Sabtu, 2 November 2013

Mantan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek jelas mengelirukan rakyat Malaysia mengenai tajaan swasta untuk Konsert K-Pop Hari Belia yang memakan perbelanjaan RM1.6 juta

Media Statement by Tony Pua, DAP National Publicity Secretary and Member of Parliament for Petaling Jaya Utara on Tuesday, 22 October 2013 in Kuala Lumpur

Jawapan daripada pihak Kementerian Belia dan Sukan kepada saya semalam menjawab dengan begitu jelas bahawa tajaan yang telah dijanji oleh sebuah syarikat yang tidak dinamakan tidak ditunaikan.  Oleh sebab itu, perbelanjaan RM1.6 juta untuk melawa artis Korea untuk mempersembahkan Konsert K-Pop terpaksa ditelan oleh pihak kerajaan.
Pihak kementerian langsung tidak bersetuju dengan kenyataan Datuk Seri Ahmad Shabery bahawa tajaan telah diperolehi oleh Majlis Sukan Negara bertujuan untuk membiayai kos konsert tersebut.

Saya sebagai ahli Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) akan menyokong cadangan Datuk Seri Ahmad Shabery untuk memberikan penjelasan kepada kami pada mesyuarat PAC yang akan diadakan hari esok.  Saya juga akan menyokong penuh cadangan Datuk Seri Ahmad Shabery untuk menjalankan sesi temu-bual tersebut melalui siaran langsung.  Dengan itu, saya akan mencadangkan supaya Peraturan Mesyuarat Parlimen Perkara 85 akan diubahsuaikan supaya hasrat mantan Menteri Belia dan Sukan dapat direalisasikan.

Pada masa yang sama, tanggungjawab perbelanjaan RM1.6 juta sebagai yuran kepada artis Korea tidak sepatutnya ditanggung oleh pihak Menteri sahaja.  Jawapan kementerian menunjukkan bahawa pihak jawatankuasa telah membuat keputusan untuk menjalankan konsert tersebut walaupun tiada sebarang komitmen kukuh diberikan oleh pihak penaja.  

Ini merupakan suatu keputusan yang tidak bertanggungjawab dan tindakan disiplin atau surcaj perlu diambil.  Pihak yang bertanggungjawab tidak boleh mengelakkan kesalahan mereka dengan mengalihkan tanggungjawab kepada "keputusan jawatankuasa".  Kalau keputusan ini benar-benar diputuskan secara jawatankuasa tanpa sebarang pimpinan dari sesiapapun, tindakan perlu diambil ke atas semua ahli yang mengambil bahagian dalam jawatankuasa tersebut.

Jika perangai membuat perbelanjaan yang besar diputuskan atas janji-janji kosong daripada pihak swasta untuk menaja sebarang program tidak dihukum, ini akan memberikan mesej yang salah kepada semua kementerian bahawa ini merupakan perkara yang tidak diambil berat oleh kerajaan.  Ia akan menyebabkan bajet yang diperuntukkan tidak dipatuhi dan kerap kali memerlukan belanjawan tambahan untuk membiayai perbelanjaan melampau.  Dalam permintaan bajet tambahan yang baru diluluskan dalam parlimen pada sesi lepas, Kementerian Belia dan Sukan telah memperolehi RM12.61 juta untuk menjalankan program Hari Belia berkenaan.

Pada masa yang sama, syarikat yang terbabit untuk menaja konsert tersebut benar-benar telah memberikan komitmen kukuh, sama ada secara lisan atau bertulis, pihak Kementerian bertanggungjawab untuk mendesak supaya kos konsert tersebut dikembalikan kepada keerajaan.  

Jika syarikat swasta tersebut enggan mengakur, pihak kerajaan kena mengambil tindakan mahkamah ke atas syarikat tersebut kerana janji mulut pun boleh dikuatkuasakan.  Jika tindakan tidak diambil, ianya hanya akan menunjukkan bahawa pihak Kementerian yang menuding jari kepada pihak swasta yang mungkir janji hanya membuat alasan untuk mengelakkan kesalahan sahaja.

Kami berharap supaya pihak Menteri akan menerima nasihat daripada pihak Ketua Audit Negara untuk mengambil tindakan yang berpatutan kepada pihak yang bersalah dalam kes-kes pembaziran.  Rakyat Malaysia sudah bosan terhadap pihak Menteri yang enggan mengambil sebarang tindakan ke atas pihak yang bersalah, yang biasanya dilepaskan dengan surat teguran sahaja.


Tony Pua

Tiada ulasan:

Catat Ulasan