Ahad, 3 November 2013

Penetapan harga gula oleh Kerajaan BN mengikut kadar gula mentah yang tinggi membolehkan syarikat-syarikat gula memperolehi keuntungan luarbiasa

Media statement by Tony Pua, DAP National Publicity Secretary and Member of Parliament for Petaling Jaya Utara on Wednesday, 30 October 2013 in Kuala Lumpur

Kami telah mendedahkan semalam bahawa pihak Kerajaan BN telah menandatangani perjanjian jangkamasa lama (LTC) untuk mengimpot gula mentah dengan harga US$26 setiap 100lbs Januari 2012.   Harga yang ditetapkan adalah terlampau tinggi berbanding dengan harga pasaran gula mentah ketika itu, iaitu hanya US$23.42 setiap 100lbs. Seperti yang telah diramalkan penganalisa komoditi antarabangsa, harga tersebut telah terjunam ke US$18.91 hari ini

Akibat kerajaan membeli gula mentah dengan harga yang begitu tinggi menyebabkan kerugian kepada orang ramai sebanyak RM194 juta setiap tahun.  Oleh itu sebenarnya, mengikut harga pasaran gula mentah, rakyat dapat menikmati harga gula yang lebih rendah walaupun tanpa subsidi.

Akan tetapi, perkara yang lebih membimbangkan ialah sama ada perjanjian LTC ini telah dimuktamadkan dengan harga yang lebih tinggi untuk menguntungkan syarikat-syarikat gula tempatan.  Pasaran gula tempatan dimonopoli oleh 2 syarikat iaitu Malaysian Sugar Manufacturers (MSM) dan Central Sugar Refinery (CSR) Bhd.  

Pada sesi Parlimen tahun lalu bertarikh 22 Mac 2012, saya telah menyoal Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Dato' Mukhriz Mahathir apa sebabnya pihak kerajaan terpaksa membeli gula mentah bagi pihak pengilang gula tempatan.  Saya berhujah bahawa lebih baik jika risiko harga gula mentah ditanggung oleh syarikat swasta dan pihak kerajaan hanya memberikan subsidi yang tetap kepada kedua-dua syarikat ini untuk menjual gula mengikut harga yang ditentukan.

Untuk soalan di atas, Dato' Mukhriz telah menjawab bahawa pengilang-pengilang "mempunyai ruang untuk membeli daripada pasaran terbuka sekiranya harga pasaran terbuka itu begitu rendah, mereka berpeluang tidak menggunakan harga LTC dan membeli secara terus daripada pembekal antarabangsa..."

Jawapan Timbalan Menteri pada ketika itu telah memberikan penjelasan mengapa MSM dan CSR dapat meningkatkan kadar keuntungan (profit margin) dengan begitu mendadak walaupun harga dan subsidi yang diberikan adalah tetap.  Seperti yang dihujahkan oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam perbahasan Bajet 2014, syarikat-syarikat gula ini telah menikmati kadar keuntungan yang melonjak daripada 9% ke 15% hari ini.

Rahsia keuntungan ini senang difahami.  Kerajaan telah membuat perjanjian LTC mengimpot gula mentah dengan kadar yang lebih tinggi daripada harga pasaran.  Subsidi yang diperlukan untuk mengekalkan harga gula pada kadar yang tertentu adalah ditentukan mengikut harga impot gula mentah oleh Kerajaan.  Oleh kerana pihak pengilang diberikan ruang untuk mengimpot gula mentah secara langsung jika harga pasaran adalah lebih murah daripada harga yang diperolehi oleh kerajaan, kos pengeluaran gula oleh syarikat-syarikat ini dapat diturunkan.  Dengan harga yang telah ditetapkan oleh kerajaan, kos yang lebih rendah, syarikat MSM dan CSR dapat memperolehi keuntungan lumayan terutamanya jika harga gula mentah pasaran terjunam seperti apa yang berlaku sekarang.

Tambahan lagi, jika harga gula mentah pasaran meningkat melebihi harga yang diimpot oleh kerajaan, keuntungan syarikat gula tempatan juga akan terjamin kerana dapat membeli gula mentah dengan harga US$26 setiap 100lbs.

Kami menyeru supaya pihak kerajaan membatalkan sistem perolehan gula mentah dan juga perlindungan yang diberikan kepada syarikat-syarikat yang memonopolikan pasaran gula di Malaysia.  Sedangkan pihak kerajaan BN telah menghapuskan subsidi gula secara langsung, kerajaan tiada lagi berkeperluan untuk menetapkan harga gula di Malaysia.  Pakatan Rakyat juga berpendapat bahawa monopoli syarikat-syarikat gula tidak memberikan sebarang manfaat kepada rakyat jelata dan adalah lebih baik jika pasaran gula dibuka dan harga gula dapat ditentukan melalui persaingan antara syarikat-syarikat pengilang dan pembekal gula di Malaysia.

Dengan penghapusan monopoli ini, rakyat akan menikmati harga gula yang lebih rendah, syarikat gula akan menjadi lebih efisyen kerana tidak dapat bergantung kepada bantuan daripada kerajaan dan juga pihak kerajaan tidak perlu mengambil sebarang risiko dalam pengimpotan gula dengan harga yang lebih mahal.


Tony Pua

Tiada ulasan:

Catat Ulasan