Khamis, 9 April 2015

Dewan Bukannya Tempat Berpolitik Dan Menyalahgunakan Kuasa Rakyat



Kenyataan Media YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah pada 7 April 2015 di Dewan Rakyat



Kita tidak boleh menyalahgunakan Parlimen untuk membuat undang-undang mengikut selera pihak eksekutif. Parlimen Malaysia akan hilang kewibawaan jika pihak kerajaan terus menyalahgunakan Dewan Rakyat dan Dewan Negara untuk mencapai motif politik. Parlimen adalah forum tertinggi negara untuk berbincang dan membuat yang terbaik untuk negara. Kita tidak boleh membiarkan Parlimen disalahgunakan untuk membuat undang-undang zalim dan tidak bertamadun.

Bermula satu lagi titik hitam di sejarah negara kita pada 6 April 2015. Dikatakan roh undang-undang zalim ISA telah menjelma semula dalam jasad Undang-undang baru yang dikenali sebagai POTA (Prevention of Terrorism Act 2015). Ini merupakan satu undang-undang kolot yang menjejaskan hak asasi manusia dan imej negara di arena antarabangsa.

Walaupun pihak pembangkang yang terdiri daripada Ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat membantah dan menolak rang undang-undang POTA itu, tetapi telah disokong oleh semua Ahli-Ahli Parlimen Barisan Nasional yang hadir termasuk UMNO, MCA, MIC, Gerakan dan lain-lain. Terbukti parti-parti komponen Barisan Nasional sebulat suara menyokong rang undang-undang yang zalim ini.

Pakatan Rakyat berpendapat bahawa POTA ini akan disalahgunakan untuk kepentingan politik Barisan Nasional. Undang-undang ini boleh disalahgunakan terhadap pemimpin-pemimpin politik pembangkang atau sesiapa sahaja. Undang-undang ini telah membuka ruangan untuk tahanan tanpa perbicaraan yang pasti akan membawa ketidak adilan terhadap seseorang yang tertuduh.

Pelik sungguh kerana kerajaan mahu meluluskan undang-undang zalim ini dengan begitu terburu-buru. Rang undang-undang POTA dibahaskan satu hari sahaja di Dewan Rakyat walaupun ini merupakan satu undang-undang yang perlu penilaian dan penelitian yang terperinci.

Walaupun Ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat meminta supaya dipanjangkan lagi tempoh perbahasan bagi rang undang-undang ini tetapi ditolak oleh pihak kerajaan. Ini merupakan penyalahgunaan kuasa Parlimen untuk memaksa Ahli-ahli Parlimen berada di Dewan Rakyat sehingga 2.30am sehingga rang undang-undang itu diluluskan.

Apa salahnya jika ruangan yang lebih banyak dan tempoh yang lebih panjang diberikan supaya Ahli-ahli Parlimen dapat berbahas dengan mendalam berkaitan dengan pelbagai perkara kontroversi dalam rang undang-undang tersebut. Ada juga permintaan supaya rang undang-undang ini dibawa kepada Jawatankuasa Pilihan untuk ditelitikan satu per satu seksyen supaya tidak berlaku sebarang kecacatan.

Tetapi, permintaan itu juga telah ditolak dan diluluskan tanpa sebarang pindaan yang dicadangkan oleh Ahli-ahli Parlimen pembangkang. Akhirnya, undang-undang zalim ini telah diluluskan walaupun sarat dengan cacat cela di Dewan Yang Mulia. Semua ini membuktikan bahawa Parlimen Malaysia disalahgunakan oleh pihak kerajaan untuk sesuatu tujuan tersirat.

YB. V. Sivakumar

Tiada ulasan:

Catat Ulasan