Selasa, 30 Julai 2013

Bukan Ibubapa Tetapi Menteri Harus Mohon Maaf Dalam Isu Kantin Tandas

Kenyataan Media V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah & Timbalan Pengerusi DAP Perak pada 30/7/2013 di Taman Mas, Ipoh

Bukan Ibubapa Tetapi Menteri Harus Mohon Maaf Dalam Isu Kantin Tandas



UMNO selangaor menuntut supaya ibubapa yang terlibat dalam isu kantin tandas supaya memohon maaf kerana membangkitkan perkara ini. UMNO juga menyarankan supaya pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan undang- undang terhadap ibubapa di bawah Akta Hasutan  1948. Ini merupakan satu bentuk ugutan UMNO terhadap ibubapa yang membawa isu kantin tandas kepada perhatian dunia. UMNO cuba bertindak seperti ini untuk menakut- nakutkan ibubapa supaya tidak membuat sebarang aduan mengenai pentadbiran sekolah pada masa hadapan. Inilah taktik kotor UMNO selama ini, mentadbir negara dengan cara ugutan dan menakutkan rakyat.

Ibubapa mempunyai hak untuk menyuarakan perkara- perkara yang tidak betul dalam urusan pentadbiran sekolah yang melibatkan anak- anak mereka. Dalam kes kantis tandas ini, persoalannya ialah kebersihan dan kesihatan. Ibubapa berhak untuk membangkitkan isu ini kerana telah berlaku sesuatu di luar tabii. Kantin tandas ini adalah suatu perkara yang patut dianggap serius oleh Kementerian Pendidikan. Tetapi, malangnya Timbalan Menteri Pendidkan YB Kamalanathan mahu menutup kes ini dengan segera untuk  melindungi pihak sekolah yang melakukan kesilapan yang besar itu.

Perkara yang lebih menyedihkan ialah apabila Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Noh Omar cuba melindungi Guru Besar  dengan mendesak Jabatan Pendidikan Selangor supaya tidak mengambil apa- apa tindakan terhadapnya. Beliau berkata Guru Besar itu telah melakukan perkara yang betul. Adalah sungguh memalukan kerana seorang pemimpin UMNOyang mewakili Negeri Selangor membuat kenyataan yang sedemikian. Ini membuktikan kecetekan pemikiran pemimpin- pemimpin UMNO yang mahu melindungi perbuatan keji terhadap anak-anak kecil di bangku sekolah semata- mata untuk melindungi kepentinagan mereka.

UMNO Selangor harus berhenti mengugut   ibubapa yang membongkarkan perkara ini. Kerajaan sepatutnya memuji orang- orang yang berani untuk  membawa perubahan atau memperbaiki keadaan yang sedia ada. Tetapi, pendekatan UMNO pula adalah berlainan, mengugut dan menakutkan rakyat supaya mereka boleh mentadbir  negara ini mengikut nada dan naluri mereka.


Seluruh dunia sedang memerhatikan kita, isu kantin tandas ini telah memalukan negara kita di arena antarabangsa. Oleh yang demikian tindakan yang tegas harus diambil terhadap semua pihak yang terlibat secara langsung dalam hal ini. Tindakan seperti ini harus dilakukan supaya perkara yang samatidak berulang lagi. Perkara- perkara seperti ini boleh mencemarkan nama baik negara dan seterusnya menurun prestasi dan kualiti pendidikan di kaca mata negara- negara asing.

Dalam isu yang sama, YB Kamalanathan telah melawat sekolah itu pada minggu lepas. Beliau telah mengarahkan supaya kantin tandas itu ditutup dan murid- murid dibenarkan makan di kantin sekolah. Sebelum itu pihak sekolah berkata, kantin sekolah tidak boleh digunakan kerana kerja- kerja membaik pulih sedang dilakukan dalam bulan Ramadhan. Kalau benar, bagaimana murid- murid itu boleh  makan di kantin yang sama sekarang?

  Orang yang sepatutnya memohon maaf ialah YB Kamalanathan  dan bukanya ibubapa yang tidak bersalah malah prihatin terhadap kebajikan kesemua murid- murid sekolah itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan