Selasa, 29 Jun 2010
Masalah Penternak Ikan Kui Di Kampung Bali
Kenyataan Media Yb V.Sivakumar pada 28/06/2010
Para penternak ikan kui di Kampung Bali yang terkenal dengan kualiti ikan yang yang terbaik dan di ekspot ke luar negara. Dengan kepakaran yang diturunkan dari generasi ke generasi, hasil ternakan ikan kui ini mendapat pujian dari pelbagai pihak dari segi kecantikan serta warna yang sempurna. Namun kini mereka dalam satu dilema yang sangat merunsingkan. Kebarangkalian para penternak-penternak ikan kui ini untuk kehilangan tempat untuk menjalankan aktiviti mereka sangat tinggi. Ini adalah kerana mereka dikejutkan dengan adanya papan tanda di kawasan itu yang mengatakan ini adalah tanah persendirian dan penceroboh akan didakwa.
Mereka yang menjalankan kegiatan membela ikan kui ini sejak tahun 1977 di atas tanah milik kerajaan negeri. Permohonan untuk mendapatkan tanah ini telah banyak kali dibuat secara lengkap.Menurut Yb V.Sivakumar perkara ini ada dibincangkan dan dipersetujui di dalam mesyuarat kerajaan negeri pada tahun 2008 semasa Kerajaan Pakatan Rakyat memerintah. Namun apabila Kerajaan Barisan Nasional mengambil alih, perkara ini telah terus diketepikan. Keadaan bertambah buruk apabila tanah ini kini diberikan kepada orang lain baru-baru ini.
Yb V.Sivakumar berkata kerajaan negeri harus memberi perhatian dengan memberi galakan dan insentif kepada para penternak ikan kui ini kerana ia boleh meletakkan Negeri Perak di atas peta sebagai negeri pengekspot ikan kui yang berkualiti tinggi. Ia juga membawa tukaran wang asing ke dalam negara yakni menambahkan pendapatan negeri.Apa yang berlaku sekarang adalah sangat menyedihkan kerana hasil usaha serta titik peluh para penternak ikan ini tidak langsung diendahkan oleh kerajaan negeri.Kerajaan yang prihatin seharusnya membantu para penternak ini tetapi nampaknya tidak begitu.Jikalau betul kerajaan ini mendahulukan rakyat dan bukannya kroni, maka kolam-kolam itu harus diberikan kepada para penternak secara in-situ.
Kerajaan negeri harus memberikan segala bantuan kepada para penternak ini agar tahap produktiviti dapat ditingkatkan. Proses permohonan tanah ini harus dipercepatkan dan geran diserahkan kepada para perternak ikan kui yang terbabit agar mereka akan berusaha sendiri untuk memajukan industri ikan kui ini di negeri Perak.
Ahad, 27 Jun 2010
Lesen Judi Tidak Lalu Kerana Kuasa Rakyat
Kenyataan Media Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) merangkap Ahli Parlimen Rasah, Loke Siew Fook, pada hari Sabtu, 26 Jun 2010 di Petaling Jaya.
Kuasa Rakyat mengubah keputusan kerajaan dalam isu pemberian lesen perjudian sukan.
Pergerakan Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) mengalu-alukan keputusan kerajaan untuk menarik balik hasrat memberikan lesen perjudian sukan kepada Ascot Sports seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak malam semalam. Ini merupakan satu keputusan yang tepat dan memenuhi hasrat dan permintaan rakyat Malaysia. Ia juga membuktikan pandangan yang telah dilontarkan oleh DAPSY dan pertubuhan lain yang menentang pemberian lesen tersebut memang ada asas yang kukuh dan hujah yang meyakinkan.
Keputusan ini dilihat sebagai kesan kebangkitan kuasa rakyat yang dicetuskan oleh “tsunami politik 8 Mac 2008”. Suara rakyat tidak lagi dapat diketepikan oleh pimpinan kerajaan seperti dahulu dan mampu mengubah keputusan dan pendirian kerajaan dalam sebarang isu termasuk isu lesen perjudian sukan ini.
Walaupun secara umumnya keputusan ini dialu-alukan, namun persoalan yang timbul ialah mengapa keputusan pemberian lesen ini yang sepatutnya dikeluarkan oleh kerajaan diputuskan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO dan bukannya mesyuarat Kabinet? Apakah Majlis Tertinggi UMNO yang menentukan segala dasar kerajaan dan bukannya Kabinet yang dianggotai oleh semua wakil komponen Barisan Nasional? Dimanakah semangat perkongsian kuasa yang menjadi prinsip utama Barisan Nasional?
Amat jelas sekali bahawa yang menjagi penentu segala keputusan dalam kerajaan ialah UMNO dan bukannya Barisan Nasional. Kuasa hegemoni UMNO dalam Barisan Nasional semakin menonjol dan parti-parti komponen yang lain hanya berperanan sebagai “penghias” semata-mata. Pandangan daripada MCA, Gerakan, MIC, PPP dan lain-lain adalah tidak relevan sama sekali.
Pucuk pimpinan MCA, MIC dan PPP telah secara terbuka menyatakan sokongan mereka terhadap pemberian lesen perjudian sukan kepada Ascot Sports sebelum ini. DAPSY ingin mempersoalkan apakah pendirian mereka sekarang? Atau sokong sahaja sebarang keputusan yang dibuat oleh UMNO?
LOKE SIEW FOOK
Sabtu, 26 Jun 2010
Perak Negeri Ketiga Paling Miskin Di Malaysia
(Taiping 24-6-10)
Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming hari ini mendedahkan bahawa Negeri Perak telah menjadi Negeri yang mempunyai bilangan paling ramai keluarga berpendapatan rendah kurang dari RM2,000 sebulan dan Perak turut merosot menjadi negeri ketiga paling miskin selepas Sabah dan Terengganu, setelah 53 tahun dibawah pemerintahan Barisan Nasional.
Nga, yang juga merupakan Timbalan Bendahari Agong DAP menegaskan bahawa masa berubah sudah tiba bagi rakyat seluruh Perak.
Nga Kor Ming hari ini berkata, mengikut statistik Jabatan Perdana Menteri, 40% dari keluarga rakyat Malaysia, iaitu 2.4 juta keluarga diseluruh negara berpendapatan kurang dari RM2,000 setiap bulan, dengan Perak mempunyai bilangan terbanyak seramai 192,000 keluarga, atau 12.5% dan diikuti oleh Sabah, Johor, Kedah dan Sarawak. 40% lagi rakyat Malaysia berpendapatan di antara RM2,300 hingga RM5,599. Hanya 5.9% keluarga rakyat Malaysia mempunyai pendapatan bulanan lebih dari RM10,000.00. Keadaan ini jauh menepati sasaran dimana menjelang 2015, rakyat Malaysia berpendapatan purata RM52,000.00(USD15,000) setiap tahun.
Nga berkata, fakta ini amat memalukan rakyat Negeri Perak kerana pada 1970-an, Negeri Perak pernah menjadi negeri paling kaya jika dibandingkan dengan negeri lain. Beliau berkata, kadar kemiskinan Perak juga membimbangkan dengan kedudukan merosot sehingga menjadi negeri ketiga termiskin, hanya lebih baik jika dibandingkan dengan Sabah dan Terengganu.
Nga menyeru rakyat menyokong dasar reformasi Pakatan Rakyat dan memberi sokongan penuh kepada PAKATAN RAKYAT pada pilihanraya umum ke-13 demi masa depan anak bangsa dan negeri Perak.
Nga berkata sedemikian pada satu majlis meraihkan kemenangan Pakatan Rakyat di pilihanraya kecil kerusi parlimen Sibu di Taiping hari ini. DAP Taiping menghantar sebanyak 18 orang pasukan khidmat sukarela sepanjang kempen pilihanraya kecil tersebut yang menyaksikan calon DAP, Richard Wong Ho Leng menang dengan undi majority 398 undi.Turut hadir majlis tersebut termasuk Ahli Dewan Negeri Kawasan Pokok Assam, Yee Seu Kai, Ahli Dewan Negeri kawasan Aulong, Yew Tian Hoe dan pimpinan parti kawasan parlimen Taiping yang lain.
YB Nga Kor Ming bergambar mesra dengan pasukan khidmat sukarela DAP Taiping dimajlis meraihkan kemenangan pilihanraya kecil Sibu hari ini.
Jumaat, 25 Jun 2010
Perak Boros
(Taiping 25-6-2010)
Ahli Parlimen kawasan Taiping, Nga Kor Ming hari ini meminta penjelasan dari Menteri Besar, Dato Seri Zamry Bin Abdul Kadir, apa rasional mesyuarat EXCO kerajaan Negeri Perak kerap kali diadakan di Hotel 5 bintang di Kuala Lumpur sedangkan rakyat dalam negeri sedang menghadapi kekangan kewangan dan defisit kerajaan negeri telah mencecah RM70 juta pada tahun ini.
Nga, yang juga merupakan Setiausaha Negeri DAP Perak berkata, majlis mesyuarat kerajaan Negeri Perak dibawah pimpinan ADUN Pangkor, Dato Seri Zamry Bin Abdul Kadir telah mengadakan mesyuarat mingguan tersebut di hotel Kuala Lumpur pada rabu ini sedangkan bangunan Perak di Ipoh telah siap dengan segala kemudahan. Nga menyifatkan tindakan Zamry adalah satu pemborosan wang rakyat dengan puluhan ribu elaun, sewa hotel dan kos penginapan serta kos pengangkutan yang terpaksa dibiayai rakyat kerana mesyuarat Exco di Kuala Lumpur.
Nga berkata demikian dalam satu siding akhbar hari ini pusat Khidmat DAP Taiping.Beliau berkata, adalah tidak masuk akal bahawa mesyuarat Exco Perak sering kali diadakan di Kuala Lumpur, mahupun ditempat peranginan sedangkan hutang negara telah mencecah jumlah RM377 billion yang semakin membimbangkan. Tambahan lagi, Negara kita sedang menghadapi risiko menjadi muflis menjelang tahun 2019 seperti yang diramalkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato Seri Idris Jala.
Nga berkata, mengikut statistik Jabatan Perdana Menteri, 40% dari keluarga rakyat Malaysia, iaitu 2.4 juta keluarga diseluruh negara berpendapatan kurang dari RM2,000 setiap bulan, dengan Perak mempunyai bilangan terbanyak seramai 192,000 keluarga, atau 12.5% dan diikuti oleh Sabah, Johor, Kedah dan Sarawak. Dibawah pemerintahan BN, Perak juga merosot menjadi Negeri Ke-3 termiskin di Malaysia selepas Sabah dan Terengganu.
Nga bertambah, apabila kerajaan berwar-war memotong subsidi barangan asas kepada rakyat, pada masa yang sama pula kerajaan membelanja RM600 juta membina projek “Gajah Putih” seperti Putrajaya Convention Centre(PICCI), RM811 juta untuk Istana Negara yang baru, RM800 juta untuk bangunan Parlimen baru. Malahan kerajaan membelanja RM6,700 juta untuk membeli kapal peronda TLDM walaupun Malaysia adalah anggota treati Antarabangsa anti Perang dan berada diluar zon perang. Pengurusan kewangan yang lemah dan tindakan boros kian serius dan beliau menyeru rakyat berubah untuk menyelamatkan Negara daripada menjadi muflis menjelang tahun 2019.
Rabu, 16 Jun 2010
Satu Lagi Pengkhianatan Kepada Rakyat Perak
Berhubung dengan tindakan Ahli dewan undangan negeri(ADUN) Malim Nawar, Keshvinder Singh a/l Kashmir Singh dari DAP yang mengumumkan keputusannya untuk meninggalkan parti dan mengistiharkan menjadi ADUN bebas.
Keputusan untuk berpaling tadah itu diumumkan pada sidang akhbar di Hotel Holiday Villa, di Subang, tengah hari kelmarin. Keshvinder memberitahu wartawan yang surat perletakan jawatannya juga telah diserahkan kepada setiausaha agung DAP, Lim Guan Eng, pagi kelmarin. Dengan ini saya suka untuk mengeluarkan beberapa kenyataan :-
1. Saya menyanggah semua kenyataan Keshvinder dengan alasan-alasan beliau mengambil keputusan untuk keluar daripada DAP yang sengaja diada-adakan demi untuk menghalalkan pengkhianatan beliau terhadap Parti DAP dan pengundi Malim Nawar yang diwakilinya.
2. Alasan-alansan yang disebutkan oleh beliau adalah sangat bercelaru dan tidak konsisten dengan realiti yang berlaku terhadap dirinya sendiri. Beliau saya lihat semacam sangat menggelabah semasa mengeluarkan kenyataan kelmarin dengan cuma membaca kenyataan bertulis.
3. Alasan beliau kononnya kecewa dengan kepimpinan Pakatan Rakyat di negeri Perak yang terlalu banyak berpolitik sehingga mengabaikan tugas sebagai wakil rakyat adalah tuduhan yang berat dan tidak berasas.
Saya mengesahkan bahawa sejak Pakatan Rakyat berkuasa di Perak pada 8 Mac 2008 sehingga berlaku rampasan kuasa dan dalam era Kuasa Pakatan Rakyat dinafikan, Semua Pusat Khidmat ADUN PR berfungsi seperti biasa dengan pengawasan dari Pakatan Rakyat negeri dan parti yang diwakili masing-masing . Semua ADUN PR tidak pernah mengabaikan tanggung jawab yang dimanahkan sehinggalah kesaat ini. Alasan terlalu banyak berpolitik bagi sebuah parti politik adalah alasan kebudak-budakan .
4.Khesvinder juga mendakwa keputusannya dibuat setelah membuat pengamatan selama 15 bulan terhadap corak kepimpinan BN di peringkat negeri dan pusat serta yakin dengan keupayaan serta pembaharuan yang telah dibawa oleh kerajaan negeri dalam membangunkan negeri Perak.Selain itu katanya apa yang dilakukan demi kepentingan rakyat, khususnya di kerusi Malim Nawar dan berpendapat hanya BN yang boleh membangunkan kawasan luar bandar itu.
Alasan-alasan diatas adalah tindakan beliau "menjliat ludahnya sendiri" sedarkah beliau apa yang pernah beliau lakukan bersama Pakatan Rakyat semasa dia juga anggota kerajaan semasa PR berkuasa di Perak, banyak dasar-dasar yang dilakukan oleh PR adalah dalam bentuk kebajikan dan membela nasib rakyat yang gagal diselesaikan oleh BN selama 50 tahu, Pemberiaan geran kekal kepada rakyat berbilang bangsa di Kampung Tersusun dan Kampung Baru adalah satu bukti yang jelas Pakatan Rakyat lebih baik dari BN. Alasan Hanya BN yang mampu membangun kawasan luar bandar adalah alasan yang salah yang sengaja direka untuk menghalalkan tindakan jahat beliau itu.
5.Kenyataan Khesvinder yang menyedari betapa serius masalah di kawasannya selepas berkhidmat selepas rampasan kuasa pada Februari 2009 dan baru tahu ada masalah kemiskinan tegar yang perlu diselesaikan , Adalah bukti bahawa beliau lah yang ada masalah. Saya tidak tahu apa yang dia lakukan sejak dia menjadi ADUN sehingga rampasan kuasa sehingga baru tahu ada orang susah dikawasannya selepas BN merampas kuasa.
6. Harapan Keshvinder supaya kerajaan BN akan membekalkan bantuan bagi membolehkannya membantu pengundi di kawasannya adalah sudah terlambat. Sesudah 2 tahun lebih menjadi ADUN baru dia mahu berlagak menjadi wakil rakyat di DUN yang dimenanginya. Sebelum ini dia "tidur" sahaja.
Selain itu saya mempertikaikan peruntukan Kerajaan Negeri sebanyak RM 75,000 yang masih berbaki untuk tahun 2008 yang disalurkan melalui pejabat Daerah dan dikendalikan kelulusannya oleh ADUN semasa Pakatan Rakyat menjadi Kerajaan di Perak. Kemanakah dia menyalurkan bantuan tersebut dan banyak lagi bantuan lain yang diturunkan melalui pejabatnya.
7.Alasan DAP kebangsaan dan negeri gagal membantunya menghulurkan bantuan kepada rakyat dan tidak boleh berbuat apa-apa sebagai ADUN pembangkang serta mendakwa selama ini beliau menggunakan dana sendiri untuk membantu penduduk di Malim Nawar.Adalah tindakan membuka pekung didada yang mengambarkan Khesvinder memang seorang yang tidak layak menjadi seorang ADUN. Mengukit pemberian peribadi untuk rakyat dan memnyalahkan parti dan orang lain hanyalah alasan yang dangkal bagi melindungi pengkhianatan yang dia lakukan kepada parti dan rakyatnya.
8.Tindakan beliau menafikan bahawa dia ditawarkan ganjaran bagi meninggalkan DAP dan mencabar mereka yang membidasnya memeriksa buku akaun banknya dan kenyatannnya yang berkata beliau juga tidak didatangi oleh mana-mana ahli BN serta dia bersih adalah kenyataan yang bercanggah dengan tindakan nya bersama saya ke Pejabat SPRM Ipoh pada 25 Februari 2009.
Keshvinder membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bahawa beliau ditawarkan wang tunai RM20 juta agar meninggalkan Pakatan Rakyat.
Dalam kenyataannya kepada media di luar pejabat SPRM pada hari itu, Keshvinder mendakwa, agen Datuk Seri Najib Razak, ketika itu Timbalan Perdana Menteri dan Ketua Perhubungan Umno Perak yang membuat tawaran itu.
9. Dengan ini saya menegaskan bahawa tindakan Khesvinder tidak membawa masalah kepada Pakatan Rakyat. Sebenarnya yang mendapat masalah ialah BN Perak yang mesti melayan apa saja kemahuan yang diperlukan oleh "Katak" tersebut. BN Perak yang bergolak dengan sikap iri hati pihak tertentu apabila 3 ADUN bebas sebelum ini dilayan dengan melampau akan terus benasalah.
Kehadiran Khesvinder tentu akan membawa tuah kepada dirinya sendiri yang sudah lama berangan-angan dengan tawaran BN sepeti yang dia sendiri laporkan ke SPRM.
10. Pakatan Rakyat Perak terus utuh dengan gabungan yang mantap serta kesefahaman yang terus kami jalin terus bagi memastikan segala gerak kerja yang selama ini dirancang bersama untuk menumbangkan BN dalam pilihanraya akan datang diterus dan ditingkat dari masa ke semasa.
11. Sehubungan dengan itu saya meminta semua ahli parti, penyokong dan pendokong Pakatan Rakyat supaya terus bertenang dan melakukan tindakan di dalam batas undang-undang yang sedia ada. Saya yakin kepimpinan dalam semua komponen Pakatan Rakyat Perak akan terus mengembelingkan tenaga bagi memastikan kuasa rakyat yang dirampas dikembalikan di Perak.
KENYATAAN MEDIA : 16 Jun 2010
YB. DRS. KHALIL IDHAM LIM
ADUN Titi Serong/
Selasa, 15 Jun 2010
Perlu Padang Bola Di Desa Changkat
Kenyataan Media Yb V.Sivakumar pada 14/06/2010
Isu ketiadaan padang bola sepak di Desa Changkat,Batu Gajah telah ujud sekian lama. Walaupun permohonan untuk mendapatkan padang telah dibuat oleh pelbagai pihak kepada pihak Majlis Daerah Batu Gajah beberapa kali namun tidak ada apa-apa tindakan yang konkrit diambil.
Para remaja di sini telah menemui Yb V.Sivakumar untuk menyuarakan ketidakpuasan mereka dalam isu ini. Mereka mengadu bahawa mereka tidak dapat membuat aktiviti kesukanan mereka dan terpaksa pergi jauh untuk menjalankan latihan bolasepak.
Menurut Yb V.Sivakumar dengan adanya padang bola sepak, ia boleh dijadikan sebagai satu tempat untuk menjalankan aktiviti kesukanan untuk segenap lapisan umur di Desa Changkat. Ia juga akan memupuk para remaja supaya mereka akan berada dalam keadaan yang cergas dan tidak mengabaikan masa dengan aktiviti yang tidak berfaedah. Menurut Yb lagi, terdapat satu tempat yang telah digazetkan di Desa Changkat sebagai padang permainan dan pihak Majlis harus membersihkan tempat tersebut pada kadar yang segera.
Yb V.Sivakumar melahirkan rasa kesalnya kerana perkara ini walaupun telah dirujuk kepada pihak Majlis beberapa kali namun tidak ada apa-apa tindakan diambil tetapi pihak Majlis sanggup membelanjakan wang untuk membiayai beberapa projek yang langsung tidak mendatangkan faedah kepada para penduduk di Batu Gajah.
Manakala menurut bekas Ahli Majlis Pakatan En S.Vijakumar, perkara ini ada dibincangkan dengan Setiausaha Majlis Daerah Batu Gajah, namun disebabkan beliau tidak menjalankan tugasnya secara efektif menyebabkan isu ini melarat sehingga kini.
Isnin, 14 Jun 2010
Presiden PAFA Meletak Jawatan
Setelah mendengar banyak spekulasi daripada pelbagai pihak akhirnya Dato’ Seri Nizar meletakkan jawatan beliau sebagai Presiden PAFA berkuat-kuasa serta merta mulai hari ini. Setelah hampir setahun setengah meneraju pengurusan PAFA, beliau akhirnya meletakkan jawatan untuk memberikan laluan kepada pengurusan yang lain untuk mentadbir persatuan berprestij ini ke era yang lebih baik.
Beliau meletakkan jawatan selepas menghadiri mensyuarat bulanan ahli majlis tertinggi PAFA yang membincangkan tentang persembahan pasukan bola sepak Perak di SUKMA baru-baru ini. Antara yang turut meletakkan Jawatan adalah Timbalan Presiden PAFA, Y.B Seah Leong Peng dan pengurus pasukan liga Super Perak Ustaz Nurazli Musa.
Ketika ditanya oleh wartawan, Dato’ seri Nizar tidak menafikan peletakkan jawatan beliau adalah disebabkan tekanan daripada mana-mana pihak. Namun itu adalah perkara yang normal bagi mana-mana persatuan dan juga mana-mana pemain bola sepak. Beliau menegaskan bahawa pelepasan jawatan ini lebih bersifat memberikan laluan kepada pengurusan lain untuk menguruskan PAFA dengan lebih baik agar pencapai pasukan bola sepak Perak akan lebih baik pada masa yang akan datang.
Skuad Liga Super Perak sekarang berada ditangga ke 12 liga namun nasib Skuad Piala Presiden pula lebih baik iaitu berada ditangga kedua dibelakang Kedah. Semua pemain dan jurulatih kedua-dua skuad kekal seperti sedia kala namun itu terpulang kepada pengurusan yang baru nanti untuk menentukan kontrak mereka.
Istana Negara Baru Bernilai RM811 Juta
Kenyataan media Ahli Parlimen kawasan Taiping, YB Tuan Nga Kor Ming di Dewan Rakyat pada 14-6-2010
(Kuala Lumpur 14hb Jun, 2010)
Ahli Parlimen Kawasan Taiping Nga Kor Ming hari ini melahirkan perasaan amat terkejut apabila Dewan Rakyat hari ini dimaklumkan bahawa kontrak sebanyak RM811 juta untuk pembinaan Istana Negara Baru tidak dijalankan dengan sistem tender terbuka sebaliknya ia dikurniakan secara rundingan terus.
Nga Kor Ming, ketika membangkitkan soalan lisan di Dewan Rakyat pagi ini berkata, mengikut arahan perbendaharaan, setiap perolehan dan pembelian awam oleh kerajaan melebihi RM200,000 perlu dijalankan secara sistem tender terbuka, tetapi pembinaan Istana Negara yang merupakan lambang kemegahan Negara dan tempat bersemayam DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong dan DYMM Permaisuri Agong telah gagal menepati garis panduan perbendaharaan.
Nga berasa terkejut dimana kos projek itu melambung naik lebih 100% dalam tempoh 5 tahun. Menurut beliau, bekas Menteri Kerja Raya, Dato Seri Samy Vellu, ketika mengumumkan pembinaan Istana Negara pada tahun 2006, nilai harga projek tersebut adalah sekitar RM400 juta. Bagaimanapun, kini kosnya telah melambung naik menjadi RM811.2 juta, satu peningkatan yang mengejut. Beliau berasa bimbang samada kos melambung naik kerana tidak ada tender terbuka sebaliknya ketiga-tiga komponen projek diberikan secara rundingan terus kepada Syarikat Maya Maju dan Syarikat Ahmad Zaki Berhad.
Nga membidas kerajaan BN dengan amalan rundingan terus yang jelas bercanggah dengan New Economic Model(NEM) yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri sendiri pada April, tahun ini.
Nga dalam soalan tambahannya juga berkata, mengambil ikhtibar dari kejadian keruntuhan Bangunan Stadium Batu Buruk di Terengganu yang menelan belanja RM280 juta pada 2009, kerajaan perlu menyediakan ciri-ciri keselamatan yang sempurna untuk memelihara keselamatan kerabat Diraja dan orang kenamaan Negara. Beliau menggesa supaya bangunan Istana Negara baru yang bakal menjadi mercu tanda Negara seharusnya juga mematuhi garis panduan Green Development Guideline, sejajar dengan wawasan membela Alam Sekitar.
Bangunan Stadium Batu Buruk di Terengganu yang menelan belanja RM280 juta runtuh berkecai apabila hanya diguna pakai lebih kurang 10 bulan.
Nga Kor Ming juga menyarankan Bangunan Istana Negara sedia ada yang dibina pada tahun 1928 dan diwartakan sebagai Istana Negara pada 1957 perlu dibela sebagai Bangunan Warisan Negara dan tidak boleh diabaikan sebagai satu lagi projek “Gajah Putih” yang menjadi usang dan terbengkalai setelah bangunan baru siap.
Nga Kor Ming
Ahli Parlimen Taiping/P060
Khamis, 3 Jun 2010
Zambry Senyap Dalam Isu Judi Bola
JUDI BOLA SEPAK: PERAK IZINKAN?
20 Jamadil Akhir 1431 H
Oleh: safarizal saleh
Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) mendesak Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Negeri Perak terutamanya pihak Kerajaan Negeri Perak tidak mengizinkan premis-premis judi beroperasi dalam pertaruhan perjudian pertandingan bola sepak Piala Dunia yang telah dilulus lesen oleh Kerajaan Pusat kepada Syarikat Ascot Sport anak Syarikat Kumpulan Berjaya Corporation menjelang mulanya sepak mula kelak.
Langkah terbabit akan memastikan operasi membanteras perjudian bola sepak yang berada di bawah bidang kuasa PBT tidak boleh menjalankan operasi mereka jika benar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sedar akan kemampuannya untuk lakukan.
Jika sebaliknya, jelas bahawa Datuk Seri Zambry tidak ikhlas membenteras judi yang merupakan bidang kuasa yang sedia ada padanya. Rakyat sudah pasti sedar akan tipu daya Umno / Barisan Nasional (BN) selama ini.
DPPN Pk akan memastikan bahawa langkah yang dibenarkan oleh PBT melalui kerajaan negeri akan dibantah jika premis-premis perjudian dibenarkan menjalankan operasi perjudian bola sepak tersebut. DPPN Pk juga meminta seluruh rakyat terutamanya yang Beragama Islam untuk menunaikan Solat Hajat memohon supaya dibukakan hati Datuk Seri Zambry untuk menyelamatkan sebahagian rakyat yang semakin dihanyutkan dengan wabak judi ini.
ZAWAWI HASSAN
Ketua,
Dewan Pemuda PAS Negeri Perak.
Dicatat oleh DRS. KHALIL IDHAM LIM di 2:52 PM
0 ulasan:
Rabu, 2 Jun 2010
Simpang Masuk Ke Taman Siputeh
Kenyataan media Yb V.Sivakumar pada 1/06/2010
Ketiadaan simpang masuk ke taman perumahan di Siputeh sangat menyusahkan penduduk kawasan setempat. Taman Seputih Emas, Taman Seputih Permai dan Taman Seputih Pancaran yang terletak lebih kurang 4 km dari pekan Batu Gajah mempunyai lebih kurang 2500 orang penduduk.
Ketiadaan persimpangan di sini menyebabkan para pengguna lebuhraya Ipoh-Lumut ini yang ingin membuat pusingan u untuk ke kedua-dua arah terpaksa mengambil jarak serta masa yang panjang. Tidak ketinggalan, kenderaan-kenderaan kecemasan seperti ambulan, bomba serta polis juga mengalami nasib yang sama sekiranya berlaku sebarang kecemasan di taman-taman tersebut.
Menurut Encik Ridzuan bin Ahmad Sidi,43 tahun yang menetap di Taman Siputeh Pancaran mengeluh bahawa walaupun beliau telah berjumpa dengan pihak yang berkenaan untuk mengadu masalah yang dihadapi penduduk kawasan setempat namun tidak ada apa-apa tindakan yang konkrit untuk menyelesaikan masalah ini dilakukan.
Manakala Encik Zaini bin Abdul Kadir , 40 tahun dari Taman Siputeh Emas pula mengadu sistem jalan yang sedia ada selain dari menimbulkan masalah kepada para penduduk turut menjadi penyumbang kepada masalah banjir kilat di kawasan tersebut. Ini adalah kerana sistem perparitan yang kurang sempurna.Lagi satu masalah yang diutarakan oleh Encik Zaini adalah kejadian kemalangan di lebuhraya Ipoh-Lumut yang melalui kawasan taman-taman perumahan ini yang kerap berlaku.
Selasa, 1 Jun 2010
Haramkan Perjudian Sukan Di Perak
Kenyataan Media YB V.Sivakumar di Wisma DAP Perak pada 31 Mei 2010
Haramkan Perjudian Sukan di Perak
Tindakan Kerajaan meluluskan lesen pertaruhan judi sempena kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 merupakan satu tindakan yang tidak rasional. Ini membuktikan bahawa kerajaan BN yang ada sekarang adalah tidak mempunyai tanggungjawab sosial dan memberi keutamaan kepada kebendaan dan materialistik. Tambahan pula, tindakan ini mempunyai motif politik tertentu untuk membantu pihak kroni BN yang menjadi sumber kewangan kepadanya.
Keputusan kerajaan itu telah diumumkan oleh Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin dan ianya telah disiarkan dalam televisyen. Inilah kali pertama kerajaan mengambil tindakan seperti ini yang mencemarkan imej negara. Permainan bolasepak ‘dijudikan’ untuk kepentingan pihak-pihak tertentu. Apakah untung yang akan diperolehi oleh rakyat jelata daripada perjudian ini? Sudah tentu rakyat akan rugi. Jika rakyat rugi, siapa pula yang akan untung? Sudah tentu pihak yang memperolehi lesen judi akan memperolehi keuntungan yang lumayan. Jika tidak, kenapa mereka mahu memohon lesen judi bolasepak ini? Dalam kata lain, rakyat mesti rugi, manakala yang untung ialah kroni-kroni kerajaan yang mendapat lesen judi tersebut. Adakah ini sehaluan dengan slogan kerajaan BN ‘rakyat didahulukan’. Ini membuktikan bahawa kerajaan BN tidak mempedulikan rakyat tetapi hanya memberi keutamaan kepada kroni-kroninya yang bakal membantu dalam PRU13 nanti. Akibat tindakan ini, ‘yang kaya akan menjadi semakin kaya, yang miskin akan menjadi semakin miskin’
Awang Adek dilaporkan berkata, kerajaan mempertimbangkan kemungkinan mengeluarkan lesen untuk membenarkan pertaruhan dilakukan semasa kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 berlangsung awal bulan depan bagi mengelak berleluasanya aktiviti perjudian dan pertaruhan haram di negara ini. Tambahnya, jika kerajaan tidak mengeluarkan lesen kepada pihak yang memohon, aktiviti perjudian dan pertaruhan haram tetap berlaku tanpa kawalan dan pemantauan pihak berkuasa. Ini adalah satu kenyataan yang tidak rasional dan mengelirukan rakyat. Pihak kerajaan cuba ‘menghalalkan benda yang haram’. Adakah ini bermaksud kerajaan juga sanggup memberi lesen pelacuran pada masa hadapan dengan alasan yang sama?
Masyarakat akan lebih kemaruk sekiranya aktiviti itu dibiarkan. Tindakan ini boleh menimbulkan pelbagai masalah. Antaranya ialah:
1) Berlaku huru hara dalam keluarga jika pendapatan disalahgunakan untuk berjudi.
2) Lebih ramai yang akan berjudi jika ia diberi lesen dan dihalalkan
3) Pelajar-pelajar sekolah dan universiti juga akan turut terlibat dalam aktiviti perjudian
4) Keruntuhan moral kerana perjudian akan dibuat secara terbuka tanpa segan silu
5) Kemungkinan taraf hidup jatuh kerana amalan hutang untuk bertarung
6) Menghilangkan semangat kesukanan dengan melahirkan semangat perjudian
7) Boleh memberi sumbagan kepada jenayah yang lain seperti pergaduhan, ragut, kecurian dan sebagainya
8) Melahirkan generasi yang bergantung kepada nasib
Satu lagi perkara yang amat pelik sekali ialah kesanggupan pihak polis untuk melindungi judi bola sepak berlesen milik Tan Sri Vincent Tan. Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berkata, pihak polis akan memerangi habis-habisan sindiket yang mengambil kesempatan mengaut keuntungan daripada perjudian haram permainan bolasepak Piala Dunia. Ini sekali lagi membuktikan kerajaan BN tidak dapat apa-apa sumbangan dari sindiket perjudian tanpa lesen. Oleh itu, dengan mengeluarkan lesen kepada syarikat milik Vincent Tan sudah pasti rundingan tertentu sudah dibuat untuk keuntungan pihak-pihak yang terlibat. Bukan sekadar pulangan cukai yang diperolehi oleh kerajaan tetapi sudah pasti ada manfaat lagi kepada BN dalam meluluskan judi bolasepak ini. Untuk itu, polis juga dikerah untuk membanteras sindiket tanpa lesen yang tak menguntungkan BN. Dalam perspektif lain, rakyat Malaysia yang mahu terlibat dengan perjudian bola sepak Piala Dunia hanya dibenarkan berbuat demikian dengan syarikat Ascot Sports Vincent Tan yang diberikan lesen oleh kerajaan BN.
Pulau Pinang telah mengharamkan perjudian sukan di negeri itu. Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng telah mengarahkan pihak berkuasa tempatan negeri itu mengeluarkan surat kepada semua pengusaha loteri untuk memaklumkan pengharaman ini. Pakatan Rakyat berpendapat tindakan Umno-BN meluluskan lesen judi sukan ini bercanggah dengan panduan moral yang didokong Pakatan Rakyat.
Oleh yang demikian, saya menyeru kepada Menteri Besar Negeri Perak Dato Seri Zambry Abdul Kadir untuk mencontohi kerajaan Pulau Pinang dan mengharamkan perjudian sukan di negeri Perak. Saranan ini diberikan kepada kerajaan beliau yang terdiri daripada 27 orang ADUN UMNO dan seorang ADUN MCA. Tindakan ini adalah wajar untuk menjaga kesejahteraan dan keselamatan rakyat Negeri Perak.
V.Sivakumar
ADUN Tronoh
Penolong Setiausaha DAP Perak
Timbalan Pengerusi DAPSY Perak
31 Mei 2010
Langgan:
Catatan (Atom)