Rabu, 29 April 2015

Penglibatan Wanita Dalam Peringkat Pengurusan Pelbagai Sektor Perlu Dipertingkatkan Tanpa Diskriminasi


Penglibatan wanita dalam sektor pekerjaan semakin meningkat. Begitu juga, kaum wanita memainkan peranan yang penting dalam memegang jawatan-jawatan tinggi di sektor awam mahupun di sektor swasta. Peranan wanita dalam pembangunan negara tidak boleh dipandang rendah. Wanita berjaya membuktikan kebolehan dalam pelbagai sektor yang dahulunya hanya didominasikan oleh kaum lelaki.

 Di Malaysia, penglibatan wanita-wanita di dalam bidang pekerjaan, walaupun masih rendah, telah meningkat daripada 44.7% pada tahun 1995 kepada 47.3 % pada tahun 2004. Semakin ramai wanita kini terlibat di dalam sektor pekerjaan adalah amat ketara apabila sektor perindustrian berada di tahap yang tertinggi pada tahun 1980an.

Pada tahun 2004, hanya 18.8% wanita menyandang jawatan utama sektor awam (JUSA). Walau bagaimanapun peratusan itu telah meningkat kepada 25.2% pada tahun 2006. Peningkatan kaum wanita di peringkat JUSA telah terus bertambah sehingga mencapai 32.5% pada tahun 2014.

Seramai 7 orang wanita menjawat jawatan sebagai Ketua Setiauasaha Kementerian dan 27 orang wanita menjawat jawatan sebagai Ketua Pengarah Jabatan Persekutuan dan Badan Berkanun. Selain daripada itu, dalam bidang kehakiman sivil pula jawatan Hakim dan Pesujuhjaya Kehakiman wanita adalah seramai 46 orang iaitu 35.7%.

Walaupun terdapat peningkatan dalam penglibatan kaum wanita dalam jawatan-jawatan tinggi di sektor awam, tetapi adakah ia dilakukan secara adil dan saksama antara kaum di negara ini? Peningkatan dalam peratusan mungkin tidak memberi gambaran yang sebenar. Dalam hal menyelesaikan diskriminasi gender, kita tidak boleh mengabaikan diskrimasi perkauman.

Saya ingin meminta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat menyatakan statistik penglibatan kaum wanita di peringkat pengurusan tinggi mengikut kaum di negara ini. Ini adalah penting bukan sahaja untuk memberi peluang kepada kaum hawa tetapi ianya dilakukan secara adil dan saksama diantara semua kaum di Malaysia merangkumi penglibatan wanita pribumi di Sabah dan Sarawak.

Data daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia membuktikan bahawa 16% iaitu 3513 orang adalah wanita menjadi Ahli Lembaga Pengarah di syarikat awam pada tahun 2014. Dalam sektor perbankan pula, sehingga tahun 2014, Ahli Lembaga Pengarah adalah seramai 57 orang iaitu 7.9%.

Apakah usaha-usaha yang diambil oleh kerajaan untuk meningkatkan lagi penyertaan wanita secara lebih menyeluruh dan saksama di peringkat pembuatan keputusan dan berjawatan tinggi dalam sektor awam dan sektor korporat?

GST & Penurunan Nilai Ringgit Merupakan Beban Baru Yang Perlu Dipikul Oleh Rakyat Di Bawah Pentadbiran Najib



Kenyataan Media - Ucapan YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah di Jamaun Makan Malam Persatuan Chin, Pusing, Batu Gajah pada 19 April 2015 

YB. V. Sivakumar
Peniaga-peniaga dan rakyat Malaysia mengalami tekanan ekonomi yang agak keterlaluan sejak kebelakangan ini. GST yang diperkenalkan oleh kerajaan pada 1 April 2015 merupakan satu langkah yang salah. Setiap rakyat Malaysia dipaksa membayar cukai untuk barangan dan perkhidmatan yang mereka beli. Cukai 6% ini adalah terlalu tinggi dan amat membebankan rakyat Malaysia.

Rungutan rakyat kedengaran di mana-mana sahaja. Setiap orang meluahkan rasa tidak puas hati terhadap tindakan kerajaan yang tidak prihatin dalam keadaan ekonomi negara yang semakin merudum. Kerajaan Barisan Nasional adalah terlalu tamak dan mementingkan kewangannya sahaja. Masalah yang akan dihadapi oleh rakyat tidak diberi pertimbangan sebelum cukai ini dilaksanakan.

Kerajaan asyik menyatakan cukai ini akan membawa manfaat kepada rakyat dan negara. Saya tidak faham rasional bagaimana cukai tambahan boleh membawa kesejahteraan kepada rakyat apabila negara kita masih tenggelam dalam rasuah dan keborosan. Selagi kita tidak menghapuskan rasuah, keborosan, ketirisan dan kebocoran ekonomi, pelaksanaan GST tidak akan membawa keuntungan kepada rakyat. GST hanya akan menjadi sumber kewangan kepada kerajaan untuk menyelesaikan masalah kewangan dalam jangka pendek. Dalam jangka panjang, jika kerajaan masih gagal menyelesaikan masalah kewangan adakah ia akan meningkatkan kadar GST lagi?


Peniaga-peniaga juga merungut bahawa barang-barang yang mereka beli terutamanya dari luar negara menjadi semakin mahal kerana penurunan nilai matawang ringgit. Ini menyebabkan import menjadi semakin mahal. Apabila barang-barang yang diimport itu semakin mahal, beban peningkatan kos itu akan dipindahkan terhadap pengguna-pengguna yang membeli barangan itu daripada peniaga-peniaga. Oleh yang demikian, harga barang-barang yang diimport di pasaran tempatan menjadi semakin tinggi. Apabila ditambah dengan GST terhadap barangan tersebut, maka rakyat terpaksa menanggung kenaikan harga yang mendadak dan membebankan.

Berapakah Bilangan Pegawai Daerah Dari Kaum India Di seluruh Negara?



Kenyataan Media YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah 17/4/2015



Adakah benar bahawa MIC benar-benar memperjuangkan hak kaum India?Saya tidak tahu apa perjuangannya yang sebenar. Baru-baru ini kita semua masih mengikuti pergolakkan kuasa antara pemimpin-pemimpin utama MIC.

Tetapi kebanyakan diantara kaum India tidak berminat dengan isu ini lagi. Mereka merasakan parti MIC tidak lagi relevan untuk memperjuangkan hak kaum India yang jauh ketinggalan.

Selepas lebih 50 tahun merdeka, Barisan Nasional masih mengamalkan polisi-polisi diskriminasi kaum yang sangat ketara. Pada suatu ketika dahulu, kaum India ramai bekerja dalam sektor perkhidmatan awam. Perkara ini tidak boleh dinafikan oleh mana-mana pihak.

Mereka juga pernah memegang jawatan-jawatan tinggi dalam sektor awam. Di manakah mereka ini semua? Selepas mereka ini bersara, tidak ada pengambilan baru dari kalangan kaum India untuk menggantikan mereka. Ini adalah hasil daripada polisi diskriminasi yang dilakukan secara senyap-senyap di bawah pentadbiran kerajaan Barisan Nasional.

Walaupun pemimpin-pemimpin MIC mengetahui dasar yang berat sebelah dan merugikan kaum India, tetapi mereka telah mengambil sikap berdiam diri. Akibatnya kaum India telah kehilangan tempat dalam sektor awam.

Saya tahu MIC tidak akan mengaku kelemahan mereka. Tetapi, saya ingin bertanya kepada mereka berapakah jumlah Pegawai Daerah dan Penolong Pegawai Daerah di kalangan kaum India yang masih menjawat jawatan itu sekarang.

Jawatan-jawatan ini adalah penting dan saya percaya ada diantara kakitangan awam dikalangan kaum India layak memegang jawatan-jawatan tersebut. Kecuali pemimpin-pemimpin MIC berpendapat bahawa kaum India memang tidak layak untuk jawatan Pegawai Daerah dan Penolong Pegawai Daerah.

Jika mereka menafikan dakwaan saya, adalah perlu untuk menjelaskan beberapa perkara seperti berikut:-

1) Adakah mereka pernah membangkitkan isu jawatan Pegawai Daerah dan Penolong Pegawai Daerah di peringkat Kabinet?

2) Jika ya, apakah hasilnya? Adakah kerajaan pernah memberi apa-apa alasan berhubung dengan perkara ini. Nyatakan pendirian kerajaan mengenai perkara ini.

3) Adakah MIC mempunyai niat untuk mendesak kerajaan untuk jawatan-jawatan seperti ini. Jika ya, bagaimanakah ia akan dilaksanakan supaya orang ramai mengetahui perjuangan parti itu.

4) Apakah pendirian MIC mengenai meningkatkan bilangan kakitangan sektor awam dari kalangan kaum India.



Saya berharap pucuk kepimpinan MIC sekarang boleh memberi jaminan bahawa kerajaan akan meningkatkan pengambilan kaum India bekerja dalam sektor awam. Tetapi, jaminan itu seharusnya dalam bentuk 'blue print' kerajaan kepada kaum India. Jika tidak, sekali lagi masyarakat India akan tertipu seperti slogan 'Nambikai' sebelum PRU13.

Khamis, 16 April 2015

Rakyat Hilang Keyakinan Terhadap PM Kerana Tidak Menepati Janji PRU



Kenyataan Media YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah pada 15/4/2015 di Ipoh


Keyakinan rakyat terhadap Kerajaan Barisan Nasional semakin luntur apabila undang-undang zalim Akta Hasutan dipinda di Dewan Rakyat pada 9 April 2015. Tarikh ini sekali lagi mencatatkan sejarah hitam apabila amalan demokrasi negara dihanyutkan kerana ketamakkan kuasa dan kepentingan politik pemimpin-pemimpin politik Barisan Nasional.

Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak telah hilang kredibiliti apabila beliau memungkiri janji pilihanraya untuk memansuhkan Akta Hasutan ini. Beliau telah membuat pengumuman ini dalam satu Jamuan Makan Malam Jabatan Peguam Negara pada 10 Julai 2012. Beliau juga pernah mengulangi kenyataan itu dalam temuramah dengan media antarabangsa BBC.

Datuk Seri Najib Tun Razak mahu memperkenalkan Akta Harmoni Nasional yang boleh menjamin kebebasan suara dan pada masa yang sama dapat mengekalkan keharmorian rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum, agama dan ideologi. Beliau telah meyakinkan rakyat bahawa akan lebih prihatin dan mengambil usaha-usaha yang mantap untuk menyuburkan proses demokrasi dalam negara.

Tetapi, keyakinan rakyat itu terkecai apabila kerajaannya telah meminda Akta Hasutan dengan memasukkan perkara-perkara yang lebih kejam dan mengekang kebebasan suara rakyat. Lantaran itu, negara kita telah mengorak langkah kebelakang dalam soal hak Asasi Malaysia. Ditambah lagi, Undang-undang POTA (Prevention of Terrorism Act) yang diluluskan beberapa hari sebelum itu pula menjadi penjelmaan roh ISA (Internal Security Act) dalam jasad yang baru.

 Walaupun Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu memberi amaran kepada negara supaya tidak membuat pindaan kepada undang-undang kuno seperti ini tetapi kerajaan masih berdegil untuk meluluskannya di Parlimen. Walaupun ditentang oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, Majlis Peguam Malaysia, pelbagai NGO, mahasiswa dan parti-parti politik pembangkang tetapi kerajaan Barisan Nasional tetap mahu meneruskan agenda jahat itu.

Kenapa Barisan Nasional mahu berbuat demikian? Adakah kerana demi kesejahteraan rakyat? Sudah tentu tidak. Akta Hasutan dipinda dan POTA diluluskan semata-mata untuk menyekat kemaraan Pakatan Rakyat menuju ke Putrajaya. Kerajaan bimbang apabila pengaruhnya semakin berkurangan dalam keadaan ekonomi yang semakin merudum, peningkatan dalam kadar inflasi dan pelaksanaan GST yang tidak popular.

Tambahan pula, Pakatan Rakyat telah meluaskan pengaruhnya di kalangan rakyat Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak. Undi popular yang diterima oleh Pakatan Rakyat dalam PRU13 telah menggetarkan lagi kedudukan Barisan Nasional. Oleh yang demikian, undang-undang zalim yang bertentangan dengan hak asasi manusia dan bercanggah dengan semangat Perlembagaan Persekutuan diluluskan di dewan yang mulia.

Walaupun janji-janji diberikan oleh kerajaan bahawa undang-undang kejam seperti ini tidak bertujuan untuk menghalang kebebasan bersuara dan tingkah laku parti-parti pembangkang, tetapi pada hakikatnya itulah akan berlaku di negara kita sebelum PRU14. Kerajaan akan menggunakan undang-undang zalim ini untuk menakutkan pemimpin-pemimpin politik, mahasiswa-mahasiwa dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan yang bercorak reformis. Pihak media juga tidak akan terlepas daripada ancaman dan kekangan ini.

Malaysia adalah sebuah negara demokrasi yang disusun atur corak pemerintahannya berdasarkan Perlembagaan Persekutuan. Prinsip Rukun Negara dijunjung demi menjaga keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang. Malaysia juga berhasrat untuk mencapai taraf negara maju menjelang tahun 2020. Semua ini tidak boleh direalisasikan di bawah sebuah rejim yang tidak menghormati hak-hak asasi dan amalan demokrasi berparlimen yang dijamin oleh undang-undang tertinggi negara. Oleh yang demikian, rakyat daripada semua lapisan masyarakat harus menolak kerajaan hari ini dalam PRU14. Apabila kerajaan gagal menegakkan keadilan, adalah menjadi tanggungjawab rakyat untuk membetulkan yang tidak betul.

Khamis, 9 April 2015

Kerbau Pun Ada Masa Untuk Mandi, Tetapi Ahli Parlimen Malaysia Terpaksa Bersidang Tak Bermandi



Kenyataaan Media YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah pada 9 April 2015 di Dewan Rakyat ( siap 2.00am)


Sewaktu menulis kenyataan ini, jam 1.30am, 9 April 2015. Kami Ahli-ahli Parlimen terpaksa duduk di Dewan Rakyat untuk membahas 4 lagi rang undang-undang. Ini adalah satu lagi penyalahgunaan kuasa parlimen. Kerajaan mahu meluluskan undang-undang di larut malam secara terburu-buru.

Kenapa kerajaan mahu melakukan ini? Apa niat kerajaan sebenarnya? Adakah kerajaan mahu parlimen kita meluluskan undang-undang tanpa memberi ruangan dan peluang kepada pihak pembangkang membuat persediaan yang lengkap dan komprehensif? Sememangnya teknik yang digunakan kali ini adalah cukup ganjil tetapi memalukan Parlimen Malaysia.

Kerajaan tidak mahu pihak pembangkang membahaskan rang undang-undang secara teliti dan terperinci. Ini adalah niat jahat dan penyelewengan kuasa yang boleh memudaratkan rakyat. Walaupun pihak pembangkang membantah dan memohon supaya Dewan ditangguhkan tetapi pihak kerajaan masih mahu meneruskan sidang Dewan lewat malam. Hujah-hujah pihak pembangkang ialah kualiti perbahasan akan terjejas apabila Ahli-ahli Parlimen letih kerana terpaksa bersidang dari pagi hingga larut malam.

"Kerbau pun ada masa untuk mandi, tetapi Ahli-ahli Parlimen Malaysia terpaksa bersidang tak bermandi". Pada pandangan saya ini merupakan satu penderaan terhadap Ahli -ahli Parlimen. Ahli-ahli Parlimen terpaksa bersidang kerana rang undang-undang yang dibahaskan adalah penting dan melibatkan rakyat dan negara. Ahli-ahli Parlimen berkewajiban untuk membela rakyat. Oleh yang demikian, Ahli Parlimen pihak pembangkang terpaksa membahaskan rang undang-undang yang dibentangkan walaupun dalam keadaan cukup tertekan dan mendesak.

81.8% Kes Jenayah Samun Adalah Melibatkan Pelajar-pelajar Dari Nigeria. Apa tindakan KDN?



Kenyataan Media YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah, Timbalan Pengerusi DAP Perak & Setiausaha Antarabangsa DAP Malaysia pada 8 April 2015 di Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia.


Memang adalah dasar negara untuk menjemput pelajar-pelajar antarabangsa untuk melanjutkan pelajaran di Malaysia. Malaysia yang dianggap sebagai sebuah negara yang penuh dengan diversiti kebudayaan, keindahan alam dan suasana perniagaan moden menarik ramai pelajar-pelajar asing untuk memilih negara kita untuk melanjutkan pelajaran mereka di sini.

Gambar Hiasan

Kedatangan pelajar-pelajar asing ini juga mendatangkan banyak faedah kepada negara kita. Sebagai contoh, ini akan membawa masuk aliran wang asing ke negara kita. Tambahan pula, industri pelancongan juga turut berkembang melalui sektor pendidikan yang luas membuka ruang kepada pelajar-pelajar asing.

Tetapi, dalam memikirkan pembangunan ekonomi melalui sektor pendidikan, kita juga tidak boleh melupakan masalah-masalah dan kemudaratan yang dihadapi oleh negara jika pengambilan pelajar-pelajar itu dibuat tanpa saringan yang baik. Pelajar-pelajar yang memasuki ke negara kita mungkin mempunyai rekod yang buruk di negara mereka.

Selain daripada itu, niat mereka datang ke negara kita juga mungkin berlainan. Mereka mungkin mempunyai agenda tersendiri untuk datang ke negara kita tetapi mengambil peluang daripada kekontangan syarat-syarat kemasukan ke negara kita. Mereka memilih untuk datang ke negara kita sebagai pelajar-pelajar antarabangsa dan menjalankan aktiviti-aktiviti sosial yang memudaratkan rakyat negara kita.

Saya telah bertanya kepada Menteri Dalam Negeri berhubung dengan isu ini. Dalam soalan lisan yang dikemukan pada 8 April 2015 di Dewan Rakyat saya meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan jumlah pelajar
antarabangsa yang terlibat dalam aktiviti-aktiviti jenayah di negara kita. Apakah langkah-langkah yang diambil oleh Kementerian terhadap pelajar-pelajar ini supaya tidak menyalahgunakan permit masuk sebagai pelajar untuk tujuan-tujuan lain seperti perniagaan, pelacuran dan aktiviti-aktiviti jenayah yang lain?

Dalam jawapan yang diberikan oleh Menteri Dalam Negeri, beliau menegaskan bahawa pihak Kementerian memandang serius penglibatan pelajar-pelajar asing yang terlibat dalam aktiviti-aktiviti jenayah kekerasan atau jenayah harta benda. Beliau juga mengakui bahawa jika perkara ini tidak dibendung ia dapat menimbulkan kegusaran kepada masyarakat tempatan.


Dalam dua tahun iaitu 2013 dan 2014 telah berlaku 2 kes pembunuhan yang melibatkan pelajar-pelajar antarabangsa. Ini adalah kesalahan yang amat berat yang melibatkan pelajar-pelajar asing. Pada tahun 2013 dan 2014 terdapat dua kes rogol setiap tahun dalam rekod Kementerian. Tiga daripada kes-kes rogol ini melibatkan pelajar-pelajar dari Nigeria.


Dalam jawapan Menteri tidak terdapat apa-apa kes samun bersenjata api yang melibatkan pelajar-pelajar antarabangsa. Walau bagaimanapun, terdapat banyak kes samun berkawan tanpa bersenjata api dan samun tanpa senjata api iaitu 16 kes pada tahun 2013 dan 17 kes pada tahun 2014. Daripada 16 kes samun pada tahun 2013 itu, 13 kes adalah melibatkan pelajar-pelajar dari Nigeria.

Begitu juga, daripada 17 kes samun pada tahun 2014, 14 kes melibatkan pelajar-pelajar dari Nigeria. Ini bermakna daripada 33 kes dalam 2 tahun itu, 81.8% kes samum melibatkan pelajar-pelajar asing dari negara Nigeria?

Dalam tahun 2013 terdapat 27 kes mencederakan iaitu melibatkan 3 pelajar Nigeria, 8 pelajar Pakistan, 9 pelajar Somalia, 1 pelajar Uganda dan 6 pelajar dari negara-negara lain. Tetapi, pada tahun 2014 kes kecedaraan telah berkurangan kepada 12 kes yang melibatkan 3 pelajar Nigeria, seorang pelajar Bangladesh dan 8 pelajar dari negara-negara lain.

Kes-kes kecurian yang melibatkan pelajar-pelajar asing telah meningkat dari 41 kes pada tahun 2013 kepada 56 kes pada tahun 2014. Dalam jenayah harta benda ini, 26 kes adalah curi motokar iaitu 18 kes pada tahun 2013 dan 8 kes pada tahun 2014. Sekali lagi, 11 kes mencuri motokar adalah dilakukan oleh pelajar-pelajar dari Nigeria dan 2 kes dilakukan oleh pelajar-pelajar dari Uganda.

Tiada kecurian motosikal pada tahun 2013 tetapi berlaku 7 kes pada tahun 2014 yang melibatkan pelajar-pelajar antarabangsa. Dalam kes pecah rumah pula, daripada 10 kes pada tahun 2013, 4 adalah melibatkan pelajar-pelajar dari Nigeria. Begitu juga, daripada 7 kes pecah rumah pada tahun 2014, 5 adalah melibatkan pelajar-pelajar dari Nigeria.

Daripada statistik yang diberikan oleh Kementerian Dalam Negeri didapati bahawa pelajar-pelajar dari Nigeria sangat cenderung melakukan jenayah di negara kita. Saya mencadangkan supaya kerajaan harus melakukan saringan yang ketat apabila membenarkan pelajar-pelajar Nigeria belajar di negara kita. Jika perlu, kita harus menghalang pelajar-pelajar dari negara itu memasuki negara kita yang telah menambahkan kadar jenayah. Kita tidak boleh mengadai keselamatan dan kesejahteraan rakyat negara kita dengan kehadiran pelajar-pelajar asing yang membahayakan.

Dewan Bukannya Tempat Berpolitik Dan Menyalahgunakan Kuasa Rakyat



Kenyataan Media YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah pada 7 April 2015 di Dewan Rakyat



Kita tidak boleh menyalahgunakan Parlimen untuk membuat undang-undang mengikut selera pihak eksekutif. Parlimen Malaysia akan hilang kewibawaan jika pihak kerajaan terus menyalahgunakan Dewan Rakyat dan Dewan Negara untuk mencapai motif politik. Parlimen adalah forum tertinggi negara untuk berbincang dan membuat yang terbaik untuk negara. Kita tidak boleh membiarkan Parlimen disalahgunakan untuk membuat undang-undang zalim dan tidak bertamadun.

Bermula satu lagi titik hitam di sejarah negara kita pada 6 April 2015. Dikatakan roh undang-undang zalim ISA telah menjelma semula dalam jasad Undang-undang baru yang dikenali sebagai POTA (Prevention of Terrorism Act 2015). Ini merupakan satu undang-undang kolot yang menjejaskan hak asasi manusia dan imej negara di arena antarabangsa.

Walaupun pihak pembangkang yang terdiri daripada Ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat membantah dan menolak rang undang-undang POTA itu, tetapi telah disokong oleh semua Ahli-Ahli Parlimen Barisan Nasional yang hadir termasuk UMNO, MCA, MIC, Gerakan dan lain-lain. Terbukti parti-parti komponen Barisan Nasional sebulat suara menyokong rang undang-undang yang zalim ini.

Pakatan Rakyat berpendapat bahawa POTA ini akan disalahgunakan untuk kepentingan politik Barisan Nasional. Undang-undang ini boleh disalahgunakan terhadap pemimpin-pemimpin politik pembangkang atau sesiapa sahaja. Undang-undang ini telah membuka ruangan untuk tahanan tanpa perbicaraan yang pasti akan membawa ketidak adilan terhadap seseorang yang tertuduh.

Pelik sungguh kerana kerajaan mahu meluluskan undang-undang zalim ini dengan begitu terburu-buru. Rang undang-undang POTA dibahaskan satu hari sahaja di Dewan Rakyat walaupun ini merupakan satu undang-undang yang perlu penilaian dan penelitian yang terperinci.

Walaupun Ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat meminta supaya dipanjangkan lagi tempoh perbahasan bagi rang undang-undang ini tetapi ditolak oleh pihak kerajaan. Ini merupakan penyalahgunaan kuasa Parlimen untuk memaksa Ahli-ahli Parlimen berada di Dewan Rakyat sehingga 2.30am sehingga rang undang-undang itu diluluskan.

Apa salahnya jika ruangan yang lebih banyak dan tempoh yang lebih panjang diberikan supaya Ahli-ahli Parlimen dapat berbahas dengan mendalam berkaitan dengan pelbagai perkara kontroversi dalam rang undang-undang tersebut. Ada juga permintaan supaya rang undang-undang ini dibawa kepada Jawatankuasa Pilihan untuk ditelitikan satu per satu seksyen supaya tidak berlaku sebarang kecacatan.

Tetapi, permintaan itu juga telah ditolak dan diluluskan tanpa sebarang pindaan yang dicadangkan oleh Ahli-ahli Parlimen pembangkang. Akhirnya, undang-undang zalim ini telah diluluskan walaupun sarat dengan cacat cela di Dewan Yang Mulia. Semua ini membuktikan bahawa Parlimen Malaysia disalahgunakan oleh pihak kerajaan untuk sesuatu tujuan tersirat.

YB. V. Sivakumar

Selasa, 7 April 2015

Jika Tiada Pampasan, Mangsa Banjir Taman Arkid Akan Ambil Tindakan Mahkamah Terhadap Pemaju



Kenyataan Media YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah & Timbalan Pengerusi DAP Perak di Ipoh pada 5 April 2015



Banjir kilat telah berlaku di Taman Arkid, Menglembu pada 1 Mac 2013. Penduduk Taman Arkid mengalami kerosakan barang-barang yang banyak di dalam rumah termasuk kenderaan. Banjir kilat ini berpunca daripada projek pembangunan di kawasan itu yang melibatkan pembinaan Universti Kolej SEGI iaitu sebuah institusi pendidikan tinggi swasta.

Ketika banjir kilat itu berlaku pada tahun 2013, saya telah berjumpa dengan pegawai-pegawai berkuasa Majlis Bandaraya Ipoh beberapa kali berhubung dengan masalah tersebut. Saya telah menyerahkan laporan polis dan gambar-gambar keadaan banjir di Taman Arkid. Saya juga telah menuntut pampasan daripada pihak pemaju untuk membantu mangsa-mangsa banjir.

Tetapi, pihak berkuasa tempatan dan pemaju gagal memberi pampasan kepada mangsa-mangsa banjir walaupun malapetaka itu adalah kecuaian pihak pemaju dan Majlis Bandaraya Ipoh. Ini telah menimbulkan kemarahan dan rasa tidak puas hati di kalangan penduduk Taman Arkid. Pihak Majlis Bandaraya Ipoh pula telah menjanjikan bahawa masalah banjir kilat seumpama ini tidak akan berulang lagi. Pihak Majlis Bandaraya akan mengambil segala langkah dan pemantauan supaya dapat menghindari masalah ini daripada berulang.

 Tetapi, pada 30 Mac 2015, lebih kurang 4pm sekali lagi banjir kilat berlaku. Pada kali ini, air bah naiki paras yang lebih tinggi berbanding dengan keadaan pada tahun 2013. Lebih banyak rumah terlibat, lebih banyak harta benda rosak. Air yang mengalir masuk ini datangnya dari kawasan projek pembangunan yang sama. Ini membuktikan tidak ada apa-apa langkah yang diambil oleh pihak pemaju dan Majlis Bandaraya Ipoh. Kecuaian pihak-pihak ini memudaratkan keselamatan dan keselesaan penduduk Taman Arkid.

 Saya nampak dengan jelas pihak berkuasa dan pemaju telah mengabaikan tanggungjawab sosial. Adakah pembangunan lebih penting daripada keselamatan dan keselesaan rakyat? Pihak Majlis Bandaraya Ipoh harus bertanggungjawab dalam hal yang dibangkitkan.

Saya telah menulis surat kepada Menteri Besar Perak, Datuk Bandar Ipoh, Pegawai Daerah Kinta dan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Saya mendesak kerajaan untuk menyelesaikan masalah ini dengan segera supaya tidak berulang lagi. Penduduk Taman Arkid kecewa, bimbang dan berasa takut bahawa banjir kilat ini akan berlaku lagi jika tiada sebarang tindakan diambil.

Pada masa yang sama, saya bersama YB Lim Pek Har, Ahli Dewan Negeri Menglembu dan Jawatankuasa Masalah Banjir Taman Arkid akan mengadakan perbincangan dengan pihak pemaju pada hari Jumaat ini. Antara perkara-perkara yang akan dibincangkan adalah berkaitan dengan pampasan dan tindakan-tindakan teknikal yang boleh menyelesaikan masalah banjir kilat pada masa hadapan.




Jika sekiranya perbincangan dengan pemaju gagal, penduduk Taman Arkid telah menyuarakan pendapat supaya tindakan mahkamah diambil terhadap pihak pemaju dan kerajaan yang mengakibatkan mereka mengalami kerugian

Isnin, 6 April 2015

Apakah Mekanisme Untuk Memastikan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin Sampai Kepada Kumpulan Sasaran Tanpa Penyelewengan Pihak Ketiga?



Kenyataan Media YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah pada 7 April 2015 di Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia.



Saya menyokong segala usaha yang diambil untuk membantu anak-anak kita yang datang dari keluarga miskin. Ini adalah penting untuk memastikan mereka mendapat pendidikan walaupun suasana ekonomi keluarga tidak mengizinkan. Ramai diantara anak-anak kita tercicir dari bangku sekolah kerana ibubapa tidak mampu membiayai pendidikan mereka walaupun di peringkat sekolah rendah.


Pada 6 April 2015, saya telah membangkitkan satu soalan lisan berkaitan dengan bantuan yang diperolehi oleh anak-anak kita di peringkat sekolah rendah di Dewan Rakyat. Saya meminta Menteri Pendidikan menyatakan secara terperinci mengenai bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin, Rancangan Makanan Tambahan dan Program Susu 1Malaysia. Adakah bantuan-bantuan ini juga disalurkan kepada SJKC, SJKT dan SAR?Nyatakan jumlah yang disalurkan kepada sekolah-sekolah berkenaan daripada jumlah keseluruhan.

Menjawab soalan saya, Timbalan Menteri Pendidikan YB Kamalanathan berkata Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyediakan pelbagai bantuan pendidikan kepada murid daripada keluarga miskin dan golongan yang berpendapatan rendah di semua sekolah yang bertujuan untuk memastikan semua murid berupaya mendapat peluang pendidikan sama seperti rakan-rakan mereka yang berkemampuan tanpa mengira bangsa, agama dan negeri.

Beliau juga menyenaraikan bantuan yang diberikan oleh KPM. Antaranya ialah bantuan kewangan melalui Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) dan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) kepada Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Jenis Kebangsan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT). Beliau juga menegaskan bahawa Sekolah Agama Rakyat (SAR) tidak mendapat bantuan-bantuan itu kerana bukan terletak di bawah bidang kuasa KPM.

Berhubung dengan jumlah peruntukan, YB Kamalanathan memberitahu bahawa KPM menyalurkan RM 12, 702, 200 di bawah program KWAPM bagi membantu 54, 636 murid SJKT. Manakala, SJKT pula mendapat peruntukan sebanyak 7, 835, 550 untuk 35,034 murid. Bagi RMT pula SJKC diperuntukkan RM30,626,337.50 untuk 58,615 murid. Manakala SJKT mendapat meruntukan RM16,689,125.00 untuk 35,315 murid.

Timbalan Menteri Pendidikan itu juga menjelaskan bahawa Program Susu 1Malaysia (PS1M) melibatkan semua sekolah rendah tahun satu hingga tahun enam di kawasan luar bandar. Bagi sekolah rendah di bandar hanya murid yang mendapat RMT sahaja layak menerima PS1M.

Saya juga mengambil kesempatan untuk membangkitkan beberapa isu berhubung dengan perkara ini sebagai soalan tambahan. Saya menyatakan persetujuan dalam hal bantuan yang diberikan oleh kerajaan kepada murid-murid miskin. Walau bagaimanapun, bantuan yang diberikan itu haruslah sampai kepada kumpulan sasaran.

Jika peruntukan itu tidak sampai kepada kumpulan sasasan, tidak ada makna langsung untuk segala bantuan yang disalurkan. Saya difahamkan berlaku juga penyelewengan terhadap wang peruntukan yang disediakan untuk membantu anak-anak miskin.

Saya telah meminta Timbalan Menteri Pendidikan menyatakan mekanisme bagaimana peruntukan-peruntukan itu diedarkan samada melalui Pejabat Pedidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah, Pihak Pentadbiran Sekolah, Persatuan Ibubapa dan Guru-guru atau Lembaga Pengelola Sekolah. Siapa sebenarnya yang bertanggungjawab mengedarkan peruntukan-peruntukan ini?

Saya juga meminta KPM menyiasat mengenai satu aduan yang telah saya terima berhubung dengan penyelewengan wang KWAMP di sebuah sekolah di kawasan Parlimen saya. Saya dimaklumkan bahawa murid-murid miskin yang layak bantuan KWAMP di sekolah itu tidak memperolehinya sejak tahun 2012 selama 3 tahun berturut-turut.

Dikatakan sejumlah wang lebih kurang RM66,000 terlibat dalam kes ini yang sepatutnya diedarkan kepada 301 orang murid sekolah tersebut. Pihak KPM telah menjalankan siasatan berhubung dengan kes berkenaan. Saya memohon pihak kementerian memberi maklum balas siasatan serta tindakan yang akan diambil supaya penyelewengan seperti ini tidak berlaku lagi.

KPM telah menubuhkan Tabung KWAMP pada tahun 2003 di bawah Seksyen 10 Akta Tatacara Kewangan 1957. Objektif utama penubuhannya adalah untuk membantu golongan ibu bapa pelajar yang berpendapatan rendah dan tidak berkemampuan untuk menghantar anak mereka ke sekolah serta membasmi keciciran pelajar daripada persekolahan akibat kemiskinan. Setiap pihak yang bertanggungjawab dan mempunyai urusan pentadbiran dan pengendalian sesebuah sekolah tidak patut melupakan niat ataupun tujuan penubuhan tabung ini.

Sambutan Perayaan Panguni Uthiram Di Batu Gajah




Kenyataan Media YB V.Sivakuamar Ahli Parlimen Batu Gajah & Timbalan Pengerusi DAP Perak pada 4 April 2015

Sambutan perayaan Panguni Uthiram di Batu Gajah diraikan dengan suasana penuh meriah. Ribuan penganut dari kawasan Batu Gajah dan sekitarnya datang ke Kuil Arulmigu Subramaniar yang menyambut perayaan ini pada tiap-tiap tahun.

YB V.Sivakumar, Ahli Parlimen Batu Gajah merangkap Timbalan Pengerusi DAP Perak telah menghadiri upacara sembayang khas di kuil tersebut pada hari Panguni Uthiram iaitu 3 April 2015. Pihak jawatankuasa kuil telah menyambut kehadiran beliau dan memberi penghormatan kepadanya selaku Ahli Parlimen kawasan itu.

Pada hari yang sama, Kuil Mathuraiveeran, Batu Gajah yang terletak berhampiran dengan Kuil Arulmigu Subramaniyar telah memberi sumbangan makanan percuma kepada penganut-penganut yang datang ke perayaan Panguni Uthiram.

YB V.Sivakumar juga telah menghadiri pemberian program 'annathanam' ataupun makanan percuma di kuil tersebut. Ini merupakan aktiviti tahunan yang mendapat sambutan yang cukup menggalakkan daripada penganut-penganut yang hadir ke perayaan ini.


Ahad, 5 April 2015

JPM Meluluskan 71 Juta Untuk Pembangunan 6 SJKT : Buktikan Projek & Agihan Peruntukan



Kenyataan Media YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah & Timbalan Pengerusi DAP Perak pada 4 April 2015 di Ipoh


Pada masa ini terdapat 7758 buah sekolah rendah di seluruh negara iaitu 5939 buah Sekolah Kebangsaan, 1295 buah Sekolah Cina dan 524 Sekolah Tamil.



Sekolah-sekolah Tamil di negara kita amat mengharapkan bantuan kerajaan terutamanya dalam soal pembangunan. Ini adalah kerana sebilangan besar daripada sekolah-sekolah ini adalah dikelolakan secara bantuan modal.

Pada tahun 2014, sebanyak 6 Sekolah Tamil telah diluluskan peruntukkan sebanyak RM 71 juta oleh Unit Perancangan Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri. Bagaimanakah peruntukan pembangunan ini diagihkan untuk 6 sekolah tersebut.

Saya mohon supaya Timbalan Menteri Pendidikan YB Kamalanathan untuk memberi penjelasan berhubung dengan beberapa perkara seperti :-

1) Senaraikan 6 Sekolah Tamil yang mendapat peruntukan pembangunan bagi tahun 2014

2) Nyatakan secara terperinci tentang pengagihan peruntukan itu diantara 6 sekolah tersebut

3) Berapakah peruntukan yang telah dibelanjakan setakat ini?

4) Nyatakan laporan progres kerja-kerja pembinaan untuk sekolah-sekolah yang terlibat di bawah peruntukan pembangunan ini.

Kedai RM2 Pun Kena GST



Kenyataan Media YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah & Timbalan Pengerusi DAP Perak pada 3 April 2015 di Batu Gajah


Terdapat banyak 'Kedai RM2' di seluruh negara yang menjual barang-barang pada harga yang cukup murah. Konsep yang diamalkan adalah mana-mana satu barang yang dipilih adalah berharga RM2 sahaja. Ini telah menarik perhatian ramai pelanggan untuk mengunjungi kedai-kedai seperti ini. Sesiapa juga mampu membeli barangan bernilai RM2 berbanding barangan lain yang sama jenis dan nilai yang berada di pasaran.

Memang tidak dapat dinafikan, 'Kedai RM2' mempunyai banyak jenis barangan keperluan yang dijual dengan harga yang murah. Walaupun kualiti barangan dari kedai-kedai itu tidak dapat dijamin, tetapi ramai juga memilih untuk membeli belah di kedai-kedai ini.

Pada kebiasaanya 'Kedai RM2' ini adalah pusat langganan dari kalangan golongan berpendapatan rendah dan sederhana. Barang-barang yang dijual juga adalah untuk memenuhi keperluan dan citarasa golongan ini.

Tetapi, adalah pelik apabila GST juga dikenakan terhadap barang-barang yang dijual di 'Kedai RM2' yang menjadi pilihan golongan berpendapatan rendah dan sederhana. Ini terbukti bahawa golongan miskin juga tidak terlepas daripada membayar GST.

Walaupun kerajaan dalam pelbagai media cuba meyakinkan bahawa cukai ini tidak akan membebankan golongan miskin tetapi pada realitinya perkara ini tidak dilaksanakan. Kerajaan mengenakan cukai ini termasuk barang-barang yang dibeli oleh golongan miskin. Pemimpin-pemimpin Barisan Nasional harus berhenti menipu rakyat dengan dakwaan bahawa GST tidak akan membebankan golongan miskin.

Setiap barang yang dibeli dengan harga RM2 dari kedai-kedai itu adalah tertakluk kepada GST sebanyak RM0.12.

Malaysian Membelanjakan RM 79 Juta Dalam Misi Mencari MH370 Tetapi Masih Hampakan Rakyat



Kenyataan Media YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah, Timbalan Pengerusi DAP Perak & Setiausaha Antarabangsa DAP Malaysia pada 1 April 2015 di Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia


Sudah genap 1 tahun peristiwa kehilangan MH370 pada 8 Mac 2014 yang lalu. Sehingga hari ini, seluruh dunia masih dalam kekeliruan dan kegelapan dalam isu yang menjadi misteri zaman moden. Pelik sungguh, tiada siapa yang boleh memberi jawapan untuk pelbagai persoalan yang ditimbulkan mengenai kehilangan ini. Keluarga mangsa masih tidak tenteram kerana kekecewaan terhadap pihak kerajaan yang gagal menjawab isu-isu yang dibangkitkan. Malah, terdapat juga unsur- unsur yang sengaja disembunyikan.

Kerajaan juga gagal menjawab banyak soalan-soalan yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Pakatan Rakyat di Dewan Rakyat. Selagi soalan-soalan ini tidak dijawab secara telus dan bertanggungjawab perkara ini akan menghantui kerajaan Barisan Nasional.

Saya telah bertanya satu soalan lisan berhubuung dengan peristiwa kehilangan MH370 pada 1 April 2015 di Dewan Rakyat. Soalan saya meminta Menteri Pengangkutan menyatakan sama ada misi mencari pesawat masih diteruskan. Berapakah jumlah wang dibelanjakan oleh kerajaan Malaysia dalam misi pencarian itu dan nyatakan secara terperinci bagaimana perbelanjaan tersebut diagih dan disalurkan.

Dalam jawapan bertulis yang diberikan oleh Menteri Pengangkutan, operasi pencarian MH370 akan diteruskan oleh kerajaan. Sebarang keputusan untuk memberhentikan operasi pencarian pesawat MH370 tersebut hanya akan diputuskan bersama oleh Kerajaan Malaysia, China dan Australia setelah mendapat nasihat teknikal daripada kumpulan pakar berhubung satelit yang dianggotai oleh pakar-pakar daripada Air Accident Investigation Branch (AAIB), United Kingdom, National Transportation Safety Board (NTSB) United States, Australian Transportation Safety Bureau (ATSB), Boeing Australia's Defense Science and Technology Organisation, Thales, Inmarsat dan Jabatan Penerbangan Awam, Malaysia.

Menteri Pengangkutan juga menjawab bahawa kerajaan telah menyalurkan peruntukan kepada Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Pengangkutan untuk diagihkan kepada jabatan/agensi yang terlibat seperti Kementerian Pertahanan, Jabatan Penerbangan Awam dan lain- lain jabatan/agensi berkaitan bagi maksud operasi pencarian MH370.

Behubungan dengan soalan berkaitan dengan jumlah perbelanjaan yang terlibat, Menteri Pengangkutan menyatakan
bahawa sehingga bulan Disember 2014, kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM79,031,905.76 dalam operasi pesawat MH370. Walau bagaimanapun, anggaran kos keseluruhan bagi misi pencarian tersebut tidak dapat ditentukan kerana operasi pencarian masih lagi dilaksanakan.

Arak Murah & Samsu Haram Perlu Diperangi Untuk Keselamatan & Kesejahteraan Rakyat


Kenyataan Media YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah & Timbalan Pengerusi DAP Perak pada 2 April 2015 di Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia

Masalah arak ataupun samsu haram telah menghancurkan ribuan keluarga di negara kita. Lebih-lebih lagi, masalah ini dilihat amat serius di kalangan kaum India. Kerajaan harus mengambil langkah-langkah untuk mengawal penjualan arak berharga murah dan samsu haram secara berleluasa di negara kita. Masalah ini perlu ditangani segera. Kerajaan harus mengambil pertimbangan yang sewajarnya untuk membendung sama sekali arak berharga murah dan samsu haram seperti memerangi dadah.

Arak di Malaysia boleh diperolehi dengan mudah seumpama membeli air minuman yang lain sama ada di pasar raya, restoran, hotel, kedai runcit mahupun di kedai serbaneka yang menjualnya tanpa kawalan ketat.

Saya difahamkan rakyat negara kita membelanjakan sebanyak USD500 juta iaitu lebih kurang RM1.75 bilion bagi pembelian minuman keras setiap tahun. Penjualan arak meningkat di antara 5 hingga 7 peratus setahun melebihi kadar pertumbuhan penduduk iaitu 2.4 peratus.

Tindakan tegas perlu diambil terhadap penjual-penjual yang melanggar syarat-syarat penjualan arak. Saya difahamkan pola pengambilan alkohol di Asia semakin meningkat berbanding dengan negara-negara Eropah dimana polanya mula menurun oleh sebab kempen agresif mereka untuk membendung masalah atau gejala alkohol ini.

Jumlah rakyat yang terlibat dengan pengambilan arak semakin meningkat dan pendedahan kepada arak berlaku pada umur yang cukup awal. Pada tahun 1976, Spencer dan Navaratnam telah membuat satu kajian yang menunjukkan 19% pelajar sekolah menengah bandar mengaku minum arak, 1% mengaku kerap meminum arak, 3% mengaku minum arak sulingan iaitu spirit yang tinggi kandungan alkohol sekali sebulan, dan 5.6% minum bir dengan lebih kerap.

Dalam satu kajian di kalangan pesakit yang dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) in-patient pada tahun 1993, 48% daripada yang ditanya mengaku minum arak. Mungkin peratusannya lebih tinggi pada masa ini. Setakat ini kerajaan tidak memberi perhatian serius terhadap isu ketagihan arak ini dan sering dianggap sebagai isu kaum India. Kerajaan harus memerangi arak murah dan samsu haram untuk menjamin keselamatan dan kesejahteraan anak-anak kita.

Pergerakan Anti Arak Murah Malaysia yang lebih dikenali sebagai Malaysian Anti Cheap Liquor Movement telah mengambil beberapa usaha untuk mengharamkan arak murah dengan menyarankan beberapa tuntutan:-

1) Penjualan semua jenis arak (kecuali bir) di bawah isi kandungan 750ml patut diharamkan

2) Harga minima bagi penjualan semua jenis arak (kecuali bir) harus ditetapkan pada RM30

3) Kerajaan harus menubuhkan pusat-pusat pemulihan penagihan arak di seluruh negara, sekurang-kurangnya satu (1) pusat pemulihan di setiap negeri.

4) Syarat-syarat lesen arak di bawah Akta Eksais 1976, harus dipinda bagi menetapkan penjualan runcit di semua jenis arak (kecuali bir) harus bermula tidak awal daripada pukul 10 pagi dan harus dihenti tidak lewat daripada pukul 6 malam.

5) Amaran bergambar kemudaratan kesihatan akibat pengambilan arak harus dipaparkan pada setiap botol arak

6) Satu akta baru untuk mengawal pengambilan arak di tempat awam harus diluluskan oleh Parlimen dan pihak polis harus menguatkuasakan undang-undang berkenaan.

7) PBT di seluruh negara harus diberi kuasa setaraf dengan Jabatan Kastam untuk mengambil tindakan terhadap kesalahan berkaitan penjualan runcit semua jenis arak (kecuali bir) menurut Akta Eksais 1976

Saya bersedia untuk membawa perkara ini ke Dewan Rakyat dalam persidangan akan datang pada bulan Mei 2015. Saya juga menaruh harapan bahawa semua Ahli-ahli Parlimen akan menyokong usaha-usaha murni untuk membendung arak murah dan samsu haram di negara ini.

Saya pasti kita boleh mengatasi masalah ini dengan 'political will' kedua-dua pihak iaitu kerajaan mahupun pembangkang. Saya mohon supaya semua pihak termasuk NGO dan parti-parti politik berusahasama untuk mengatasi masalah arak murah dan samsu haram.

Bangunan Baru SJKT Menglembu : Berapa Peruntukan & Bila Akan Dibina



Kenyataan Media YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah , Timbalan Pengerusi DAP Perak pada 1 April 2015 di Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia


Isu keperluan bangunan batu untuk SJKT Menglembu bukanlah satu isu yang baru. Sudah sekian lama sekolah tersebut memerlukan peruntukan untuk pembinaan bangunan baru. Saya telah membangkitkan isu ini sejak tahun 2009 di Dewan Undangan Negeri Perak dan juga melalui media massa. Saya juga pernah membangkitkan isu ini kepada pihak Kementerian Pendidikan beberapa kali.

 Tetapi setakat ini kerja-kerja membaik pulih dan membina bangunan baru SJKT Menglembu masih belum dimulakan. Walau bagaimanapun, saya mendapat maklumat daripada pihak tertentu bahawa kerajaan telah memperuntukkan sejumlah wang untuk membina bangunan baru sekolah tersebut pada tahun ini.

Saya telah membangkitkan isu ini dalam perbahasan saya menjunjung kasih titah ucapan DYMM yang Dipertuan Agung di Dewan Rakyat pada 26 Mac 2015. Saya ingin Menteri Pendidikan menyatakan jumlah wang yang telah diperuntukkan untuk membina sekolah tersebut dan bilakah projek ini akan dimulakan? Adalah baik jika Menteri dapat memberi penerangan terperinci tentang struktur bangunan yang dicadangkan.



Inilah antara perkara-perkara yang ingin diketahui oleh penduduk-penduduk kawasan Menglembu dan sekitarnya. Setiap kali perkara ini dibangkitkan pihak berkuasa memberi jawapan bahawa peruntukan telah diluluskan tetapi belum sampai lagi. Kerja-kerja baik pulih dan pembinaan akan dimulakan tidak lama lagi. Inilah cerita lama yang sudah basi. Harap tahun ini kerja-kerja pembinaan akan dimulakan tanpa memberi apa-apa alasan yang tidak munasabah

Malaysia Menuju Ke Arah Membentuk Negara Polis



Kenyataan Media YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah & Timbalan Pengerusi DAP Perak pada 30/3/2015 di Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia.


Saya rasa sungguh kecewa apabila Perlembagaan Persekutuan tidak dihormati lagi oleh kerajaan. Tindak-tanduk kerajaan seolah-olah mencabar hak-hak yang diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan kepada warganegara.

 Baru-baru ini ramai diantara Ahli-ahli Parlimen ditahan oleh polis kerana terlibat dengan perhimpunan aman 'Kita Lawan'. Perlembagaan Persekutuan memberi hak kebebasan berhimpun dan kebebasan bersuara kepada semua rakyat Malaysia apatah lagi kepada Ahli-ahli Parlimen.

Penangkapan dan penahanan Ahli-ahli Parlimen ini adalah penyalah gunaan kuasa yang melampau. Ahli-ahli Parlimen adalah wakil yang dipilih oleh rakyat dan mempunyai kekebalan tertentu yang dijamin oleh undang-undang negara.

Ahli-ahli Parlimen diberi kebebasan dan keistimewaan untuk memperkatakan sesuatu perkara tanpa rasa gusar atau dikecam di luar dewan. Satu-satunya badan yang boleh mengecam seseorang ahli parlimen ialah Jawatankuasa Parlimen bagi Hak dan Kebebasan. Kekebalan parlimen ini berkuatkuasa serta-merta apabila seseorang itu mengangkat sumpah menjadi ahli parlimen.

Satu pindaan telah dibuat di bawah Perkara 63 Perlembagaan berikutan Peristiwa 13 Mei dengan penambahan Perenggan 4 yang menidakkan Fasal 2 Perlembagaan yang secara amnya memberikan hak-hak kebebasan asasi. Perenggan 4 itu menerangkan bahawa sesiapapun termasuk ahli Parlimen yang berucap di Dewan Rakyat boleh didakwa jika melakukan kesalahan di bawah Fasal 4 Perkara 10 atau di bawah Akta Hasutan 1948. Selain itu ahli-ahli Parlimen juga kehilangan hak-hak istimewanya jika menganjurkan penghapusan kedudukan Yang di-Pertuan Agong atau mana-mana Raja di negeri-negeri.

Baru-baru ini Ahli-ahli Parlimen ditangkap dan dilayan buruk oleh polis. Mereka dipaksa memakai pakaian banduan, berkaki ayam dan dimasukkan dalam lokap. Mereka ini bukan penjenayah. Mereka hanya membela keadilan melalui proses demokrasi iaitu perhimpunan aman. Adakah mereka ini wajar ditangkap dan dihina seperti itu? Mereka dengan rela hati pergi ke balai polis apabila dipanggil untuk disoal siasat. Tetapi, mereka ditangkap dan dimasuk ke dalam lokap. Ini merupakan penyalah gunaan kuasa untuk meruntuhkan amalan demokrasi negara.

Selain daripada itu, Yang Berhormat Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar ditangkap kerana hujah-hujahnya di Dewan Rakyat. Seseorang wakil rakyat mempunyai kekebalan apabila berucap di Parlimem. Ini adalah penting dalam konteks demokrasi berparlimen supaya wakil-wakil rakyat akan berani membawa apa jua isu yang melibatkan rakyat dan negara.

Walaupun ada limitasi tertentu dalam perkara ini, tetapi kekangan itu tidak harus menggangu proses demokrasi dan hak wakil rakyat. Apa yang dihujah oleh Yang Berhormat Lembah Pantai itu tidak melanggar Fasal 4 Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan ataupun Akta Hasutan 1948. Oleh yang demikian, pihak polis telah menyalah gunakan kuasa yang ada pada mereka untuk mengambil tindakan yang melampau terhadap beliau.

Selain daripada itu, penahanan YB Pandan Rafizi Ramli juga membuktikan pihak polis bertindak di luar bidang kuasa mereka. Polis telah menangkap Rafizi dan menghalang beliau menghadiri sidang Dewan Rakyat pada hari ini. Sekali lagi, ini merupakan penyalah gunaan kuasa polis terhadap wakil rakyat pembangkang. Polis telah menghalang wakil rakyat daripada melaksanakan kewajiban ataupun tanggungjawab yang diamanatkan kepada beliau.

Kepercayaan rakyat terhadap institusi polis semakin luntur. Jika perkara ini tidak diperbetulkan dengan serta-merta maka negara kita akan menjadi sebuah negara polis. Adakah ini yang menjadi aspirasi kerajaan Barisan Nasional? Jika bukan maka, tindakan segera harus diambil oleh kerajaan, memecat Ketua Polis Negara dengan serta merta untuk melindungi Perlembagaan Persekutuan dan menjaga imej dan nama baik Polis Diraja Malaysia.

Pengguna Kenderaan Akan Dibebankan lagi Apabila GST Dilaksanakan



Kenyataan Media YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah & Timbalan Pengerusi DAP Perak pada 29 Mac 2015 di Kuala Lumpur



GST akan dikenakan terhadap pembelian polisi Insurans Am mulai 1 April 2015. Pelaksanaan GST 6% terhadap Insurans Am akan meningkatkan beban kepada pelanggan-pelanggan.

GST terhadap premium insurans ini diumumkan oleh Timbalan Menteri Kewangan Datuk Chua Tee Yong pada awal bulan Januari tahun ini.

Cukai baru ini tidak patut dikenakan terhadap insurans am terutamanya insurans motor yang telah mengalami kenaikan dalam premium beberapa kali kebelakangan ini.

Bank Negara Malaysia telah mengumumkan bahawa penyelarasan kadar premium tarif motor akan dilaksanakan secara berperingkat mulai 16 Januari 2012 dalam tempoh empat tahun. Sejak pengumuman ini tarif tersebut telah dinaikan beberapa kali walaupun dijanjikan oleh Bank Negara Malaysia bahawa jumlahnya tidak besar dan tidak membebankan rakyat.

Menurut Bank Negara Malaysia, perlindungan pihak ketiga, motorsikal yang berkapasiti 110cc akan mengalami kenaikan premium antara RM1-RM3.50 setahun (maksimum 30 sen sebulan) dalam jangka masa empat tahun. Bagi kereta persendirian yang berkapasiti 1,400cc, pelarasan premium adalah antara RM6-RM34 setahun (maksimum RM2.80 sebulan) bagi jangka masa yang sama.

Yang terakhir, pada 15 Februari 2014, tarif insurans motor telah dinaikan. Kadar baru ini melibatkan pelarasan tarif asas premium untuk perlindungan komprehensif dan perlindungan pihak ketiga untuk kenderaan persendirian. Ini mencakupi insurans kenderaan yang baru dibeli dan juga insurans yang diperbaharui semula. Tarif telah meningkat dari RM 2 hingga RM23 bergantung kepada kapasiti enjin kenderaan.

GST yang dikenakan kepada premium insurans am bukanlah satu bebanan kepada syarikat-syarikat insurans tetapi beban yang dipindahkan kepada pelanggan-pelanggan yang membeli insurans.

Insurans Am memberi perlindungan jangka pendek bagi harta benda dan liabiliti daripada kehilangan ataupun kerosakkan. Insurans Am ini adalah tertakluk kepada GST dalam kadar yang biasa iaitu 6%.

Pada masa ini memang terdapat banyak rungutan daripada rakyat kita kerana premium insurans am yang semakin meningkat.Nyata sekali pengguna-pengguna kenderaan adalah diwajibkan insurans motor.

Adalah menjadi satu kesalahan di bawah undang-undang jika kita memandu mana-mana kenderaan bermotor tanpa memiliki insurans yang sah. Dalam perspektif ini, pengguna tidak mempunyai pilihan lain. Mereka terpaksa membeli insurans motor untuk kenderaan yang mereka miliki.

Oleh yang demikian, peningkatan dalam kadar premium secara terus menerus akan membebankan pelanggan-pelanggan. Tambahan lagi apabila GST dilaksanakan pada tahun ini akan menambahkan lagi beban mereka. Pada pandangan saya, insurans adalah alat untuk menghadapi ketidak pastian atau sesuatu kemungkinan.

Insurans adalah mekanisme untuk membantu seseorang apabila berlaku sesuatu kecelakaan ataupun kehilangan. Maka kerajaan harus menggalakkan lebih ramai orang memiliki pelbagai insurans untuk menghadapi masa hadapan yang tidak menentu. Ini juga akan membantu kerajaan apabila rakyat mempunyai auto mekanisme untuk menjaga kebajikan sendiri apabila berlaku sesuatu kemudaratan .

Saya mencadangkan supaya kerajaan mengkaji semula pelaksanaan GST terhadap Insurans Am. Pengecualian GST untuk insurans am boleh dianggap sebagai satu galakan kerajaan untuk mempromosikan industri ini. Kerajaan harus mencari jalan untuk mempromosikan dan mengembangkan industri insurans untuk kepentingan bersama. Kerajaan juga tidak boleh menafikan bahawa industri insurans adalah salah satu sektor kewangan yang banyak menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

Ada juga pandangan-pandangan yang berlainan seperti yang dibuat oleh Persatuan Insurans Am Malaysia yang menyokong pengenaan GST bagi insurans am. Pada hemat saya, itu adalah pandangan yang dilihat dari perspektif syarikat-syarikat insurans am yang mempunyai kepentingan dan manfaat daripadanya. Tetapi, saya merasakan perkara ini seharusnya dilihat dalam konteks pelanggan jika kita benar-benar berpegang kepada prinsip 'rakyat didahulukan'.

BN Cekik Darah Rakyat Dengan GST 6%




Kenyataan Media YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah, Timbalan Pengerusi DAP Perak & Setiausaha Antarabangsa DAP Malaysia pada 28/3/2015 di Batu Gajah



Pada hakikatnya DAP membantah GST bukan kerana ianya tidak baik. GST telah diamalkan di banyak negara. Tetapi, DAP berpendapat bahawa ini bukanlah masanya untuk melaksanakan GST. DAP tidak mahu kerajaan melaksanakan GST secara terburu-buru.




Kita masih ada peluang lain untuk selamatkan ekonomi negara kita tanpa
melaksanakan GST. Kita harus mencari jalan untuk berhenti pemborosan, pembaziran, ketirisan dan rasuah di negara kita. Ini merupakan langkah yang sepatutnya diambil oleh kerajaan untuk menyelesaikan masalah kewangan negara.

Tetapi, kerajaan hari ini gagal melaksanakan perkara-perkara tersebut sebagai langkah baik pulih ekonomi negara. Sebaliknya telah memilih GST, iaitu satu bentuk cukai yang pasti membebankan seluruh rakyat negara terutamanya golongan miskin dan berpendapatan sederhana.

Walaupun DAP telah memberi amaran kuat dari awal-awal lagi tetapi kerajaan Barisan Nasional amat degil untuk melaksanakan GST untuk menyelesaikan masalah kewangan yang dihadapinya. Akhirnya rakyat telah dimangsakan dalam percaturan ekonomi Barisan Nasional. Prinsip 'Rakyat Diutamakan' hanya satu slogan retorik untuk memenangi hati rakyat sewaktu pilihanraya.

Cadangan kerajaan untuk mengenakan cukai 6% GST adalah amat membebankan rakyat. Kita tidak sepatutnya memulakan GST dengan kadar yang begitu tinggi. Ia sepatutnya dilakukan secara progresif supaya beban cukai itu tidak dirasai oleh rakyat. Ini adalah penting supaya kebajikan rakyat tidak tergugat akibat cukai yang tinggi dan mendadak.

Sebagai contoh, Singapura memperkenalkan GST pada 1 April 1994 pada kadar 3%. Kemudian, kadar itu dinaikkan kepada 4% pada 1 Januari 2003 iaitu selepas 8 tahun. Pada 1 Januari 2004 GST dinaikan lagi kepada 5%. Akhirnya pada 1 Julai 2007, Singapura mengenakan GST pada kadar 7%. Manakala di Malaysia pula, GST yang akan dilaksanakan pada 1 April 2015 adalah pada kadar yang cukup tinggi iaitu 6%.

Pendapatan Per Kapita bagi Malaysia adalah dalam lingkungan RM37,000. Manakala Pendapatan Per Kapita Singapura adalah lebih daripada RM 197, 000 iaitu 5 kali ganda Pendapatan Per Kapita Malaysia. Sebuah negara yang mempunyai Pendapatan Per Kapita yang tinggi tetapi hanya mengenakan GST pada kadar 7%.

Tetapi, Malaysia dengan Pendapatan Per Kapita yang rendah mahu mengenakan GST pada kadar 6%. Jika dibandingkan dengan Pendapatan Per Kapita Singapura, kita hanya layak untuk dikenakan GST pada kadar 1.5% . Tetapi, kerajaan Barisan Nasional yang tidak prihatin mencekik darah rakyat apabila mengenakan GST 6% iatu 4.5% lebih daripada yang sepatutnya.

Kolej Swasta Manupulasi PTPTN untuk Memesong Pelajar-pelajar Lepasan SPM untuk Mengaut Keuntungan



Kenyataan Media YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah & Timbalan Pengerusi DAP Perak pada 23/3/2015 di Dewan Rakyat



Saya berasa bimbang terhadap beberapa kolej swasta yang mencari pelbagai helah untuk menipu ibubapa dan pelajar-pelajar lepasan sekolah. Baru-baru ini pinjaman PTPTN juga dijadikan helah untuk menipu ibubapa dan pelajar-pelajar lepasan SPM.


Saya telah membangkitkan satu isu yang penting berhubung perkara ini ketika Menteri Pendidikan II Dato' Seri Idris Jusoh menjawab perbahasan Ahli-ahli Dewan Rakyat hari ini. Saya telah memberitahu Dewan Rakyat Yang Mulia bahawa terdapat kolej swasta yang mengambil kesempatan mempergunakan pinjaman PTPTN untuk kepentingan mereka.

Kolej berkenaan memasang 'banner' di kawasan-kawasan kediaman dan pekan-pekan tertentu dengan menyatakan 'Bantuan Pendidikan Tinggi Percuma', menjemput ibu bapa dan pelajar-pelajar lepasan SPM menghadiri satu taklimat pada tarikh, masa dan tempat yang ditetapkan. Selain itu, maklumat ini juga dihantar kepada pelajar-pelajar lepas SPM melalui SMS dengan menyatakan 'Nama adik dicadang oleh pihak sekolah sendiri untuk diberi peluang pendidikan ini. Sila bawa salinan kad pengenalan dan salinan keputusan SPM.

Ibubapa dan pelajar-pelajar yang datang ke taklimat itu diminta untuk mengisi borang maklumat peribadi. Selepas itu, pelajar-pelajar itu ditemuduga dan diberi penerangan secara peribadi. Dalam perbincangan itu, pelajar-pelajar diberitahu bahawa mereka tidak layak untuk memdapat tempat di institusi-institusi pendidikan tinggi awam. Mereka juga mencadangkan supaya memilih sebuah kolej swasta di Kuala Lumpur untuk meneruskan pendidikan mereka.

Pelajar-pelajar diberitahu bahawa keluarga yang menerima BRIM layak mendapat pinjaman PTPTN sebanyak 85% daripada jumlah yuran kursus. Bagi keluarga yang tidak layak menerima BRIM, PTPTN akan memberi pinjaman setakat 75% daripada yuran kursus. Oleh yang demikian, kolej swasta itu pula memberi tawaran 15% - 25% untuk membayar yuran selebihnya untuk pelajar-pelajar yang ingin melanjutkan pelajaran di kolej berkenaan.

Pertama sekali, ini merupakan satu penipuan oleh kolej swasta dengan mengambil kesempatan pinjaman PTPTN. Kolej berkenaan cuba memesong ibubapa dan pelajar-pelajar dengan kenyataan ' Bantuan Pendidikan Tinggi Percuma'. Tidak ada pendidikan percuma seperti yang dipromosikan kerana PTPTN hanya memberi pinjaman pendidikan. Selain itu, bayaran tambahan 15% - 25% pula boleh dimanupulasikan daripada yuran kursus yang sengaja ditingkatkan.

Oleh yang demikian, ini adalah satu kaedah yang digunakan oleh pihak-pihak tertentu untuk mengaut keuntungan daripada sektor pendidikan yang giat berkembang. Pelajar-pelajar menjadi mangsa manupulasi seperti ini.

Saya telah meminta Menteri Pendidikan 11 memantau perkara ini dan mengambil tindakan segera dalam hal yang dibangkitkan. Beliau telah menyarankan supaya maklumat lanjut dan terperinci diberikan kepada beliau supaya tindakan segera diambil.

Saya ingin menegaskan kepada ibubapa dan pelajar-pelajar supaya berhati-hati apabila memilih kursus dan institusi pendidikan terutamanya daripada pihak swasta supaya tidak tertipu dengan helah dan manupulasi yang tidak diingini

Hukuman Penjara Terhadap 13 Wira di Perak Melumpuhkan Lagi Demokrasi Negara



Kenyataan Mediia YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah pada 20 Mac 2015 di Ipoh




Saya berasa sungguh kecewa dan kesal apabila Mahkamah Rayuan semalam telah menjatuhkan hukuman penjara 10 bulan terhadap 13 orang pejuang demokrasi yang menyertai satu perhimpunan membantah rampasan kuasa Perak di Kuala Kangsar pada tahun 2009. Saya juga berasa sangat kesian dan amat bersimpati terhadap 13 orang wira itu dan keluarga mereka yang menjadi mangsa sistem keadilan negara kita. Hukuman yang dijatuhkan terhadap mereka adalah terlalu berat.

 Mereka yang dijatuhi hukuman penjara itu mungkin akan kehilangan pekerjaan dan punca pendapatan. Ini juga akan memudaratkan kebajikan keluarga masing-masing.

Perhimpunan aman adalah prinsip asas sistem demokrasi dan dibenarkan oleh Perkara 10(b) Perlembagaan Persekutuan. Tetapi, saya berpendapat bahawa pencabulan hak asasi menjadi perkara lumrah dan semakin cenderung di negara kita.

Penghakiman terhadap 13 orang pejuang yang mahu menegakkan demokrasi itu adalah usaha-usaha licik untuk meracuni dan melumpuhkan sistem demokrasi negara kita yang dilakukan tanpa semangat perlembagaan yang menjamin kebebasan bersuara dan kebebasan berhimpun.

Penjuang-pejuang demokrasi itu ialah Bad Latif Mansor, 49, Suhana Abdullah, 50, Meor Safizal Meor Mohamed Amin, 40, Mohd Faiz Mohd Arshad, 28, Zulhaizam Zulkifli, 31, Isha Riduan Ishak, 60, Adi Hilme Mohd Nasir, 45, Yusuf Jaafar, 50, Mohamad Nazeer Hameed, 49, Khairul Azmi Hassan Basri, 50, Mohd Hasri Ismail, 49, and Mohamed Ismail S. M. Abdul Kadir, 49.

Inflasi Pasti Meningkat Selepas GST, Kerajaan Akan Gagal Mengawal Kenaikan Harga, Rakyat Akan Lebih Menderita.



Kenyataan Media YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah & Timbalan Pengerusi DAP Perak pada 18 Mac 2015 di Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia


Selepas GST dilaksanakan pada 1 April 2015, kenaikan harga barangan pasti tidak dapat dikawal oleh kerajaan. Walaupun kerajaan sentiasa berjanji akan mengambil segala langkah untuk mengawal kenaikan harga tetapi perkara ini tidak semudah itu untuk dilaksanakan.

Kita perlu sedar bahawa tujuan sesuatu perniagaan ditubuhkan adalah bermatlamat untuk memaksimakan keuntungan. Ini adalah prinsip asas ekonomi yang difahami oleh semua. Jika kos perniagaan meningkat, adalah menjadi lumrah untuk peniaga memindahkan kos itu kepada pelanggan-pelanggannya. Peniaga-peniaga tidak akan menanggung kos tambahan yang boleh mengurangkan keuntungan yang diperolehi.

Adalah sukar untuk kita memaksa peniaga-peniaga supaya tidak menaikan harga barangan apabila kos meningkat. Jika kita memaksa juga, maka itu akan menjadi gangguan yang melampau kepada iklim perniagaan itu sendiri. Suasana ini juga tidak baik untuk proses pembangunan negara yang seharusnya menjaga semua pihak termasuk para peniaga.

Saya sedar bahawa kemungkinan akan berlaku kenaikan harga oleh pihak- pihak yang tidak bertanggungjawab dan cenderung mengambil kesempatan mengeksploitasi keadaan melalui pelaksanaan GST. Walaupun kita ada undang-undang seperti Akta Kawalan Harga dan Antipencatuan 2011 dan Peraturan-peraturan Kawalan Harga dan Antipencatuan (Mekanisme Untuk Menentukan Keuntungan Tinggi Yang Tidak Munasabah) (Margin Keuntungan Bersih) 2014, tetapi masalah kenaikan harga selepas GST tidak mudah dikawal.

Kerajaan mungkin cuba memberi keyakianan kepada rakyat bahawa undang-undang yang sedia ada dan beberapa langkah lain dapat mengawal kenaikan harga. Tetapi, pada pandangan saya apa jua mekanisme kawalan yang akan diguna pakai oleh kerajaan akan menjadi sia-sia sahaja. Janji-janji yang dibuat oleh kerajaan adalah semata-mata kosmetik untuk menenangkan hati rakyat. Saya pasti dalam keadaan ekonomi yang agak tenat, inflasi lebih daripada 5% akan melanda negara kita pada tahun ini.

Saya maklum bahawa pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan telah mengadakan OPS CATUT bermula 15 Januari 2015. Sehingga 4 Mac 2015 sebanyak 335, 647 pemeriksaan telah dijalankan di seluruh negara. Sebanyak 1,185 kesalahan ditangkap dengan jumlah rampasan sebanyak RM384,834.64 dan nilai kompaun sebanyak RM235,986.70 dikenakan.

Walaupun operasi dibuat dan tindakan diambil, tetapi cubitan kenaikan harga itu sudahpun dirasai oleh semua lapisan masyarakat walaupun GST masih belum diamalkan lagi. Memerangi kenaikan harga bukanlah semudah seperti yang dijangkakan oleh kerajaan

Noh Omar Hina Majlis Peguam Di Dewan Rakyat



Kenyataan Media YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah pada 10 Mac 2015 di Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia.


Datuk Seri Noh Bin Omar, Ahli Parlimem Tanjung Karang telah menghina Majlis Peguam di Dewan Rakyat pada hari ini. Beliau yang juga merupakan bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berbuat demikian ketika membawa Usul Menjunjung Kasih ucapan DYMM Yang Dipertuan Agung.

Majlis Peguam Malaysia ditubuhkan di bawah Ordinan Peguam Bela dan Peguam Cara 1947 yang kemudiannya digantikan oleh Akta Profesion Undang-undang 1976. Pada masa ini Majlis ini dianggotai lebih kurang 15000 orang ahli. Majlis Peguam merupakan satu badan yang sangat dihormati dan mempunyai status yang disegani oleh semua.

Walau bagaimanapun, Datuk Seri Noh Bin Omar telah membuat kenyataan-kenyataan yang cukup menghina dan menggugat maruah organisasi tersebut. Beliau berhujah seolah-olah pemimpin-pemimpin Majlis Peguam adalah bodoh dan diperalatkan oleh pihak pembangkang. Beliau berkata Majlis Peguam sudah tersasar jauh dan menjadi juru cakap parti-parti pembangkang.

Ini adalah satu kenyataan yang tidak berasas dan mempunyai niat jahat untuk memburukkan imej Majlis Peguam Malaysia. Pemimpin-pemimpin Majlis Peguam adalah golongan cendiakawan dan profesional tidak patut dihina dengan kata-kata yang boleh mencemarkan nama baik badan itu di dalam dan di luar negara.

Majlis Peguam mungkin mempunyai pendapat atau pandangan yang sealiran dengan pihak pembangkang dalam beberapa isu. Ini tidak bermakna Majlis itu menjadi juru cakap pihak pembangkang.

Majlis Peguam menjalankan tanggungjawab mempertahankan kedaulatan undang-undang dan keluhuran perlembagaan. Untuk mencapai matlamat itu, Majlis Peguam berusaha untuk membetulkan yang tidak betul terutamanya mengenai perkara-perkara yang melibatkan undang-undang negara.

 Bukan sahaja sekadar menjaga kepentingan ahli-ahli, Majlis Peguam juga patut menjalankan peranannyan sebagai satu badan yang menjadi alat semak dan imbang (check and balance) dalam apa jua salah laku dalam sistem perundangan di negara kita. Ini juga merupakan tanggungjawab penting badan itu yang tidak boleh dianggap sebagai 'anti establishment'.

Majlis Peguam tidak menghina mahkamah apabila badan itu mempersoalkan isu penghakiman yang dibuat terhadap Ketua Pembangkang Dewan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim. Majlis Peguam membuat kritikan yang membina supaya badan kehakiman negara kita tidah diperalatkan oleh pihak eksekutif untuk kepentingan politik.

Penghakiman yang dibuat oleh badan kehakiman haruslah berasaskan keadilan dan bukan menjadi keputusan politik. Datuk Seri Noh Bin Omar harus sedar bahawa Majlis Peguam juga mempunyai tanggungjawab untuk menjaga nama baik dan integriti badan kehakiman. Ini adalah penting untuk mengembalikan semula kepercayaan rakyat kepada sistem kehakiman kita yang sudah jauh tersungkur.

Kerajaan seharusnya menerima teguran-teguran membina yang dibuat oleh Majlis Peguam. Tetapi, ucapan Datuk Seri Noh Bin Omar di Dewan Rakyat pula menghina Majlis Peguam seolah-olah yang tidak boleh berfikiran sendiri. Adakah beliau secara tersirat mengatakan bahawa Maljis Peguam ini satu badan yang 'bodoh'? Beliau juga mempersoalkan integriti Majlis ini dengan menuduh bahawa telah berlaku penipuan dalam pemilihan jawatankuasanya. Beliau harus memohon maaf kepada Majlis Peguam kerana kata-katanya yang bermotif jahat dan menghina itu.

Datuk Seri Noh Omar juga memberi cadangan kepada Dewan Rakyat untuk meluluskan satu lagi Undang-undang supaya diwujudkan satu lagi badan peguam untuk melumpuhkan Majlis Peguam yang sedia ada. Saya pasti beliau mempunyai niat jahat untuk menubuhkan satu lagi badan peguam pro Barisan Nasional untuk bersaing dengan Majlis Peguam yang sedia ada dengan bantuan dan sokongan penuh kerajaan.

Kenyataan beliau jelas membuktikan ketakutannya kepada Majlis Peguam yang lantang menyuarakan beberapa isu kontroversi seperti kes Datuk Seri Anwar Ibrahim, Isu kalimah Allah dalam majalan The Herald & Akta Hasutan yang masih tidak dimansuhkan.

Majlis Peguam adalah badan bebas yang mempunyai hak untuk menegakkan keadilan di negara kita. Teguran, pandangan, bantahan dan tindakan badan itu adalah sejajar dengan amalan demokrasi dan peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang memberi hak kebebasan bersuara, berpersatuan dan berhimpun

Muniswarar Temple Annual Festival

 
 
 
Media Statement by YB V.Sivakumar Member of Parliament for Batu Gajah on 26/2/2015, Batu Gajah. 


Attended the Muniswarar Temple, Desa Changkat (near Hospital Batu Gajah) annual festival on 22/2/2015. This is a very old temple estimated 130 years. Every year the temple festival celebrated beautifully and supported by locals especially the people from Desa Changkat and Batu Gajah. This year roughly about 600 people attended the temple festival.
 
 

Kaum India Masih Ketinggalan Dalam Pegangan Aset Negara, BN Gagal Mewujudkan Strategi Pemerkasaan Ekonomi Kaum India



Kenyataan Media YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah & Timbalan Pengerusi DAP Perak pada 18 Februari 2015 di Batu Gajah.


Pegangan aset di kalangan kaum India adalah paling kecil jika dibandingkan dengan Bumiputera dan kaum Cina. Walaupun sudah lebih 50 tahun kita merdeka, kaum India masih tidak mempunyai hala tuju meningkatkan pegangan aset mereka. Pegangan aset dikalangan kaum India adalah sesuatu yang tidak boleh dibanggakan.

Mungkin ada segelintir usahawan India yang berpengaruh telah berjaya memiliki sejumlah aset yang mengkagumkan, tetapi milikan mereka itu tidak memberi gambaran sebenar pegangan aset kaum India secara keseluruhanya. Sebilangan besar daripada orang-orang India tidak memiliki apa-apa aset. Lebih-lebih lagi, aset-aset komersial tidak boleh dimimpikan langsung oleh kaum tersebut.

Saya terpaksa mempersalahkan kerajaan Barisan Nasional dan pihak MIC yang kononnya berjuang untuk kaum India kerana gagal meningkatkan pegangan aset di kalangan kaum yang ketinggalan jauh ke belakang. Adalah amat menyedihkan kerana setakat ini tidak ada apa-apa rancangan ataupun pelaksanaan projek-projek tertentu untuk meningkatkan jumlah aset kaum India di negara ini. Kerajaan telah gagal mewujudkan agenda Pemerkasaan Ekonomi Kaum India.

Kaum India hanya dilihat sebagai 'fix deposit' apabila tiba pilihanraya umum. Setiap kali kita berpilihanraya, pelbagai janji kosong ditaburkan untuk memikat hati orang-orang India. Sejurus selepas pilihanraya, kaum India tidak dipedulikan dan dibiarkan tanpa sebarang bantuan. Kaum India tidak pernah dimasukkan dalam agenda utama ekonomi negara walaupun golongan ini amat memerlukan dan mengharapkan bantuan kerajaan.

Setakat ini, saya tidak nampak apa-apa hasrat murni kerajaan untuk membantu masyarakat India menambahkan nilai pegangan aset mereka. Saya juga tidak nampak apa-apa langkah yang telah diambil bagi tujuan tersebut seperti yang dilakukan secara serius dalam membantu Bumiputera. Antara langkah-langkah yang telah diambil oleh kerajaan untuk meningkatkan pegangan aset Bumiputera ialah penubuhan Pelaburan Hartanah Berhad (PHB).

PHB telah membuat pelaburan sebanyak RM3.2 bilion melalui pembelian bangunan dan projek pembangunan hartanah , antaranya seperti berikut :

1) CP Tower, Seksyen 16, Petaling Jaya Selangor
2) Menara Prisma, Presint 3, Putrajaya
3) Menara BT, Bangsar South, Kuala Lumpur
4) Lot G, Sentral Kuala Lumpur

Selain daripada itu, kerajaan juga mewujudkan UDA Holdings Berhad, Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) dan banyak lagi agensi untuk meningkatkan pemilikan hartanah oleh Bumiputera, khususnya hartanah bernilai komersial.

Berapakah jumlah wang diperuntukkan oleh kerajaan untuk pembangunan ekonomi kaum India terutamanya dalam meningkatkan pegangan aset? Kenapakah kerajaan sentiasa menganak tirikan wargananegara Malaysia yang berbangsa India? Kenapakah MIC tidak pernah memperjuangkan hak-hak yang asas seperti ini?


V.Sivakumar
Ahli Parlimen Batu Gajah