Ahad, 5 April 2015

Arak Murah & Samsu Haram Perlu Diperangi Untuk Keselamatan & Kesejahteraan Rakyat


Kenyataan Media YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah & Timbalan Pengerusi DAP Perak pada 2 April 2015 di Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia

Masalah arak ataupun samsu haram telah menghancurkan ribuan keluarga di negara kita. Lebih-lebih lagi, masalah ini dilihat amat serius di kalangan kaum India. Kerajaan harus mengambil langkah-langkah untuk mengawal penjualan arak berharga murah dan samsu haram secara berleluasa di negara kita. Masalah ini perlu ditangani segera. Kerajaan harus mengambil pertimbangan yang sewajarnya untuk membendung sama sekali arak berharga murah dan samsu haram seperti memerangi dadah.

Arak di Malaysia boleh diperolehi dengan mudah seumpama membeli air minuman yang lain sama ada di pasar raya, restoran, hotel, kedai runcit mahupun di kedai serbaneka yang menjualnya tanpa kawalan ketat.

Saya difahamkan rakyat negara kita membelanjakan sebanyak USD500 juta iaitu lebih kurang RM1.75 bilion bagi pembelian minuman keras setiap tahun. Penjualan arak meningkat di antara 5 hingga 7 peratus setahun melebihi kadar pertumbuhan penduduk iaitu 2.4 peratus.

Tindakan tegas perlu diambil terhadap penjual-penjual yang melanggar syarat-syarat penjualan arak. Saya difahamkan pola pengambilan alkohol di Asia semakin meningkat berbanding dengan negara-negara Eropah dimana polanya mula menurun oleh sebab kempen agresif mereka untuk membendung masalah atau gejala alkohol ini.

Jumlah rakyat yang terlibat dengan pengambilan arak semakin meningkat dan pendedahan kepada arak berlaku pada umur yang cukup awal. Pada tahun 1976, Spencer dan Navaratnam telah membuat satu kajian yang menunjukkan 19% pelajar sekolah menengah bandar mengaku minum arak, 1% mengaku kerap meminum arak, 3% mengaku minum arak sulingan iaitu spirit yang tinggi kandungan alkohol sekali sebulan, dan 5.6% minum bir dengan lebih kerap.

Dalam satu kajian di kalangan pesakit yang dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) in-patient pada tahun 1993, 48% daripada yang ditanya mengaku minum arak. Mungkin peratusannya lebih tinggi pada masa ini. Setakat ini kerajaan tidak memberi perhatian serius terhadap isu ketagihan arak ini dan sering dianggap sebagai isu kaum India. Kerajaan harus memerangi arak murah dan samsu haram untuk menjamin keselamatan dan kesejahteraan anak-anak kita.

Pergerakan Anti Arak Murah Malaysia yang lebih dikenali sebagai Malaysian Anti Cheap Liquor Movement telah mengambil beberapa usaha untuk mengharamkan arak murah dengan menyarankan beberapa tuntutan:-

1) Penjualan semua jenis arak (kecuali bir) di bawah isi kandungan 750ml patut diharamkan

2) Harga minima bagi penjualan semua jenis arak (kecuali bir) harus ditetapkan pada RM30

3) Kerajaan harus menubuhkan pusat-pusat pemulihan penagihan arak di seluruh negara, sekurang-kurangnya satu (1) pusat pemulihan di setiap negeri.

4) Syarat-syarat lesen arak di bawah Akta Eksais 1976, harus dipinda bagi menetapkan penjualan runcit di semua jenis arak (kecuali bir) harus bermula tidak awal daripada pukul 10 pagi dan harus dihenti tidak lewat daripada pukul 6 malam.

5) Amaran bergambar kemudaratan kesihatan akibat pengambilan arak harus dipaparkan pada setiap botol arak

6) Satu akta baru untuk mengawal pengambilan arak di tempat awam harus diluluskan oleh Parlimen dan pihak polis harus menguatkuasakan undang-undang berkenaan.

7) PBT di seluruh negara harus diberi kuasa setaraf dengan Jabatan Kastam untuk mengambil tindakan terhadap kesalahan berkaitan penjualan runcit semua jenis arak (kecuali bir) menurut Akta Eksais 1976

Saya bersedia untuk membawa perkara ini ke Dewan Rakyat dalam persidangan akan datang pada bulan Mei 2015. Saya juga menaruh harapan bahawa semua Ahli-ahli Parlimen akan menyokong usaha-usaha murni untuk membendung arak murah dan samsu haram di negara ini.

Saya pasti kita boleh mengatasi masalah ini dengan 'political will' kedua-dua pihak iaitu kerajaan mahupun pembangkang. Saya mohon supaya semua pihak termasuk NGO dan parti-parti politik berusahasama untuk mengatasi masalah arak murah dan samsu haram.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan