Ahad, 5 April 2015

Ekonomi Mundur, Pembangunan Terbantut, Hanya Pakatan Rakyat Mampu Menyelesaikan Kegawatan Perak Melalui PRU14




Kenyataan Media YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah & Timbalan Pengerusi DAP Perak pada 29 Januari 2015 di Batu Gajah



Pembangunan di Negeri Perak adalah agak lembab jika dibandingkan negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia. Walaupun Negeri Perak pernah mendahului semua negeri-negeri lain suatu ketika dahulu, tetapi kini zaman kegemilangan ekonominya hanyalah sekadar ingatan dalam catatan sejarah.

Sejak berpuluh-puluh tahun yang lepas, ekonomi Negeri Perak adalah mundur dan tidak berdaya saing dengan negeri-negeri lain. Satu daripada puncanya ialah Pentadbiran Kerajaan yang boros dan rasuah serta pengurusan yang lemah.

Hari ini, Negeri Perak bukan lagi terkenal sebagai pengeluar utama dalam apa jua sektor ekonomi. Kalau kita imbas kembali, Negeri Perak pernah menjadi pengeluar bijih timah, getah dan kelapa sawit yang utama di Semenajung Malaysia. Hasil ekonomi Negeri Perak bukan sahaja tidak mantap malah pembangunannya juga adalah agak terbantut kebelakangan ini.

Dalam Rancangan Malaysia Ke 9, Negeri Perak telah menerima RM9.21 bilion untuk projek pembangunan daripada Kerajaan Persekutuan. Jumlah ini merupakan 4.0% daripada jumlah peruntukan yang disediakan untuk seluruh negara.

Manakala, dalam Rancangan Malaysia Ke 10 jumlah peruntukan untuk Negeri Perak telah dikurangkan kepada RM5.47 bilion iaitu 2.87% daripada jumlah peruntukan RM 190.7 bilion untuk seluruh negara.

Peruntukan Kerajaan Persekutuan untuk tujuan pembangunan telah dikurangkan sebanyak RM3.74 bilion dalam Rancangan Malaysia ke 10 berbanding dengan Rancangan Malaysia Ke 9 bagi Negeri Perak. Pengurangan peruntukan ini juga telah melemahkan lagi pembangunan di Negeri Perak di bawah Rancangan Malaysia ke 10. Kita tidak dapat melihat pembangunan fizikal yang nyata dan yang boleh dibanggakan.

Kita akan memasuki alam baru di bawah Rancangan Malaysia ke 11 pada tahun ini. Saya tidak yakin kerajaan Perak yang ada pada hari ini mampu membawa negeri ini ke mercu kejayaan. Malah, saya amat bimbang keadaan ekonomi negeri ini akan menjadi lebih buruk dengan kegawatan ekonomi yang sedang kita alami.

Rakyat harus membuat keputusan yang bijak seperti pengundi-pengundi Selangor dan Pulau Pinang untuk membawa perubahan dalam kerajaan yang mentadbir secara hemat dan berintegriti. Saya percaya, Kerajaan Pakatan Rakyat sahajalah yang boleh menangani ekonomi Negeri Perak dengan lebih baik dengan memberi tumpuan dan keutamaan kepada kebajikan rakyat dan pembangunan negeri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan