Rabu, 29 April 2015

Penglibatan Wanita Dalam Peringkat Pengurusan Pelbagai Sektor Perlu Dipertingkatkan Tanpa Diskriminasi


Penglibatan wanita dalam sektor pekerjaan semakin meningkat. Begitu juga, kaum wanita memainkan peranan yang penting dalam memegang jawatan-jawatan tinggi di sektor awam mahupun di sektor swasta. Peranan wanita dalam pembangunan negara tidak boleh dipandang rendah. Wanita berjaya membuktikan kebolehan dalam pelbagai sektor yang dahulunya hanya didominasikan oleh kaum lelaki.

 Di Malaysia, penglibatan wanita-wanita di dalam bidang pekerjaan, walaupun masih rendah, telah meningkat daripada 44.7% pada tahun 1995 kepada 47.3 % pada tahun 2004. Semakin ramai wanita kini terlibat di dalam sektor pekerjaan adalah amat ketara apabila sektor perindustrian berada di tahap yang tertinggi pada tahun 1980an.

Pada tahun 2004, hanya 18.8% wanita menyandang jawatan utama sektor awam (JUSA). Walau bagaimanapun peratusan itu telah meningkat kepada 25.2% pada tahun 2006. Peningkatan kaum wanita di peringkat JUSA telah terus bertambah sehingga mencapai 32.5% pada tahun 2014.

Seramai 7 orang wanita menjawat jawatan sebagai Ketua Setiauasaha Kementerian dan 27 orang wanita menjawat jawatan sebagai Ketua Pengarah Jabatan Persekutuan dan Badan Berkanun. Selain daripada itu, dalam bidang kehakiman sivil pula jawatan Hakim dan Pesujuhjaya Kehakiman wanita adalah seramai 46 orang iaitu 35.7%.

Walaupun terdapat peningkatan dalam penglibatan kaum wanita dalam jawatan-jawatan tinggi di sektor awam, tetapi adakah ia dilakukan secara adil dan saksama antara kaum di negara ini? Peningkatan dalam peratusan mungkin tidak memberi gambaran yang sebenar. Dalam hal menyelesaikan diskriminasi gender, kita tidak boleh mengabaikan diskrimasi perkauman.

Saya ingin meminta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat menyatakan statistik penglibatan kaum wanita di peringkat pengurusan tinggi mengikut kaum di negara ini. Ini adalah penting bukan sahaja untuk memberi peluang kepada kaum hawa tetapi ianya dilakukan secara adil dan saksama diantara semua kaum di Malaysia merangkumi penglibatan wanita pribumi di Sabah dan Sarawak.

Data daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia membuktikan bahawa 16% iaitu 3513 orang adalah wanita menjadi Ahli Lembaga Pengarah di syarikat awam pada tahun 2014. Dalam sektor perbankan pula, sehingga tahun 2014, Ahli Lembaga Pengarah adalah seramai 57 orang iaitu 7.9%.

Apakah usaha-usaha yang diambil oleh kerajaan untuk meningkatkan lagi penyertaan wanita secara lebih menyeluruh dan saksama di peringkat pembuatan keputusan dan berjawatan tinggi dalam sektor awam dan sektor korporat?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan