Sabtu, 27 Julai 2013

Perkasa - MIRAC Satu Lagi Muslihat Politik Perkauman

Kenyataan Media V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah & Timbalan Pengerusi DAP Perak pada 26/7/2013 di Ipoh
Perkasa - MIRAC Satu Lagi Muslihat Politik Perkauman
 
Perkasa mahu mewujudkan hubungan baik dengan NGO bukan Melayu. Dua pertubuhan bukan Melayu telah menandatangani satu piagam untuk menjalin hubungan dengan Perkasa, sebuah organisasi kontroversial yang tebal dengan semangat perkauman. Kumpulan ini telah menubuhkan Majlis NGO Antara Kaum Malaysia dengan nama singkatan MIRAC.
MIRAC
Perkasa adalah sebuah pertubuhan yang dikenali oleh semua rakyat Malaysia sebagai satu kumpulan ekstrimis dan menjadi alat UMNO untuk permainan perkauman yang kotor. Banyak isu- isu kontroversial telah ditimbulkan oleh Perkasa yang telah menggugat perpaduan kaum di negara ini. Kumpulan ini sengaja menimbulkan perasaan marah dan salah faham diantara kaum supaya UMNO mendapat memperolehi manfaat daripada isu tersebut.

Pemimpin-pemimpin utama Perkasa seperti Ibrahim Ali dan Zulkifli Nordin adalah watak-watak pelampau yang sentiasa menyuntik racun perkauman di dalam minda rakyat Malaysia. Mereka ini tidak pernah memikirkan atau mempunyai agenda perpaduan dan persefahaman antara kaum di negara kita. Segala gelagat atau tingkah laku mereka itu adalah bertujuan menghancurkan perpaduan rakyat untuk kepentingan politik UMNO.

Kenyataan-kenyataan Zulkifli Nordin yang menghina orang-orang India dan agama Hindu masih lagi dalam ingatan rakyat Malaysia. Pendirian Perkasa yang mahu mengekalkan novel Interlok yang menghina kaum India dan Cina juga tidak dilupakan lagi. Tambahan pula, Perkasa juga membela akhbar Utusan Melayu yang terang-terang mengkritik kaum Cina dengan ungkapan 'Apa lagi Cina mahu' sebaik sahaja selepas PRU13.

Tiba-tiba Perkasa mahu mengubah watak antagonisnya dengan mendapatkan sokongan bukan Melayu. Pelik dengan strategi Perkasa yang kini mahu mengadakan hubungan baik dengan pertubuhan-pertubuhan bukan Melayu semata- mata untuk membuktikan bahawa ia bukanlah satu organisasi rasis. Penubuhan MIRAC adalah satu lagi usaha untuk memperbodohkan rakyat dengan startegi halus untuk mencapai agenda politik perkauman yang sudah sebati dengan Perkasa.

Adalah sungguh memalukan apabila terdapat juga NGO- NGO yang sanggup mengadai maruah mahu menjalin hubungan dengan Perkasa ini. Mereka telah melupakan segala kerja- kerja kotor Perkasa dengan menghina dan memalukan kaum-kaum yang lain selama ini. Perkasa  mewujudkan MIRAC dengan niat yang tidak baik. Perkasa akan memperalatkan NGO-NGO bukan Melayu yang bersekongkol dengannya untuk menyokong tindak-tanduk perkauman yang bakal dilaksanakan. Pertubuhan-pertubuhan ini akan dijadikan sebagai senjata untuk menikam kaum masing-masing. 

Sebagai contoh, sebaik sahaja menandatangani piagam Majlis NGO Antara Kaum Malaysia, Naib Presiden Perkasa Zulkifli Nordin dalam kenyataan medianya di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur telah mengatakan bahawa Perkasa akan membela dan memberi sokongan penuh kepada Guru Besar SK Seri Pristana, Mohd Nasir Mohd Nor. Ini membuktikan bahawa Perkasa tidak pernah dan tidak akan menjaga hati dan kesejahteraan kaum bukan Melayu di negara ini. 

Kenyataan Zulkifli Nordin telah menimbulkan rasa tidak puas hati dan perasaan marah dikalangan ahli-ahli Majlis itu. Tetapi, jika ahli-ahli Majlis itu masih lagi mahu menjalin hubungan dengan pertubuhan pelampau itu, maka mereka wajib bersiap sedia untuk mengadai maruah dan harga diri untuk kepentingan material dan perkara-perkara lain yang dijanjikan.

V.Sivakumar
Ahli Parlimen Batu Gajah

Tiada ulasan:

Catat Ulasan