Isnin, 25 Mei 2009

Keputusan Mahkamah Rakyat Akan Diumumkan Tidak Lama Lagi

V.Sivakumar


Keputusan Mahkamah Rayuan tidak menyebelahi Menteri Besar Rakyat Dato Seri Nizar Jamaluddin. Beliau meminta penyokong-penyokongnya bertenang. Walaupun Nizar rasa amat kecewa dengan keputusan itu, tetapi beliau menerimanya. Beliau masih lagi bersemangat untuk membuat rayuan di Mahkamah Persekutuan. Nizar yakin bahawa walaupun dia kalah di mahkamah tetapi beliau telah memenangi hati rakyat.


Kemenangan BN hanya menambahkan kebencian rakyat terhadap BN. Semua yang dilakukan oleh Pakatan Rakyat adalah berdasarkan undang-undang. Nizar dan Pakatan Rakyat tidak akan membelakangi undang-undang.


Nizar mengharapkan supaya penyokong-penyokong bersabar. Keadilan akan tetap menang. Yang penting adalah usaha dan semangat tidak putus asa. Pemimpin-pemimpin pakatan rakyat memang tidak mudah putus asa. Perjuangan akan diteruskan. Selagi masih ada ruang untuk bertindak, Pakatan Rakyat akan berusaha untuk mendapat keadilan.


Beliau juga memberi saranan kepada Dato Seri Zambry untuk mencadangkan kepada Sultan untuk membubarkan DUN Perak. Siapa yang berhak meminta untuk bubarkan DUN tidak menjadi isu yang penting di sini. Dewan mesti dibubarkan. Rakyat perlu diberi kuasa untuk memilih kerajaan baru untuk Perak. Semua wakil rakyat harus tunduk kepada kuasa rakyat. Kita perlukan satu kerajaan yang benar-benar sah. Dengan itu, krisis politik Perak boleh ditamatkan.


Keputusan Mahkamah Rayuan adalah keputusan yang berat untuk diterima. Tetapi, keputusan telah dibuat memihak kepada BN. Adakah ini akan mengakhiri kemelut politik negeri Perak? Walaupun BN menang tetapi politik di Perak tidak akan tenteram dan aman melainkan DUN dibubarkan.


Kerajaan BN di Perak adalah rapuh. Majoriti tipis 3 kerusi BEBAS yang menyokong BN tidak membawa erti yang besar untuk menubuhkan kerajaan yang sah.. Dua daripada ADUN iaitu Behrang dan Changkat Jering masih mempunyai kes rasuah yang belum diselesaikan lagi.


Pada petang 22 Mei yang lalu, begitu ramai orang berkumpul di perkarangan bangunan ‘Palace of Justice’ untuk mengetahui siapakah Menteri Besar yang sah untuk negeri Perak. Walau bagaimanapun, ramai yang sudah pun meramalkan keputusan Mahkamah Rayuan pada hari tersebut. Ramaalan mereka juga telah menjadi kenyataan. Dato Seri Zambry telah diputuskan sebagai Menteri Besar Perak. Hati setiap rakyat Malaysia yang mahukan kebenaran dan keadilan digelapkan pada ketika itu.


Petugas-petugas media arus perdana begitu ramai bernanti-nanti untuk membuat liputan keputusan mahkamah itu. Nampak sungguh ganjil, kerana keadaannya tidak serupa dengan hari pengumuman keputusan oleh Mahkamah Tinggi. Nampak jelas, seperti sesuatu yang tidak kena. Seolah-olah mereka mahu merayakan kemenangan Dato Seri Zambry setelah keputusan diumumkan. Suasana pada masa itu sudah menampakkan kekalahan Dato Seri Nizar.


Mahkamah bersidang pada pukul 3.30pm. Tepat pada 3.40pm keputusan 3 hakim yang sebulat suara itu telah tersebar dengan begitu cepat dikalangan orang ramai. Betulkah Dato Seri Nizar kalah?


Nizar Tidak Kalah ! Pakatan Tidak kalah! Kita Akan Menang di Mahkamah Rakyat! Kita Menang Hati Rakyat!


Keputusan Mahkamah Rakyat akan diumumkan tidak lama lagi…..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan