Sabtu, 23 Mei 2009

Hanipa Maidin : Mahkamah Melahirkan Doktrin Raja Mutlak



Apa kata peguam kepada Dato Seri Nizar mengenai keputusan Mahkamah Rayuan pada 22 May 2009? Menurut Mohamed Hanipa Maidin, ............

……..pada 22 hb Mei 2009 iaitu pada hari Jumaat jam 3.30 petang di tingkat bawah Palace of Justice, Putrajaya tiga orang Hakim Mahkamah Rayuan iaitu Yang Arif ( Y.A ) Dato Raus Sharif, Y.A Dato Ahmad Maarof dan Y.A Dato’ Zainon Ali telah sebulat suara memutuskan antara lain bahawa

a. Seorang Menteri Besar ( di peringkat Negeri ) atau Perdana Menteri ( PM ) di peringkat Pusat secara tersirat boleh dipecat atau diminta letak jawatan jika Sultan atau YDPA memutuskan bahawa MB atau PM tidak lagi mendapat sokongan majoriti ADUN atau Ahli-Ahli Parlimen.

b. Perkara 16 ( 6 ) Perlembagaan Perak atau Perkara 43 ( 4 ) Perlembagaan Persekutuan tidak menyebut bahawa kaedah bagi menentukan bahawa seorang MB atau PM hilang keyakinan majoriti ADUN atau ahli-ahli Parlimen adalah melalui undi tidak percaya ( votes of no confidence ).

c. Kes Stephen Kalong Ningkan ( 1966 ) iaitu kes yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi di Sarawak yang memutuskan bahawa Governor atau Sultan tidak ada kuasa memecat Ketua Menteri atau MB dan satu-satunya cara menentukan seorang MB atau PM hilang keyakinan ahli-ahli Dewan adalah melalui undi tidak percaya tidak boleh lagi dipakai.


.Jika keputusan yang paling wajar dan munasabah oleh Y.A Hakim Mahkamah Tinggi iaitu Y.A Dato’ Aziz Abdul Rahim yang memutuskan bahawa satu-satunya cara menentukan seorang MB atau PM hilang keyakinan ahli-ahli Dewan adalah melalui undi tidak percaya sekaligus mengekalkan doktrin Raja Berperlembagaan ( Constitutional Monarchy ) keputusan Mahkamah Rayuan pula ditafsirkan oleh ramai cendikiawan undang-undang telah melahirkan doktrin baru iaitu Raja Mutlak ( Absolute Monarchy ). Jika Raja Berperlembagaan melahirkan kesejahteraan sudah tentu doktrin Raja Mutlak akan melahirkan suasana yang tidak menyenangkan.

Sebagai seorang anggota pasukan peguam Nizar, saya menghormati keputusan Mahkamah Rayuan tersebut. Tapi saya tidak pasti keputusan tersebut akan diterima dengan baik oleh rakyat khususnya rakyat di Perak.

Dalam keadaan keyakinan rakyat kepada institusi kehakiman masih belum pulih sepenuhnya sudah tentu keputusan Mahkamah Rayuan tersebut tidak dapat lari dari cemuhan rakyat. Inilah masalahnya apabila sesebuah institusi dalam sebuah negara sudah hilang keabsahan ( legitimacy ). Di negara ini apabila BN memerintah terlalu lama dan keabsahan parti tersebut dipertikaikan turut sama terpalit adalah institusi keadilan seperti Mahkamah , Peguam Negara dan polis. Apabila rakyat hilang keyakinan kepada sistem keadilan , maka sebarang keputusan Mahkamah apatah lagi keputusan seperti keputusan Mahkamah Rayuan pada hari ini sudah tentu tidak akan mudah diterima sebagai satu keputusan yang adil dan telus.

Sejak dari awal rakyat sudah nampak macam ada sesuatu yang tidak kena kepada cara kes rayuan Zambry dikendalikan. Zambry kalah di Mahkamah Tinggi pada 11/5/2009. Mahkamah Tinggi menolak permohonan Zambry bagi menggantungkan perlaksanaan penghakiman.

Pada 12/5/2009 di sebelah pagi Zambry membuat permohonan bagi menggantungkan perlaksanaan penghakiman. Mahkamah Rayuan menetapkan tarikh pendengaran permohonan Zambry pada pagi hari yang sama . Tarikh pendengaran yang diberikan dengan tergesa-gesa sudah tentu memprejudiskan Nizar dan pasukan peguamnya bagi membuat persiapan yang teliti dan mendalam.

Pada tengah hari 12 hb Mei itu juga Y.A Hakim Dato Ramly membenarkan permohonan Zambry dan perintah diberikan tanpa sebarang syarat.

Nizar membuat permohonan bagi membatalkan perintah penggantungan yang diberikan kepada Zambry. Mulanya permohonan Nizar ditetapkan pada 18/5/2009 tetapi kemudiannya ditangguhkan pada 21/5/2009 iaitu pada hari yang sama rayuan Zambry didengar. Sudah tentu permohonan Nizar tidak lagi relevan untuk didengar atau seperti yang sering dikatakan ianya menjadi akademik.

21 hb Mei rayuan Zambry didengar dengan hujah lisan dan bertulis dikemukakan oleh pihak –pihak secara mendalam . Mahkamah hanya ambil masa satu hari sahaja untuk putuskan. Memang hebat Mahkamah boleh buat keputusan dalam masa satu hari .Tetapi cuba kita bayangkan jika kita menghantar baju untuk dijahit dan tukang jahit siapkan baju kita dalam satu hari- saudara boleh bayangkanlah tahap kualiti baju tersebut .

Suatu yang amat mengharukan kami ( pasukan peguam Nizar ) adalah meskipun Nizar kalah namun sambutan rakyat kepada kami di Mahkamah Rayuan hari ini seolah-olah menunjukkan Nizar yang menang dan bukannnya Zambry.

Untuk rakan pasukan peguam Nizar iaitu Tuan Haji Sulaiman Abdullah, Philip Khoo, Ranjit Singh, Razlan Hadri, Nga Hock Cheh, Chan Kok Keong, Mr .Leong, Edmond Bon, Amir Arshad dan Zulkarnain Lokman ingatlah keputusan hari ini tidak akan mematahkan semangat kita sebaliknya ia memberi semangat baru kepada kita untuk terus berjuang menentang kezaliman dan menegakkan keadilan .

5 ulasan:

  1. Rakyat telah bersedia menunggu kedua dua keputusan yang diambil oleh mahkamah. Jika Nizar menang semangat membangunkan Perak terus meruap dan membara dalam jiwa setiap pencinta keadilan... jika nNizar kalah semangat rakyat juga membakar,meruap tinggi untuk terus menhancurkan BN/UMNO dari bumi Perak.Inilah natijah yang akan dihadapi oleh kerajaan haram Zambery. Tak percaya??...tungggu.

    BalasPadam
  2. Hafarizam kata Sultan berkuasa penuh dalam pemecatan Menteri Besar. Maknanya DYMM YDPA boleh pecat Najib sekiranya kerajaannya tidak mendapat sokongan di Dewan Rakyat.

    BalasPadam
  3. DS dR Zambri bolehlah menjadi MENTERI BESAR Mahkamah Rayuan. Itulah keputusan mahkamah yang telah sedia ada skemanya. Proses itu hanya untuk memuaskan hati rakyat tetapi langkahnya silap dan sumbang setelah keputusan diwartakan. Syabas DS dR Zambri. Moga-moga DS dR Zambri dapat beri tazkirah yang setanding dengan DS Nizar. Memang boleh ... BOLEH BELAH>>>>

    BalasPadam
  4. Salam.
    Kepada barisan peguam Ir DS kita ucapkan tahniah atas usaha tuan2 dalam memenangkan yg hak, kita tengok barisan peguam DSAI pun jenuh juga bersilat,hasilnya rakyat dapat banyak ilmu dari perbicaraan demi perbicaraan, banyak benda2 pelik terkeluar,manusia2 cerdik yg kita ingat rupanya bodoh.ramai kawan2 yg dulu sokong uno dah mai kat PR. Inilah hikmahnya kerja kuat berpasukan tambah pula ikhlas. syabas

    BalasPadam
  5. Cam katun je keputusan mahkamah...

    Kes Batu Putih tu masa keputusan nak bg ke Singapura, sampe 3 4 jam hakim bacakan keputusan dio.

    Mahkamah Rayuan... 5 min je... Potong Stim betul la... Sapa nk respek hakim cam tu?...
    Lu pk la sendiri....

    BalasPadam