Ahad, 5 April 2015

Kaedah Automasi ( Paal Abishegam) Di Batu Caves Tidak Menyempurnakan Nazar Penganut-penganut



Kenyataan Media YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah & Timbalan Pengerusi DAP Perak pada 27/1/2015 di Batu Gajah


Thaipusam adalah satu perayaan keagamaan yang sarat dengan nilai-nilai tradisi. Dalam dunia yang mengejar arus pemodenan, kita juga harus mengekalkan unsur-unsur tradisi yang mempunyai makna dan semangat keagamaan yang sebenar.

 Ada perkara-perkara yang boleh diubah dan dimodenkan mengikut peredaran masa. Manakala ada pula perkara-perkara tertentu terutamanya yang mempunyai implikasi keagamaan harus dikekalkan.

Sistem baru yang diperkenalkan pada tahun ini untuk melaksanakan Paal Abishegam (Menyiram Susu) di Batu Caves adalah sesuatu yang cukup ganjil dan tidak boleh diterima. Apa yang dilaksanakan oleh jawatankuasa kuil tersebut itu adalah tidak mematuhi aturan dan prinsip keagamaan yang sebenar.

Kaedah baru Paal Abishegam secara automasi adalah pasti melanggari ketetapan agama. Sebelum sesuatu perubahan besar seperti ini dibuat adalah wajar untuk mendapatkan nasihat daripada pendita-pendita Hindu. Adakah tindakan itu diambil? Jika ya, apakah sumber atau otoriti yang dijadikan rujukan oleh pihak kuil untuk melaksanakan kaedah baru ini.

Kita tidak boleh bersetuju dan menerima sesuatu yang dilaksanakan hanya sekadar mengikut selera hati pihak-pihak tertentu ataupun mempunyai niat yang berlainan. Soal keagamaan tidak boleh dikompromi untuk tujuan-tujuan lain.

Kita bersedia untuk menerima pemodenan di kuil-kuil Hindu sekadar ianya tidak menyentuh kepada soal keagamaan dan ritual. Tetapi, Paal Abishegam adalah nyata sekali perkara keagamaan yang diwarisi secara turun temurun.

Perkara ini tidak boleh diautomasikan mengikut selera hati pihak jawatankuasa. Paal Abishegam perlu dibuat dengan cara manual dan tradisional supaya tidak melanggari adat dan agama Hindu.


Walaupun alasan yang diberikan oleh jawatankuasa kuil ialah untuk mempermudahkan dan mempercepatkan proses Paal Abishegam, tetapi perkara ini tidak boleh dilaksanakan dengan kaedah automasi. Pihak jawatankuasa harus mencari jalan lain untuk mengatasi masalah yang dihadapi.

Kalau kita ambil perhatian, Kuil Palani di Tamil Naadu India yang dibanjiri dengan ratusan juta penganut yang membawa Paal Kudam dan Kavadi juga masih mengamalkan cara tradisional untuk Paal Abishegam. Saya rasa kuil Batu Caves masih belum mencapai tahap seperti itu dari segi jumlah penganut yang mengunjunginya. Oleh itu, tidak perlu terburu-buru untuk melaksanakan sesuatu yang tidak patut.

Ramai penganut-penganut yang membawa paal kudam dan kavadi sejak beberapa hari yang lepas sudahpun mula merungut kerana kaedah baru ini tidak sesuai. Mereka tidak mahu menuang susu yang dibawa oleh mereka itu ke dalam tangki besar yang disediakan. Ini seolah-olah membuat abishegam pada tangki itu dan bukannya Dewa Murugan.

Mereka mahu melihat dengan mata sendiri susu yang dibawa oleh mereka itu dituang pada Vel atau Dewa Murugan. Saya rasa aduan dan kekesalan mereka itu mempunyai makna yang cukup tinggi. Mereka sebagai penganut yang telah berpuasa mempunyai hak untuk melihat Paal Abishegam sebagai tanda menyempurnakan niat mereka.

Saya berpendapat pihak jawatankuasa kuil telah membuat kesilapan yang besar dan perlu memberhentikan kaedah baru itu dengan serta merta. Saya berharap pihak jawatankuasa tidak akan menunjukkan sikap kesombongan dan kedegilan dalam hal ini.

Apabila satu kesilapan dilakukan, adalah wajar untuk memperbetulkannya sebelum terlambat. Saya juga berpendapat pihak Hindu Sangam Malaysia juga tidak bersetuju dengan kaedah moden ini.

Jika kita membenarkan perkara ini diteruskan, mungkin pada tahun-tahun akan datang pihak jawatankuasa akan membina tangki di bawah tangga Batu Caves dan membenarkan susu dituang ke dalam tangki itu dan kemudianya disalurkan ke atas melalui paip. Penganut tidak perlu menaiki tangga lagi.

Mereka juga tidak akan berkeberatan untuk meletakkan robot di moolastam untuk membuat arcahani dan sebagainya. Apakah kita sebagai penganut agama Hindu mahu membiarkan semua ini berlaku pada masa hadapan? Saya berpendapat setiap penganut agama hindu harus membantah sekeras-kerasnya kaedah baru Paal Abishegam yang baru dilaksanakan oleh jawatankuasa kuil Batu Caves.

Jika pihak kuil masih berdegil untuk mengubah kaedah baru ini, penganut-penganut harus memilih kuil Murugan yang lain atau kuil-kuil lain yang ada Dewa Murugan untuk melaksanakan niat. Ini adalah kerana susu yang dituang ke dalam tangki tidak menyempurnakan niat. Adalah wajar untuk penganut-penganut melaksanakan nazar mengikut kaedah keagamaan dan bukan sesuka hati

Tiada ulasan:

Catat Ulasan