Sabtu, 6 Julai 2013

Penang CM apologises for no Q and A session



UCAPAN PENGGULUNGAN
YAB KETUA MENTERI TUAN LIM GUAN ENG
PERSIDANGAN DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG
MESYUARAT PERTAMA PENGGAL PERTAMA
DEWAN UNDANGAN NEGERI KETIGA BELAS


Yang Berhormat Tuan Speaker

Ahli-ahli Yang Berhormat
1)       Terlebih dahulu saya ingin merakamkan penghargaan dan syabas kepada semua Ahli Yang Berhormat, yang telah menunjukkan kesungguhan, komitmen serta kematangan dalam membahaskan ucapan perasmian Dewan Undangan Negeri oleh TYT Yang Dipertua Negeri pada 2 Julai 2013. Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua Ahli Yang Berhormat yang telah membuat kupasan terhadap isu-isu penting dengan matang dan memperlihatkan kualiti perbahasan yang tinggi dalam menyokong dasar-dasar pembangunan Kerajaan Negeri. Saya berharap dengan iltizam, sikap positif dan komitmen ini akan menjadi pendorong untuk Kerajaan Negeri meneruskan usaha-usaha melaksanakan pembangunan mapan.

Yang Berhormat Tuan Speaker,

2)         Kerajaan Negeri akan mengambil berat hujah-hujah bernas yang diutarakan oleh semua ahli Dewan yang mulia ini, tetapi biarlah ia berdasarkan fakta bukan fitnah, lojik bukan putar-belit dan rasional bukan emosi. Saya percaya pendekatan sedemikian akan membolehkan Pulau Pinang mencapai aspirasinya sebagai sebuah negeri pintar bertaraf antarabangsa yang bersih, hijau, sihat dan selamat.

3)         Dewan yang mulia ini harus dijadikan platform untuk membincangkan masalah rakyat dan menyatupadukan masyarakat dan bukanlah melepaskan geram dan mencerca serta memecah-belahkan perpaduan rakyat. Saya kesal dengan tuduhan serius seorang ahli pembangkang yang mempersalahkan tsunami Cina menyebabkan kekalahan BN dalam pilihanaraya besar sehingga  ia membawa sikap perkauman yang menyebabkan tiga orang doktor Cina dalam 2 hospital kerajaan berasingan bersikap rasis tidak mahu memberikan rawatan perubatan kepada pesakit Melayu.

4)         Kalau benar, bukan sahaja mereka harus dipecat daripada pekerjaan di hospital kerajaan, malah harus dibatalkan lesen perubatan menjadi doktor kerana melanggari Hippocrates Oath. Akan tetapi mengapakah tuduhan yang agak mustahil ini tidak diketahui pun oleh pihak hospital kerajaan di Pulau Pinang ataupun Jabatan Kesihatan Pulau Pinang?

5)         Saya harap ahli pembangkang boleh bersikap tanggungjawab dengan mendedahkan nama supaya suatu siasatan dan tindakan boleh diambil. Kalau tidak benar, maka pihak pembangkang pun mesti bertanggungjawab menarik balik dan meminta maaf kepada semua doktor di Malaysia. Janganlah terlalu teringin nak bunuh nyamuk yang tak wujud, bakar pula kelambu.

Saya menimbulkan perkara ini kerana saya telah menerima aduan bukan sahaja daripada warga doktor tetapi juga pesakit-pesakit terhadap permainan perkauman ini yang sungguh membahayakan. Malah pesakit-pesakit Melayu sendiri merasa kecewa tentang permainan kontroversi perkauman ini demi kepentingan politik  kerana mereka sendiri boleh menceritakan macam mana doktor bangsa Cina telah bersungguh-sungguh menyelamatkan nyawa mereka atau ahli keluarga mereka.  Oleh itu, saya harap pihak pembangkang boleh menunjukkan bukti dan janganlah meludah ke langit.

6)         Kerajaan Negeri sedar tidak semua yang diusahakan akan mendapat sokongan segala lapisan masyarakat, tetapi Kerajaan Negeri sedia mendengar suara-suara yang berbeza termasuk ahli pembangkang ini berdasarkan prinsip mahu memperbaiki diri termasuk ”bertaubat” bila melakukan kesilapan dengan tujuan mahu membuat lebih baik lagi.


7)         Tuan Yang di Pertua, saya ingin menarik perhatian dengan penjelasan dua hari lepas ke atas isu keputusan persidangan Dewan Undangan Negeri tiada soalan lisan disebabkan oleh kekangan masa. Secara terus-terang saya dan rakan-rakan saya rasa terkejut dan kurang menerima alasan sedemikian. Oleh itu, saya telah meminta YB Setiausaha Kerajaan Negeri mendapat penjelasan yang lebih terperinci.  Kami sedar bahawa ia tidak kena-mengena dengan YB Tuan Speaker yang baru dilantik pada 28 Jun 2013.

8)         Secara tradisinya, sidang DUN penggal pertama selepas Pilihan Raya Umum akan bermula dengan Majlis Angkat Sumpah dan tiada soalan lisan yang ditetapkan. Berdasarkan kepada tradisi berkenaan perkara yang sama berlaku pada sesi sidang DUN kali ini, walaupun Majlis Angkat Sumpah diadakan bersekali dengan sidang Perasmian.

9)        Namun begitu, sekiranya persidangan DUN telah dibuat tidak bersekali dengan Majlis Angkat Sumpah maka soalan lisan akan dibenarkan. Ini berlaku pada sesi persidangan DUN pertama selepas PRU ke-12 di mana Majlis Angkat Sumpah telah diadakan pada 2 Mei 2008 (tanpa soalan lisan) dan Perasmian Persidangan DUN pula diadakan pada 5 Julai 2008 dengan ditetapkan sesi soalan lisan. Dalam sesi perasmian persidangan pada 5 Julai 2008, tempoh masanya yang diadakan selepas majlis angkat sumpah pada 2 Mei 2008 telahpun memenuhi notis pemberitahu yang cukup sebanyak 21 hari.

10)      Saya rasa kekeliruan mungkin timbul kerana Majlis Angkat Sumpah pada 28hb Jun 2013 kali ini diadakan serentak dengan perasmian persidangan DUN pada 2hb Julai 2013. Saya telah dimaklumkan bahawa pihak Setiausaha Negeri dan Setiausaha Dewan difahamkan keputusan tidak ada soalan lisan juga dibuat berdasarkan alasan Speaker baru hanya dilantik pada 28hb Jun 2013 dan tertakluk di bawah Peraturan 25(5), hanya Speaker seorang sahajalah yang boleh membuat keputusan sama ada sesuatu soalan itu tidak boleh atau tidak ditanya mengikut Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat, dan beliau boleh menolak mana-mana soalan juapun jika sekiranya soalan itu melanggar mana-mana satu daripada Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat. Dan lagi, beliau juga boleh menolak mana-mana soalan juapun jika pada fikirannya soalan itu menyalahi hak menyoal atau telah dengan sengaja disoal untuk menghalang atau menghindarkan aturan perjalanan Dewan.

11)      Oleh itu, pihak Setiausaha Dewan dan YB Setiausaha Kerajaan  Negeri telah diberikan fahaman dan nasihat bahawa bila Speaker baru belum dilantik, maka sesi soalan lisan tidak boleh diadakan. Nasihat sedemikian telah diterima secara bulat-bulat oleh Kerajaan negeri.

12)      Sebagai badan eksekutif, kami dalam Kerajaan Negeri tidak usul periksa secara mendalam apakah rasional nasihat sedemikian kerana menganggapkannya sebagai satu urusan dalaman Dewan Undangan Negeri yang harus diasingkan dengan badan Eksekutif. Ini adalah satu kesilapan yang tidak seharusnya berlaku dan saya minta maaf bagi pihak Kerajaan Negeri kepada Dewan yang mulia ini.

13)      Untuk memastikan situasi sesi soalan lisan digugurkan tidak berulang lagi, maka Kerajaan Negeri akan melantik seorang ahli EXCO Kerajaan Negeri untuk bertanggungjawab sepenuhnya ke atas urusan Dewan Undangan Negeri bagi pihak Kerajaan Negeri agar perjalanan proses demokrasi yang penting dalam Dewan yang mulia ini tidak terjejas. Ahli EXCO YB Jagdeep Singh daripada  Datuk Keramat telah dilantik untuk memainkan peranan ini bagi meneliti setiap syor atau nasihat yang dicadangkan demi memastikan proses demokrasi berparlimen berfungsi secara berkesan serta mengadakan rundingan dengan YB Ketua Pembangkang selepas mendapat panduan daripada YB Speaker.

14)      Yang Berhormat ADUN Air Itam telah membangkitkan persoalan mengenai bilakah tarikh penguatkuasaan Enakmen Kebebasan Maklumat 2012 akan dilaksanakan. Seperti yang sedia dimaklumkan oleh YB ADUN Air Itam, perkara ini sering dibangkitkan dalam mesyuarat EXCO sejak tahun lepas. Proses pelaksanaan Enakmen Kebebasan Maklumat  ini masih diuruskan oleh Penasihat Undang-undang Negeri yang perlukan beberapa lagi langkah dilaksanakan seperti meneliti secara terperinci Garis Panduan Pelaksanaan Enakmen Kebebasan Maklumat Negeri Pulau Pinang, menggariskan dan meluluskan Kaedah-kaedah Lembaga Rayuan Kebebasan Maklumat Negeri Pulau Pinang dan juga peraturan-peraturan Kebebasan Maklumat Negeri Pulau Pinang (Akses kepada maklumat). Mengikut Penasihat Undang-undang, Enakmen ini akan dikuatkuasakan selepas semua keperluan peraturan dan kadar bayaran (fi) yang akan dikenakan diwartakan terlebih dahulu. Kerajaan Negeri memang berharap semua urusan berkenaan dapat diselesaikan oleh Penasihat Undang-undang pada awal tahun 2014 ini. Kerajaan Negeri memang kurang senang hati dengan kemajuan yang dicapai dan ingin ucapkan terima kasih kepada YB Timbalan Ketua Menteri 2 yang telah berusaha bersungguh-sungguh untuk memandu dan menggerakkan proses pelaksanaan Enakmen Kebebasan Maklumat.

15)      Berhubung cadangan daripada YB ADUN Tanjung Bunga berkenaan mewujudkan Data Besar (Big Data) untuk mengumpul semua informasi-informasi dalam Negeri Pulau Pinang dan menghubungkan konsep Data Besar ini dengan Enakmen Kebebasan Maklumat Negeri Pulau Pinang, Kerajaan Negeri akan mempertimbangkan cadangan ini dengan lebih lanjut.

16)      Mengenai pencapaian pelaburan di negeri Pulau Pinang bagi tahun 2008 sehingga 2012 adalah sebanyak RM 36.137 bilion dengan peluang pekerjaan sebanyak 77,181 berbanding RM18.697 bilion pada tahun 2003 hingga 2007 dengan peluang pekerjaan hanya 63,139 sahaja. Adakah salah untuk menyatakan prestasi selama tempoh 5 tahun penggal penuh kerajaan yang menunjukkan peningkatan hampir 100% atau sebanyak RM17.44 bilion? Pihak pembangkang tidak seharusnya berpilih-pilih meminta angka perbelanjaan untuk Buletin Mutiara sejak 2008 tetapi tidak mahu tahu tentang jumlah pelaburan sejak 2008.

17)      Mengenai liputan Buletin Mutiara, ia berpegang kepada laporan yang benar dan berfakta berdasarkan prinsip, “Opinion is free, facts are sacred. Buletin Mutiara memainkan peranan sebagai media penerangan untuk dasar-dasar Kerajaan Negeri yang memberikan menfaat kepada rakyat. Contohnya bantuan kewangan yang diberikan oleh Kerajaan Negeri dalam Program Emas seperti Program Warga Emas, Anak Emas, Pelajar Emas, OKU Emas, Ibu Tunggal Emas, Mahsasiwa Emas dan yang baru ini Ibu Emas serta sekolah-sekolah yang perbelanjaan sudah melebihi RM150 juta. Sudah tentunya liputan tidak akan diberikan kepada penyebar fitnah atau pihak yang cuba sabotaj Program Warga Emas dengan fitnah bahawa sumber wang ini adalah haram daripada duit judi, bila yang keluarkan lesen judi adalah Kerajaan Persekutuan bukan Kerajaan Negeri, kerana ini akan menafikan hak rakyat mendapat bantuan wang daripada Kerajaan Negeri.  Akan tetapi Buletin Mutiara sedia menimbangkan permintaan ahli-ahli Yang Berhormat untuk diberikan liputan tetapi biarlah ia “news-worthy” bukanlah tohmah-tohmahan.

18)      Penerbitan Buletin Mutiara adalah dalam empat bahasa yang berbeza iaitu Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Bahasa Cina dan Bahasa Tamil. Seperti yang diamalkan serta menjadi prinsip pihak editorial media massa umum yang lain, terbitan berita di dalam surat khabar Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Bahasa Cina dan Bahasa Tamil sudah pastinya berbeza kerana ia bergantung kepada kepentingan serta tarikan isu pembaca masing-masing. Contohnya program-program keagamaan Islam atau berita bulan Ramadhan adalah lebih ditekankan di dalam penerbitan versi Bahasa Malaysia, sambutan perayaan membabitkan mereka berketurunan Cina akan ditekankan dan dimuatkan dalam penerbitan versi Bahasa Cina dan sebagainya.

19)      Sebaliknya, sekiranya terdapat berita yang melibatkan isu-isu besar seperti kejadian dua bencana iaitu runtuhan tanjakan konkrit penyambung Jambatan Kedua Pulau Pinang pada 6 Jun 2013 dan runtuhan rod penebat kilat Menara UMNO pada 13 Jun 2013, semua versi terbitan Buletin Mutiara menyiarkan liputan berita berkenaan.

20)      Sekiranya diteliti, prinsip yang sama turut diamalkan di dalam penerbitan akhbar-akhbar arus perdana yang lain. Malah, isu atau berita yang dibawa oleh akhbar Utusan Malaysia juga berbeza dengan Kosmo, begitu juga perbezaan di antara Berita Harian, Harian Metro dan New Straits Times sungguhpun semuanya dimiliki oleh UMNO. Kos penerbitan Buletin Mutiara sejak Januari sehingga Jun 2013 adalah sebanyak  RM3,520,000. Sejak 2008 hingga 2012 kos perbelanjaan Buletin Mutiara adalah sebanyak RM 9 juta.

21)      Untuk makluman YB Pengkalan Kota, kos bahan binaan yang tinggi merupakan satu cabaran besar dalam usaha meningkat dan menggalakkan kerja-kerja pemuliharaan bangunan warisan bukan sahaja di Pulau Pinang tetapi juga bandar-bandar warisan lain di negara-negara lain. Berkenaan dengan isu kos bahan mentah yang tinggi Kerajaan Negeri akan mempertimbangkan strategi-strategi atau polisi-polisi yang sewajarnya untuk menangani isu ini dan akan bekerjasama dengan syarikat swasta/pekilang untuk memberikan harga yang lebih rendah, termasuk pertimbangan kadar pengiraan cukai pintu.

22)      Persoalan yang dibangkitkan oleh YB ADUN Pulau Betong yang bertanyakan bagaimana Kerajaan Negeri akan mengekalkan warisan tradisi orang Melayu di Tanjung Tokong dan Kampung Batu Uban dan cadangan untuk menjadikan kedua-dua tempat tersebut sebagai warisan di Negeri Pulau Pinang.

23)      Kuasa mewartakan mana-mana kampung sebagai kampung warisan terletak di bawah kuasa Kerajaan Pusat menerusi Akta Warisan Kebangsaan 2005. Saya bagi pihak Kerajaan Negeri telah menulis surat kepada YB Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan untuk meminta bahawa pihak Kementeriran menggunakan kuasanya melindungi Kampung Batu Uban atau mana-mana bahagian yang dianggapnya perlu sebagai kampung warisan sebanyak 3 kali pada 10 Mei 2012, 12 Julai 2012 dan 24 Ogos 2012.  Akan tetapi tidak ada sebarang tindakan diambil oleh pihak Kementerian. Untuk Kampung Tanjung Tokong, saya bagi pihak Kerajaan Negeri telah menulis surat kepada YB Menteri yang sama sebanyak dua kali pada 9 Mac 2010 dan 16 Mac 2012 untuk memelihara Kampung Tanjung Tokong sebagai kampung warisan. Sehingga sekarang tidak ada sebarang tindakan diambil. Saya harap ADUN-ADUN UMNO ini bolehlah buat kerja sikit untuk ketengahkan perkara ini kepada orang atasan mereka di Putrajaya.

24)      YB ADUN KOMTAR mengemukakan cadangan untuk mengenakan caj kepada pelancong asing untuk hotel di Bandar George Town sahaja dan dicadangkan supaya caj tersebut dibuat mengikut status hotel contohnya RM10.00 untuk hotel 5 Bintang seperti yang telah dilaksanakan oleh Negeri Melaka yang mengenakan caj warisan.


25)      Cadangan untuk melaksanakan caj kepada pelancong untuk hotel-hotel di Bandar George Town boleh dipertimbangkan oleh Pihak Berkuasa Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan dan perkara ini perlu dibincangkan dengan pihak hotel.

YB Tuan Speaker,

26)      Mengenai tuduhan pihak pembangkang bahawa PERDA atau agensi Kerajaan Persekutuan dianaktirikan adalah tidak berasas sama sekali. Kerajaan Negeri tidak pernah pilih bulu atau sengaja melambatkan proses kelulusan mana-mana permohonan yang dibuat termasuk permohonan daripada agensi Persekutuan seperti PERDA, JKP dan juga UDA.

27)      Permohonan kelulusan hal ehwal tanah yang dibuat melalui PTG dari tahun 2008 hingga kini, Kerajaan Negeri melalui Mesyuarat Jawatankuasa Tanah Negeri telah meluluskan lima (5) permohonan daripada JKP dan dua (2) kelulusan diberi kepada UDA tanpa sebarang penolakan, manakala tiga (3) kelulusan diberi kepada PERDA dengan satu (1) permohonan ditolak.

28)      Bagi permohonan projek yang dibuat melalui MPPP dari tahun 2008 hingga kini, sebanyak 21 kelulusan telah diberikan kepada UDA dengan satu (1) permohonan ditolak, lima (5) kelulusan kepada PERDA dengan satu (1) permohonan ditolak manakala enam (6) kelulusan kepada JKP dengan dua (2) permohonan ditolak dan tiga (3) permohonan di peringkat pertimbangan.

29)      Permohonan projek yang dibuat melalui MPSP dari tahun 2008 hingga kini memperlihatkan bahawa lima (5) kelulusan diberi kepada UDA tanpa ada sebarang penolakan, empat (4) kelulusan diberikan kepada PERDA dengan (4) permohonan di peringkat pertimbangan manakala enam (6) kelulusan diberikan kepada JKP dengan dua (2) permohonan ditolak dan satu (1) di peringkat pertimbangan.

30)      Bagi permohonan yang dibuat melalui JPBD pula, Kerajaan Negeri melalui Mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri dari tahun 2008 hingga kini telah memberikan tiga (3) kelulusan kepada UDA tanpa sebarang penolakan, lima (5) kelulusan kepada PERDA dengan tiga (3) permohonan ditolak dan (3) permohonan ditangguhkan.

31)      Daripada statistik yang diberikan ini, adalah tidak wajar untuk pihak YB melemparkan tuduhan bahawa Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat memilih bulu dalam memberikan kelulusan. Asalkan permohonan tersebut mematuhi syarat-syarat atau garis panduan yang telah ditetapkan, maka kita akan luluskan. Sekiranya tidak mematuhi, maka kita perlu tolak.

32)      Misalnya, permohonan PERDA ditolak kerana PERDA telah terpesong daripada tujuan asalnya untuk membina rumah kos rendah. PERDA telah mengambil tanah swasta dengan harga rendah atas alasan untuk tujuan pembinaan rumah awam. Walau bagaimanapun, PERDA telah membina sesuatu yang lain seperti rumah mewah. Persoalan saya di sini, bagaimana pihak PERDA boleh membina rumah mewah di atas tanah yang diambil secara paksa dengan kadar rendah kategori rumah awam tetapi tak bina rumah awam? 

33)      Berhubung isu perumahan rumah kos rendah dan rumah kos sederhana rendah yang dibangkitkan oleh YB ADUN Bukit Tengah di mana YB memaklumkan bahawa terdapat pemilik rumah membuat pengakuan palsu yang mengatakan bahawa mereka masih belum memiliki rumah sedangkan sebaliknya mereka telahpun memiliki rumah.

34)      Dalam hal ini, Kerajaan Negeri akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pemilik rumah yang membuat pengakuan palsu tersebut.

35)      Kerajaan Negeri amat prihatin tentang usaha membekalkan rumah mampu milik kepada rakyat Pulau Pinang dan kami akan berusaha bersungguh-sungguh membina 22,172 unit yang disasarkan di seluruh Pulau Pinang di mana wang pembinaan berbilion-bilion ringgit ini akan datang daripada penjualan tanah secara tender terbuka kompetitif.

36)      Menjawab kepada persoalan yang dikemukakan oleh YB ADUN Air Itam mengenai krisis air dan pelan Kerajaan Negeri untuk menangani isu ini pada masa hadapan serta cadangan YB supaya Kerajaan Negeri perlu menyediakan strategi untuk menangani hal ini untuk tempoh 50 tahun dan bukan 5 tahun sahaja.

37)      Sukalah saya menjelaskan bahawa Projek Pemindahan Tadahan Hujan Perak-Pulau Pinang (Sungai Perak-Sungai Ijok-Sungai Kerian) untuk memastikan negeri ini tidak akan menghadapi risiko kemungkinan kekurangan air selepas 2020 telahpun dilaksanakan. Pengerusi PAAB, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali telah memberi jaminan bahawa negeri-negeri di Malaysia yang telah menandatangani perjanjian penstrukturan semula air dengan PAAB diberikan dana untuk membiayai projek-projek berkaitan air terlibat. Sebagai rekod, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah menandatangani perjanjian dengan Kerajaan Persekutuan untuk memudahkan kemasukan Pulau Pinang ke National Water Services Industry Restructuring Initiative (NWSIRI) pada 2 Jun 2011. PAAB adalah pemilik aset air negara dan pengurus di bawah NWSIRI.

38)      Pada masa ini, 80% daripada sumber air di Pulau Pinang berasal dari Sungai Muda dan ini hanya dapat memenuhi permintaan air di Pulau Pinang sehingga tahun 2020. Terdapat keperluan mendesak untuk melaksanakan skim pemindahan air antara negeri bagi menjamin bekalan air masa hadapan, mengurangkan pergantungan kepada satu sumber iaitu Sungai Muda dan ketidaktentuan yang disebabkan oleh aktiviti pembalakan baru-baru ini di dalam kawasan tadahan air Kedah.

39)      "Cadangan Skim Pemindahan Air Sungai Perak telah diluluskan oleh Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) pada 30 Jun 2012 dan disahkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), dan kini menunggu kelulusan pelaksanaan dari Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri, ".

40)      Cadangan Pemindahan Air Mentah akan dijalankan dengan mengepam air mentah dari Sungai Perak melalui terowong baru melalui Sungai Ijok dan Sungai Kerian yang akan dibina di kawasan tanah tinggi yang memisahkan tadahan air Sungai Perak dan Sungai Kerian. Air mentah kemudian disalurkan dari Sungai Kerian berhampiran takungan sedia ada di negeri Pulau Pinang untuk rawatan berikutnya pada Loji Rawatan Air Kerian yang dicadangkan untuk membekalkan air bersih bagi Negeri Pulau Pinang. Tidak seperti Sungai Muda, di mana air mentah diperoleh daripada belah sempadan Pulau Pinang, air Sungai Perak perlu dibayar kepada Negeri Perak. Bayaran air mentah kepada Negeri Perak adalah perlu dan sah memandangkan kerana Sungai Perak berada dalam sempadan Negeri Perak, tidak seperti Sungai Muda yang mengalir melalui Pulau Pinang.

41)      Projek ini melibatkan air mentah dan infrastruktur rawatan air. Dalam model penyusunan semula bekalan air - infrastruktur air mentah akan dibiayai melalui geran daripada Kerajaan Persekutuan manakala infrastruktur rawatan air akan dibiayai oleh dana PAAB. Jumlah anggaran kos yang terlibat adalah RM2 bilion dan akan mengambil masa tujuh tahun untuk disiapkan.

42)      Projek ini dijangka menyediakan penyelesaian yang menyeluruh terhadap keperluan permintaan air masa depan bagi pemintaan air bersih dan pengairan yang diperlukan oleh Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Lembaga Air Perak (LAP) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sehingga tahun 2050.

43)      Mengenai peranan pengusaha Bumi yang akan dijawab nanti oleh YB Timbalan Ketua Menteri 1, saya ingin menarik perhatian bahawa ada 52  bilangan pemaju perumahan Melayu dan bumiputera Pulau Pinang yang merupakan keenam tinggi dalam negeri kedua kecil di Malaysia. Sebanyak 16,148 unit perumahan telahpun diluluskan yang merupakan keempat tinggi di antara semua pemaju perumahan bumiputera di Malaysia. Ini membuktikan kemampuan kontraktor dan pengusaha Melayu Pulau Pinang, hanya yang kroni-kroni itu tak boleh pakai langsung.
                                                                                                                     
Senarai Pemaju Perumahan Melayu dan Bumiputera
Bagi Tempoh 2008 hingga 2013



Bil
Negeri
Bil. Pemaju
Unit Diluluskan
1
Johor
63
16460
2
Kedah
30
2616
3
Kelantan
84
11835
4
Melaka
29
3273
5
Negeri Sembilan
30
3441
6
Pahang
36
5316
7
Perak
45
6624
8
Perlis
11
852
9
Pulau Pinang
52
16148
10
Selangor
225
40199
11
Terengganu
59
5495
12
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
55
19110
13
Putrajaya
2
474

Jumlah
721
131843


Sumber : Bahagian Pelesenan Pemajuan Perumahan, Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (Julai 2013)


44)      YB ADUN Air Itam juga membangkitkan isu bekalan elektrik yang seringkali terputus di kawasan beliau dan mempersoalkan bilakah stesen TNB yang baru dapat dibina di Jalan Thean Teik boleh beroperasi.

45)      Izinkan saya menjawab persoalan YB ADUN Air Itam. Untuk makluman YB, kapasiti bekalan tenaga elektrik di negeri Pulau Pinang adalah mencukupi malahan terdapat lebihan bekalan sebanyak 55%. Bekalan elekterik yang seringkali terputus di kawasan Air Itam berlaku adalah disebabkan oleh kejadian ribut yang berlaku baru-baru ini yang menyebabkan gangguan voltan menjadi rendah. Pihak TNB akan mengambil tindakan segera untuk menyelesaikan masalah ini dan Pencawang Masuk Utama (PMU) di Jalan Thean Teik akan siap sepenuhnya pada Disember 2013 dengan kos sebanyak RM 9.9 juta dan diharapkan dengan siapnya PMU tersebut masalah tenaga elektrik di kawasan Air Itam dan keadaan sekitarnya akan kembali stabil dan bertambah baik.

46)      Berhubung persoalan mengenai Program Rumah Mesra Rakyat di Pusat Khidmat Simpang Tiga, suka saya memaklumkan bahawa seramai 16 orang Penghuni Rumah 100 Sungai Chenaam telahpun diberi LPS pada tahun 2012 dan bakinya 86 orang belum lagi memohon dan golongan ini sedang dalam proses membuat permohonan kepada Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Prai Selatan. Tujuan Kerajaan Negeri memberikan LPS kerana bayaran tahunan yang dikenakan adalah rendah iaitu RM 75.00 setahun. Selepas penduduk tersebut memegang LPS mereka boleh memohon pemberimilikan mengikut kemampuan mereka kerana selepas pemberimilikan diluluskan mereka perlu membayar cukai tahunan pertama (5A) dan juga cukai tanah setiap tahun.

47)      Saya dan seluruh barisan Kerajaan Negeri mengucapkan takziah kepada keluarga-keluarga mangsa yang terlibat dalam malapetaka  keruntuhan struktur-struktur sivil yang telah menyebabkan kehilangan nyawa dan kecederaan di Jambatan Pulau Pinang Kedua pada 6 Jun 2013, dan di Menara UMNO, Jalan Macalister, pada 13 Jun 2013. Kerajaan Negeri telah mengumumkan hasratnya untuk membentukkan sebuah Suruhanjaya Siasatan di peringkat Negeri di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 untuk menyiasat kejadian-kejadian tersebut, tertakluk kepada nasihat YB Penasihat Undang-Undang Negeri.

Pada masa ini, adalah dicadangkan bahawa Suruhanjaya Siasatan tersebut akan menyiasat :
a)sebab-sebab berlakunya keruntuhan struktur-struktur yang berkenaan,
b)sama ada semua kelulusan-kelulusan yang perlu telah dipohon dan diberi
 mengikut undang-undang yang berkenaan,
c)sama ada struktur-struktur yang berkenaan dibina dengan betul mengikut
 kelulusan-kelulusan yang perlu dan standard-standard yang diterima
 secara amnya,
d)sama ada keruntuhan struktur-struktur yang berkenaan adalah berkaitan
 dengan sebarang kecuaian, kelalaian, kelanggaran kewajiban undang-
 undang atau profesional, salah laku ataupun perbuatan atau ketinggalan
 mana-mana pihak,
e)sama ada tindakbalas kecemasan, termasuklah protokol kecemasan dan
   prosedur yang berkaitan dengannya, adalah sesuai dan memadai,
f)tindakan yang sewajarnya diambil untuk memperbetulkan atau
 mengelakkan berlakunya kejadian sebegini, dan perubahan atau
 penambahbaikan dalam proses dan prosedur yang berkenaan,
g) tindakan tatatertib atau tindakan yang lain yang wajar diambil ke atas mana-mana pihak.

48)      Kerajaan Negeri sedang berbincang dengan YB Penasihat Undang-Undang Negeri dan Dato' Yeoh Yang Poh, seorang peguam dan Pengerusi Lembaga Rayuan Negeri yang disyorkan sebagai Pengerusi Suruhanjaya Siasatan, untuk memuktamadkan terma rujukan Suruhanjaya Siasatan tersebut.
49)      Ucapan perasmian Dewan Undangan Negeri oleh Tuan Yang Terutama Tun telahpun dikritik oleh parti pembangkang sebagai ”tidak ada idea baru”. Saya tidak faham macam mana usaha penyelesaian ke atas soal membekalkan perumahan awam, mengatasi masalah kesesakan lalulintas atau  ketidaksaksamaan pendapatan, kuasa ataupun hak asasi rakyat serta masalah jenayah yang meningkat yang memberi kesan kepada semua rakyat Malaysia boleh dianggap sebagai sesuatu yang tidak ada idea baru.

Peningkatan Kes Jenayah Jalanan Terkumpul Sebanyak 72% Tahun Ini Harus Dibendung Oleh Masyarakat Dan Polis
Statistik Perbandingan Jenayah Jalanan Terkumpul
Bagi Tempoh Januari – Mei 2012/2013

KONTINJEN
JANUARI – MEI
TAHUN 2012
JANUARI – MEI
TAHUN 2013
PERATUS (%)
Selangor
2622
3395
29
Kuala Lumpur
2798
2298
-18
Johor
1064
887
-17
Pulau Pinang
318
549
72

50)      Statistik perbandingan bagi jenayah terkumpul memperlihatkan bahawa jumlah kes yang direkodkan bagi tempoh Januari hingga Mei tahun 2012 adalah sebanyak 318 kes manakala bagi tempoh Januari hingga Mei 2013 adalah sebanyak 549 kes. Ini menunjukkan peningkatan kes sebanyak 72%. Kerajaan Negeri amat memandang serius akan perkara ini dan ia harus dibendung dengan segera oleh polis dan seluruh masyarakat.




51)      Di samping bekerjasama dengan pihak Polis DiRaja Malaysia bagi mengurangkan kadar jenayah di negeri ini, Kerajaan Negeri akan mengambil inisiatif untuk menambah bilangan kamera CCTV yang sedia ada. Di bahagian Pulau kini, terdapat 60 buah kamera CCTV di mana 36 buah dipasang oleh MPPP dan 24 buah dipasang oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT). Kerajaan Negeri melalui MPPP akan menambah 70 buah lagi kamera CCTV yang akan menelan kos perbelanjaan sebanyak RM 1.4 juta. Manakala di bahagian Seberang Perai pula, buat masa sekarang terdapat 24 buah kamera CCTV yang dipasang oleh KPKT. Kerajaan Negeri melalui MPSP akan menambah 55 buah lagi kamera CCTV yang akan menelan belanja sebanyak RM1.32 juta. Kerajaan Negeri juga difahamkan bahawa pihak KPKT sedang dalam proses tender untuk menambah 20 buah lagi kamera CCTV di Seberang Perai yang menjadikan jumlah tambahan keseluruhannya adalah sebanyak 75 buah.

52)      Inisiatif ini penting demi menjamin kesejahteraan dan keselamatan penduduk negeri ini, sesuai dengan slogan yang sering dilaungkan oleh Kerajaan Negeri – untuk menjadikan Negeri Pulau Pinang sebagai negeri yang selamat untuk didiami oleh semua.

53)     Enam isu berkisar ketidaksaksamaan harus diberikan perhatian termasuklah:
1. Jurang demokrasi apabila tidak wujud proses pilihanraya yang bersih dan tidak mematuhi prinsip ‘satu orang, satu undi, satu nilai’ yang menyebabkan keputusan pilihanraya yang tidak adil di mana parti yang memenangi undi popular kalah pilihanraya (Pakatan Rakyat menang majoriti 51% undi popular tetapi hanya mendapat 40% kerusi parlimen);

2. Jurang ekonomi di antara yang kaya dan miskin yang diperlihatkan oleh kegagalan membasmikan kemiskinan serta kadar kemiskinan yang tertinggi di Malaysia dalam negeri paling kaya iaitu Sabah. Kejayaan Agenda Ekonomi Saksama atau AES Pulau Pinang menjadi negeri pertama yang menghapuskan kemiskinan di Malaysia menunjukkan Penang Leads dalam menjaga kebajikan golongan termiskin;

3. Jurang fiskal di antara pendapatan dan perbelanjaan yang disebabkan oleh keengganan Kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan tender terbuka yang kompetitif bagi menangani rasuah, pembaziran dan ketidakcekapan yang mengakibatkan kemungkinan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) diperkenalkan. Program Emas Kerajaan Negeri adalah salah satu usaha untuk membantu rakyat meringankan sedikit beban kewangan;

4. Jurang pengagihan kuasa antara Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri yang memerlukan lebih desentralisasi kuasa di mana belanjawan Kerajaan Pusat menjangkau 92.1% manakala belanjawan negeri hanya 7.9%. Ini dicerminkan dengan pemberian geran kepada Kerajaan Negeri yang kurang berbanding dengan sumbangan rakyat Pulau Pinang dalam bentuk cukai, duti eksais, impot dan ekspot serta bayaran fi.

5. Jurang kuasa ‘tawar-menawar’ antara Kerajaan Pusat dengan Sabah dan Sarawak, di mana mereka tidak menikmati kuasa saksama seperti yang dijanjikan, dengan hanya diperuntukkan 5% royalti minyak serta kegagalan BN Sabah untuk menepati janji mereka untuk menurut Pakatan Rakyat menaikkan royalti minyak sehingga 20%; Untuk Pulau Pinang, keadaan yang sama wujud bila keistimewaan cukai pendapatan ditetapkan pada 15% hanya di Wilayah Iskandar di Johor tetapi tidak diperluaskan di Pulau Pinang macam ada satu negara, dua sistem.

6. Jurang hak apabila pengundi dihukum melalui salahguna kuasa daripada ahli politik yang mahu membalas dendam atas kekalahan mereka seperti yang diwar-war hendak dikenakan ke atas Pulau Pinang.

54)      Sebagai kerajaan yang mendapat mandat popular rakyat kami sentiasa menghormati rakyat. Kerajaan Negeri sentiasa berusaha ke arah urustadbir baik dengan dengar suara rakyat, buat kerja rakyat dan berikan harapan kepada rakyat. mahu memberikan mesej jelas ke Parlimen bahawa ‘kuasa rakyat adalah jauh lebih kuat berbanding mereka yang berkuasa’.

55)      Mudah-mudahan tahun 2013 ini memberi keazaman untuk kita bekerja lebih kuat dan membawa nikmat dan kebahagiaan kepada rakyat dan kita semua. Sekian, terima kasih dan saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Menyambut Bulan Ramadhan kepada semua Ahli-ahli Yang Berhormat dan semua yang beragama Islam yang akan menyambutnya pada 10 Julai 2013 akan datang. Saya juga mendoakan supaya mantan Perdana Menteri iaitu Yang Amat Berbahagia Tun Abdullah Ahmad Badawi akan segera sembuh. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada YB Tuan Speaker atas peluang yang telah diberikan bagi saya membentangkan ucapan penggulungan saya pada hari ini.

Sekian, YB Tuan Speaker, saya mohon menyokong.

Terima kasih.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan