Jumaat, 23 Januari 2015

Sivakumar : Minta Menteri Kesihatan Menyatakan Jumlah Doktor Housemen Tamat Perkhidmatan Sebelum Menghabiskan Latihan Di Hospital-hospital Kerajaan



Kenyataan Media YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah & Timbalan Pengerusi DAP Perak pada 21 Januari 2015 di Batu Gajah.


Saya percaya setiap orang akan mengakui bahawa kualiti doktor terutamanya di hospital-hospital kerajaan adalah sangat penting dan perlu diutamakan. Ini adalah kerana doktor-doktor ini berurusan dengan nyawa manusia. Sebarang kesilapan yang dilakukan oleh doktor bertauliah akan mengakibatkan kehilangan yang besar.

Oleh yang demikian, kita harus memberi tumpuan dalam menghasilkan diktor-doktor yang mempunyai kepakaran tinggi dan berkualiti di negara kita. Pihak Kementerian Kesihatan tidak boleh mengabaikan perkara tersebut.

Pada tahun lepas, saya terbaca satu artikel dalam akhbar The Star bahawa doktor-doktor housemen yang menjalani latihan di Hospital Raja Permaisuri Ipoh mengalami tekanan kerja yang amat mendalam. Saya juga berpeluang untuk mendapatkan maklum balas terus daripada beberapa orang doktor housemen dan ibubapa mereka yang mengakui perkara tersebut.

Mereka mendakwa suasana kerja yang amat menekan ini menyebabkan mereka mengalami tekanan emosi dan kehilang minat untuk bekerja. Perkara ini tidak boleh dipandang ringan dan diabaikan oleh pihak Kementerian Kesihatan.

Ini adalah kerana doktor-doktor yang mengalami tekanan ini mungkin tidak mahu bekerja sebagai doktor lagi. Tambahan pula, masalah ini juga boleh menjejaskan prestati dan kualiti doktor-doktor yang kita hasilkan kelak.

Pihak yang bertanggungjawab harus mengambil sikap yang positif dan prihatin dan memberi latihan parktikal kepada doktor-doktor housemen yang baru masuk bekerja dengan semangat dan impian yang cukup tinggi.

Sikap membuli atau menekan doktor-doktor housemen ini akan merugikan kita bersama jika mereka mengambil keputusan untuk meletak jawatan dan mencari pekerjaan lain.

Saya agak berkeberatan untuk menggunakan perkataan 'membuli' terhadap doktor-doktor yang lebih senior terhadap doktor-doktor junior ini. Walau bagaimanapun, artikel yang saya terbaca dalam akhbar The Star dan aduan terus daripada mereka yang terlibat telah mendorong saya menggunakan perkataan tersebut. Mungkin terdapat perkataan yang lebih lembut yang boleh digunakan dalam kes-kes seperti ini. Saya kurang arif berkenaan perkataan tersebut. Yang lebih penting ialah suasana kerja yang dialami oleh doktor-doktor housemen ini perlu diberi tumpuan khusus.

Saya pernah membangkitkan isu mengenai masalah doktor-doktor housemen ini di Dewan Rakyat pada 12 November 2014. Saya telah meminta Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S.Subramaniam menjelaskan samada kerajaan pernah mengeluarkan satu perintah atau order kepada semua hospital kerajaan bahawa masa bekerja untuk doktor-doktor housemen adalah 60 jam sahaja dalam seminggu?

Saya juga ingin mengetahui samada perintah itu juga ada menyebut tentang cuti 2 hari bagi doktor-doktor housemen yang telah berkerja 'on call' ? Jika ya, adakah perintah itu dilaksanakan di Hospital Raja Permaisiri Bainun Ipoh dan hospital-hospital kerajaan yang lain. Saya difahamkan doktor-doktor housemen ini kerap kali dikehendaki bekerja 70 hingga 80 jam seminggu dan tidak diberi cuti 2 hari setelah mereka bekerja 'on call'.

Dalam jawapan yang diberikan oleh Menteri Kesihatan saya mendapati beliau cuba mengelak daripada menjelaskan perkara yang saya bangkitkan itu. Beliau langsung tidak mahu menjawab tentang surat perintah yang dikeluarkan oleh pihak kementeriannya sendiri. Saya juga masih tidak menerima apa-apa jawapan bertulis daripada Menteri Kesihatan berkaitan dengan perkara yang saya bangkitkan.

Tambahan pula, saya juga telah meminta Menteri Kesihatan menjelaskan mengenai jumlah doktor housemen yang telah menamatkan perkhidmatan, iaitu diberhentikan oleh kementerian ataupun berhenti dengan secara rela hati sejak tahun 2010 hingga tahun 2014. Menteri juga gagal memberi maklumat tersebut. Saya mohon Menteri Kesihatan memberikan statistik yang penting ini.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan