Jumaat, 27 September 2013

Penubuhan Sekolah Tamil Baru Adalah Satu Mimpi Di Bawah Kerajaan BN


YB. V. Sivakumar

Kenyataan Media YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah pada 25 September 2013 di Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia

Adakah kerajaan benar- benar serius untuk menubuhkan sekolah- sekolah Tamil yang baru di negara kita? Banyak janji-janji dibuat sebelum pilihanraya bahawa kerajaan bersedia untuk menubuhkan sekolah- sekolah Tamil jika ada keperluan di tempat- tempat tertentu. Tetapi, bolehkah janji ini dipercayai? Apakah status 7 sekolah Tamil baru yang dijanjikan oleh kerajaan?

Setakat  ini tidak ada apa-apa tindakan kerajaan yang serius dalam membina sekolah Tamil di negara ini. Ada bukti- bukti sejarah yang menunjukkan bahawa negara kita pernah memiliki lebih 1000 sekolah Tamil. Hari ini, yang masih kekal hanyalah sebanyak 523 sahaja.

Hampir 50% Sekolah-sekolah Tamil telah ditutup di bawah pentadbiran Kerajaan Barisan Nasional. Kerajaan memberi pelbagai alasan untuk penutupan sekolah-sekolah itu. Antaranya ialah migrasi masyarakat India dari ladang- ladang ke kawasan bandar dan separa bandar mengikut peredaran masa.

Ini menyebabkan bilangan murid-murid semakin berkurangan dan akhirnya kerajaan terpaksa membuat keputusan untuk menutup sekolah- sekolah tersebut. Ini mungkin satu jawapan yang logik dan rasional. Tetapi, migrasi kaum India ke kawasan bandar dan separa bandar meningkatkan populasi mereka di situ. Oleh yang demikian, adalah wajar untuk mmembina sekolah- sekolah Tamil di kawasan bandar & separa bandar yang mempunyai penduduk kaum India yang ramai.

Berhubung dengan perkara itu, saya telah menanyakan satu soalan lisan di Dewan Rakyat pada 24 September 2013. Soalan saya adalah seperti berikut :

" minta Menteri Pendidikan menyatakan sama ada Kementerian mempunyai niat untuk menubuhkan sekolah-sekolah Cina dan Tamil yang baru. Jika ya, adakah Kementerian mempunyai rancangan untuk membina sekolah Tamil di kawasan Jelapang yang mempunyai lebih kurang 20% kaum India"

Kerajaan memberi satu jawapan yang putar belit dan mengelak. Ini membuktikan kerajaan tidak serius dalam menangani isu ini. Berikut adalah jawapan kerajaan :

" Kementerian Pendidikan Malaysia amat mengambil berat akan keperluan sekolah untuk semua kaum.  Kementerian juga sentiasa berusaha menyediakan kemudahan pembelajaran yang terbaik untuk semua kaum. Permohonan penubuhan sekolah-sekolah jenis kebangsaan mengikut keperluan komuniti sesuatu kaum sentiasa diberikan perhatian serta pertimbangan yang sewajarnya oleh kementerian dari semasa ke semasa. Walau bagaimanapun, penubuhan serta pembinaan sekolah tersebut adalah tertakluk kepada kelulusan pihak pengurusan tertinggi kerajaan"

Jawapan ini menimbulkan  banyak persoalan yang mencurigakan.

1) Adakah kerajaan benar- benar mengambil berat akan keperluan untuk membina sekolah-sekolah  Cina dan Tamil? Berapakah jumlah sekolah Cina dan Tamil yang telah dibina di negara kita sejak kemerdekaan?

2) Adakah benar Kementerian Pendidikan menyediakan kemudahan pembelajaran yang terbaik untuk semua kaum? Kalau benar, kenapa kita masih mempunyai sistem dua aliran yang berbeza iaitu sekolah bantuan penuh dan sekolah bantuan modal?

3) Betulkah kerajaan menubuhkan sekolah-sekolah jenis kebangsaan mengikut keperluan komuniti sesuatu kaum? Kalau betul, bolehkah kerajaan senaraikan semua sekolah- sekolah jenis kebangsaan yang dibina mengikut keperluan komuniti sejak 10 tahun yang lalu.

4) Kementerian Pendidikan menjawab bahawa penubuhan serta pembinaan sekolah tersebut tertakluk kepada kelulusan pihak pengurusan tertinggi kerajaan.  Siapakah pengurusan tertinggi itu yang dimaksudkan itu?

5) Kenapa Kementerian Pendidikan tidak menjawap soalan spesifik saya mengenai rancangan untuk membina sekolah Tamil di kawasan Jelapang yang mempunyai lebih kurang 20% kaum India?

Ini membuktikan kerajaan tidak ada rancangan untuk membina sekolah jenis kebangsaan di kawasan- kawasan tertentu walaupun terdapat jumlah  kaum tertentu yang ramai dan mempunyai keperluan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan