Sabtu, 13 Julai 2013
Pembelajaran Tamadun Islam dan Tamadun Asia (TITAS) seharusnya digalakkan tetapi bukannya diwajibkan di Institusi Penggajian Awam Swasta (IPTS)
Kenyataan media oleh Ketua Whip DAP dan Ahli Parlimen Seremban, Loke Siew Fook pada 13 Julai 2013 di Kuala Lumpur.
DAP menegaskan bahawa pemahaman terhadap kepelbagaian tamadun adalah sesuatu yang baik dan seharusnya digalakkan dalam sistem pendidikan negara kita. Malah, DAP pernah beberapa kali menganjurkan dialog ketamadunan berlainan (inter-civilisational dialogues) untuk memupuk persefahaman dan hormat-menghormati antara masyarakat pelbagai kaum di Malaysia.
DAP menghargai usaha untuk memperkenalkan subjek Tamadun Islam dan Tamadun Asia (TITAS) di Institusi Penggajian Awam Swasta. Namun, subjek tersebut seharusnya diperkenalkan sebagai subjek elektif dan bukannya subjek wajib kerana pendekatan untuk mewajibkan pembelajaran subjek ini memberikan satu gambaran yang negatif di kalangan pelajar bahawa mereka terpaksa menduduki subjek tersebut tanpa kerelaan. Malah, pendekatan wajib seperti ini tidak akan menghasilkan unsur-unsur pemahaman dan nilai-nilai positif seperti yang diharapkan.
Nilai-nilai murni dari sejarah Tamadun Islam dan Tamadun Asia perlu dipupuk bukan sahaja di peringkat tertiari malah perlu diserap dalam sukatan matapelajaran di peringkat sekolah menengah lagi seperti subjek Sejarah dan Pengajian Am. Justeru, pendekatan mewajibkan subjek ini di IPTS adalah kurang wajar.
DAP sedar bahawa ada anasir-anasir puak perkauman yang cuba memutar-belitkan kenyataan Ahli Parlimen Kampar Dr Ko Chung Sen berkenaan perkara tersebut dan memfitnah DAP sebagai menentang agama Islam. Kami menegaskan bahawa DAP tidak pernah menentang Islam dan mana-mana agama lain malah mempertahankan kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan seperti yang termaktub dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.
Pemahaman terhadap kebudayaan dan ketamadunan yang berlainan perlu dipupuk sejak di bangku sekolah dan tidak boleh dilaksanakan melalui paksaan. Justeru itu, DAP menyeru Kabinet untuk mengkaji semula keputusan Kementerian Pendidikan untuk mewajibkan subjek TITAS di IPTS dalam mesyuarat Kabinet minggu depan. Namun, DAP menyokong subjek tersebut diperkenalkan sebagai subjek elektif di IPTS.
LOKE SIEW FOOK
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan