Jumaat, 1 Jun 2012

Program Semakan Pengundi DUN Tronoh




Kenyataan Media YB V.Sivakumar, Timbalan Pengerusi DAP Perak, ADUN Kawasan Tronoh pada 1/6/2012 di Bemban, Batu Gajah.
Program Semakan Pengundi DUN Tronoh
Program semakan pengundi telah dibuat di Pasar Awam Kampung Baru Bemban, Batu Gajah pada pagi ini.  Yang turut hadir ialah YB V.Sivakumar ( ADUN Kawasan Tronoh), Pengerusi DAP Kampung Baru Bemban, Saudari Kong Lai Ling ( Pembantu Khas kepada ADUN Tronoh) dan ahli-ahli DAP Kampung Baru Bemban.
Program semakan mengundi ini adalah penting untuk memastikan nama pengundi-pengundi yang sudah berdaftar terdapat dalam senarai daftar pengundi SPR.  Sering kali kita dengar rungutan daripada pengundi-pengundi bahawa nama mereka tidak terkandung dalam senarai daftar pemilih walaupun mereka pernah mengundi sebelum ini. Ada juga pengundi-pengundi yang mendakwa bahawa tempat mengundi mereka telah dipindahkan ke tempat lain apabila mereka pergi ke tempat yang biasa mereka mengundi.
Oleh yang demikian, adalah penting  untuk membuat semakan seperti ini bagi mengelakkan kekeliruan pada hari mengundi nanti.  Kami sedang membuat semakan ini  untuk memastikan tidak terdapat sebarang penipuan atau ‘pengundi hantu’ di kawasan DUN Tronoh.
Dalam usaha penyemakan hari ini kami juga dapat mengesan seorang pengundi yang menetap di Kampung Baru Bemban  tetapi mengundi di kawasan Bruas. Beliau tidak pernah menetap di Bruas. Bagaimana ini boleh berlaku? Mengikut undang-undang,  kawasan mengundi seseorang itu  adalah berdasarkan alamat kad pengenalan. Tetapi dalam kes ini, alamat kad pengenalan adalah di Kampung Baru Bemban tetapi  beliau didaftarkan untuk mengundi di Bruas.
Kami akan buat semakan seperti ini di seluruh kawasan DUN Tronoh. Setiap pengundi harus memastikan nama mereka terkandung dalam senarai daftar pengundi SPR dan juga kawasan mereka mengundi supaya dapat mengelakan sebarang kemusykilan pada hari pilihanraya. Orang ramai juga dinasihatkan untuk menyemak status mereka sebagai seorang pengundi dalam laman web : www.spr.gov.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan