Selasa, 28 April 2009

Zambry Main 'Litar Pintas'


Dato Seri Zambry Abdul Kadir telah membuat permohonan untuk merujuk kes pertikaian 'Menteri Besar yang sah' ke Mahkamah Persekutuan. Beliau membuat permohonan pada 21 April 2009. Beliau menaruh harapan penuh bahawa beliau akan menang dalam Mahkamah Persekutuan dan akan menjadi Menteri Besar Perak yang sah. Untuk memenuhi hajatnya beliau telah memilih 'short cut' untuk mendapatkan keputusan 'mee segera' daripada Mahkamah Persekutuan. Beliau cuba melarikan diri daripada proses undang-undang yang biasa.

Kes ini merupakan kes yang mempunyai kepentingan awam. Setiap fakta perlu ditelitikan secara terperinci sebelum keputusan dibuat. Mahkamah Persekutuan seharusnya mendengar fakta kes ini terlebih dahulu. Jika sekiranya terdapat pertikaian dalam soal undang-undang barulah ia dirujuk kepada Mahkamah Persekutuan untuk pentafsiran perkara yang dibangkitkan. Dalam kes ini, sebelum fakta dibicarakan dalam Mahkamah Tinggi, Zambry mahu Mahkamah Persekutuan campurtangan dan membuat keputusan. Perkara ini adalah tidak adil.Dato Seri Nizar dinafikan haknya didengari di Mahkamah Tinggi terlebih dahulu. Kes yang difailkan oleh Nizar di Mahkamah Tinggi tidak mempunyai apa-apa makna jika Mahkamah Persekutuan membuat pentafsiran undang-undang terlebih dahulu tanpa menghiraukan fakta kes yang sebenar.

Zambry mahu Mahkamah Persekutuan untuk mentafsir:

1) Samada Sultan Azlan Shah mempunyai kuasa menolak permohonan Nizar untuk membubarkan DUN apabila beliau hilang kepercayaan DUN.

2) Apabila Sultan tidak mempersetujui permintaan Nizar, adalah dianggap Nizar dan EXCOnya telah meletak jawatan.

3) Apabila Nizar tidak mahu meletak jawatan, Sultan mempunyai hak untuk melantik Zambry berdasarkan Artikel 16(2) Undang-undang Tubuh Negeri Perak, selepas Sultan berpuas hati Zambry mendapat kepercayaan DUN.

Zambry mahu Mahkamah Persekutuan membuat pengiktirafan bahawa beliau merupakan Menteri Besar Perak yang sah dari tarikh perlantikannya iaitu 6 Februari 2009.


Zambry membuat permohonan kepada Mahkamah Persekutuan untuk mentafsir Artikel 16(2) Undang-undang Tubuh Negeri Perak. Persoalannya ialah samada Nizar hilang kepercayaan dalam DUN. Perkara ini perlu dipastikan terlebih dahulu.

Undi tidak percaya terhadap seorang Menteri Besar tidak boleh dibuat di kedai kopi atau kedai gunting rambut. Forumnya ialah Dewan Undangan Negeri. Undi tidak percaya terhadap Menteri Besar mesti dibuat di Dewan Undangan Negeri terlebih dahulu. Adakah ianya dibuat? Setiap orang ADUN yang hadir berhak mengundi. Dewan Undangan Negeri adalah 'platform' untuk menguji perkara ini. Jika ia tidak dibuat, bagaimana Zambry boleh membuat kenyataan bahawa Nizar telah hilang kepercayaan DUN. Perkara inilah yang sewajarnya menjadi persoalan dalam Mahkamah. Tetapi, soalan-soalan yang dikemukan oleh peguam Zambry tidak menyentuh perkara ini. Ianya telah dikaburkan semata-mata untuk mendapat tafsiran mahkamah yang berpihak kepadanya.

Yang perlu mengendalikan urusan undi tidak percaya terhadap Menteri Besar ialah Spaeker. Inilah proses demokrasi yang diamalkan di semua negara-negara komanwel. Zambry dan kuncu-kuncunya tidak melalui proses demokrasi ini dalam perlantikan mereka. Awal-awal lagi Zambry telah memilih 'litar pintas' untuk menjadi Menteri Besar. Adakah perlantikannya sah?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan