Kenyataan Media YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah pada 8/7/2013 di Parlimen Malaysia
Guru- guru Interim SJKT Dikhianati MIC
Dalam sesi menjawap soalan- soalan perbahasan titah ucapan DYMM YDPA,
Menteri Pendidikan II YB Dato Seri Idris Bin Jusoh telah memberi
penjelasan mengenai beberapa perkara termasuk isu melibatkan latihan
untuk guru-guru. Saya dapat mencelah penjelasan beliau untuk menanyakan
tentang masalah yang dihadapi oleh guru- guru interim di SJKT di seluruh
negara. Terdapat lebih kurang 200 guru interim di SJKT yang menunggu
tawaran untuk menjalani latihan perguruan. Mereka ini menunggu sekian
lama tetapi tidak ada apa-apa maklum balas daripada pihak kementerian.
Mereka merayu kepada kerajaan supaya diberi peluang menjalani latihan
perguruan kerana masa hadapan mereka tidak terjamin.
Setakat ini tidak ada apa-apa maklumbalas yang positif daripada pihak
kerajaan berhubung dengan perkara ini. Saya meminta Menteri Pendidikan
samada perkara ini dibawa kepada perhatian kabinet dan langkah-langkah
yang akan diambil untuk menyelesaikan masalah ini. Menteri Pendidikan
pula menjawab bahawa ini adalah soalan spesifik mengenai sesuatu isu dan
memerlukan notis untuk menjawab. Saya agak terpegun dengan jawapan yang
diberikan oleh Menteri Pendidikan kerana ini bukan perkara baru. Beliau
tidak dapat memberi jawapan kerana mungkin isu ini dianggap remeh dan
tidak penting kerana melibatkan SJKT.
Perkara yang lebih menyakitkan hati ialah peranan MIC dalam
menyelesaikan masalah guru- guru interim SJKT ini. Presiden MIC Dato
Seri Palanivel telah membuat beberapa kenyataan media bahawa masalah ini
akan dibawa kepada perhatian kabinet. Beliau juga mencadangkan supaya
guru- guru yang tidak layak diberi kursus khas 6 bulan sebelum menjalani
latihan perguruan. Bagi guru-guru yang layak pula terus diserapkan
dalam program latihan perguruan. Inilah janji yang diberikan oleh Dato
Seri Palanivel kepada guru- guru interim SJKT.
Memandangkan Menteri Pendidikan tidak dapat menjawab soalan yang saya
bangkitkan, saya percaya Presiden MIC itu tidak pernah membawa isu ini
untuk dibincangkan dalam kabinet. Oleh yang demikian, ini adalah satu
lagi pengkhianatan yang dilakukan MIC kepada guru- guru interim SJKT.
'Harapkan pagar, pagar makan padi' pepatah ini amat sesuai untuk
mengambarkan situasi guru-guru interim SJKT yang menaruh penuh harapan
terhadap pimpinan MIC.
Disini saya mahu mendesak Dato Seri Palanivel bercakap benar samada
beliau telah membawa perkara ini kepada perhatian kabinet ataupun tidak.
Jika tidak, bila beliau bercadang berbuat demikian. Jika beliau
telahpun membawa isu ini kepada perhatian kabinet, apakah tindakan-
tindakan yang telah dan akan diambil untuk menangani isu ini?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan