Jumaat, 20 September 2013

Pilihanraya PBT, Satu Mekanisme Kawal & Imbang Di Peringkat Kerajaan Ketiga


Kenyataan Media YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah & Timbalan Pengerusi DAP Perak pada 19/9/2013 di Batu Gajah.

Adakah sistem melantik Ahli-ahli Majlis membawa kebaikan kepada masyarakat sejagat? Perkara ini menjadi satu topik yang hangat dan membawa  pandangan yang berbeza-beza. Barisan Nasional merasakan sistem melantik Ahli-ahli Majlis untuk setiap kerajaan tempatan merupakan cara yang terbaik. Manakala, Pakatan Rakyat pula mempunyai pandangan yang berbeza. Pakatan Rakyat berpendapat bahawa Ahli-ahli Majlis itu seharusnya ditentukan oleh rakyat melalui mekanisma pilihanraya kerajaan tempatan.

Pakatan Rakyat mahu setiap peringkat kerajaan dipilih oleh rakyat melalui undi. Pada masa ini, hanya kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan dipilih oleh rakyat melalui sistem demokrasi. Tetapi, kerajaan tempatan yang terdiri daripada Majlis Bandaraya, Majlis Perbandaran dan Majlis Daerah dilantik oleh Kerajaan negeri. Ini merupakan satu kelemahan dalam sistem pentadbiran negara yang tidak diakui oleh Barisan Nasional.

Melantik Ahli-ahli Majlis merupakan satu kaedah yang tidak menguntungkan rakyat. Kaedah itu hanya  menjadi satu alat untuk mendorong ahli-ahli parti untuk menyokong dan setia kepada Barisan Nasional. Pemimpin-pemimpin di peringkat akar umbi dipergunakan oleh ketua-ketua Barisan Nasional dengan memberi janji jawatan Ahli Majlis kepada mereka sebagai pendorong atau mangkin untuk memastikan kemenagan Barisan Nasional.

Perlantikan Ahli-ahli Majlis ini bukanlah dibuat mengikut kehendak rakyat secara demokrasi. Malahan, perlantikan itu dibuat oleh pemimpin-pemimpin atasan Barisan Nasional mengikut kehendak hati mereka. Adakah Ahli-ahli Majlis yang dilantik itu benar-benar komited untuk melaksanakan kewajiban dan tanggungjawab yang diamanatkan kepada mereka?

Jawabnya, tidak. Ahli-ahli Majlis yang dilantik itu hanya menunjukkan kesetiaan mereka kepada pemimpin politik yang melantiknya. Mereka tidak pedulikan rakyat yang amat bergantung dan mengharapkan kerajaan tempatan yang terlibat secara langsung dalam aktiviti harian dan persekitaran mereka. Itulah sebabnya kita jarang sekali nampak batang hidung Ahli-ahli Majlis yang dilantik di kawasan kita.

Seorang Ahli Majlis seharusnya mengetahui semua masalah dan cadangan-cadangan serta  perlaksanaan projek di zon yang ditugaskannya. Beliau sepatutnya menjadi suara rakyat tempatan dalam kerajaan tempatan. Rakyat perlu membuat aduan kepada mereka untuk mendapat perhatian, pertimbangan dan penyelesaian daripada Pihak Berkuasa Tempatan untuk masalah yang dibangkitkan. Tetapi, pada hari ini, Ahli-ahli Majlis daripada Barisan Nasional tidak mahu menonjolkan diri dan bersikap mengelak daripada mendengar masalah yang dibangkitkan oleh rakyat.

Itulah sebabnya kita perlu ada satu sistem pemilihan Ahli-ahli Majlis secara demokrasi. Jika mereka ini diundi melalui  pilihanraya, maka tahap tanggungjawab dan akauntabiliti akan meningkat secara otomatik. Mereka akan berasa takut dan menghormati  rakyat yang mengundinya. Mereka akan melaksanakan tugas dengan lebih prihatin dan dedikasi. Selain daripada itu, pemilihan seperti ini juga akan mendorong mereka untuk bekerja dengan cekap dan berkesan.  Semangat atau motivasinya juga adalah tinggi kerana mereka dipilih oleh rakyat dan bukannya dilantik oleh pemimpin-pemimpin politik.

Tambahan pula, rakyat juga mempunyai pilihan untuk menentukan calon pilihan mereka untuk mewakili kawasan masing-masing. Dalam pada itu, Ahli Majlis yang telah dipilih juga akan lebih dikenali oleh rakyat tempatan kerana pernah melalui proses pilihanraya. Bukan seperti sekarang, Ahli-ahli Majlis jarang sekali dikenali oleh penduduk tempatan. Oleh yang demikian, kerajaan haruslah meneliti perkara ini dan bersetuju untuk meminda undang-undang dan mengadakan pilihanraya kerajaan tempatan di seluruh negara.

Malangnya, Kerajaan Malaysia tidak mahu melaksanakan pilihanraya kerajaan tempatan kerana kepentingan politik. Barisan Nasional takut dan khuatir bahawa ia akan kehilangan kuasa yang lebih besar jika perkara itu dilaksanakan. Barisan Nasional risau pihak pembangkang akan menguasai banyak kerajaan tempatan terutamanya di kawasan bandar dan separa bandar. Ini akan membawa kerugian yang amat besar kepada Barisan Nasional dan kroni-kroninya yang amat bergantung kepada kontrak-kontrak kerajaan tempatan.

 Bekas Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman pernah menjanjikan untuk mengembalikan pilihanraya kerajaan tempatan selepas Konfrontasi Indonesia. Tetapi, sehingga hari ini kerajaan Barisan Nasional tidak menunaikan janji seorang Perdana Menteri yang disegani oleh seluruh rakyat Malaysia.

Kerajaan Barisan Nasional juga langsung tidak ada hasrat untuk mempertimbangkan cadangan yang dimaksudkan. Ini dapat dilihat daripada jawapan yang diberikan oleh kerajaan dalam Parlimen. Kerajaan belum bercadang untuk mengadakan pilihanraya kerajaan tempatan kerana kerajaan berpandangan bahawa peruntukan-peruntukan yang terkandung di dalam Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) yang ada sekarang mampu untuk mengawal selia dan memberi panduan kepada Ahli Majlis di bawah sesebuah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan efisien. Walaupun pilihanraya tidak diadakan di peringkat PBT, Ahli-ahli Majlis yang dilantik itu masih mampu untuk memberikan penyampaian perkhidmatan yang terbaik kepada semua pelanggan.



Bolehkah kita menerima alasan-alasan ini? Kerajaan Barisan Nasional mahu melarikan diri daripada mengadakan pilihanraya. Faktanya ialah Barisan Nasional akan kalah teruk diperingkat kerajaan tempatan jika sekiranya pilihanraya diadakan untuk memilih wakil-wakil rakyat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan