Sabtu, 2 November 2013

Najib Harus Boikot Mesyuarat CHOGM

Kenyataan Media YB V. Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah, Setiausaha Antarabangsa DAP Kebangsaan & Timbalan Pengerusi DAP Perak  pada 24 Oktober 2013 di Parlimen Malaysia




Mesyuarat  Commonwealth Heads Of Government Meeting (CHOGM) yang ke 23 akan diadakan di Colombo, Sri Langka. Mesyuarat ini akan diadakan dari  15hb hingga 17hb November 2013.

 Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak akan menghadiri mesyuarat CHOGM di Sri Langka. Wisma Putra telah mengesahkan kehadiran  beliau ke mesyuarat itu.

Keputusan Perdana Menteri untuk menghadiri Mesyuarat CHOGM di Sri Langka menimbulkan reaksi yang negatif  daripada pelbagai pihak. Malaysia sepatutnya boikot Mesyuarat CHOGM yang akan diadakan di Sri Langka. Perdana Menteri seharusnya menghindarkan diri daripada mesyaurat ketua-ketua komenwel yang diadakan di negara yang langsung tidak menghormati hak asasi manusia.

Kerajaan Sri Langka telah bertindak ganas dan melampaui batasan hak asasi manusia dalam memerangi orang-orang Tamil yang terang-terang merupakan ' Ethnic Cleansing' yang terancang dan diatur dengan begitu rupa. Peperangan ini telah berlanjutan lebih 20 tahun dan telah ditamatkan pada tahun 2009. Puluhan ribu etnik Tamil telah dibunuh secara kejam oleh tentera Sri Langka. Pada penghujung perang tersebut, kekerasan dan kekejaman yang amat dahsyat telah dilakukan terhadap orang-orang awam, wanita dan  kanak-kanak oleh  regim SrI Langka yang zalim.  Lebih 10, 000 orang terbunuh dan 1000 orang hilang pada penghujung perang tersebut.

 Walaupun perang terhadap Tamil Tigers telah tamat tetapi kerajaan Sri Langka tidak boleh terlepas daripada tanggungjawab dan akauntabiliti jenayah perang yang telah  dilakukan secara  kejam. Kerajaan Sri Langka telah melakukan jenayah perang yang melampaui batasan hak asasi manusia. Banyak bukti dan rekod jenayah perang seperti pembunuhan orang awam, kekejaman penderaan dan jenayah seks seperti rogol dan sebagainya  telah disia-siakan oleh semua pihak termasuk pertubuhan-pertubuhan antarabangsa.

Bukan sahaja orang-orang Tamil dikejami oleh rejim Sri Langka malah orang-orang muslim minoriti,  orang-orang yang mempertahankan hak asasi manusia dan wartawan juga turut menjadi mangsa jenayah perang tersebut. Perkara ini disahkan oleh  Pesuruhjaya Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Navi Pillay dengan mengatakan tidak ada akauntabiliti dan berlaku kehilangan hak asasi manusia yang nyata di Sri Langka.

Canada telah mengambil keputusan untuk tidak menghadiri Mesyuarat CHOGM yang bakal diadakan di Sri Langka. Perdana Menteri negara itu harus dipuji kerana tindakan berani dan berprinsip kerana menghindarkan diri daripada menghadiri mesyuarat ketua-ketua komenwel itu. Beliau boikot mesyuarat itu kerana Presiden Sri Langka Mahinda Rajapaksa gagal untuk memberi penjelasan mengenai pelanggaran hak asasi manusia secara berleluasa terhadap etnik Tamil di negara itu.

Kenya juga telah mengambil keputusan yang bijak supaya tidak mengambil bahagian dalam Mesyuarat CHOGM. Bukan sahaja sekadar itu, Kenya juga sedang mendesak dan memujuk negara-negara Afrika lain seperti Uganda, Tanzania, Rwanda, Nigeria , Afrika Selatan dan Zambia supaya boikot Mesyuarat CHOGM di Sri Langka.

Selain daripada itu, The British House Of Commons Foreign Affair Committee  dalam laporannya ' Role & Future of Commonwealth' juga terang-terang mengkritik keputusan untuk mengadakan CHOGM di Sri Langka dan mendesak Perdana Menteri David Cameron  turut memboikot mesyuarat itu.

Negara-negara komenwel sepatutnya mempertahankan dan berusaha meningkatkan keunggulan hak asasi manusia. Prinsip ini tidak boleh ditinggalkan  dalam apa sahaja keadaan sekali pun. Menghadiri mesyuarat GHOGM di Colombo secara langsung memberi pengiktirafan terhadap jenayah perang kerajaan Sri Langka dan pengabaian kepada prinsip hak asasi manusia yang menjadi salah satu teras demokrasi yang penting.  Adalah amat memalukan pemimpin Negara-negara Komenwel untuk menghadiri persidangan ini kerana Sri Langka tidak layak menganjurkannya.

Beberapa NGO di negara kita termasuk Suaram mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak supaya boikot menghadiri Mesyuarat CHOGM ini. Saya sebagai Setiausaha Antarabangsa DAP  juga turut menzahirkan rasa tidak puas hati dengan keputusan Perdana Menteri yang mahu menghadiri Mesyuarat CHOGM di negara yang tidak menghormati hak asasi manusia. Jawatankuasa Eksekutif Pusat  Parti DAP juga telah mengambil keputusan untuk mendesak supaya Perdana Menteri tidak menghadiri Mesyuarat CHOGM.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan