Tragedi tangkapan 8 orang wakil rakyat Pakatan Rakyat termasuk Speaker DUN Perak V.Sivakumar pada 26 Mei atas dakwaan menghadiri perhimpunan haram di depan Wisma DAP, Ipoh, mengesahkan lagi bahawa bahang krisis politik semakin membara dan tidak mudah dipadamkan melalui keputusan Mahkamah Rayuan minggu lepas.
Pihak polis nyata diperalatkan apabila pelancaran mogok lapar dan puasa sunat bagi mendesak pembubaran DUN Perak itu dihadapi secara kekerasan. Begitu ramai anggota keselamatan dikerahkan, termasuk pasukan FRU dan kakitangan Majlis Bandaraya Ipoh. Tujuannya ialah bagi memastikan sebarang perhimpunan berbaju hitam untuk menggesa DUN dibubarkan, dicantas lebih awal.
Lebih menjolok mata apabila tangkapan dibuat, bermula dengan V.Sivakumar, ketika pemimpin-pemimpin Pakatan secara beramai-ramai berjalan menuju ke kereta masing-masing, selepas turun dari pejabat DAP, difahamkan untuk ke Mahkamah Tinggi bagi menyaksikan satu saman yang difailkan terhadap kerajaan BN yang memecat ketua-ketua kampung.
Mereka ditahan mengikut Sekyen 27 Akta Polis kerana enggan mematuhi arahan polis untuk bersurai walaupun setelah diberi amaran beberapa kali.
Walaupun Wisma DAP dan Pejabat Perhubungan PAS Perak terletak di hadapan Bangunan Perak Darul Ridzuan, namun lokasinya langsung tidak menyebabkan lalu-lintas terhalang. Tidak tahulah kalau ada pihak yang sakit mata memandang aksi protes pemimpin Pakatan Rakyat.
BN yang melakukan rampasan kuasa awal Februari lalu terbukti takut dengan bayang-bayang sendiri. Meskipun didesak dari segenap penjuru agar Dr Zambry menghadap Sultan mohon dibubarkan DUN, mereka tetap berdegil.
Alasanya mudah. BN begitu gentar untuk mendapatkan semula mandat baru rakyat kerana yakin mereka pasti ditolak, bahkan mungkin lebih teruk berbanding keputusan pilihanraya umum 2008.
-dipetik dari Kolumnis Harakah-
29-31 Mei 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan