Isnin, 6 April 2015

Apakah Mekanisme Untuk Memastikan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin Sampai Kepada Kumpulan Sasaran Tanpa Penyelewengan Pihak Ketiga?



Kenyataan Media YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah pada 7 April 2015 di Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia.



Saya menyokong segala usaha yang diambil untuk membantu anak-anak kita yang datang dari keluarga miskin. Ini adalah penting untuk memastikan mereka mendapat pendidikan walaupun suasana ekonomi keluarga tidak mengizinkan. Ramai diantara anak-anak kita tercicir dari bangku sekolah kerana ibubapa tidak mampu membiayai pendidikan mereka walaupun di peringkat sekolah rendah.


Pada 6 April 2015, saya telah membangkitkan satu soalan lisan berkaitan dengan bantuan yang diperolehi oleh anak-anak kita di peringkat sekolah rendah di Dewan Rakyat. Saya meminta Menteri Pendidikan menyatakan secara terperinci mengenai bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin, Rancangan Makanan Tambahan dan Program Susu 1Malaysia. Adakah bantuan-bantuan ini juga disalurkan kepada SJKC, SJKT dan SAR?Nyatakan jumlah yang disalurkan kepada sekolah-sekolah berkenaan daripada jumlah keseluruhan.

Menjawab soalan saya, Timbalan Menteri Pendidikan YB Kamalanathan berkata Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyediakan pelbagai bantuan pendidikan kepada murid daripada keluarga miskin dan golongan yang berpendapatan rendah di semua sekolah yang bertujuan untuk memastikan semua murid berupaya mendapat peluang pendidikan sama seperti rakan-rakan mereka yang berkemampuan tanpa mengira bangsa, agama dan negeri.

Beliau juga menyenaraikan bantuan yang diberikan oleh KPM. Antaranya ialah bantuan kewangan melalui Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) dan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) kepada Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Jenis Kebangsan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT). Beliau juga menegaskan bahawa Sekolah Agama Rakyat (SAR) tidak mendapat bantuan-bantuan itu kerana bukan terletak di bawah bidang kuasa KPM.

Berhubung dengan jumlah peruntukan, YB Kamalanathan memberitahu bahawa KPM menyalurkan RM 12, 702, 200 di bawah program KWAPM bagi membantu 54, 636 murid SJKT. Manakala, SJKT pula mendapat peruntukan sebanyak 7, 835, 550 untuk 35,034 murid. Bagi RMT pula SJKC diperuntukkan RM30,626,337.50 untuk 58,615 murid. Manakala SJKT mendapat meruntukan RM16,689,125.00 untuk 35,315 murid.

Timbalan Menteri Pendidikan itu juga menjelaskan bahawa Program Susu 1Malaysia (PS1M) melibatkan semua sekolah rendah tahun satu hingga tahun enam di kawasan luar bandar. Bagi sekolah rendah di bandar hanya murid yang mendapat RMT sahaja layak menerima PS1M.

Saya juga mengambil kesempatan untuk membangkitkan beberapa isu berhubung dengan perkara ini sebagai soalan tambahan. Saya menyatakan persetujuan dalam hal bantuan yang diberikan oleh kerajaan kepada murid-murid miskin. Walau bagaimanapun, bantuan yang diberikan itu haruslah sampai kepada kumpulan sasaran.

Jika peruntukan itu tidak sampai kepada kumpulan sasasan, tidak ada makna langsung untuk segala bantuan yang disalurkan. Saya difahamkan berlaku juga penyelewengan terhadap wang peruntukan yang disediakan untuk membantu anak-anak miskin.

Saya telah meminta Timbalan Menteri Pendidikan menyatakan mekanisme bagaimana peruntukan-peruntukan itu diedarkan samada melalui Pejabat Pedidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah, Pihak Pentadbiran Sekolah, Persatuan Ibubapa dan Guru-guru atau Lembaga Pengelola Sekolah. Siapa sebenarnya yang bertanggungjawab mengedarkan peruntukan-peruntukan ini?

Saya juga meminta KPM menyiasat mengenai satu aduan yang telah saya terima berhubung dengan penyelewengan wang KWAMP di sebuah sekolah di kawasan Parlimen saya. Saya dimaklumkan bahawa murid-murid miskin yang layak bantuan KWAMP di sekolah itu tidak memperolehinya sejak tahun 2012 selama 3 tahun berturut-turut.

Dikatakan sejumlah wang lebih kurang RM66,000 terlibat dalam kes ini yang sepatutnya diedarkan kepada 301 orang murid sekolah tersebut. Pihak KPM telah menjalankan siasatan berhubung dengan kes berkenaan. Saya memohon pihak kementerian memberi maklum balas siasatan serta tindakan yang akan diambil supaya penyelewengan seperti ini tidak berlaku lagi.

KPM telah menubuhkan Tabung KWAMP pada tahun 2003 di bawah Seksyen 10 Akta Tatacara Kewangan 1957. Objektif utama penubuhannya adalah untuk membantu golongan ibu bapa pelajar yang berpendapatan rendah dan tidak berkemampuan untuk menghantar anak mereka ke sekolah serta membasmi keciciran pelajar daripada persekolahan akibat kemiskinan. Setiap pihak yang bertanggungjawab dan mempunyai urusan pentadbiran dan pengendalian sesebuah sekolah tidak patut melupakan niat ataupun tujuan penubuhan tabung ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan