Sabtu, 6 Julai 2013

Perbahasan oleh YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah





Yang di-Pertua, terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pengundi-pengundi kawasan Batu Gajah yang telah memilih saya sebagai wakil rakyat mereka. Juga, saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada Yang di-Pertua.
Yang di-Pertua, izinkan saya membawa 7 perkara yang penting secara ringkas di Dewan yang mulia ini.
Yang pertamanya adalah mengenai masalah penyakit berjangkit Tibi. 

 Penyakit Tibi semakin menular di negara ini. Seperti mana yang kita semua sedia maklum, rawatan segera diperlukan terhadap pesakit yang dijangkiti penyakit yang serius ini. Jika masalah ini tidak ditangani dengan baik, penyakit ini boleh merebak dan membahayakan kesihatan penduduk di Malaysia.
Mengikut perangkaan yang diberikan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), lebih kurang 8.7 juta kes Tibi telah dikesan di seluruh dunia. Daripada jumlah itu, didapati 1.4 juta orang pesakit telah mati disebabkan penyakit kronik ini. Statistik tahun 2011 juga telah melaporkan bahawa 64,000 kematian itu terdiri daripada golongan kanak-kanak.
Yang di-Pertua, di Malaysia, Tibi telah dikategorikan sebagai penyakit berjangkit utama pada tahun 2012 dengan jumlah kes berdaftar sebanyak 22,710. Sejak kebelakangan ini, penyakit Tibi semakin menjadi-jadi. Adakah kerajaan telah mengenal pasti punca sebenar kadar peningkatan penyakit Tibi ini? Saya juga ingin mengetahui sama ada kadar peningkatan penyakit ini ada mempunyai hubungkait dengan kemasukan pendatang-pendatang asing yang begitu ramai dan drastik?
Untuk maklumat Ahli-ahli Yang Berhormat, cara pengesanan pesakit di sesuatu kawasan diukur melalui Kadar Pengesan Kes. Adakah Kementerian Kesihatan telah mencapai sasaran Kadar Pengesan Kes melalui ujian saringan kes Tibi setiap tahun? Jika tidak, kenapa tidak setuju dan apakah langkah-langkah yang telah dan akan diambil untuk menambahkan Kadar Pengesan Kes?

Yang di-Pertua, perkara kedua yang ingin saya sentuh adalah mengenai Sekolah-sekolah Vernakular.

Ingin saya tegaskan di sini, Kerajaan harus membuat pendirian yang jelas mengenai isu sekolah-sekolah vernakular di negara kita. Rakyat mempunyai hak perlembagaan untuk menghantar anak ke sekolah pilihan mereka. Tetapi, baru-baru ini ramai yang berani tampil ke hadapan membangkitkan persoalan mengenai status sekolah-sekolah vernakular.
Sehubungan dengan itu, pelbagai helah telah dibuat secara bijak untuk mempersoalkan status sekolah-sekolah vernakular. Masalah untuk mencapai Perpaduan Nasional juga dihubungkaitkan dengan kewujudan sekolah-sekolah vernakular.
Untuk makluman Dewan yang mulia ini, pada 27 Jun 2013 perkara ini juga telah ditimbulkan oleh Ahli Parlimen Sabak Bernam. Kenyataan yang dibuat oleh Yang Berhormat Sabak Bernam yang direkodkan dalam hansad adalah seperti berikut:
“Berhubung dengan pendidikan, saya ingin menyentuh pandangan Profesor Dr Teo Kok Seong iaitu Timbalan Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu ataupun (ATMA)  di Universiti Kebangsaan yang menyarankan bahawa sistem persekolahan satu aliran sewajarnya diperkenalkan bagi membentuk perpaduan selain mewujudkan interaksi berbilang kaum terutama generasi muda negara ini. Sistem pendidikan satu aliran adalah penting bagi membentuk acuan kepada jati diri dan sekali gus mencapai aspirasi nasional. Dalam hubungan ini,  tokoh pendidik Tan Sri Abdul Rahman Arshad yang merupakan Pro Canselor Universiti Teknologi Mara  menyarankan agar kerajaan menghapuskan Sistem Persekolahan Vernakular bagi memperkukuhkan perpaduan nasional di kalangan rakyat berbagai-bagai kaum di negara ini."
Apabila saya meminta penjelasan sama ada Yang Berhormat Sabak Bernam berpendapat bahawa semua sekolah Tamil dan Cina di negara ini ditutup, beliau menjawab 'tidak'.
Yang di-Pertua, persoalannya ialah bagaimana sekolah sealiran akan diwujudkan tanpa menutup sekolah-sekolah Tamil dan Cina? Jelas sekali ada niat tertentu yang disembunyikan oleh kerajaan tetapi tidak berani untuk dibawa ke permukaan secara terang-terang.
Apabila saya menekan Yang Berhormat Sabak Bernam lagi untuk mengaku maksud beliau yang tersirat itu, beliau enggan menjawab dan beralih kepada isu yang lain. Saya berpendapat kerajaan sudah pun mempunyai niat untuk menutup sekolah-sekolah vernakular di negara ini pada suatu masa nanti. Kini, kerajaan menggunakan beberapa pendekatan untuk menguji penerimaan orang ramai berhubung dengan perkara yang dibangkitkan.
Di sini ingin saya mengingatkan Dewan yang mulia, bahawa isu yang dibangkitkan ini boleh menimbulkan rasa tidak puas hati dan perasaan bermusuh-musuhan di antara kaum di negara kita. Ini juga bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan Akta Hasutan 1984.
Yang di-Pertua, perkara ketiga yang ingin saya bawakan adalah berkenaan tempat matrikulasi bagi pelajar-pelajar India. 

Perdana Menteri telah mengumumkan bahawa kuota untuk masyarakat India bagi mengikuti kursus di kolej matrikulasi milik kerajaan ditambah sebanyak 1000 tempat lagi bermula sesi 2012/2013. Pengumuman ini dibuat oleh beliau di Kelab Kilat Tenaga Nasional Berhad Kapar dalam satu program merayakan pesta ponggal pada hujung bulan Februari 2012. Perdana Menteri berkata bahawa beliau ingin melihat lebih ramai masyarakat India berpeluang melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi terutamanya di institusi pengajian tinggi awam.
Pengumuman ini membuktikan bahawa Barisan Nasional telah gagal memberi peluang pendidikan yang secukupnya kepada masyarakat India dalam tempoh 55 tahun kerajaan Barisan Nasional memerintah negara kita. Ini merupakan satu pengakuan terbuka yang dibuat oleh Perdana Menteri kepada masyarakat India.
Untuk menutup kelemahan dan kesilapan itu, Perdana Menteri mengumumkan bahawa kerajaan akan menambahkan 1000 tempat lagi untuk masyarakat India di kolej matrikulasi milik kerajaan.
Setakat ini beratus-ratus pelajar India yang memiliki keputusan yang cemerlang gagal mendapat tempat dalam mengikuti program matrikulasi kerajaan. Ada juga kes-kes di mana pelajar cemerlang yang memperoleh 10A juga tidak mendapat peluang mengikuti program matrikulasi kerajaan.
Janji PM, mulai sesi 2012/2013 jumlah pelajar India di kolej matrikulasi milik kerajaan akan meningkat kepada lebih 1500 orang.
Walaupun pengumuman ini telah dibuat secara terbuka oleh Perdana Menteri tetapi terdapat beberapa perkara yang diragui dan memerlukan penjelasan. Berikut adalah beberapa persoalan yang perlu dijawab oleh Yang Berhormat Perdana Menteri untuk meyakinkan masyarakat India:
1.  Berapakah jumlah sebenar pengambilan keseluruhan pelajar-pelajar untuk mengikuti program matrikulasi kerajaan di seluruh negara bagi sesi 2012/2013 dan 2013/2014?
2.  Berikan senarai nama, nombor kad pengenalan dan bilangan tempat mengikut setiap tempat matrikulasi.
Jika adalah benar apa yang dikatakan oleh Timbalan Perdana Menteri dalam Parlimen saban hari, maka adalah wajib untuk mendedahkan maklumat yang dikehendaki ini. Jika tidak, kita menganggap Dewan yang mulia ini ditipu oleh kerajaan dengan memberikan maklumat yang palsu. Mengikut maklumat yang saya pungut, setakat ini, hanya 862 tempat matrikulasi telah dipenuhi oleh pelajar-pelajar India. Bagaimanakah dengan 638 tempat yang masih tidak ditempatkan untuk masyarakat India. Dalam pada itu saya juga terperanjat dengan kenyataan Timbalan Perdana Menteri yang mengatakan bahawa pelajar-pelajar India yang tidak layak juga telah diberi peluang untuk mengikuti program matrikulasi. Janji Barisan Nasional ialah 1500 tempat untuk pelajar-pelajar India tetapi dengan tiba-tiba merit point 93.8 juga ada dikenakan. Kenapa terdapat 2 kriteria bertindih dalam pemilihan kemasukan pelajar-palajar India untuk program matrikulasi ini? Kriteria merit point 93.8 didapati tidak relevan dengan pengumuman 1500 tempat matrikulasi oleh Perdana Menteri.
Yang di-Pertua, oleh kerana pendidikan adalah keutuhan tulang belakang golongan pelajar dan mencerminkan status Malaysia di arena antarabangsa, maka izin saya utarakan perkara keempat, yang juga tersirat dalam konteks pendidikan.  

Untuk makluman Dewan yang mulia ini, secara nyatanya, bilangan pelajar di Jabatan Pengajian India, Universiti Malaya semakin berkurangan. Setiap tahun ada susutan dalam jumlah pelajar yang mengikuti kursus ini.
Pada tahun 2005, seramai 98 mahasiswa telah mengikuti kursus Pengajian India di Universiti Malaya. Akan tetapi, tiap-tiap tahun berlakunya pengurangan dalam jumlah pelajar yang menjalani kursus ini. Pada tahun 2011, hanya 20 orang mahasiswa mengikuti kursus tersebut. Pada tahun ini pula bilangannya semakin susut dengan hanya 12 orang mahasiswa sahaja dalam kursus ini. Apakah punca penyusutan bilangan pelajar di Jabatan Pengajian India? Tidak keterlaluan jika saya berkata bahawa MIC terlalu ghairah dengan jawatan Speaker DUN Perak dan tiada masa untuk memikirkan masalah-masalah serius seperti ini.
Yang di-Pertua, perkara yang kelima ingin saya bawakan adalah masalah guru interim di sekolah-sekolah Tamil. 

Untuk makluman Ahli-ahli Yang Berhormat, guru interim adalah guru sandaran tidak terlatih yang berkhidmat secara kontrak di sekolah SJKT. Terdapat ramai guru interim di sekolah-sekolah Tamil yang tidak diberi peluang untuk mengikuti kursus perguruan. Ini merupakan satu masalah yang lama tidak diambil peduli oleh Kementerian Pendidikan. Dalam kenyataan media, Presiden MIC Datuk Seri Palanivel menyeru Kementerian Pendidikan untuk mengambil tindakan segera, tetapi sehingga kini, Kementerian Pendidikan tidak mempedulikan isu ini. Presiden MIC berkata beliau pernah ketengahkan isu ini untuk perhatian kabinet. Beliau meminta Kementerian mengumpul data-data kelayakan guru interim dan mengaturkan temuduga. Beliau juga berkata guru-guru interim yang layak harus diberi peluang untuk menjalani latihan perguruan. Rupa-rupanya, seruan Presiden MIC pun tidak diendahkan oleh kerajaan Barisan Nasional. MIC juga tidak dapat menyelesaikan masalah ini. Kredibiliti MIC dan pemimpin-pemimpin Barisan Nasional dipersoalkan.
Apakah sudah jadi dengan saranan pemimpin MIC kepada Kerajaan? Di manakah janji yang dilemparkan oleh MIC? Walau bagaimanapun, Barisan Nasional tidak malu dalam kempen pilihanraya dengan slogan ‘janji ditepati’. Adakah Presiden MIC ini telah di ‘capati’kan oleh Barisan Nasional semasa kempen PRU-13?
Dalam pada itu juga, menurut Presiden MIC, bagi guru-guru interim yang tidak mempunyai kelayakan yang mencukupi, mereka harus diberikan kursus khas jangka pendek selama 6 bulan sebelum menerap mereka dalam sesi latihan di maktab perguruan. Dianggarkan lebih kurang 200 orang tenaga pengajar Tamil masih menunggu dan mengharapkan kerajaan untuk diberi latihan perguruan. Masa depan guru-guru ini masih kabur. Untuk makluman, kebanyakan guru-guru interim ini adalah dari golongan keluarga miskin. Nasib mereka tidak dibela oleh mana-mana pihak. Hanya janji kosong.
Yang di-Pertua, perkara yang keenam adalah berkaitan jawapan bagi soalan lisan yang telah saya terima iaitu berhubung dengan sebuah kilang memproses sisa bulu ayam di kawasan Perindustrian Silibin di Ipoh, Perak.

Kilang ini mengeluarkan bau yang amat busuk dan banyak aduan telah dibuat oleh penduduk di kawasan Taman Pertama, Taman Rishah, Taman Silibin dan kawasan sekitarnya. Mengikut jawapan kerajaan, premis ini beroperasi secara haram iaitu tanpa lesen daripada Majlis Bandaraya Ipoh. Jabatan Alam Sekitar juga mahu memastikan operasi premis tersebut memenuhi kehendak Akta Kualiti Alam Sekitar 1974. Saya difahamkan bahawa premis ini telah dikenakan kompaun dan larangan beroperasi pada tahun 2012 di bawah Seksyen 38(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
Jawapan seterusnya adalah mengelirukan. Selepas diputuskan larangan operasi, kenapakah pihak premis diarah untuk memasang alat kawalan pencemaran bau busuk agar tidak mengganggu keselesaan penduduk berhampiran?
Siasatan terkini iaitu pada bulan Mei 2013, premis ini telah mematuhi arahan.
Secara logiknya, bagaimanakah kerajaan boleh memberi arahan memasang kawalan pencemaran bau busuk bagi sesebuah kilang yang beroperasi secara haram? Jawapan yang telah diberikan adalah sangat mengelirukan dan jelas terdapat kesongsangan di dalam prosedur.

Yang di-Pertua, isu yang ketujuh, the last but not least, ingin saya ketengahkan isu tuntutan keadilan seorang ibu terhadap kematian anaknya.

Untuk makluman Dewan yang mulia, pada 27hb Jun 2013, saya telah menerima satu memorandum untuk diserahkan kepada Menteri Dalam Negeri. Memorandum itu diberikan oleh seorang ibu tua yang mahu menuntut hak keadilan ke atas  kematian anaknya, K. Murugan.
Yang di-Pertua, Murugan mati dibunuh dalam tempoh kempen pilihanraya ke-13. Beliau hilang pada 1hb Mei 2013 dan mayatnya dijumpai di sebuah lombong di kawasan Batu Gajah. Mayat dijumpai di mana badannya terikat dengan dawai pada seketul batu yang beratnya lebih kurang 50kg. Calon PKR Tapah merasakan bahawa penyiasatan yang dilakukan oleh polis dalam kes ini adalah berdasarkan pilih kasih atau double-standard. Beliau mahu kes ini dianggap berprofil tinggi dan meminta Parlimen menubuhkan sebuah jawatankuasa khas untuk menyiasat kes ini secara adil dan terperinci. Beliau rasa kecewa kerana tiada maklumbalas daripada Ketua Polis Negara bagi laporan polis polis, memorandum dan ‘candle light vigil’ yang dibuat oleh mangsa kejadian.

Yang di-Pertua, dengan ini saya akhiri bahas saya dengan mesej untuk mendapatkan kerjasama daripada kerajaan di mana apa yang dilakukan adalah berteraskan adil, transparent dan berdemokrasi.
Sekian, terima kasih.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan