Jumaat, 26 Julai 2013

Ketirisan RM6.7juta Membayar Penyelaras Parlimen BN

Kenyataan Media V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah & Timbalan Pengerusi DAP Perak pada 26/7/2013 di Ipoh
 
Ketirisan RM6.7juta Membayar Penyelaras Parlimen
 
Adalah tidak wajar untuk membayar gaji kepada penyelaras kawasan Parlimen di kawasan-kawasan BN kalah dalam pilihanraya. Perlantikan penyelarasan kawasan parlimen adalah satu perlantikan politik. Jawatan itu adalah jawatan politik dan bukan di bawah Suruhanjaya Perkhidmatan Awam. Oleh yang demikian, kerajaan tidak seharusnya membayar gaji kepada penyelaras-penyelaras kawasan parlimen itu. 
Pembayaran gaji kepada mereka adalah satu penyalahgunaan kuasa oleh pihak Kementerian Kewangan. Wang kutipan cukai daripada rakyat disalah gunakan untuk tujuan politik BN. Penyelaras-penyelaras kawasan itu hanya menganjurkan program- program politik untuk BN. Tidak salah kalau parti- parti politik melantik penyelaras kawasan Parlimen  dan dibayar gaji daripada dana politik masing-masing. Tetapi, membayar gaji mereka melalui dana kerajaan adalah satu salah laku dan penyelewengan yang patut dielakkan.

Sebelum 1 Jun 2012, gaji yang dibayar kepada penyelaras kawasan Parlimen ini ialah RM5680 sebulan. Pada 13 Ogos 2012,  kadar gaji  itu dinaikkan   kepada RM6265 sebulan berkuat kuasa 1 Jun 2012. Ini bermaksud kerajaan terpaksa membayar gaji kepada kesemua 89 penyelaras  Parlimen di kawasan- kawasan yang BN tewas.  Oleh yang demikian jumlah gaji yang perlu dibayar oleh kerajaan berjumlah RM RM557,585 setiap bulan. Dalam tempoh satu tahun, jumlah gaji yang dibayar kepada penyelaras-penyelaras kawasan Parlimen ini berjumlah RM RM6,691,020. Dalam tempoh 5 tahun, beban kerajaan untuk pembayaran gaji ini ialah RM 33, 445,100. 

Kerajaan harus berhenti membayar gaji kepada penyelaras kawasan Parlimen dengan serta merta kerana RM 33.5 juta dibelanjakan secara tidak amanah. Dalam jawapan yang diberikan  di Dewan Rakyat, kerajaan tidak mengetahui atau mempunyai apa-apa rekod bagaimana wang yang dibayar itu dibelanjakan oleh penyelaras-penyelaras kawasan Parlimen itu.

V.Sivakumar

Tiada ulasan:

Catat Ulasan