Khamis, 9 April 2015

81.8% Kes Jenayah Samun Adalah Melibatkan Pelajar-pelajar Dari Nigeria. Apa tindakan KDN?



Kenyataan Media YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah, Timbalan Pengerusi DAP Perak & Setiausaha Antarabangsa DAP Malaysia pada 8 April 2015 di Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia.


Memang adalah dasar negara untuk menjemput pelajar-pelajar antarabangsa untuk melanjutkan pelajaran di Malaysia. Malaysia yang dianggap sebagai sebuah negara yang penuh dengan diversiti kebudayaan, keindahan alam dan suasana perniagaan moden menarik ramai pelajar-pelajar asing untuk memilih negara kita untuk melanjutkan pelajaran mereka di sini.

Gambar Hiasan

Kedatangan pelajar-pelajar asing ini juga mendatangkan banyak faedah kepada negara kita. Sebagai contoh, ini akan membawa masuk aliran wang asing ke negara kita. Tambahan pula, industri pelancongan juga turut berkembang melalui sektor pendidikan yang luas membuka ruang kepada pelajar-pelajar asing.

Tetapi, dalam memikirkan pembangunan ekonomi melalui sektor pendidikan, kita juga tidak boleh melupakan masalah-masalah dan kemudaratan yang dihadapi oleh negara jika pengambilan pelajar-pelajar itu dibuat tanpa saringan yang baik. Pelajar-pelajar yang memasuki ke negara kita mungkin mempunyai rekod yang buruk di negara mereka.

Selain daripada itu, niat mereka datang ke negara kita juga mungkin berlainan. Mereka mungkin mempunyai agenda tersendiri untuk datang ke negara kita tetapi mengambil peluang daripada kekontangan syarat-syarat kemasukan ke negara kita. Mereka memilih untuk datang ke negara kita sebagai pelajar-pelajar antarabangsa dan menjalankan aktiviti-aktiviti sosial yang memudaratkan rakyat negara kita.

Saya telah bertanya kepada Menteri Dalam Negeri berhubung dengan isu ini. Dalam soalan lisan yang dikemukan pada 8 April 2015 di Dewan Rakyat saya meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan jumlah pelajar
antarabangsa yang terlibat dalam aktiviti-aktiviti jenayah di negara kita. Apakah langkah-langkah yang diambil oleh Kementerian terhadap pelajar-pelajar ini supaya tidak menyalahgunakan permit masuk sebagai pelajar untuk tujuan-tujuan lain seperti perniagaan, pelacuran dan aktiviti-aktiviti jenayah yang lain?

Dalam jawapan yang diberikan oleh Menteri Dalam Negeri, beliau menegaskan bahawa pihak Kementerian memandang serius penglibatan pelajar-pelajar asing yang terlibat dalam aktiviti-aktiviti jenayah kekerasan atau jenayah harta benda. Beliau juga mengakui bahawa jika perkara ini tidak dibendung ia dapat menimbulkan kegusaran kepada masyarakat tempatan.


Dalam dua tahun iaitu 2013 dan 2014 telah berlaku 2 kes pembunuhan yang melibatkan pelajar-pelajar antarabangsa. Ini adalah kesalahan yang amat berat yang melibatkan pelajar-pelajar asing. Pada tahun 2013 dan 2014 terdapat dua kes rogol setiap tahun dalam rekod Kementerian. Tiga daripada kes-kes rogol ini melibatkan pelajar-pelajar dari Nigeria.


Dalam jawapan Menteri tidak terdapat apa-apa kes samun bersenjata api yang melibatkan pelajar-pelajar antarabangsa. Walau bagaimanapun, terdapat banyak kes samun berkawan tanpa bersenjata api dan samun tanpa senjata api iaitu 16 kes pada tahun 2013 dan 17 kes pada tahun 2014. Daripada 16 kes samun pada tahun 2013 itu, 13 kes adalah melibatkan pelajar-pelajar dari Nigeria.

Begitu juga, daripada 17 kes samun pada tahun 2014, 14 kes melibatkan pelajar-pelajar dari Nigeria. Ini bermakna daripada 33 kes dalam 2 tahun itu, 81.8% kes samum melibatkan pelajar-pelajar asing dari negara Nigeria?

Dalam tahun 2013 terdapat 27 kes mencederakan iaitu melibatkan 3 pelajar Nigeria, 8 pelajar Pakistan, 9 pelajar Somalia, 1 pelajar Uganda dan 6 pelajar dari negara-negara lain. Tetapi, pada tahun 2014 kes kecedaraan telah berkurangan kepada 12 kes yang melibatkan 3 pelajar Nigeria, seorang pelajar Bangladesh dan 8 pelajar dari negara-negara lain.

Kes-kes kecurian yang melibatkan pelajar-pelajar asing telah meningkat dari 41 kes pada tahun 2013 kepada 56 kes pada tahun 2014. Dalam jenayah harta benda ini, 26 kes adalah curi motokar iaitu 18 kes pada tahun 2013 dan 8 kes pada tahun 2014. Sekali lagi, 11 kes mencuri motokar adalah dilakukan oleh pelajar-pelajar dari Nigeria dan 2 kes dilakukan oleh pelajar-pelajar dari Uganda.

Tiada kecurian motosikal pada tahun 2013 tetapi berlaku 7 kes pada tahun 2014 yang melibatkan pelajar-pelajar antarabangsa. Dalam kes pecah rumah pula, daripada 10 kes pada tahun 2013, 4 adalah melibatkan pelajar-pelajar dari Nigeria. Begitu juga, daripada 7 kes pecah rumah pada tahun 2014, 5 adalah melibatkan pelajar-pelajar dari Nigeria.

Daripada statistik yang diberikan oleh Kementerian Dalam Negeri didapati bahawa pelajar-pelajar dari Nigeria sangat cenderung melakukan jenayah di negara kita. Saya mencadangkan supaya kerajaan harus melakukan saringan yang ketat apabila membenarkan pelajar-pelajar Nigeria belajar di negara kita. Jika perlu, kita harus menghalang pelajar-pelajar dari negara itu memasuki negara kita yang telah menambahkan kadar jenayah. Kita tidak boleh mengadai keselamatan dan kesejahteraan rakyat negara kita dengan kehadiran pelajar-pelajar asing yang membahayakan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan