Khamis, 5 September 2013

Isu Tanah Kubur Masyarakat India di Kampar



Kenyataan Media YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah & Timbalan Pengerusi DAP Perak pada 4 September 2013 di Kampar

Dedahkan Maklumat Tapak Kubur Kaum India Yang Baru Diluluskan Di Daerah Kampar

 Masyarakat India di Kampar menghadapi satu masalah yang besar iaitu mengenai tanah kubur. Masalah ini bukanlah satu masalah yang baru. Perkara ini pernah dibangkitkan berulang kali melalui media tetapi tidak membawa apa-apa kesan yang positif. Masyarakat tempatan sudah hilang kepercayaan terhadap MIC dan kerajaan negeri yang tidak prihatin terhadap hal ini. Tanah kubur orang- orang India yang sedia ada di Kampar sudah sarat. Oleh yang demikian, masyarakat India di Kampar memohon untuk tanah kubur yang baru.

Baru- baru ini saya mendapat maklumat bahawa satu tapak baru seluas 5 ekar telah diluluskan oleh kerajaan sebagai tapak perkuburan orang- orang India di Kampar. Adakah ini benar? Kenapa perkara ini masih dirahsiakan  jika kerajaan benar- benar telah memberi  tanah itu secara ikhlas kepada masyarakat India di Kampar. Perkara ini sepatutnya diumumkan terang- terang untuk pengetahuan masyarakat tempatan khususnya kaum India di Kampar.

Oleh kerana perkara ini masih belum diketahui umum, maka adalah wajar untuk kerajaan membuat pengumuman secara terbuka berhubung dengan perkara ini. Masyarakat India di Kampar berhak untuk mengetahui tentang hal ini. Saya juga memohon daripada kerajaan negeri supaya mendedahkan beberapa maklumat penting untuk pengetahuan dan perhatian umum. Antaranya ialah:

1) Bilakah tanah 5 ekar itu diluluskan?
2) Siapakah yang memperolehi tanah tersebut?
3) Siapakah akan akan menguruskan atau mentadbir tanah itu?
4) Di manakah lokasi sebenar tanah yang diluluskan?
5) Bilakah tanah itu akan dibuka untuk tanam mayat?

Jika benar 5 ekat tanah perkuburan telah diluluskan kepada masyarakat India di Kampar, adalah wajar untuk pemimpin-pemimpin tempatan membuat lawatan ke tapak itu dengan segera untuk memastikan kedudukan dan keadaan tapak tersebut. Saya mempelawa Ketua Bahagian MIC Kampar iaitu Dato S.Veerasingam untuk mengatur satu program lawat tapak dengan segera bersama pemimpin-pemimpin tempatan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan