Ahad, 5 April 2015

Mana Pergi Peruntukkan Untuk Kuil-kuil Hindu di Perak?




Kenyataan Media YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah & Timbalan Pengerusi DAP Perak pada 26/1/2015 di Batu Gajah



Banyak diantara kuil yang berdaftar tidak mendapat peruntukkan daripada kerajaan negeri Perak kebelakangan ini. Apabila saya membuat lawatan ke kuil-kuil di sekitar Ipoh dan Batu Gajah, saya difahamkan oleh pihak jawatankuasa kuil bahawa mereka tidak menerima apa-apa peruntukan kerajaan sejak tahun 2013.
Selepas pilihanraya, kerajaan Barisan Nasional Perak tidak memberi peruntukkan yang secukupnya kepada kuil-kuil ini. Tetapi, sebelum tahun pilihanraya, puluhan ribu ringgit telah disalurkan oleh kerajaan negeri kepada kebanyakkan kuil-kuil tersebut.

Ini jelas membuktikan bahawa kerajaan Barisan Nasional Perak memberi peruntukan kepada kuil-kuil semata-mata untuk meraih undi ketika pilihanraya sahaja. Selepas pilihanraya, Barisan Nasional tidak lagi berminat untuk memberi peruntukkan tersebut.

Saya rasa kecewa kerana kuil juga dijadikan medan untuk berpolitik oleh pemimpin-pemimpin Barisan Nasional. Peruntukan yang diberikan bukanlah dengan niat ikhlas malah hanya untuk mendapat sokongan orang-orang India dalam piliharaya umum.

Kalau pemberian peruntukan itu adalah jujur dan ikhlas maka sudah pasti ia akan diteruskan walaupun tidak ada pilihanraya. Tetapi, 'ada pilihanraya, ada peruntukkan, tiada pilihanraya tiada peruntukan', inilah dasar hipokrit Barisan Nasional untuk membeli undi kaum India.

Jika dasar seperti ini diteruskan, sokongan kaum india kepada Barisan Nasional dan MIC secara khususnya akan semakin merosot. Saya mahu mengingatkan pemimpin-pemimpin Barisan Nasional bahawa kaum India semakin celik politik dan tidak boleh diperdayakan lagi seperti dahulu.

Saya menegaskan lagi bahawa Pejabat Menteri Besar Perak harus memberi perhatian khusus untuk memberi sumbangan tahunan kepada kuil-kuil berdaftar. Ini merupakan salah satu tanggungjawab kerajaan yang perlu dilaksanakan secara jujur dan ikhlas.

Saya teramat sedih apabila mendapat tahu bahawa pihak yang bertanggungjawab dalam kerajaan negeri perak dalam hal ini tidak memberi jawapan kepada permohonan kuil untuk mendapatkan peruntukan ataupun sumbangan.

Saya minta Menteri Besar Perak untuk menyatakan jumlah wang yang telah di peruntukkan kepada kuil-kuil Hindu di negeri Perak pada tahun 2013 dan 2014. Sila berikan senarai kuil dan jumlah yang diberikan oleh kerajaan mengikut daerah dalam tempoh tersebut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan