Jumaat, 19 Mei 2017

Blue Print Hanya Janji Pilihanraya

Kenyataan Media YB V. Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah pada 18/5/2017 di Taman Medan Pusing, Batu Gajah.


Adakah Indian Blue Print yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mempunyai kesan undang-undang dalam pelaksannaanya? Indian Blue Print ini sebenarnya satu dokumen yang tidak mempunyai implikasi undang-undang. Ini bermakna, pengabaian pelaksaanaannya tidak boleh dipersoalkan atau diambil tindakan mahkamah.

Setakat ini, Indian Blue Print hanyalah satu dokumen yang mengandungi janji-janji Barisan Nasional yang tidak boleh dicabar di mahkamah oleh mana-mana pihak. Indian Blue Print ini sebenarnya merupakan satu dokumen politik yang dibukukan semata-mata untuk mempengaruhi kaum India menyokong Barisan Nasional dalam PRU14. Niat dokumen ini adalah jelas sekali bertujuan politik dan pilihanraya.

Indian Blue Print dilancarkan pada bulan lalu tanpa keperincian dan perbahasan di Parlimen. Ini bermakna dokumen ini tidak mempunyai apa-apa pengertian kecuali dianggap sebagai manifesto pilihanraya yang dicadangkan oleh pihak MIC melalui Jabatan Perdana Menteri.

Bajet yang diluluskan dalam Parlimen setiap tahun mempunyai kesan undang-undang. Oleh yang demikian, kerajaan yang memerintah adalah bertanggungjawab melaksanakan bajet yang diluluskan oleh Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Adalah menjadi satu kesalahan untuk mengabaikan tanggungjawab yang diamanahkan oleh Parlimen. Tetapi, Indian Blue Print ini tidak ada impak yang sedemikian kerana ianya tidak melalui proses perundangan.

Saya juga ingin tahu dari manakah datangnya peruntukkan yang besar untuk melaksanakan Indian Blue Print ini? Setahu saya Parlimen Malaysia tidak meluluskan apa-apa peruntukkan untuk Indian Blue Print. Dimanakah peruntukkan itu boleh  dirujuk dalam rancangan 5 tahun yang terbaru iaitu Rancangan Malaysia Ke 11?

Selasa, 16 Mei 2017

Indian Blueprint Adalah Pengakuan BN Bahawa Masyarakat India Ditindas selama 60 Tahun

Kenyataan Media YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah & Timbalan Pengerusi DAP Perak pada 15 Mei 2017 di Batu Gajah.


Akhirnya Barisan Nasional telah mengaku bahawa masyarakat India telah dipinggirkan selama ini. Jelas sekali, sejak merdeka masyarakat India diabaikan di negara ini. Lebih 60 tahun tidak ada apa-apa pelaksanaan program pembangunan sosio ekonomi untuk membantu golongan miskin kaum ini.


Walaupun berkali-kali kerajaan memperkenalkan blue print ataupun perancangan pembangunan ekonomi untuk kaum India, tetapi semuanya tidak dilaksanakan.


MIC hanya pandai menanam tebu ditepi bibir. Setiap kali tiba musim pilihanraya, MIC akan membawa pelbagai janji kosong tanpa segan silu.


Akhirnya, selepas pilihanraya, masyarakat India dicampak bagai kacang melupakan kulit. Inilah modus operandi MIC dan Barisan Nasional menipu kaum India selama ini.


Sekali lagi, strategi yang sama digunapakai oleh MIC dengan melancarkan 'Indian Blueprint'. Masyarakat India dimuslihat lagi untuk mempercayai kerajaan Najib.


Kononnya Najib telah 'buat' banyak untuk kaum India. Apakah sebenarnya yang telah dilaksanakan oleh kerajaan Najib untuk pembangunan sosio ekonomi kaum India? Hanya slogan 'Nambikai' yang tidak membawa apa-apa erti kata yang konkrit. Slogan tinggal kekal sebagai slogan sahaja.


Indian Blueprint adalah pengakuan Barisan Nasional sendiri bahawa masyarakat India telah ditindas selama 60 tahun. Barisan National baru sedar bahawa masyarakat India terutamanya golongan   B40 harus diletakkan dalam agenda pembangunan sosio ekonomi arus perdana yang komprehensif.

Selasa, 2 Mei 2017

Perayaan Tahunan Kuil Maha Mariamman SMTD Jalan Tanjung Tualang

Kenyataan Media YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah pada 1 Mei 2017 di Tanjung Tualang



Sempena perayaan tahunan Kuil Maha Mariamman SMTD Jalan Tanjung Tualang, saya telah dijemput oleh pihak jawatankuasa kuil untuk menghadiri majlis tersebut. Saya telah menghadiri perayaan itu pada hari Isnin iaitu 1 May 2017 juga merupakan Hari Pekerja. Saya difahamkan kuil ini wujud lebih kurang 90 tahun. 

Walaupun tidak ada penduduk yang tinggal di kawasan persekitaran lagi,tetapi lebih 600 orang telah menghadiri perayaan tersebut. Kebanyakkan daripada mereka adalah dari kalangan penduduk yang menetap di kawasan itu satu masa dahulu. Mereka balik setiap tahun untuk menyambut perayaan tahunan kuil ini. 

Saya difahamkan kuil ini tidak memiliki tanah. Permohonan pernah dibuat tetapi telah ditolak oleh kerajaan atas alasan-alasan tertentu. Pihak jawatankuasa bercadang untuk membuat rayuan kepada Pejabat Tanah. Harap kerajaan akan mempertimbangkan dan meluluskan tanah yang dipohon untuk kuil tersebut.


Saya juga telah menghulurkan sedikit sumbangan untuk perbelanjaan perayaan tahunan kuil itu.