Khamis, 16 April 2015

Rakyat Hilang Keyakinan Terhadap PM Kerana Tidak Menepati Janji PRU



Kenyataan Media YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah pada 15/4/2015 di Ipoh


Keyakinan rakyat terhadap Kerajaan Barisan Nasional semakin luntur apabila undang-undang zalim Akta Hasutan dipinda di Dewan Rakyat pada 9 April 2015. Tarikh ini sekali lagi mencatatkan sejarah hitam apabila amalan demokrasi negara dihanyutkan kerana ketamakkan kuasa dan kepentingan politik pemimpin-pemimpin politik Barisan Nasional.

Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak telah hilang kredibiliti apabila beliau memungkiri janji pilihanraya untuk memansuhkan Akta Hasutan ini. Beliau telah membuat pengumuman ini dalam satu Jamuan Makan Malam Jabatan Peguam Negara pada 10 Julai 2012. Beliau juga pernah mengulangi kenyataan itu dalam temuramah dengan media antarabangsa BBC.

Datuk Seri Najib Tun Razak mahu memperkenalkan Akta Harmoni Nasional yang boleh menjamin kebebasan suara dan pada masa yang sama dapat mengekalkan keharmorian rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum, agama dan ideologi. Beliau telah meyakinkan rakyat bahawa akan lebih prihatin dan mengambil usaha-usaha yang mantap untuk menyuburkan proses demokrasi dalam negara.

Tetapi, keyakinan rakyat itu terkecai apabila kerajaannya telah meminda Akta Hasutan dengan memasukkan perkara-perkara yang lebih kejam dan mengekang kebebasan suara rakyat. Lantaran itu, negara kita telah mengorak langkah kebelakang dalam soal hak Asasi Malaysia. Ditambah lagi, Undang-undang POTA (Prevention of Terrorism Act) yang diluluskan beberapa hari sebelum itu pula menjadi penjelmaan roh ISA (Internal Security Act) dalam jasad yang baru.

 Walaupun Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu memberi amaran kepada negara supaya tidak membuat pindaan kepada undang-undang kuno seperti ini tetapi kerajaan masih berdegil untuk meluluskannya di Parlimen. Walaupun ditentang oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, Majlis Peguam Malaysia, pelbagai NGO, mahasiswa dan parti-parti politik pembangkang tetapi kerajaan Barisan Nasional tetap mahu meneruskan agenda jahat itu.

Kenapa Barisan Nasional mahu berbuat demikian? Adakah kerana demi kesejahteraan rakyat? Sudah tentu tidak. Akta Hasutan dipinda dan POTA diluluskan semata-mata untuk menyekat kemaraan Pakatan Rakyat menuju ke Putrajaya. Kerajaan bimbang apabila pengaruhnya semakin berkurangan dalam keadaan ekonomi yang semakin merudum, peningkatan dalam kadar inflasi dan pelaksanaan GST yang tidak popular.

Tambahan pula, Pakatan Rakyat telah meluaskan pengaruhnya di kalangan rakyat Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak. Undi popular yang diterima oleh Pakatan Rakyat dalam PRU13 telah menggetarkan lagi kedudukan Barisan Nasional. Oleh yang demikian, undang-undang zalim yang bertentangan dengan hak asasi manusia dan bercanggah dengan semangat Perlembagaan Persekutuan diluluskan di dewan yang mulia.

Walaupun janji-janji diberikan oleh kerajaan bahawa undang-undang kejam seperti ini tidak bertujuan untuk menghalang kebebasan bersuara dan tingkah laku parti-parti pembangkang, tetapi pada hakikatnya itulah akan berlaku di negara kita sebelum PRU14. Kerajaan akan menggunakan undang-undang zalim ini untuk menakutkan pemimpin-pemimpin politik, mahasiswa-mahasiwa dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan yang bercorak reformis. Pihak media juga tidak akan terlepas daripada ancaman dan kekangan ini.

Malaysia adalah sebuah negara demokrasi yang disusun atur corak pemerintahannya berdasarkan Perlembagaan Persekutuan. Prinsip Rukun Negara dijunjung demi menjaga keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang. Malaysia juga berhasrat untuk mencapai taraf negara maju menjelang tahun 2020. Semua ini tidak boleh direalisasikan di bawah sebuah rejim yang tidak menghormati hak-hak asasi dan amalan demokrasi berparlimen yang dijamin oleh undang-undang tertinggi negara. Oleh yang demikian, rakyat daripada semua lapisan masyarakat harus menolak kerajaan hari ini dalam PRU14. Apabila kerajaan gagal menegakkan keadilan, adalah menjadi tanggungjawab rakyat untuk membetulkan yang tidak betul.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan