Ahad, 3 November 2013

KOMEN BELANJAWAN 2014 OLEH AWER

YB-YB Datuk Sri / Datuk / Dato' / Tuan / Puan yang dihormati sekalian,

Pihak Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) telah meneliti
Belanjawan 2014 dan telah menyediakan komen-komen berikut yang telahpun
dikeluarkan sebagai siaran media kami. Pihak AWER berharap perkara-perkara
yang diutarakan oleh AWER ini diberikan perhatian dan tindakan sewajarnya
diambil.
------------------------------

----------------------
KOMEN BELANJAWAN 2014 OLEH AWER

1.         Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST)


Pelaksanaan GST bagi bekalan tenaga elektrik perlu dikaji semula oleh
kerajaan. Ini disebabkan, komponen kos daripada Perjanjian Pembelian Tenaga
(Power Purchase Agreement - PPA) bagi Penjana Bebas (IPP) Generasi Pertama
dan Kedua masih ditanggung oleh tarif elektrik semasa. Berdasarkan
perbincangan AWER dengan Suruhanjaya Tenaga (ST) baru-baru ini, ST tidak
akan melakukan rundingan semula bagi PPA generasi kedua. Rundingan semula
bagi PPA generasi pertama bermula dari tahun 2007 dan telah gagal sepenuhnya
untuk mengurangkan impak PPA yang sebenar kepada tarif elektrik. PPA
generasi pertama (kecuali beberapa IPP yang mendapat sambungan PPA) dijangka
tamat menjelang tahun 2016. Manakala, PPA generasi kedua pula dijangka tamat
di antara tahun 2020 hingga 2024. Pada masa yang sama, ST mesti melaksanakan
penetapan tarif elektrik yang telus dengan penglibatan semua pihak
berkepentingan. Cadangan-cadangan penambahbaikan sistem penetapan tarif
serta industri elektrik negara telah beulang kali diberikan kepada ST dan
Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) oleh AWER sejak tahun
2011.

2.         Penyusunan Semula Peruntukkan Guna Tenaga Dalam Sektor
Pengangkutan


AWER mengalu-alukan pelaksanaan projek-projek Pengangkutan Awam yang akan
menyumbang secara positif dalam peruntukkan guna tenaga (sumber tenaga). Ini
kerana perubahan daripada penggunaan kenderaan persendirian ke pengangkutan
awam hanya boleh dipercepatkan dengan jaringan pengangkutan awam yang
bersepadu. AWER menyeru kerajaan untuk membangunkan Pelan Pengangkutan Awam
Jangka Panjang untuk memastikan pembangunan pengangkutan awam yang terancang
dengan sasaran-sasaran yang terperinci. Pada masa yang sama, AWER juga
menyeru kerajaan untuk melaksanakan Piawaian Minima Prestasi Tenaga (MEPS )
dan pelabelan kecekapan tenaga mandatori untuk kenderaan bagi kedua-dua
kegunaan peribadi dan komersil. Mekanisme pelabelan ini akan membolehkan
pembelian kenderaan yang cekap dalam penggunaan bahan api dan membantu
mengurangkan penggunaan bahan api serta menjadi lebih mesra alam. Ini juga
akan membantu program rasionalisasi subsidi bahan api secara berperingkat.

3.         Margin Simpanan (Reserve Margin) Bekalan Air Terawat Kurang
Daripada 20% di Seluruh Negara


Peruntukan sebanyak RM 1.2 Billion hanya merupakan langkah jangka pendek
untuk membantu membangunkan infrastruktur bekalan air. KeTTHA telah
melewatkan pelaksanaan Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air Negara
(PSIPAN) yang sepatutnya diselesaikan semasa Rancangan Malaysia Ke-9 (tahun
2010). Pada awal tahun ini, pihak AWER telah bertemu dengan Ketua Setiausaha
KeTTHA untuk membincangkan mengenai beberapa masalah berkaitan industri
perkhidmatan air termasuk kelewatan PSIPAN yang sudah 3 tahun lamanya.
KeTTHA telah bersetuju untuk melengkapkan PSIPAN menjelang akhir 2013. Jika
perkara ini gagal dilaksanakan, tindakan tegas mesti diambil kepada semua
pegawai KeTTHA yang terlibat dalam kelewatan pelaksanaan PSIPAN kerana
mereka telah menyebabkan perbelanjaan tambahan kepada kerajaan dan
mengganggu-gugat Jaminan Air negara.

Satu jawatankuasa khas untuk memantau situasi bekalan air terawat di
Selangor dan Kuala Lumpur mesti ditubuhkan dengan segera bagi memastikan
bekalan air terawat adalah mencukupi di Lembah Klang semasa Tahun Melawat
Malaysia 2014.

Menurut kajian AWER juga, rakyat Kelantan terpaksa bergantung kepada air
bawah tanah melalui perigi dan telaga tiub. Tahap kualiti air ini masih
diragukan dan mereka terpaksa berbelanja lebih RM 600 untuk membina perigi
sendiri atau lebih daripada RM 1400 untuk memasang telaga tiub. Kami
menggesa kedua-dua Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Kelantan untuk
mempercepatkan pelaksanaan PSIPAN bagi memastikan perkhidmatan air kepada
rakyat Kelantan tidak terabai.

4.         Elaun Cukai Pelaburan dan Pengecualian Cukai bagi Teknologi Hijau


Ini adalah sesuatu yang dialu-alukan bagi meningkat penggunaan teknologi
hijau di Malaysia dan secara langsung mengurangkan impak kepada alam
sekitar. Pada masa yang sama, pemberian elaun culai pelaburan serta
pengecualian cukai perlu diteliti dan diiktiraf supaya tidak berlakunya
penyelewengan. Ini kerana beberapa tahun kebelakangan ini, terdapat terlalu
banyak teknologi 'hijau' tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan di pasaran.
Ini juga bagi mengelakkan sektor perniagaan daripada tertipu dengan helah
'hijau'.

5.         Yayasan Hijau Malaysia


KeTTHA sudahpun mempunyai tiga agensi yang bertindih tugas (redundant) dan
kini ditambah dengan satu lagi dalam belanjawan ini. Green Technology
Corporation (Green Tech Corp) yang telah dirasmikan oleh YAB Perdana Menteri
sendiri pada tahun 2009 merupakan agensi yang sepatutnya menjalankan
tugas-tugas promosi teknologi hijau secara keseluruhan. Green Tech Corp juga
mempunyai tenaga kerja dan pejabat yang serba lengkap. AWER berharap
PENUBUHAN YAYASAN HIJAU MALAYSIA DIBATALKAN untuk mengelakkan terlalu banyak
agensi yang tidak berfungsi dan membazir wang rakyat. Tiga lagi agensi yang
patut dimansuhkan adalah Jabatan Bekalan Air, Jabatan Perkhidmatan
Pembentungan dan Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) kerana
tugas semua agensi ini boleh dilaksanakan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air
Negara (SPAN), Suruhanjaya Tenaga (ST), Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB),
Indah Water Konsortium (IWK) dan Syarikat-syarikat air seluruh negara yang
berkenaan.

6.         Tragedi Cameron Highlands dan Pengurusan Kawasan Tadahan Air


Pengurusan guna tanah memainkan peranan penting dalam pengurusan kawasan
tadahan air. Tragedi di Cameron Highlands sebenarnya boleh dielakkan dan
ianya bukanlah satu kejadian semulajadi. Pembukaan kawasan hulu di
sekeliling empangan secara berleluasa serta pengurusan hilir di sekeliling
empangan merupakan dua perkara yang mempunyai kemungkinan tinggi sebagai
penyebab utama tragedi ini. Kerajaan mesti mengambil tindakan ke atas
individu-individu atau entiti-entiti yang bertanggunjawab dalam pembukaan
kawasan hulu secara berleluasa.

Pihak AWER juga telah menghantar memorandum kepada semua ketua-ketua
kerajaan negeri dan agensi-agensi persekutuan selepas pilihanraya yang lepas
di mana kami telah tegaskan kepentingan untuk mewartakan dan melindungi
kawasan tadahan air. Adakah kita ingin menunggu tragedi yang melibatkan
kematian beribu-ribu orang atau krisis air yang teruk untuk mula melindungi
kawasan tadahan air dan tanah tinggi di Malaysia? Semua kerajaan negeri
telah diberi masa sehingga tahun 2015 untuk mewartakan semua kawasan tadahan
air dan melindunginya.

7.         Kecekapan Tenaga Operasi Kerajaan

AWER mengalu-alukan keputusan kerajaan untuk mula mengaudit penggunaan
elektrik dan mengubahsuai (retrofit) untuk meningkatkan kecekapan tenaga
operasi. Pihak AWER juga mengharapkan Kementerian Kewangan (MoF) tidak
terpedaya dengan janji-janji penjimatan jutaan ringgit yang dijanjikan oleh
mana-mana agensi atau entiti jika semua lampu sedia ada ditukar kepada lampu
LED. Cuba memandu di Lebuhraya Persekutuan di Petaling Jaya dan bandingkan
kecerahan lampu jalan biasa dan lampu jalan LED. Anda boleh melihat
perbezaan yang ketara. Kos pemasangan lampu LED juga bukanlah pelaburan yang
rendah.

Kerajaan mesti melaksanakan inisiatif tiada pelaburan dengan serta-merta.
Inisiatif tiada pelaburan adalah secara langsung berkaitan dengan corak
tingkah laku, pola penggunaan dan penyesuaian ringkas dalam operasi harian.
Inisiatif pelaburan yang rendah adalah yang melibatkan penukaran peralatan,
pendawaian elektrik direka bentuk semula untuk memperkenalkan zon (lampu),
perubahan panel kaca, dan lain-lain. Penjimatan daripada dua inisiatif ini
boleh digunakan oleh kerajaan untuk melabur dalam langkah-langkah kecekapan
tenaga yang memerlukan pelaburan yang tinggi. Kerajaan juga mesti
mengelakkan penggunaan kaedah Kontrak Pencapaian Tenaga (Energy Performance
Contracting) seperti yang pernah dicadangkan oleh KeTTHA sebelum ini. Pada
masa yang sama, semua kementerian dan agensi-agensinya dialu-alukan untuk
menggunakan kalkulator atas talian (online) yang dibangunkan oleh AWER untuk
melakukan AUDIT TENAGA YANG RINGKAS DAN PERCUMA di laman web
www.click.org.my. Kalkulator ini dibangunkan untuk semua kategori pengguna
tenaga elektrik.

Kesimpulan

Semua komen ini adalah untuk menambahbaik Belanjawan 2014 dan terus
memperbaiki pelindungan alam sekitar serta pencapaian Jaminan Air dan Tenaga
di Malaysia. Pihak AWER berharap YAB Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan
dapat melakukan pindaan sewajarnya untuk Belanjawan 2014 dalam sesi parlimen
ini.

---------------------------------------------------
Thank you. Take care and have a nice day.

Regards,
Piarapakaran S.
President
Association of Water and Energy Research Malaysia (AWER)
CLICK to Low Carbon Lifestyle @ http://www.click.org.my
Learn to be Water Efficient@ Catch d' Hydro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan