Ahad, 5 April 2015

Noh Omar Hina Majlis Peguam Di Dewan Rakyat



Kenyataan Media YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah pada 10 Mac 2015 di Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia.


Datuk Seri Noh Bin Omar, Ahli Parlimem Tanjung Karang telah menghina Majlis Peguam di Dewan Rakyat pada hari ini. Beliau yang juga merupakan bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berbuat demikian ketika membawa Usul Menjunjung Kasih ucapan DYMM Yang Dipertuan Agung.

Majlis Peguam Malaysia ditubuhkan di bawah Ordinan Peguam Bela dan Peguam Cara 1947 yang kemudiannya digantikan oleh Akta Profesion Undang-undang 1976. Pada masa ini Majlis ini dianggotai lebih kurang 15000 orang ahli. Majlis Peguam merupakan satu badan yang sangat dihormati dan mempunyai status yang disegani oleh semua.

Walau bagaimanapun, Datuk Seri Noh Bin Omar telah membuat kenyataan-kenyataan yang cukup menghina dan menggugat maruah organisasi tersebut. Beliau berhujah seolah-olah pemimpin-pemimpin Majlis Peguam adalah bodoh dan diperalatkan oleh pihak pembangkang. Beliau berkata Majlis Peguam sudah tersasar jauh dan menjadi juru cakap parti-parti pembangkang.

Ini adalah satu kenyataan yang tidak berasas dan mempunyai niat jahat untuk memburukkan imej Majlis Peguam Malaysia. Pemimpin-pemimpin Majlis Peguam adalah golongan cendiakawan dan profesional tidak patut dihina dengan kata-kata yang boleh mencemarkan nama baik badan itu di dalam dan di luar negara.

Majlis Peguam mungkin mempunyai pendapat atau pandangan yang sealiran dengan pihak pembangkang dalam beberapa isu. Ini tidak bermakna Majlis itu menjadi juru cakap pihak pembangkang.

Majlis Peguam menjalankan tanggungjawab mempertahankan kedaulatan undang-undang dan keluhuran perlembagaan. Untuk mencapai matlamat itu, Majlis Peguam berusaha untuk membetulkan yang tidak betul terutamanya mengenai perkara-perkara yang melibatkan undang-undang negara.

 Bukan sahaja sekadar menjaga kepentingan ahli-ahli, Majlis Peguam juga patut menjalankan peranannyan sebagai satu badan yang menjadi alat semak dan imbang (check and balance) dalam apa jua salah laku dalam sistem perundangan di negara kita. Ini juga merupakan tanggungjawab penting badan itu yang tidak boleh dianggap sebagai 'anti establishment'.

Majlis Peguam tidak menghina mahkamah apabila badan itu mempersoalkan isu penghakiman yang dibuat terhadap Ketua Pembangkang Dewan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim. Majlis Peguam membuat kritikan yang membina supaya badan kehakiman negara kita tidah diperalatkan oleh pihak eksekutif untuk kepentingan politik.

Penghakiman yang dibuat oleh badan kehakiman haruslah berasaskan keadilan dan bukan menjadi keputusan politik. Datuk Seri Noh Bin Omar harus sedar bahawa Majlis Peguam juga mempunyai tanggungjawab untuk menjaga nama baik dan integriti badan kehakiman. Ini adalah penting untuk mengembalikan semula kepercayaan rakyat kepada sistem kehakiman kita yang sudah jauh tersungkur.

Kerajaan seharusnya menerima teguran-teguran membina yang dibuat oleh Majlis Peguam. Tetapi, ucapan Datuk Seri Noh Bin Omar di Dewan Rakyat pula menghina Majlis Peguam seolah-olah yang tidak boleh berfikiran sendiri. Adakah beliau secara tersirat mengatakan bahawa Maljis Peguam ini satu badan yang 'bodoh'? Beliau juga mempersoalkan integriti Majlis ini dengan menuduh bahawa telah berlaku penipuan dalam pemilihan jawatankuasanya. Beliau harus memohon maaf kepada Majlis Peguam kerana kata-katanya yang bermotif jahat dan menghina itu.

Datuk Seri Noh Omar juga memberi cadangan kepada Dewan Rakyat untuk meluluskan satu lagi Undang-undang supaya diwujudkan satu lagi badan peguam untuk melumpuhkan Majlis Peguam yang sedia ada. Saya pasti beliau mempunyai niat jahat untuk menubuhkan satu lagi badan peguam pro Barisan Nasional untuk bersaing dengan Majlis Peguam yang sedia ada dengan bantuan dan sokongan penuh kerajaan.

Kenyataan beliau jelas membuktikan ketakutannya kepada Majlis Peguam yang lantang menyuarakan beberapa isu kontroversi seperti kes Datuk Seri Anwar Ibrahim, Isu kalimah Allah dalam majalan The Herald & Akta Hasutan yang masih tidak dimansuhkan.

Majlis Peguam adalah badan bebas yang mempunyai hak untuk menegakkan keadilan di negara kita. Teguran, pandangan, bantahan dan tindakan badan itu adalah sejajar dengan amalan demokrasi dan peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang memberi hak kebebasan bersuara, berpersatuan dan berhimpun

Tiada ulasan:

Catat Ulasan