Ahad, 3 November 2013

Harga gula Malaysia naik tinggi bukan kerana penghapusan subsidi tetapi kerajaan telah menandatangani perjanjian beli gula mentah dengan harga terlampau tinggi

Media statement by Tony Pua, DAP National Publicity Secretary and Member of Parliament for Petaling Jaya Utara on Tuesday, 29 October 2013 in Kuala Lumpur

Kerajaan Barisan Nasional telah menggunakan pelbagai helah sebagai alasan untuk menghapuskan baki subsidi sebanyak 34 sen setiap kilogram, ataupun RM521 juta setahun.  Alasan pemotongan subsidi termasuklah Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengaitkan kematian mantan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak akibat diabetes, dan Perdana Menteri Dato' Seri Najib Razak memberi nasihat bahawa mengurangkan makanan gula dapat meningkatkan "libido".

Akan tetapi sebab sebenar rakyat terpaksa 'menikmati' gula yang lebih mahal adalah kerana kerajaan telah menandatangani perjanjian mengimpot gula mentah dengan harga yang terlampau mahal.  Jika kita mengambilkira harga gula mentah pasaran antarabangsa sekarang, iaitu US$18.91 setiap 100lbs, bukan sahaja pihak kerajaan tidak perlu menanggung sebarang subsidi, malah harga gula akan menjadi lebih murah daripada RM2.84/kg yang ditetapkan.

Pada Januari 2012, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Penggunaan dan Koperasi, Datuk Ismail Sabri telah mengumumkan bahawa pihak kerajaan telah menandatangani perjanjian 3 tahun untuk mengimpot gula mentah dengan harga US$26 setiap 100lbs.

Saya telah mengeluarkan kenyataan mengkritik kerajaan pada masa itu kerana pihak kerajaan telah membeli gula mentah dengan harga yang lebih mahal daripada harga pasaran pada ketika itu, iaitu US$23.42.  Perbezaan harga kontrak melebihi 10% daripada harga pasaran dan menyebabkan kerajaan terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM64 juta setiap tahun.
Saya juga telah pada masa itu memberikan amaran kepada pihak kerajaan bahawa kesemua laporan penganalisis antarabangsa meramalkan bahawa harga gula akan menurun akibat "excessive supply" ataupun pengeluaran gula mentah yang terlampau tinggi.  Akan tetapi, perkara ini tidak dihiraukan oleh pihak kerajaan, malah Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Datuk Mukhriz Mahathir menjawab di Parlimen bahawa "harga gula mentah dunia diramal dan dijangka terus meningkat pada masa hadapan."

Sejak Januari 2012, harga gula antarabangsa telah terjunam sehingga serendah US$16.70 setiap 100lbs pada bulan September 2013.  Ini bermaksud pihak kerajaan telah membeli gula dengan 55.7% lebih mahal daripada harga pasaran bulan lalu.  

Walaupun, harga gula mentah telah meningkat sedikit pada bulan Oktober, ianya hanya US$18.91 setiap 100lbs sekarang, masih jauh lebih murah daripada harga yang diimpot oleh pihak kerajaan.  Mengikut harga pasaran sekarang, pihak kerajaan telah terlebih bayar RM194 juta setiap tahun atau pengimpotan 2.73 bilion paun gula mentah setiap tahun.
Pihak kerajaan perlu bertanggungjawab kerana telah membuat keputusan yang tidak wajar, yang telah menyusahkan rakyat Malaysia.  Datuk Ismail Sabri pada Januari tahun lalu bersikap angkuh apabila berkata “let me remind you that the government is smart” kerana menandatangani perjanjian 3 tahun tersebut.  Hari ini, ia telah dibuktikan bahawa keputusan tersebut adalah ketetapan yang salah dan amat merugikan kepada Malaysia.

Pihak kerajaan perlu menjelaskan sebab kerajaan berdasar mengimpot gula mentah bagi pihak pengilang gula "duopoli" di Malaysia - Malaysian Sugar Manufacturing Bhd dan Tradewinds Bhd. Bukankah ianya lebih baik untuk rakyat Malaysia jika syarikat-syarikat ini diberikan tekanan untuk bersaing dan tidak dilindungi oleh pihak kerajaan daripada risiko pasaran?

Pihak kerajaan tidak boleh terus menggunakan alasan-alasan yang tidak munasabah untuk menjelaskan kenaikan harga gula.  Sebab utama harga gula meningkat bukannya penyakit kencing manis atau pengurangan subsidi.  Punca kenaikan harga gula adalah disebabkan oleh pihak kerajaan yang telah mengimpot gula mentah bagi pihak pengilang gula dengan harga yang jauh lebih tinggi daripada harga pasaran.  Akibatnya kerugian beratus-ratus juta ini terpaksa ditanggung oleh rakyat jelata.

Pihak kerajaan perlu mengaku kesalahan yang dilakukan, menyiasat sebab gula mentah telah diimpot dengan harga yang lebih mahal dan mengumumkan dasar pembetulan (corrective action) yang akan dilaksanakan supaya perkara yang menambahkan beban rakyat tidak akan diulangi pada masa depan.

Tony Pua

Tiada ulasan:

Catat Ulasan