Rabu, 17 Julai 2013

SEDA PERLU BERHENTI OMONG KOSONG

SIARAN MEDIA
Tarikh: 17th Julai 2013 (Rabu)

SEDA PERLU BERHENTI OMONG KOSONG



Ini adalah respon kepada Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) yang telah menjawab (pada 13 Julai 2013) saranan AWER untuk menutup SEDA dalam beberapa media tempatan. AWER ingin respon kepada perkara-perkara yang dibangkitkan oleh SEDA yang telah mengelirukan orang ramai:

(i)        Tarif Galakan (Feed-in-Tariff/FiT) dimaklumkan melalui laman web

Dokumen-dokumen yang SEDA telah muatkan di laman webnya dan kadar yang terbabit sudah lama dibaca oleh pasukan kami. Sebenarnya, AWER meminta PECAHAN KOS SEUNIT FiT dan BUKANNYA Kos Purata Tenaga (Levelised Cost of Energy). Jika kos seunit bagi kadar FiT adalah X, X = perbelanjaan modal (capex) + perbelanjaan operasi (opex) + keuntungan terkawal (regulated profit). Dokumen-dokumen di laman web SEDA juga tidak mendedahkan bagaimana faedah kecekapan telah dicapai dan ditentukan. Bagaimana SEDA memperolehi kecekapan minimum yang diperlukan untuk sistem tenaga boleh diperbaharui (RE) dibenarkan untuk bersambung ke grid? Kita tidak mungkin memanggil Dr Jacob (pakar yang dirujuk oleh SEDA dalam responnya) untuk pecahan nilai-nilai ini. Ia adalah kerja SEDA untuk memberikan maklumat ini.


FiT beroperasi daripada dana awam melalui tarif elektrik. Sekumpulan kecil pengguna domestik dan semua pengguna komersil dan industri perlu menyumbang levi tambahan sebanyak 1% daripada bil elektrik mereka. Respon SEDA telah mengabaikan maklumat ini dengan sewenang-wenangnya di mana sebahagian besar dana FiT disumbangkan oleh pengguna komersil dan industri. Dengan Mekanisme Penyaluran Kos Bahan Api (Fuel Cost Pass Through-FCPT) yang akan dilaksanakan, bayaran FiT 1% pasti akan meningkat. Walaupun SEDA mungkin akan mendakwa ia adalah jumlah kecil kepada pengguna domestik, levi 1% ini akan meningkatkan bil elektrik pengguna komersil dan industri dengan skala yang besar. Para pengguna komersil dan industri akan menyalurkan kos tambahan ini kepada produk dan perkhidmatan yang diberikan. Akhirnya, kita semua masih perlu membayar kos ini; ia adalah sedia maklum bahawa mana-mana perniagaan akan menyalurkan apa-apa kos tambahan kepada pengguna.

(ii)       Ketelusan diamalkan melalui Seksyen 26 Akta RE 2011

Ia adalah mangarut untuk mengatakan bahawa AWER tidak sedar akan seksyen tertentu dalam Akta RE 2011 dan Akta SEDA 2011. Kedua-dua dokumen ini telah diteliti oleh kami dan segala kebimbangan telah dibangkitkan SECARA MEMBINA (constructively) kepada Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA). Sebelum rang undang-undang ini diluluskan di Parlimen, kami telah menulis surat kepada bekas Menteri KeTTHA dan menggesa untuk tidak menubuhkan SEDA kerana Suruhanjaya Tenaga (ST) boleh melaksanakan Akta RE 2011 dengan pindaan yang sepatutnya. Walau bagaimanapun, KeTTHA TIDAK MENJAWAB perkara-perkara yang telah kami bangkitkan sehingga kini kecuali ST telah membalas seruan kami tahun lepas untuk membentuk panel bebas bagi menyiasat SEDA. Akan tetapi, respon daripada ST adalah sangat samar-samar dan tidak berguna. Kenyataan oleh SEDA bahawa Parlimen akan mengkaji FiT tidak dapat menjamin sepenuhnya bahawa SEDA adalah telus. Banyak perkara telah dibentangkan di Parlimen. Namun, masih terdapat banyak 'misteri' dalam Fail-X (X-Files) yang tidak dapat diselesaikan di agensi-agensi kerajaan. Ia juga tidak profesional bagi kakitangan SEDA yang menerima gaji penuh untuk melepas tangan kepada Ahli-ahli Parlimen (MP). Apabila respon yang membina tidak dilayan, ia adalah tanggungjawab AWER untuk mendidik rakyat dan wakil-wakil mereka. Ini merupakan prinsip yang kami telah persetujui bersama dengan Ketua Setiausaha KeTTHA jika KeTTHA atau agensi-agensinya gagal untuk membetulkan kesilapan mereka.

(iii)     Kemapanan Pembangunan RE selepas tahun-tahun menguntungkan

Jawapan dan buku panduan SEDA tidak memberikan jawapan muktamad terhadap persoalan AWER mengenai kemapanan pembangunan RE selepas tahun-tahun menguntungkan. Ia tidak mengatakan sama ada YA atau TIDAK. Alasan yang diberikan oleh SEDA telah diketahui ramai. Sekali lagi, tanpa tahun-tahun yang menguntungkan, pembangunan RE akan gagal dengan teruk. Perkara yang paling penting SEDA telah gagal untuk mengakui adalah, bahan mentah untuk penyelesaian-penyelesaian RE masih akan menjadi penentu kos. Bekalan dan permintaan akan melonjakkan harga. Projek turbin angin di Jerman adalah contoh yang baik. Kekurangan bekalan bahan mentah akan terus menjadi kekangan untuk mencapai Pariti Grid (Grid Parity). Adakah kekurangan bekalan bahan mentah benar-benar berlaku atau sebaliknya? Apabila kita datang dari negara bukan pemilik teknologi, kita akan terjejas dengan teruk. Malaysia adalah sebuah ekonomi yang agak kecil; kita perlu melangkah dengan berhati-hati sebelum terperangkap dalam kitaran maut "amalan terbaik antarabangsa".

(iv)      Mereka cukup bijak untuk membuat pindaan untuk menurut konteks tempatan

Ini adalah sebahagian kerja kosmetik RE yang mereka telah maklumkan dalam respon mereka. Kitaran hayat keseluruhan pelaksanaan dasar-dasar RE dan FiT masih sangat bergantung dari mana ia telah disalin. Jika anda meneliti, "amalan terbaik antarabangsa" telah diulang berkali-kali oleh SEDA. Malangyan, TIDAK semua "amalan terbaik antarabangsa" adalah praktikal di Malaysia. Sebagai contoh, Peraturan berasaskan Insentif (Incentive based Regulation - IBR) yang asal yang dibangunkan oleh ST akan membunuh industri elektrik di Malaysia dengan serta-merta jika AWER tidak mengambil langkah untuk memastikan pindaan dilakukan. SEDA juga tidak bercakap tentang sisa elektronik yang dihasilkan daripada solar PV. Tiada siapa yang bercakap tentang kos penyelenggaraan dan pengurangan kecekapan sistem RE di seluruh kitaran hayat sistem ini. Ini adalah faktor-faktor negatif yang kebanyakan "amalan terbaik antarabangsa" telah menyorokkan (swept under carpet).

Dalam salah satu proses perundingan sebelum SEDA dibentukkan, seorang ahli daripada Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) telah membangkitkan isu gentian sawit mempunyai pilihan lumayan lain berbanding dengan FiT. Jawapan KeTTHA ialah kadar FiT adalah lebih baik. Sebenarnya, jika gentian sawit menerima pulangan yang tinggi dan dengan perbelanjaan modal yang lebih rendah apabila ditukarkan kepada bahan-bahan pembungkusan (yang akhirnya boleh dikitar semula berulang-ulang kali dengan kesan pelepasan karbon yang sangat rendah), FiT akan menjadi tidaklah begitu menarik. Jika loji biojisim (biomass) hanya 14% hingga 20% cekap, hampir 80% daripada gentian sawit ini tidak memberi pulangan. Sebagai pemain industri, jika permintaan untuk gentian sawit bagi pembungkusan atau perlindungan tanah meningkat, 100% gentian akan memberi pulangan yang lebih baik. Akhirnya, ahli perniagaan akan menjauhkan diri daripada FiT. Respon SEDA telah menyatakan bahawa mereka cukup bijak! Fikirkan sekali lagi dan anda akan ketawa terbahak-bahak.

(v)       Sistem Pintar, "e-FiT", WOW…..

Sekali lagi, sistem pangkalan data adalah terbuka kepada penyalahgunaan kerana manusia masih mengawal input dan outputnya. Sesiapa yang mempunyai akses terhadap sistem pangkalan data boleh mengubah pangkalan data tersebut walaupun selepas permohonan telah dihantar. Maka, respon SEDA yang panjang di bahagian ini tidak membawa apa-apa makna. Hidup "e-FiT", hidup "e-FiT, hidup " e-FiT " untuk apa? Panel bebas yang AWER cadangkan mesti menyiasat masalah monopoli yang telah dibangkitkan oleh beberapa MP tahun lepas.

(vi)      SEDA adalah Bertanggungjawab, Cekap, Kompeten dan banyak lagi kebaikannya

Kami tidak berminat untuk pecah tembelang KeTTHA di khalayak ramai. Semua pegawai yang terlibat dari KeTTHA dan agensi-agensi yang berkaitan tahu bagaimana politik pejabat telah dimainkan untuk membentuk SEDA sejak pelancaran Dasar Teknologi Hijau Negara. Mengapa Projek Tenaga Boleh Diperbaharui Kecil (SREP) telah gagal? Mengapa pegawai yang bertanggungjawab ke atas SREP telah menjadi pegawai kanan SEDA sekarang sedangkan SEDA mempersoalkan pencapaian SREP dalam responnya? Pegawai yang sama telah menuding jari kepada ST bahawa ST tidak melakukan apa-apa untuk membangun RE sedangkan KeTTHA telah menghalang ST untuk membangunkan RE.

Mengelirukan Parlimen dan kabinet dalam meluluskan Akta SEDA 2011 dan Akta RE 2011 (di bawah SEDA) juga adalah satu kesalahan yang serius. Ia adalah sungguh meluat kerana SEDA begitu terdesak sehingga perlu menggunakan ikrar Pengurangan Intensiti Karbon oleh YAB Perdana Menteri di COP 15 untuk menjustifikasikan kewujudan mereka. Seperti yang dikatakan oleh Prof Albert Einstein, 'menembak burung dalam gelap dalam sebuah negara di mana terdapat beberapa burung', SEDA kini 'menembak' semua jawapan yang disusun ayatnya cantik molek tetapi ia sebenarnya tidak menjawab langsung soalan-soalan kami. Kini, orang ramai benar-benar akan tahu bagaimana pegawai-pegawai terlibat telah memujuk kabinet dan parlimen untuk membentuk SEDA. Dalam konteks Malaysia, SEDA kini "tembaklah apa-apa yang ada ..."

(vii)    Cabaran daripada AWER

Kerajaan dan kabinet mesti meluluskan pembentukan sebuah panel bebas untuk menyiasat percanggahan dalam FiT dan SEDA. Panel tersebut mesti terdiri daripada 3 ahli parlimen dari kerajaan yang memerintah, 3 ahli Parlimen dari pihak pembangkang dan AWER perlu dipilih. Seramai 7 orang ahli dengan hak mengundi dan Pengerusi tanpa hak mengundi mesti dilantik dengan kuasa penuh untuk akses semua dokumen yang berkaitan. Semua prosiding siasatan panel ini mesti diumumkan untuk pengetahuan semua rakyat. Ini adalah satu peluang keemasan bagi SEDA untuk membersihkan namanya!

FiT adalah dana daripada rakyat secara langsung melalui tarif elektrik dan pelaksanaan yang betul adalah penting. Kecekapan dalam perbelanjaan kerajaan untuk melaksanakan RE juga sama penting supaya duit cukai rakyat tidak terbazir. AWER bukannya menentang pembangunan RE di Malaysia, tetapi SEDA dan FiT telah bersedia untuk mangalami kegagalan ketara berdasarkan "amalan terbaik antarabangsa". Jika SEDA merasakan bahawa mereka adalah betul, pengerusi SEDA Tan Sri Dr Fong Chan Onn dan ahli-ahli lembaganya mesti mencadangkan kepada menteri baru KeTTHA dengan SEGERA untuk membolehkan kabinet membentuk panel bebas seperti yang dicadangkan oleh AWER untuk membersihkan nama SEDA. Setakat ini telah melebihi setahun, mengapa SEDA masih menjauhi diri dari satu panel yang boleh membersihkan nama mereka?

KESIMPULAN

Kami mengulangi, pegawai-pegawai kerajaan yang tidak kompeten dan rasuah serta orang-orang yang mempunyai kepentingan tertentu telah menyebabkan banyak kerajaan gagal. Sejarah memberikan contoh yang baik untuk masa depan dan ironinya, sejarah sentiasa berulang. Pemimpin yang bijak akan belajar dari kesilapan dan membuat perubahan. Kita memerlukan Kabinet dan Ahli-ahli Parlimen yang berani untuk menutup SEDA supaya RE boleh berkembang semula.



Piarapakaran S.
President
Association of Water and

Tiada ulasan:

Catat Ulasan