Selasa, 9 Julai 2013

5.2 Juta Pelajar dan 400 Ribu Guru Terjerat Dalam Sistem PBS

Kenyataan Media V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah pada 8/7/2013 di Kuala Lumpur
 
 



Nampaknya kerajaan tidak ada hasrat untuk mengkaji semula perlaksanaan Sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS). Menteri Pendidikan II Dato Seri Idris Jusoh mempertahankan sistem PBS apabila menjawab soalan- soalan yang ditimbulkan oleh ahli- ahli parlimen sewaktu membahaskan titah ucapan Yang Dipertuan Agong pada minggu yang lepas.

Walaupun sistem ini menimbulkan banyak persoalan dan reaksi negatif daripada pelbagai pihak tetapi kerajaan tetap mahu meneruskan perlaksanaannya bagi 7723 sekolah rendah dan 2296 sekolah menengah di seluruh negara.

Sistem PBS ini menimbulkan banyak masalah kepada guru- guru. Ramai di antara mereka merungut bahawa sistem ini amat menyusahkan dan menjadi satu beban tambahan kepada kerja harian mereka.

Saya telah meminta Menteri Pendidikan II samada pihak kerajaan telah membuat satu kaji selidik yang terperinci untuk mendapatkan maklum balas daripada kesemua 412,000 guru yang terlibat secara langsung dalam sistem PBS. Tindakan ini adalah penting untuk memastikan keberkesanan sistem PBS itu. Guru-guru yang terlibat secara langsung harus memberi maklum balas kepada kerajaan samada sistem ini adalah baik atau sebaliknya.

Kementerian Pendidikan telah memperkenalkan sistem PBS tetapi samada ianya dapat dilaksanakan secara cekap dan berkesan bergantung kepada penerimaan oleh guru- guru yang menjadi pengerak kepada dasar yang dihasratkan itu.

Jika guru-guru tidak dapat menerima sistem PBS sepenuh hati, maka perlaksanaannya akan gagal. Ini adalah kerana kejayaan sistem ini bergantung sepenuhnya kepada guru-guru yang mengajar. Gangguan emosi dan keruntuhan motivasi guru-guru yang tidak puas hati dengan sistem PBS ini akan merosotkan lagi prestasi pelajaran di negara kita.

Oleh yang demikian, perkara ini harus diberi perhatian yang serius kerana ia melibatkan masa hadapan 2,804,405 murid sekolah rendah dan 2,281,775 pelajar sekolah menengah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan