Pegawai Sains Forensik dan Pegawai Sosial Perubatan.

Terdapat banyak lagi cabang atau bidang-bidang perubatan yang tidak disenaraikan dalam rang undang-undang profesion kesihatan bersekutu. Sebagai contoh, perubatan tradisional ataupun alternatif yang banyak memberi sumbangan dalam dunia perubatan.
Saya telah menyuarakan pandangan saya di Dewan Rakyat sewaktu mencelah perbahasan YB Dr Ko Ahli Parlimen Kampar. Saya berpendapat bahawa pengamal perubatan alternatif iaitu perubatan tradisional seperti Ayurveda dan sebagainya juga harus disenaraikan dalam profesion kesihatan bersekutu. Ini adalah penting supaya kewujudan klinik-klinik perubatan alternatif dapat dikawal selia dengan baik oleh pihak Kementerian Kesihatan.

Pada masa ini banyak klinik-klinik perubatan alternatif atau tradisional bercendawan di negara kita. Kita tidak tahu samada pengamal-pengamal perubatan alternatif ini benar-benar layak dalam amalan perubatannya. Oleh  demikian, perlu ada mekanisme-mekanisme tertentu sebagai panduan dan hala tuju dalam mengawal pengwujudan dan operasi klinik-klinik kesihatan seperti ini. Amalan yang tidak betul atau palsu bukan sahaja merugikan dari segi kewangan malah boleh memudaratkan kesihatan pesakit-pesakit yang mengunjunginya.


Khamis, 15 Oktober 2015

Kaji Semula Akta Kanak-Kanak 2001

Kenyataan Media YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah dan Timbalan Pengerusi DAP Perak pada  13hb Oktober 2015 di Batu Gajah.




Isu penderaan kanak-kanak semakin kerap berlaku di negara kita. Mengikut statistik yang sedia ada, didapati kes penderaan kanak-kanak semakin meningkat bagi setiap tahun. Pada tahun 2010 sebanyak 1783 kes telah dilaporkan manakala pada  tahun seterusnya 1986 kes penderaan kanak-kanak dilaporkan di seluruh negara. Tahun 2012, kes penderaan kanak-kanak meningkat kepada 2043 dan 2227 kes pada tahun 2013. Walaupun pelbagai usaha dan kempen telah dijalankan oleh pihak kerajaan namun kes penderaan kanak-kanak tetap meningkat dari tahun ke tahun. Ini menunjukkan kaedah-kaedah untuk membendung jenayah terhadap kanak-kanak seperti penderaan fizikal, emosi, dan seksual adalah tidak efektif.

Masyarakat harus memandang serius terhadap isu penderaan kanak-kanak ini. Hal ini adalah kerana, kanak-kanak yang didera secara berterusan akan mengalami tekanan emosi yang keterlaluan atau mengalami kecedaraan atau kecacatan yang parah pada masa hadapan. Ini juga boleh menimbulkan masalah sosial kepada masyarakat. Malah, mereka juga berkemungkinan akan menjadi beban kepada kerajaan. Oleh yang demikian, kerajaan harus lebih prihatin dalam menyelesaikan masalah penderaan kanak-kanak ini.

Pada masa ini, mereka yang melakukan penganiyaan atau mendedahkan kanak-kanak sehingga menyebabkan kanak-kanak mengalami kecederaan fizikal, emosi, dan seksual boleh disabitkan di bawah seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001. Apabila disabitkan kesalahan, pesalah boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.


Selain itu, kesalahan penderaan yang menyebabkan kematian pula dikuatkuasakan di bawah seksyen 302 kanun keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dijatuhkan hukuman mati. Oleh kerana, kadar penderaan kanak-kanak semakin meningkat bagi setiap tahun. Kerajaan harus mengkaji semula undang-undang yang sedia ada serta kaedah-kaedah yang lebih efektif dalam menangani masalah ini.

Selasa, 13 Oktober 2015

Status Bumiputera untuk Melayu Indonesia?

Kenyataan Media YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah dan Timbalan Pengerusi DAP Perak pada  12hb Oktober 2015 di Batu Gajah.


Saya memahami isu status Bumiputera yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.Tetapi, baru-baru ini perkara ini menjadi semakin kabur apabila pihak-pihak tertentu menganggap diri mereka sebagai Bumiputera semata-mata untuk menikmati pelbagai kemudahan dan hak yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.
Memandangkan ramai yang mendapat taraf kewarganegaraan Malaysia baru-baru ini, perkara ini perlu dikaji semula untuk kepentingan seluruh rakyat Malaysia. Orang Melayu berketurunan Indonesia telah membanjiri negara kita. Ramai juga di antara mereka telah mendapat taraf kewarganegaraan. Ada juga di kalangan mereka telah berkahwin dan terus menetap di negara ini.
Persoalannya ialah samada generasi kedua keturunan Melayu Indonesia yang telah mendapat taraf kewarganegaraan itu akan juga dianggap sebagai bumiputera di negara ini? Perkara ini menimbulkan banyak persoalan dan kekeliruan kepada rakyat Malaysia. Oleh yang sedemikian, Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi perlu memberi penjelasan yang tegas berhubungan dengan perkara ini.
Kerajaan harus menjelaskan secara terperinci bagaimana seseorang itu akan menjadi Bumiputera di negara kita? Setakat ini berapakah ramai warga asing yang menjadi warganegara Malaysia yang telah diberikan taraf Bumiputera?



Isnin, 12 Oktober 2015

"SPR Tidak Berkecuali Dalam Urusan Pendaftaran Pengundi Baru"

Kenyataan Media YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah & Timbalan Pengerusi DAP Perak pada 9 Oktober 2015 di Tronoh.


Suruhanjaya Pilihanraya berlaku tidak adil dalam urusan pengendalian pendaftaran pengundi. Sebelum PRU13, parti-parti politik boleh membuat pendaftaran pengundi baru. Ini membolehkan parti-parti politik secara giat membantu SPR membuat pendaftaran pengundi baru. Walaupun pihak SPR tidak membenarkan penolong-penolong pendaftar parti politik membuat pertukaran alamat, tetapi sekurang-kurangnya boleh membuat pendaftaran pengundi baru.
Parti-parti politik merupakan kumpulan berkepentingan dalam hal ini. Oleh yang demikian adalah wajar untuk membenarkan wakil-wakil parti politik untuk dilantik sebagai penolong-penolong pendaftar SPR.
Selepas PRU13, tiba-tiba SPR tidak lagi mahu melantik semula penolong pendaftar parti politik. SPR memberi alasan yang tidak munasabah. Kononnya, SPR sedang membuat penyelarasan terhadap pelaksanaan kaedah-kaedah yang sedia ada. Ini adalah satu jawapan yang tidak rasional. SPR boleh membuat kerja-kerja penyelarasan disamping penolong-penolong pendaftar  menjalankan kerja-kerja pendaftaran pemilih baru.
Kerja-kerja pendaftaran pemilih baru tidak boleh diberhentikan. Perlembagaan Persekutuan mensyaratkan pendaftaran sekiranya seseorang warganegara yang mencapai umur 21 tahun ingin menjadi pengundi. Oleh itu, kerja-kerja pendaftaran pemilih baru dan pertukaran alamat masih dilaksanakan oleh SPR selepas PRU13. Tetapi, peliknya,  SPR tidak mahu melantik penolong-penolong pendaftar dari kalangan wakil-wakil parti politik.
SPR juga telah melantik jabatan-jabatan kerajaan dan agensi-agensi kerajaan tertentu untuk membantu membuat kerja-kerja pendaftaran pengundi baru. Selain  itu, ketua-ketua kampung dan  Ketua-ketua kampung baru juga dilantik untuk membuat tugas yang sama. Pejabat-pejabat SPR Majlis Daerah, Pejabat Tanah dan Pejabat Pos juga turut dijadikan pusat-pusat untuk mendaftar pengundi baru dan bertukar alamat. Jika pihak-pihak ini boleh membuat kerja-kerja pendaftaran pemilih, kenapa tidak wakil-wakil parti politik?
Nyata sekali Barisan Nasional telah takut kepada kekuatan pihak pembangkang yang secara giat membuat pendaftaran pengundi sebelum ini. Selepas prestasi Barisan Nasional turun dalam PRU13, SPR telah diarahkan supaya tidak melantik lagi wakil-wakil parti politik sebagai penolong-penolong pendaftar. SPR juga nampaknya tidak ada tulang belakang untuk berfungsi sebagai sebuah badan yang berkecuali.
Imej SPR semakin tercemar apabila fungsinya diganggu oleh  kerajaan. SPR sepatutnya bersikap berkecuali dan berlaku adil kepada semua parti politik yang ada di negara ini. Malangnya, SPR telah lupa peranan utamanya sebagai badan neutral dan sentiasa mengikut telunjuk Barisan Nasional.
SPR perlu kembali kepada landasan yang asal. Rakyat harus diutamakan dan bukannya pemimpin-pemimpin kerajaan yang memperkudakan institusi ini. SPR harus melantik semula wakil-wakil parti politik sebagai penolong pendaftar. Ini akan memberi ruangan dan peluang kepada lebih ramai pengundi-pengundi muda untuk mendaftarkan diri sebagai pemilih.


Selasa, 6 Oktober 2015

MBI Gagal Menjaga Kebersihan Dan Kesejahteraan Taman Falim

Kenyataan Media YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah & Timbalan Pengerusi DAP Perak  pada 3 Oktober 2015.
Kerajaan Tempatan telah tersungkur daripada landasan fungsi yang sebenarnya. Majlis Bandaraaya Ipoh telah lupa kepada fungsi-fungsi asas organisasi itu. Tidak ada makna jika pihak Majlis gagal menjalankan tanggungjawab asasnya iaitu menjaga kebersihan dan kesejahteraan penduduk di bawah bidang kuasanya. Hari ini penduduk Ipoh dan sekitarnya merungut bahawa MBI gagal menjalankan tanggungjawab asasnya itu. 
Saya telah membuat lawatan ke Taman Falim yang terletak di DUN Jelapang. Penduduk-penduduk kawasan itu membuat aduan bahawa longkang-longkang tidak dibersihkan. Selain daripada itu, penyelenggaraan padang permainan kanak-kanak juga tidak memuaskan.  Tumbuhan  telah naik tinggi pada alat-alat permainan yang dipasang di padang itu. Saya tidak tahu kenapa pihak Majlis boleh mengabaikan penyelenggaraan padang-padang permainan sebegini.
Selain itu, papan bola jarring di gelanggang  juga perlu diperbaiki. Bukankah ini merupakan tanggungjawab Majlis Bandaraya Ipoh? Adakah Majlis Bandaraya Ipoh akan memberi alasan yang sama iaitu tidak cukup peruntukan untuk memperbaiki papan di gelanggang bola jaring itu?
Peralatan senaman yang biasa digunakan oleh warga emas di Taman Falim juga telah rosak. Saya difahamkan ramai dari kalangan warga emas di kawasan itu menggunakan alat-alat senaman yang dipasang di Taman Falim. Mereka berasa kecewa kerana pihak Majlis tidak memperbaiki atau mengganti peralatan yang rosak.
Saya juga amat kecewa kerana pihak berkuasa tempatan tidak melakukan pemantauan yang sewajarnya. Ini menjadi punca pengabaian kerja-kerja oleh pihak kontraktor. Pihak kontraktor yang hanya mahu keuntungan yang lumayan itu tidak mempedulikan keselamatan dan kesejahteraan penduduk. Ahli-ahli Majlis juga tidak mahu turun padang membantu menyelesaikan masalah-masalah kawasan yang terletak di bawah bidang kuasanya.

Dalam kata lain, rakyat yang membayar cukai pintu berasa tertipu oleh pihak Majlis yang tidak mengambil peduli tentang masalah dan aduan mereka. Datuk Bandar harus bertegas dalam soal kebersihan dan kerapian bandaraya Ipoh. Beliau harus turun padang dan melihat sendiri keadaan bandaraya Ipoh.  Jangan terlalu mengharapkan Ahli-ahli Majlis yang sudahpun membuktikan kegagalan mereka menjalankan tugasan secara bersih dan amanah.

Cabar Menteri KDN Bertindak Terhadap Pihak Yang Mempertikaikan Sekolah Vernakular

Kenyataan Media YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah & Timbalan pengerusi DAP Perak pada 2 Oktober 2015 di Ipoh

Saya amat bersetuju dengan saranan Timbalan Perdana Menteri untuk membendung konflik perkauman dari awal-awal lagi. Baru-baru ini isu perkauman menjadi permainan politik pelbagai pihak. Banyak isu perkauman yang sengaja ditimbulkan untuk menjuarai kaum masing-masing. Ini adalah satu perkembangan yang tidak sihat malah boleh menghancurkan negara kita.
Negara kita merupakan negara majmuk yang mempunyai reputasi antarabangsa untuk kepelbagaian etnik, agama, budaya dan bahasa. Kita tidak boleh membenarkan mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab untuk memusnahkan khazanah kemajmukan ini untuk kepentingan mereka.
Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata ‘mainan sentimen dan ugutan perkauman harus dihentikan awal-awal lagi’. Beliau berucap sedemikian selepas mempengerusikan satu mesyuarat khas dengan menteri-menteri ASEAN di Kuala Lumpur semalam.
Saya berharap kata-kata beliau itu bukanlah sekadar untuk mendapatkan perhatian delegasi luar negara. Rakyat sudah hilang keyakinan dengan pemimpin-pemimpin negara yang turut membarakan api perkauman. Sebagai seorang negarawan, slogan perpaduan seperti 1Malaysia dilaung-laungkan. Pada ketika lain, sebagai seorang pemimpin parti politik pula membarakan semangat perkauman. Ini dapat dilihat dengan jelas apabila pemimpin-pemimpin utama negara menyokong Himpunan Merah secara terang-terang. Isu perkauman dimainkan dengan begitu hangat sekali untuk menimbulkan kemarahan dan kebencian sesuatu kaum.
Oleh yang demikian, Zahid Hamidi tidak boleh bersikap hipokrit dan berat sebelah dalam segala usaha untuk menghapuskan politik perkauman di negara kita. Adakah beliau sanggup mengambil tindakan tegas terhadap sesiapa sahaja termasuk menteri-menteri kabinet yang mengungkitkan isu perkauman yang sensitif.
Saya masih tidak percaya beliau akan bertindak secara neutral dalam menangani isu perkauman ini. Pertama sekali saya mencabar beliau supaya memberi arahan kepada seluruh rakyat  Malaysia supaya tidak mempertikaikan lagi kewujudan sekolah-sekolah vernakular di negara ini.  Bolehkah beliau mengeluarkan arahan seperti itu? Beranikah beliau mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang mempertikaikan hak ini?


Isnin, 5 Oktober 2015

Perlukah Negara Kita Dibanjiri 1.5 Juta lagi Pekerja Bangladesh?

Kenyataan Media YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah dan Timbalan Pengerusi DAP Perak pada 1 Oktober 2015 di Ipoh

Adakah negara kita benar-benar mengalami krisis kekurangan pekerja? Negara kita telah dibanjiri oleh pekerja-pekerja asing dari Indonesia, Bangladesh, Nepal dan negara-negara lain. Memang tidak boleh dinafikan bahawa pekerja-pekerja asing diperlukan untuk pelbagai sektor. Tetapi, kehadiran mereka dalam jumlah yang begitu besar juga boleh menggugat kedudukan sosio-ekonomi negara.
Jutaan dikalangan pekerja-pekarja asing ini juga memasuki negara kita secara haram. Mereka mencari rezeki di negara ini secara haram. Mereka membawa keluar khazanah negara yang bernilai jutaan ringgit secara haram. Bukankah ini boleh menjejaskan ekonomi negara kita. Kita tidak boleh melihat perkara ini  dalam konteks membantu pengilang-pengilang yang memerlukan tenaga kerja murah.
Kehadiran pekerja-pekerja asing ini menjelaskan peluang pekerjaan kepada orang-orang tempatan. Tambahan pula, gaji orang tempatan juga tertakluk kepada gaji yang ditawarkan kepada pekerja-pekerja asing oleh majikan. Pekerja-pekerja asing ini sanggup bekerja untuk gaji yang rendah. Ini menyebabkan pekerja-pekerja tempatan juga terpaksa menerima gaji yang rendah. Jika pekerja-pekerja tempatan menuntut gaji yang tinggi, sudah pasti majikan lebih cenderung untuk mengambil buruh asing. Ini dapat mengurangkan kos operasi perniagaan yang dijalankan oleh majikan.
Memang kehadiran pekerja-pekerja asing ini boleh menguntungkan pihak majikan. Dalam pada itu, ia juga akan menjadi mangkin dalam menjana aktiviti-aktiviti ekonomi dalam negara. Tetapi, pengantungan yang keterlaluan kepada pekerja-pekerja asing ini juga akan membawa banyak keburukan kepada negara kita.
Kemasukan pekerja-pekerja asing ini boleh membawa bersama pelbagai penyakit yang boleh memudaratkan rakyat tempatan. Selain daripada itu, mereka juga cenderung untuk terlibat dengan pelbagai aktiviti jenayah yang boleh menjejaskan keamanan dan kesejahteraan negara kita. Mereka juga merampas peluang-peluang pekerjaan daripada anak-anak muda kita. Selain daripada itu, mereka juga mendirikan rumahtangga dan mahu menjadi warganegara  Malaysia. Ramai juga sudah memulakan perniagaan dan menguruskan kebun sendiri.  
Nampaknya warga asing kini menjadi lebih makmur di tanahair kita. Kerajaan gagal mengawal kemasukkan mereka. Yang lebih menakutkan lagi ialah keputusan Timbalan Perdana Menteri untuk membawa 1.5 juta orang pekerja Bangladesh mulai tahun 2016. Beliau mengumumkan bahawa pekerja-pekerja ini akan dibawa masuk dalam tempoh 3 tahun. 
Persoalannya ialah samada negara kita sememangnya memerlukan begitu ramai pekerja asing. Ekonomi negara kita semakin merudum. Aktiviti-aktiviti perniagaan semakin lembab. Kenapa kita memerlukan 1.5 juta pekerja asing dari Bangladesh? Apakah rasional dalam keputusan ini. Saya tidak tahu samada kerajaan telah benar-benar membuat kajian terperinci berkenaan dengan keperluan sumber manusia yang begitu ramai dalam 2 atau 3 tahun yang akan datang.
Adakah kerajaan hanya mahu membantu kroni-kroni tertentu yang bakal membuat keuntungan berbilion ringgit daripada urusan membawa masuk pekerja-pekerja asing ini? Pastinya rakyat negara kita akan rugi dalam persaingan dengan pekerja-pekerja asing  yang sanggup menjadi buruh murah. Ini akan memaksa pekerja-pekerja tempatan juga dibayar gaji yang murah  oleh majikan. Kebajikan pekerja-pekerja tempatan tidak dipedulikan oleh kerajaan. Dalam keadaan ekonomi meleset, kos hidup yang tinggi, gaji yang rendah akan menjejaskan ekonomi rumahtangga pekerja-pekerja tempatan.
Saya amat bimbang dengan keputusan kerajaan untuk membawa  masuk 1.5juta pekerja Bangladesh ke negara kita. Saya mencadangkan supaya keputusan itu ditangguhkan sementara waktu dan memberi tumpuan kepada kaedah-kaedah untuk memulihkan ekonomi negara kita.


Khamis, 1 Oktober 2015

Tidak Tahu Pejabat Digunakan Untuk Edar Baju Merah, Tidak Tahu Keputusan Kementerian Mengenai Isu POL, Kamalanathan Jangan Bersandiwara.

Kenyataan Media YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah & Timbalan Pengerusi DAP Perak pada 1 Oktober 2015 di Ipoh


Sungguh sedih dengan pengumuman Kementerian Pendidikan bahawa pengambilan guru-guru untuk mengajar kelas Pupil’s Own Language (POL) akan diberhentikan untuk mengurangkan kos pengurusan kementerian. Kenapa pihak kementerian tidak peka mengenai sensitiviti isu tersebut? Tindakan untuk mengganggu kelas-kelas POL ini sudah pasti akan menimbulkan kemarahan dan kebimbangan pelbagai pihak terutamanya ibubapa.
Pada dasarnya, pengumunan itu membuktikan kerajaan tidak ada kesungguhan dalam pengajaran bahasa ibunda. Kerajaan sentiasa mencari jalan untuk meniadakan pengajaran bahasa ibunda di sekolah-sekolah kebangsaan. Inilah sebabnya kita risau dan tidak mahu berganjak daripada idea-idea untuk menutup sekolah-sekolah vernakular di negara kita. Ramai yang mencadangkan supaya sekolah-sekolah vernakular ditutup dan mewajibkan pengajaran bahasa ibunda di sekolah kebangsaan.
Jika ini berlaku, adalah mudah untuk kerajaan yang tidak prihatin ini untuk mengubah polisi bila-bila masa untuk memberhentikan pengajaran bahasa ibunda di sekolah-sekolah kebangsaan. Perkara ini adalah mudah dilakukan berbanding dengan usaha-usaha untuk menutup sekolah-sekolah vernakular. Pandangan untuk menutup sekolah-sekolah vernakular dan mewajibkan pembelajaran bahasa ibunda di sekolah kebangsaan merupakan satu tipu muslihat pemimpin-pemimpin yang tidak bertanggungjawab.
Pengumuman Kementerian Pendidikan mengenai POL membuktikan kerajaan boleh menghapuskan pengajaran bahasa ibunda di sekolah kebangsaan dengan mudah sekali. Oleh yang demikian, kita tidak boleh tunduk kepada tekanan mana-mana pihak untuk menutup sekolah-sekolah vernakular di negara ini.
Saya difahamkan bahawa keputusan Kementerian Pendidikan mengenai isu POL ini telah dibatalkan setelah Timbalan Menteri Pendidikan membuat bantahan kepada Menteri Pendidikan. Peliknya, adakah keputusan ini dibuat oleh pihak kementerian tanpa berunding dengan beliau. Adakah ini bermakna beliau hanya mengetahui perkara tersebut setelah diumumkan oleh Setiausaha Kementerian Pendidikan Tan Sri Madinah Mohamad pada hari selasa.  Menurutnya, beliau tidak terlibat dalam keputusan itu. Ini menjatuhkan lagi kredibiliti beliau sebagai seorang Timbalan Menteri yang tidak dihormati dalam kementeriannya sendiri.
Keputusan pihak kementerian untuk mengurangkan kos dengan memberhentikan pengambilan guru-guru POL bukanlah satu keputusan yang bijak. Keputusan ini mempunyai unsur-unsur niat jahat yang tersirat. Kementerian boleh mengurangkan kos dalam banyak aspek yang lain dan bukannya dengan mengganggu perjalanan kelas POL. Pada pandangan saya, kelas POL ini menyakitkan mata pihak-pihak tertentu yang menyebabkan keputusan sedemikian dibuat tanpa berunding dengan pihak-pihak yang berkepentingan, lebih-lebih lagi Timbalan Menteri Pendidikan sendiri.