Rabu, 8 Mac 2017

Siapa Akan Bayar RM300K untuk Bangunan Tambahan SJKT Kerajaan, Ipoh?

Kenyataan Media YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah & Timbalan Pengerusi DAP Perak pada 7 Mac 2017 di Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia.
Bangunan tambahan yang baru bagi SJKT Kerajaan, Ipoh telah siap dibina pada tahun 2016. Dimaklumkan bahawa bangunan baru ini sudah boleh digunakan bagi permulaan sesi tahun 2017.

Walaupun bangunan baru ini telah siap sepenuhnya tetapi sehingga ke hari ini ianya masih belum boleh digunakan lagi. Pihak pentadbiran sekolah telah memberitahu kepada ibubapa bahawa pada tahun ini pelajar-pelajar akan memulakan sesi mereka dibangunan tambahan yang baru.
Tetapi, perkara ini masih belum dilaksanakan kerana masih terdapat kekurangan wang sejumlahRM 300,000 yang perlu dijelaskan bagi bangunan baru tersebut. Oleh kerana  wang sejumlah itu masih belum dibayar lagi, maka mereka belum boleh menggunakan bangunan tambahan tersebut.


Ini adalah sesuatu yang amat  mengecewakan kerana ibubapa dan murid-murid sekolah tersebut berasa sangat hampa dengan pihak kerajaan. Saya tidak menyalahkan pihak pentadbiran sekolah. Setahu saya pihak sekolah telah melakukan segala yang terdaya. Pelbagai usaha dan inisiatif telah diambil untuk menyiapkan bangunan itu dalam tempoh yang dijanjikan.

Tetapi, selagi wang sejumlah RM 300,000 itu tidak dibayar maka bangunan tambahan baru itu tidak boleh digunakan. Apa gunanya kita siap membina bangunan tetapi ianya tidak dapat digunakan? Murid-murid pula tidak dapat menikmati kemudahan tersebut.

Persoalannya siapakah yang harus membayar wang tersebut? Adakah wang itu perlu dibayar oleh pihak pentadbiran sekolah, pihak PIBG, pihak Lembaga Pengelola Sekolah ataupun siapa? Melalui nama sekolah itu pun sudah cukup untuk kita sedar siapakah yang bertanggungjawab dalam hal ini SJKT kerajaan Ipoh sendiri membawa maksud yang bertanggungjawab ialah kerajaan. Kerajaanlah yang harus memikul tanggungjawab tersebut untuk menyelesaikan masalah ini dalam kadar yang segera.

Kerajaan tidak boleh menolak tanggungjawab itu atau meminta pihak-pihak lain untuk membayar jumlah tersebut. Pihak pentadbiran sekolah tidak mampu membayar jumlah yang besar. Jika kerajaan juga tidak mahu membayar, siapa yang akan membayarnya? Adakah kerajaan berniat untuk membiarkan keadaan sekolah itu dalam keadaan tidak beroperasi untuk jangkamasa yang panjang?

Saya mahu pihak  Kementerian Pendidikan mengambil berat tentang perkara ini dan mengambil segala usaha untuk menyelesaikannya dengan kadar yang segera.
Saya telah memaklumkan masalah ini kepada Menteri Pendidikan melalui surat rasmi. Jika saya tidak mendapat apa-apa maklum balas daripada pihak Kementerian Pendidikan dalam minggu ini, saya akan timbulkan hal ini di dalam persidangan parlimen kali ini.

Saya mohon supaya pihak Kementerian Pendidikan memberi maklum balas memberitahu bilakah wang RM 300,000 itu akan dibayar dan bilakah pelajar-pelajar sekolah SJKT kerajaan Ipoh itu boleh menikmati bangunan tambahan tersebut?