Ahad, 5 April 2015

Kolej Swasta Manupulasi PTPTN untuk Memesong Pelajar-pelajar Lepasan SPM untuk Mengaut Keuntungan



Kenyataan Media YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah & Timbalan Pengerusi DAP Perak pada 23/3/2015 di Dewan Rakyat



Saya berasa bimbang terhadap beberapa kolej swasta yang mencari pelbagai helah untuk menipu ibubapa dan pelajar-pelajar lepasan sekolah. Baru-baru ini pinjaman PTPTN juga dijadikan helah untuk menipu ibubapa dan pelajar-pelajar lepasan SPM.


Saya telah membangkitkan satu isu yang penting berhubung perkara ini ketika Menteri Pendidikan II Dato' Seri Idris Jusoh menjawab perbahasan Ahli-ahli Dewan Rakyat hari ini. Saya telah memberitahu Dewan Rakyat Yang Mulia bahawa terdapat kolej swasta yang mengambil kesempatan mempergunakan pinjaman PTPTN untuk kepentingan mereka.

Kolej berkenaan memasang 'banner' di kawasan-kawasan kediaman dan pekan-pekan tertentu dengan menyatakan 'Bantuan Pendidikan Tinggi Percuma', menjemput ibu bapa dan pelajar-pelajar lepasan SPM menghadiri satu taklimat pada tarikh, masa dan tempat yang ditetapkan. Selain itu, maklumat ini juga dihantar kepada pelajar-pelajar lepas SPM melalui SMS dengan menyatakan 'Nama adik dicadang oleh pihak sekolah sendiri untuk diberi peluang pendidikan ini. Sila bawa salinan kad pengenalan dan salinan keputusan SPM.

Ibubapa dan pelajar-pelajar yang datang ke taklimat itu diminta untuk mengisi borang maklumat peribadi. Selepas itu, pelajar-pelajar itu ditemuduga dan diberi penerangan secara peribadi. Dalam perbincangan itu, pelajar-pelajar diberitahu bahawa mereka tidak layak untuk memdapat tempat di institusi-institusi pendidikan tinggi awam. Mereka juga mencadangkan supaya memilih sebuah kolej swasta di Kuala Lumpur untuk meneruskan pendidikan mereka.

Pelajar-pelajar diberitahu bahawa keluarga yang menerima BRIM layak mendapat pinjaman PTPTN sebanyak 85% daripada jumlah yuran kursus. Bagi keluarga yang tidak layak menerima BRIM, PTPTN akan memberi pinjaman setakat 75% daripada yuran kursus. Oleh yang demikian, kolej swasta itu pula memberi tawaran 15% - 25% untuk membayar yuran selebihnya untuk pelajar-pelajar yang ingin melanjutkan pelajaran di kolej berkenaan.

Pertama sekali, ini merupakan satu penipuan oleh kolej swasta dengan mengambil kesempatan pinjaman PTPTN. Kolej berkenaan cuba memesong ibubapa dan pelajar-pelajar dengan kenyataan ' Bantuan Pendidikan Tinggi Percuma'. Tidak ada pendidikan percuma seperti yang dipromosikan kerana PTPTN hanya memberi pinjaman pendidikan. Selain itu, bayaran tambahan 15% - 25% pula boleh dimanupulasikan daripada yuran kursus yang sengaja ditingkatkan.

Oleh yang demikian, ini adalah satu kaedah yang digunakan oleh pihak-pihak tertentu untuk mengaut keuntungan daripada sektor pendidikan yang giat berkembang. Pelajar-pelajar menjadi mangsa manupulasi seperti ini.

Saya telah meminta Menteri Pendidikan 11 memantau perkara ini dan mengambil tindakan segera dalam hal yang dibangkitkan. Beliau telah menyarankan supaya maklumat lanjut dan terperinci diberikan kepada beliau supaya tindakan segera diambil.

Saya ingin menegaskan kepada ibubapa dan pelajar-pelajar supaya berhati-hati apabila memilih kursus dan institusi pendidikan terutamanya daripada pihak swasta supaya tidak tertipu dengan helah dan manupulasi yang tidak diingini

Tiada ulasan:

Catat Ulasan