Ahad, 5 April 2015

Bangunan Baru SJKT Menglembu : Berapa Peruntukan & Bila Akan Dibina



Kenyataan Media YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah , Timbalan Pengerusi DAP Perak pada 1 April 2015 di Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia


Isu keperluan bangunan batu untuk SJKT Menglembu bukanlah satu isu yang baru. Sudah sekian lama sekolah tersebut memerlukan peruntukan untuk pembinaan bangunan baru. Saya telah membangkitkan isu ini sejak tahun 2009 di Dewan Undangan Negeri Perak dan juga melalui media massa. Saya juga pernah membangkitkan isu ini kepada pihak Kementerian Pendidikan beberapa kali.

 Tetapi setakat ini kerja-kerja membaik pulih dan membina bangunan baru SJKT Menglembu masih belum dimulakan. Walau bagaimanapun, saya mendapat maklumat daripada pihak tertentu bahawa kerajaan telah memperuntukkan sejumlah wang untuk membina bangunan baru sekolah tersebut pada tahun ini.

Saya telah membangkitkan isu ini dalam perbahasan saya menjunjung kasih titah ucapan DYMM yang Dipertuan Agung di Dewan Rakyat pada 26 Mac 2015. Saya ingin Menteri Pendidikan menyatakan jumlah wang yang telah diperuntukkan untuk membina sekolah tersebut dan bilakah projek ini akan dimulakan? Adalah baik jika Menteri dapat memberi penerangan terperinci tentang struktur bangunan yang dicadangkan.



Inilah antara perkara-perkara yang ingin diketahui oleh penduduk-penduduk kawasan Menglembu dan sekitarnya. Setiap kali perkara ini dibangkitkan pihak berkuasa memberi jawapan bahawa peruntukan telah diluluskan tetapi belum sampai lagi. Kerja-kerja baik pulih dan pembinaan akan dimulakan tidak lama lagi. Inilah cerita lama yang sudah basi. Harap tahun ini kerja-kerja pembinaan akan dimulakan tanpa memberi apa-apa alasan yang tidak munasabah

Tiada ulasan:

Catat Ulasan